Home Novel Cinta Selagi Aku Masih Ada
Selagi Aku Masih Ada
Mya Effa
17/7/2013 01:56:21
111,675
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7
AKU begitu sibuk mengemas pakaian serta alatan kelengkapan yang hendak kubawa ke Air Terjun Jerangkang. Pukul sepuluh malam nanti, Abang Dino dan Farhana akan datang menjemputku. Aku menghelakan nafas lemah. Buat pertama kalinya aku menyertai aktiviti kelab tanpa Shazzy di sisi.

Aku terbaring lemah setelah selesai urusan mengemas. Kuusap dahiku berkali-kali. Entah mengapa aku merasakan betapa tak seronoknya perkhemahan pada kali ini. Adakah disebabkan ketiadaan Shazzy maka aku merasakan seperti ini? Dan entah mengapa terasa berat hatiku ini hendak meneruskan rancangan tersebut. Bagaikan ada sesuatu yang menghalang, seolah-olah memberi petanda akan berlakunya sesuatu yang tak diingini. Aku mengeluh buat kesekian kalinya.

Lamunanku mati tatkala terdengar pintu bilikku diketuk dari luar. Mata yang hampir pejam terbuka semula.

“Aween,” kedengaran suara ayah memanggil lembut namaku. Segera aku bangkit lalu mengatur langkah ke muka pintu. Terpacul wajah ayah di muka pintu.

“Ayah,” sapaku perlahan.

“Dah siap packing?” soal ayah. Aku mengangguk perlahan.

“Sudah, ayah.” Ayah merenungku lama. Aku tahu, dia bagaikan dapat menghidu akan apa yang bermain di fikiranku kini.

“Kenapa Aween nampak macam tak happy aja, ni?” soal ayah seraya mengusap ubun-ubunku. Aku menghelakan nafas berat lalu menggeleng kecil.

“Aween tak sedap hati, ayah,” kataku. Ayah mengerutkan dahi.

“Kenapa pulak?” soal ayah. Aku mengeluh lagi. Lantas aku mempelawa ayah masuk ke dalam bilikku. Ayah akur. Sesungguhnya, aku ingin meluah apa yang kurasakan di saat ini. Aku memerlukan seseorang untuk berbicara.

Ayah mengambil tempat di single sofa yang terletak di sisi katilku. Aku pula menghenyakkan punggungku ke sisi katil. Kami duduk bertentangan.

“Apa sebenarnya yang mengganggu fikiran Aween?” soal ayah lembut. Aku mengetapkan bibir. Mengumpul segala kekuatan yang ada sebelum memulakan bicara.

“Entahlah, ayah. Kalau selama ni, Aween akan berasa exited sangat kalau kelab menganjurkan perkhemahan macam ni. Tapi entah mengapa kali ni, Aween rasa berat nak pergi. Aween macam dapat rasa sesuatu yang buruk yang bakal berlaku. Cuma Aween tak tahu apa dan siapa yang bakal ditimpa musibah tu,” aduku panjang. Ayah menggeleng laju.

“Mungkin itu perasaan Aween aja. Ataupun sebab Shazzy tak dapat nak sertai camping kali ni yang menyebabkan Aween berperasaan begitu,” ucap ayah.

Nafasku mulai sesak. Rasa sebak terus menerpa ke sanubari. Rasa mahu gugur airmata ini. “Aween takut, ayah. Aween takut sesuatu yang buruk akan berlaku pada diri Aween di sana nanti. Kalau bukan pada diri Aween sekalipun, mungkin pada insan-insan yang Aween sayang kat sini. Mungkin pada ayah, Ijie, atuk dan nenek di kampung. Mungkin juga pada saudara-mara terdekat kita, atau mungkin pada Shazzy,” kataku perlahan. Airmata yang kutahan akhirnya tumpah juga mengalir ke pipi.

“Aween teramat sayangkan semuanya. Aween sayangkan ayah dan Ijie lebih dari nyawa Aween sendiri. Cuma ayah dan Ijie ajalah yang Aween ada. Aween tak mahu kehilangan salah seorang daripadanya. Malah Aween jugak tak mahu semua orang merasa kehilangan Aween, terutama sekali ayah dan Ijie. Aween tahu, ayah dan Ijie masih memerlukan Aween. Malah Aween tahu perasaan ayah. Kalau boleh tentu ayah tak mahu kehilangan Aween setelah ketiadaan mama, bukan?” ujarku bersama esakan.

Pantas ayah menerpa ke arahku. Tubuhku disambar dan dipeluknya. Di saat itu juga, aku menangis teresak-esak di dalam dakapan ayah.

“Aween tak boleh berfikir macam tu. Segala apa yang berlaku, semuanya sudah tersurat. Walau bukan kehendak kita sekalipun, itu kehendak ALLAH. Kita selaku orang Islam yang beriman harus redha dengan ketentuan Ilahi. Aween masih ingat lagi tak, rukun iman yang keenam? Percaya kepada qada dan qadar. Aween harus percayakan semua itu. ALLAH lebih mengetahui akan apa yang dilakukannya. Segala kejadian yang berlaku ada hikmahnya, sayang,” pujuk ayah lembut. Aku masih lagi menangis menahan sebak. “Aween tahu semua tu, ayah. Tapi Aween tak sanggup nak menghadapinya. Aween tak mahu kehilangan orang yang sangaat Aween sayang. Dan dalam masa yang sama jugak Aween tak mahu orang sekeliling Aween merasa kehilangan Aween. Bukan Aween takutkan bencana, ayah. Tapi Aween bersimpati dengan orang di sekeliling Aween yang masih memerlukan Aween, terutamanya ayah dan Ijie,” luahku.

Kedengaran ayah mengeluh berat. “Sebab itulah, kita selaku umat Islam mesti banyakkan berdoa kepada ALLAH. Mohon agar kita semua sentiasa dilindungi dan selamat dari sebarang bencana,” nasihat ayah lagi. Aku terdiam, memikir akan kebenaran kata-kata ayah itu.

“Sudahlah. Jangan nak bersedih macam ni. Ayah doakan Aween selamat di sana. Berseronoklah. InsyaALLAH, takkan ada sesiapa yang akan ditimpa musibah.” Kata-kata terakhir ayah itu sedikit-sebanyak menyenangkan perasaanku yang bergelora sebentar tadi. Ayah meleraikan pelukannya. Airmata yang masih bersisa di pipi kuseka.

“Jangan fikir yang bukan-bukan lagi, Aween,” pesan ayah buat kesekian kalinya. Aku tersenyum seraya mengangguk laju.

Enjoy yourself,” ucap ayah lagi. Dan sekali lagi aku mengangguk.

*****

TEPAT pukul dua belas tengah malam. Para peserta yang menyertai perkhemahan ini telahpun berkumpul di hadapan premis kelab. Kesemua beg-beg yang dibawa oleh mereka telahpun dimasukkan ke dalam tempat khas di dalam bas. Sebelum bertolak, Abang Que telah memastikan kesemua pererta sudahpun berkumpul.

Di dalam bas, aku mengambil tempat duduk kedua di belakang berhampiran tingkap. Seketika aku menoleh ke tempat duduk sebelah. Kosong. Aku menghelakan nafas berat. Biasanya, Shazzy akan duduk bersebelahan denganku. Kali ini, terpaksalah aku duduk seorang diri sepanjang perjalanan yang berkemungkinan mengambil masa kira-kira lima jam itu. Aku meletakkan beg sandang ke bawah, di tepi kakiku. Sehelai sweater tebal kusarung ke tubuh untuk meredakan rasa sejuk di dalam bas akibat air-condition yang terlalu kuat.

Seketika kemudian, Farhana mengambil tempat di sebelahku. Aku memalingkan wajah memandangnya. Dia juga begitu sambil tersenyum seperti kerang busuk.

“Hehehe… biar aku gantikan tempat Shazzy untuk temankan kau, ya,” ujarnya bersahaja. Aku tersenyum mencebik. Bas mulai bergerak seterusnya membelah lebuhraya yang diselubungi kegelapan malam itu. Hanya lampu-lampu jalan sahaja yang mampu menyinari suasana jalanraya.

Mereka bersorak gembira. Suasana bas menjadi riuh. Aku hanya tersenyum dengan situasi ini. Waktu mula-mula dalam perjalanan memang macam ini. Bising dan kecoh. Tunggulah lagi sejam dua, pasti takkan riuh lagi seperti ini. Tambahan pula kali ini kami bertolak pada tengah malam. Pasti ramai yang akan terlena nanti.

Aku mulai tenggelam dengan keasyikanku sendiri. Hanya mataku yang tertumpu di luar tingkap, menikmati suasana lebuhraya yang gelap-gelita itu. Sedangkan fikiranku masih lagi terganggu walaupun tak separah di rumah tadi.

“Abang Que, cerita apa?” pekik Farhana mematikan lamunanku. Segera aku memalingkan kepala ke depan. Kelihatan Abang Que yang sedang berdiri di hadapan sana dan begitu leka membelek-belek beberapa keping VCD yang dibawanya untuk ditayangkan di dalam bas. Memang beginilah kebiasaannya setiap kali kami hendak berjalan jauh. Pastinya VCD akan dipasang di dalam bas bagi menghilangkan kebosanan kami sepanjang perjalanan.

“Ha’alah… cerita ‘Pontianak Harum Sundal Malam’? Apa ni, Abang Que… tak ada cerita lain ke?” protesku sebaik tajuk cerita tersebut tertera di skrin televisyen.

“Entahlah, Abang Que ni!” sampuk Farhana. Abang Que tersenyum seakan mengejek. Menyakitkan hati.

“Kenapa, takut ke?” perlinya kepada kami.

“Bukan takut. Tapi tak eloklah, tengah-tengah malam buta macam ni pasang cerita seram macam tu. Dahlah kita tengah kat dalam bas sekarang ni,” bidasku.

“Alah, Aween. Relaxlah, beb. Kata adventurous!” Aku mencebik mendengar kata-katanya itu. Cakap besar. Berlagak!

Adventurous tu adventurouslah jugak. Tapi kena ingat jugaklah kita kat mana sekarang ni. Buatnya tiba-tiba muncul kat depan mata, semua mencecek terjun tingkap,” selorohku. Semua yang ada di dalam bas ketawa mendengar kata-kataku itu. Mungkin lucu pada mereka.

“Dahlah, nak pasang pun pasanglah. Aku tak nak tengok. Aku nak tidur,” ujar Farhana seraya mengiringi tubuhnya ke tepi.

“Aku pun nak tidur. Malas nak tengok,” ujarku pula lalu menarik tirai menutupi cermin tingkap. Sweater yang tersarung di tubuh kutanggalkan untuk menutup wajahku.

Lenaku agak terganggu mendengar suara mereka yang terjerit-jerit menonton cerita seram itu. Sesekali bulu romaku naik meremang mendengar hilai-tawa pontianak di dalam cerita tersebut. Aku merengus geram. Kalau setakat menyeramkan mereka yang menontonnya, tak apalah jugak. Ini mengganggu juga orang nak tidur. Menyusahkan orang betul! Hatiku merungut sendiri.

*****

HAMPIR pukul lima pagi, kami tiba di Pekan Maran. Aku terjaga sebaik bas yang kami naiki berhenti di hadapan sebuah warung makan. Aku yang masih dalam keadaan mamai menggosok-gosok mataku yang kuyu sambil memerhatikan para peserta yang turun. Aku menoleh ke sebelah. Farhana masih lagi lena dibuai mimpi. Pantas kugoncang tubuhnya perlahan.

“Anne, bangun!” ujarku perlahan. Farhana terjaga lalu mengeliatkan tubuhnya. “Dah sampai ke?” soalnya.

“Dah. Semua orang dah turun,” jawabku seraya menguapkan mulut menahan kantuk. Lantas kucapai beg yang kuletak di hujung kakiku.

“Kat mana ni, hah?” soal Farhana. Aku menjungkitkan bahu.

“Entah. Aku tak pasti. Nampak macam kat kampung aja. Gelap semacam,” kataku. Seketika kemudian ada seseorang menyuluh lampu suluh ke wajah kami. Aku mengecilkan anak mata menahan silau.

“Hah, apalagi, turunlah!” Abang Reza rupanya. Farhana mengeliatkan tubuhnya sekali lagi. Aku pula terus bangun lalu menyarung sweater ke tubuh.

“Jomlah, Anne.”

Kami turun dari bas tersebut. Suasana di luar masih lagi gelap-gelita. Aku memerhatikan mereka yang sedang sibuk memunggah barang-barang keluar dari perut bas. Rasa sejuk dan dingin kian menggamit. Bunyi-bunyi cengkerik masih lagi kedengaran diselang-selikan dengan suara katak. Aku tersenyum, ketawa dalam hati. Kalau hanya suara cengkerik aja yang kedengaran, bukankah bagus? Sedap sikit telinga ini mendengarnya. Ni disampuk pulak dengan suara si katak. Merosakkan irama aja. Hatiku mengomel sendiri.

“Kau orang berdua ni, kalau masih mengantuk pergilah tidur dulu. Tu hah, kerusi meja kan ada?” kata Abang Dino sebaik dia menerpa ke arah kami. Aku mengangguk lemah. Segera aku mencuit lengan Farhana yang kelihatan terpisat-pisat itu.

“Jom, Anne. Kita tidur dulu. Aku mengantuk lagilah,” ujarku. Farhana akur lalu mengekoriku dari belakang.

Sebaik mengambil tempat di sebuah kerusi, terus aku merebahkan kepala ke atas meja lalu menutupnya dengan kedua belah lengan. Namun, ketika itu juga aku dapat merasakan sesuatu. Seolah-olah ada seseorang yang duduk di sebelah kananku. Segera aku mengangkat muka lalu menoleh. Terpaku aku melihat sesusuk tubuh itu telah mengambil tempat betul-betul bersebelahan denganku. Dia tersenyum. Aku merengus kasar. Macam manalah aku boleh tak terfikir tentang dirinya malam tadi? Malah, selama aku sampai di hadapan premis kelab sehinggalah bas bertolak, bayangannya pun aku tak nampak. Alih-alih pagi ini muncul. Barulah aku teringat. Farhana ada memberitahuku yang jejaka ini juga turut serta dalam perkhemahan kali ini. Hai, macam manalah aku boleh lupa!

Aku terus memandangnya dengan pandangan yang tidak puas hati. Seolah memberi isyarat agar dia menjauhi dirinya dariku. Dan dia masih dengan lagak selambanya. Tak faham atau buat-buat tak faham? Getus hatiku. Aku mengeluh lagi. Kenapalah dia masih lagi mahu mendekatiku? Langsung tak beri aku peluang untuk menyendiri. Pantang tengok aku senang sikit, dia datang mengganggu. Hisy!

“Tidurlah. Ari duduk aja kat sini. Tak nak kacau. Tempat lain dah penuh, orang duduk,” ujarnya perlahan. Aku memerhatikan sekeliling warung. Memang dah penuh pun. Aku memandangnya semula.

“Ari buat apa kat sini?” soalku bodoh. Hakikatnya aku tidak menyenangi kehadirannya di sini.

“Buat apa lagi. Nak campinglah. Takkan Ari tak boleh nak ikut serta, sedangkan Ari pun ahli KKM jugak,” ujarnya bersahaja. Aku merengus geram. Tanpa menoleh ke arahnya lagi, terus kurebahkan kepalaku seperti tadi. Farhana yang berada di sebelah kiriku sudahpun menyambung lenanya.

*****

AKU tersedar dari lena sebaik azan Subuh dari surau berdekatan berkumandang. Aku menoleh ke sebelah kanan. Azhari sudah tiada di situ. Kutoleh ke kiri pula. Farhana masih lagi enak beradu. Pantas aku menepuk-nepuk bahunya perlahan.

“Anne, bangun Anne. Dah Subuh,” ujarku separuh berbisik. Farhana mengangkat wajahnya yang kusut-masai itu. Seketika Kak Min datang menghampiri kami.

“Kau orang berdua kalau nak solat, boleh tumpang makcik warung ni. Dia dah sampai kat dapur belakang,” ujar Kak Min. Aku menganguk. Seketika aku menguap lalu mengosok-gosok mataku yang masih kabur.

Aku dan Farhana lantas ke belakang gerai. Kedengaran bunyi bising periuk-belanga berlaga. Bau yang enak turut menyapa rongga hidungku.

“Assalamualaikum, makcik. Kami nak tumpang sembahyang, boleh?” ujarku lembut. Wanita yang berusia separuh abad itu menoleh lalu mengangguk sambil tersenyum. “Boleh, nak,” ujarnya lembut lalu menunding ke arah sebuah pintu.

“Bilik air kat tepi tu,” ujarnya lagi. Kami mengangguk serentak.

Sinaran merah di dada langit kian kelihatan, menandakan suria pagi akan terbit tidak lama lagi. Aku, Farhana, Kak Nad dan Kak Min hanya berbual-bual kosong sementara menunggu waktu terang. Masih ada lagi kaum-kaum lelaki yang belum pulang dari surau. Sedang aku rancak berborak, tiba-tiba aku ternampak sebuah telefon awam. Aku tersenyum seraya mengerling ke arah jam di pergelangan tangan. Segera aku mengeluarkan beberapa keping syiling dari dalam beg duitku.

“Kau nak ke mana?” soal Farhana.

“Pergi telefon kejap,” jawabku.

“Telefon siapa?” soal Kak Nad menyakat. Aku tersenyum nipis.

“Telefon ayah. Nak beritahu yang Aween dah sampai,” jawabku lagi.

“Telefon ayah ke, telefon cik abang sayang?” usiknya lagi. Aku tersenym lagi.

“Ayah pun ya, Shaz pun ya,” kataku lalu mengatur langkah menuju ke telefon awam tersebut memandangkan aku telah meninggalkan telefon bimbitku di rumah.

Lagi sepuluh minit pukul tujuh pagi. Semua peserta diarahkan mengambil sarapan dahulu. Aku hanya mengambil sepinggan mihun goreng dan secawan teh panas sahaja. Begitu juga dengan Farhana. Kak Nad dan Kak Min yang duduk semeja dengan kami hanya memesan sepinggan nasi lemak dan juga mi goreng, serta dua gelas milo panas. Sambil kami menikmati sarapan pagi kami, datang Abang Dino bersama kamera videonya. Dirakamnya aksi kami sedang makan.

“Kau ni apalah, Dino. Orang tengah makan pun kau nak ambil gambar,” omel Kak Min. Aku dan Farhana hanya tersengih.

“Alah, makan ajalah. Aku bukannya kacau kau orang pun. Buat selamba ajalah. Apalah kau ni, Min. Tak sporting langsung,” getus Abang Dino pula. Aku dan Farhana hanya mampu ketawa melihat mereka bertelagah. Seketika kemudian dia berlalu ke tempat lain.

Aku menyambung semula menjamah mihun goreng yang masih tinggal sedikit itu. Dan sebaik aku mengangkat wajah, mataku bertemu lagi dengan mata jejaka itu. Dia merenung tepat ke wajahku. Aku mulai tidak selesa diperhatikan begitu. Bermakna, semasa aku sedang makan tadi, tak putus-putus dia memerhatikanku? Aku mulai tidak tentu arah. Terasa tebal kulit mukaku ini. Di kala itu juga, terasa seleraku mati. Pantas kutolak pinggan yang masih berbaki itu ke depan. Air teh yang masih tinggal separuh itu kucapai lalu kuteguk perlahan.

Kak Nad yang duduk di hadapanku, terperasan akan perubahan mendadakku itu. Dia memandangku dengan tajam sambil dahinya berkerut.

“Kenapa, Ween? Tak habis?” soalnya lembut. Aku menggeleng.

“Pedas sangat, kan?” soal Kak Nad lagi. Aku mengangguk, mengiakannya. Padahal, mihun goreng tu tidaklah pedas sangat.

“Kenapa, mi goreng tu pun pedas jugak ke?” soalku. Kak Nad mengangguk sambil mulutnya mendesis kepedasan. Seketika dia meneguk air milonya.

Sebelum bertolak, kami telah dibahagikan kepada tiga kumpulan. Setiap kumpulan mewakili sebelas orang. Sepuluh orang lelaki dan seorang wanita. Mula-mula, aku, Farhana dan Kak Min telah diarahkan untuk mencabut nombor kumpulan. Aku sedikit kecewa kerana tidak berpeluang untuk sekumpulan dengan Farhana. Setelah kami mencabut nombor, giliran kaum adam pula yang membuat cabutan.

“Kau kumpulan berapa?” soal Farhana kepadaku. Aku menunjukkan cebisan kertas yang tertera nombor kumpulanku.

“Kumpulan satu?” soalnya. Aku mengangguk.

“Kau?” soalku pula kepadanya.

“Dua,” jawabnya sepatah. Bermakna Kak Min kumpulan tiga.

Aku memerhatikan para peserta yang bergotong-royong meletakkan beg-beg serta alat-alat kelengkapan perkhemahan di atas lori. Kami dimaklumkan yang barang-barang itu akan dibawa oleh lori tersebut ke tempat yang dituju. Abang Que dan Kak Nad yang tiada kumpulan juga akan menaiki lori tersebut untuk ke Air Terjun Jerangkang.

“Husy, kita semua kena jalan kaki, dia orang pulak senang-senang aja naik lori. Mengelat betul!” rungut Farhana. Aku tersenyum kambing.

Relaxlah, Anne. Cuba kau tengok, lori tu besar manalah sangat nak tampung tiga puluh tiga orang ahli. Itu belum lagi termasuk Abang Que dengan Kak Nad lagi tu,” sampukku. Farhana mencebirkan bibir.

Dan seketika kemudian kedengaran Abang Que menepuk-nepuk tangannya mengarahkan kami semua berkumpul.

“Okey, assalamualaikum dan selamat pagi semua. Kita dijangka bertolak ke Air Terjun Jerangkang pada pukul lapan pagi. Sekarang ni, jam saya baru menunjukkan ke pukul tujuh empat puluh lima. Bermakna kita ada masa lagi lima belas minit. Jadi, sebelum kita memulakan pengembaraan kita yang dianggarkan memakan masa selama empat jam ini, apa kata kita melakukan sedikit senaman ringan,” cadang Abang Que. Dan seperti biasa Abang Reza akan memimpin kami membuat senaman ringan di pagi itu.

Setelah selesai bersenam, Abang Que mengarahkan setiap kumpulan berkumpul di satu tempat.

“Kumpulan satu sila berkumpul di sini,” pekik Hakimi, salah seorang ahli yang paling senior dalam kumpulan satu. Segera aku bergerak ke arahnya.

“Kau kumpulan ni?” soal Hakimi. Aku mengangguk. Hakimi merupakan salah seorang ahli yang mendaftar saing denganku dulu. Kami adalah sebaya. Namun aku tidak begitu rapat dengannya kerana dia agak jarang menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh kelab. Tambahan pula, aku tidak pernah sekumpulan dengannya setiap kali kelab mengadakan aktiviti. Tempat aku dan Hakimi berdiri sudahpun dikerumuni oleh ahli-ahli kumpulan satu.

“Hmm… nampaknya Ween, kita berdua ajalah yang senior dalam kumpulan ni,” ujar Hakimi kepadaku. Aku memaling ke sebelah memandangnya.

“Bukan kita aja. Tu, muka-muka tu kan senior jugak?” sangkalku.

“Memanglah. Tapi aku kata kita berdua yang paling senior. Yang tiga empat orang tu pun senior jugak, tapi baru setahun jagung, kan,” ujarnya. Aku tersenyum sambil memerhatikan ahli-ahli kumpulanku yang sudahpun duduk mengelilingi kami. Dan jantungku bagaikan tersentap tatkala bertemu wajah dengan seseorang. Alamak, dia sekumpulan dengan aku pulak! Bentak hatiku.

Abang Que datang menghampiri tempat kami berkumpul. Aku dan Hakimi meluru ke arahnya.

“Ni kumpulan satu?” soalnya. Kami mengangguk.

“Okey, kumpulan satu bergerak dulu. Lima minit kemudian, baru kumpulan yang kedua pulak dan diikuti dengan kumpulan ketiga lima minit selepas itu,” terang Abang Que. Kami mengangguk faham. Abang Que menyerahkan sehelai kertas yang berupa sebuah peta sebagai panduan untuk kami ke kawasan Air Terjun Jerangkang. Manakala sebuah peti kecemasan yang mengandungi ubat-ubatan diserahkan kepadaku. Aku telah dipertanggungjawabkan sekiranya ada di antara ahli-ahli kumpulanku yang tercedera sewaktu pengembaraan sedang berlangsung.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mya Effa