TEPAT jam lapan pagi, kami
mulai bertolak. Aku dan Hakimi berjalan seiring mendahului kesemua ahli
memandangkan peta untuk ke kawasan Air Terjun Jerangkang berada di tangannya.
Hakimi memalingkan tubuh ke belakang. Aku memandangnya dengan pandangan yang
berkerut.
“Kenapa?” soalku. Dia menoleh ke
arahku bersama senyuman di bibir. Kepalanya digelengkan. “Tak ada apa. Nak
pastikan semuanya okey,” jawabnya. Aku mengangguk. Seketika kemudian kedengaran
Hakimi ketawa kecil. Aku memandangnya lagi dengan perasaan hairan.
“Sepuluh lelaki, seorang wanita.
Macam tuan puteri aja aku tengok kau ni, ramai bodyguard kat belakang tu,” komennya. Aku turut ketawa kecil.
“Tu yang best tu. Sepuluh lelaki mengiringi aku di belakang. Rasa selamat
aja bila berjalan. Kau orang semua boleh lindungi aku,” kataku bersahaja.
“Dan kalau boleh, aku nak kau jadi chief bodyguard aku, boleh?” sambungku
lagi. Dia ketawa. Tentu pada pemikirannya aku sekadar ingin bergurau, sedangkan
aku benar-benar serius dengan kata-kataku itu. Kalau boleh memang aku mahu
Hakimi sentiasa menemaniku agar Azhari tidak berani mendekatiku.
“Oh, kalau selalu tu, Shazzy yang
jadi chief bodyguard kau. Bila dia
tak ada, aku pulak yang kena ganti tempatnya, ya?” ujarnya bersama tawa. Aku
mengerling tajam ke arahnya di sebelah.
“Ganti jadi chief bodyguard aja. Yang lain tu kirim salamlah. Sebab tempat yang
lain tu special sikit. Cuma Shazzy
aja yang layak mendudukinya,” balasku.
“Tempat yang mana tu?” soalnya
mengusik.
“Tempat kat hati,” jawabku selamba.
Dia ketawa kecil.
Pengembaraan kami bermula pada fasa
pertama dengan merentasi sebuah kebun getah. Tiada sebarang penempatan di situ.
Hanya beberapa buah rumah yang polanya berselerakan sahaja yang kelihatan. Aku
mulai rasa tidak selesa apabila beberapa ekor nyamuk mulai hinggap ke kulitku.
Lengan dan tengkukku sudahpun kelihatan kemerah-merahan. Bertepuk-tampar aku
memukul nyamuk-nyamuk yang hinggap. Sesekali aku tergaru-garu akibat kegatalan.
Terdetik rasa menyesal di dalam hati kerana tidak memakai t-shirt lengan panjang atau sweater.
Kalau aku pakai sekalipun, tentu akan rasa tidak selesa juga kerana keadaan
cuaca yang agak panas.
Tamat fasa pertama tidak lama
kemudian. Aku menghelakan nafas lega. Berakhir sudah perjalanan yang
benar-benar menyeksakanku sebentar tadi. Selama aku menyertai mana-mana
pengembaraan atau perkhemahan, tidak pernah aku merasai sebegini rupa. Kalau
setakat digigit nyamuk sikit-sikit itu, adalah. Tetapi kali ini, naik hancur
tangan dan lenganku dibuatnya. Berbintat-bintat dimamah nyamuk kebun. Begitu
juga dengan leher dan tengkukku. Sesungguhnya pengembaraan kali ini memberikan
aku pengalaman yang baru.
Masuk ke hutan belantara. Kami
terpaksa melalui jalan tanah merah. Keadaan jalan tanah itu agak lembap dan
berlumpur akibat hujan lebat semalam. Keadaan seperti ini begitu menyukarkan
perjalanan kami. Sesekali aku serta beberapa orang lagi peserta terpaksa
berhenti buat seketika apabila terdapat batang-batang pokok yang sudah reput
terdampar di atas tanah, bertujuan untuk mengais tapak kasut kami yang kian
memberat akibat lumpur tanah yang begitu banyak melekat.
“Jauh lagi ke nak sampai ke tempat check point?” soalku kepada Hakimi
sambil termengah-mengah. Naik lencun tuala mukaku akibat terlalu kerap mengesat
peluh di muka. Bajuku turut sama basah seperti baru lepas berhujan. Hakimi
mengangguk.
“Check
point kita berada pada fasa kelima. Kita baru aja sampai pada fasa ketiga.
Untuk sampai ke tempat check point
tu, kita kena melintasi sebuah jalanraya yang sedang dibina di depan sana,”
ujar Hakimi.
“Berapa fasa kita ada?” soalku lagi.
Hakimi meneliti peta tersebut.
“Hmm… tujuh fasa,” jawabnya.
Terbeliak mataku mendengarnya.
“Fuh! Jauh lagi,” keluhku keras.
“Ha’alah, kau! Macam tak biasa
pulak,” getus Hakimi kepadaku.
Entah mengapa, pengembaraan kali ini kurasakan lain
sekali. Seperti ada kekurangannya. Sedangkan, sebelum ini aku pernah menyertai
pengembaraan yang lebih mencabar. Seingat aku, sewaktu mengembara ke Gua
Tempurung kira-kira dua tahun yang lalu. Betapa seksanya aku handak mendaki
bukit yang curam. Sudahlah jaraknya yang begitu jauh sehingga memakan masa
berjam-jam lamanya. Naik kejang jugalah otot-otot kakiku ketika itu. Namun,
pengalaman itu merupakan pengalaman yang paling menyeronokkan. Tetapi kini,
takkanlah perjalanan yang hanya memakan masa empat jam pun dah rasa nak
merungut? Adakah kerana ketiadaan Shazzy bersama menyebabkan aku berasa
sebegini rupa? Mungkin juga.
Fasa ketiga berakhir di sebuah anak sungai. Airnya
jernih. Kami berhenti untuk berehat seketika. Ahli-ahli kumpulan kami
bergelimpangan keletihan. Aku turut tersadai di sebuah bongkah batu. Sedang aku
leka beristirehat, tiba-tiba seseorang datang menghampiriku. Aku mengerling ke
sebelah lalu mengeluh berat. Nak lari ke tempat lain, dah tak larat. Dah
kehabisan tenaga.
“Penat?” soalnya lembut. Aku menjelingnya tajam
seraya mengangguk. Apa, dia butakah? Tak nampak aku tengah keletihan?
“Hmm… habis merah tangan,” ujarnya sambil
mengusap-usap lenganku dengan jarinya. Pantas aku menempis tangannya itu. Aku
merenungnya tajam. Dia terkesima seketika. Sebentar kemudian, dia tersenyum.
Seolah merelakan apa yang aku lakukan terhadapnya.
Tidak lama kemudian, kelihatan dia mengeluarkan
sesuatu dari dalam beg sandangnya. Aku sekadar memerhati. Namun sebentar
kemudian aku memandang ke tempat lain pula. Dan aku sedikit tersentak apabila
merasakan jari-jemarinya mengusap lagi pergelangan lenganku.
“Aween, biar Ari sapukan balm ni kat tangan Aween tu, ya,” katanya lembut. Dan sebaik balm itu hendak disapunya ke lenganku,
pantas aku menempis kasar tangannya.
“Tak! Tak payah susah-susah. Aku tak perlukan
pertolongan kau,” ujarku sedikit keras. Namun senyumannya masih tidak lekang
dari bibirnya.
“Janganlah macam tu. Ari ikhlas ni,” pujuknya. Namun
aku tetap berdegil.
“Tak payah, Ari. Aku tak mahu termakan budi kau
lagi. Aku tak mahu!” Dia mengeluh berat. Matanya terus menjamah wajahku. Pantas
kularikan pandanganku ke arah lain. “Aween, Ari tak minta Aween termakan budi
Ari. Ari memang benar-benar ikhlas. Ari tak mahu apa-apa balasan dari Aween,”
katanya lagi. Begitu lembut intonasinya. Seketika kemudian, terasa dingin dan
sejuk di pergelangan tangan dan lenganku. Tahulah aku dia telah menyapukan balm tersebut di bahagian yang telah
digigit nyamuk itu tadi. Aku pula bagaikan merelakan perbuatannya itu, namun
aku tetap berkeras tidak mahu mengadap mukanya.
Dan entah mengapa, bagaikan ada satu kuasa yang
telah menarikku untuk memandangnya. Sebaik aku menatapnya yang sedang kusyuk
menyapu balm tersebut ke lenganku,
aku menjadi terpaku. Serasakan, bukan Azhari yang berada di hadapanku kini,
tetapi Shazzy! Serta-merta wajah yang kurindui itu bermain di mindaku. Kalau
selama ini, setiap kali kami menyertai pengembaraan atau sebarang
aktiviti-aktiviti lasak, Shazzylah yang akan melakukan semua ini kepadaku.
Setiap kali aku tercedera, Shazzylah yang akan menyapukan iodine ke atas lukaku itu. Malah setiap kali aku terseliuh atau
mengalami bengkak-bengkak di kaki atau tangan, dialah yang akan memicit dan
megurutku. Segala-galanya dia yang lakukan untukku.
Aku bagaikan terpukau. Spontan aku mengusap
kepalanya lembut. Dia yang sedang asyik menyapu balm ke lenganku itu kelihatan terkejut lalu mendongak memandangku.
Di kala itu juga wajah Shazzy seakan lenyap dalam sekelip mata. Aku mulai
tersedar, yang berada di hadapanku kini bukanlah Shazzy, tetapi Azhari. Pantas
aku menarik semula tanganku yang begitu galak mengusap kepalanya sebentar tadi.
“Ops, maafkan aku. Aku tak sengaja,” ujarku. Terasa
panas wajah ini menahan malu. Dia pula tersenyum seperti tadi. Namun aku
merasakan yang senyuman itu bagaikan mengejekku. Tanpa sedar aku menepis
tangannya perlahan. Lidahku seakan kelu untuk berbicara. Suaraku pula bagaikan
tersekat di celah kerongkong. Pantas aku memalingkan tubuh, membelakanginya.
Di kala itu juga, Hakimi datang menghampiriku
bersama sebotol air kosong. Aku menyambutnya. Sejuk air itu, seperti baru
dikeluarkan dari peti ais.
“Thanks,”
ucapku ringkas. Hakimi tersenyum seraya mengangguk.
“Kau nak tak, air ni? Bagi aku botol kosong kau tu.
Aku pergi ambilkan,” ujarnya. Aku memandangnya bersama senyuman di bibir.
“Air mineral ke? Eh, kalau macam tu aku nak ikut kau
ambil,” ujarku ceria. Dia mengangguk. Aku bingkas bangun lalu mengekorinya dari
belakang. Namun langkahku mati seketika. Aku memalingkan wajah ke belakang,
memandang Azhari yang masih lagi duduk di situ. Buat seketika mata kami
bertaut. Aku membelek-belek lenganku yang terasa dingin itu.
“Thanks,
Ari,” ucapku dan terus berlalu meninggalkannya. Kucuba memanjangkan langkah
mengejar Hakimi dari belakang.
*****
TIBA
di tempat check point yang telah
ditetapkan. Kami berhenti untuk menunggu dua kumpulan di belakang. Semua
peserta harus berkumpul di situ bagi memastikan kesemua peserta ada di dalam
kumpulan masing-masing.
“Aween,” Hakimi memanggilku. Segera
aku menoleh. Kelihatan kesemua ahli kumpulanku sudahpun berkumpul di satu
tempat.
“Jomlah, kita ambil gambar,”
ajaknya. Aku tersenyum seraya melangkah ke arah mereka. Aku menghulurkan tangan
ke arah Hakimi. Dia mengerutkan dahinya.
“Apa dia?” soalnya hairan.
“Bagilah sini, kamera tu. Aku
ambilkan gambar kau orang,” ujarku.
“Eh, sekalilah. Kita satu kumpulan,”
ujarnya pula.
“Habis tu, siapa yang nak snap gambar?” soalku. Hakimi tersenyum.
“Itu bisa diatur,” katanya bersahaja.
Dia menggamitku untuk duduk bersebelahan dengannya. Sebaik aku mengambil tempat
di sisinya, dia menjulurkan tangannya yang memegang kamera digital tersebut ke
depan. Sebaik mengira satu sampai tiga, punat kamera itu ditekannya lalu
menghasilkan sebuah cahaya flash.
Hmm… lagak macam jurugambar professional. Hatiku berbisik.
Tidak lama kemudian, sampailah kumpulan kedua di
tempat check point tersebut. Farhana
menghenyakkan punggung di sebelahku. Seketika kedengaran nafasnya yang kencang
itu akibat kepenatan. Aku memerhatikannya dari hujung rambut hinggalah ke
hujung kaki. Dan pandanganku terhenti di pergelangan tangan dan lengannya yang
kemerah-merahan itu. Aku mengekek perlahan. Dia memandangku pelik.
“Apasal kau gelak?” soalnya sambil menumbuk lembut
lenganku. Aku masih dengan gimikku. Lalu aku menundingkan jariku ke lengannya.
“Kesian kau, kena tanam ubi merah,”
ucapku sambil mengekek kecil. Dia mencebik. “Eleh, kau tu macamlah tak kena
tanam ubi merah. Tengok lengan kau tu. Hisy! Kalau si Shazzy nampak ni, mahunya
dia tak tepuk dahi. MasyaALLAH, habis tangan awek aku. Ni nak kena mandi lumpur
ni,” ujar Farhana sambil mengajuk kata-kata Shazzy. Aku menumbuk bahunya. Dia
mengaduh. Seketika kami ketawa serentak.
Kami meneruskan perjalanan setelah
berehat selama beberapa minit. Kali ini, kami tidak lagi berjalan di dalam
kumpulan masing-masing. Aku lebih selesa berjalan bersama Farhana dan Kak Min.
Di hadapan sana, kelihatan Hakimi sedang berjalan beriringan dengan Abang Dino
dan juga Abang Reza. Mereka merupakan orang penting kerana telah diberi tugasan
untuk menunjuk arah kepada kami.
“Dengar tak, apa yang akak dengar?”
soal Kak Min tiba-tiba. Aku dan Farhana memandangnya dengan pandangan yang
terpinga-pinga. Kak Min tersenyum.
“Akak dengar bunyi air terjun,”
ujarnya. Aku memandang ke wajah Farhana. Seketika aku memerhatikan sekeliling
sambil anak mataku mengerling ke kiri, kanan dan atas. Memang benar.
Sayup-sayup kedengaran desiran air terjun. Cukup mendamaikan.
“Wah, nikmatnya!” kedengaran suara
garau menjerit. Aku, Farhana dan Kak Min saling berpandangan. Kami tesenyum
simpul dan terus berlari ke hadapan. Langkah kami terhenti. Mataku agak
terpukau melihat air sungai yang mengalir tenang. Beberapa orang peserta
sudahpun terjun di dalamnya, meredakan rasa panas bahang mentari.
“Jom, kita ke sana,” ajak Kak Min.
Aku dan Farhana mengekori Kak Min dari belakang.
Kami mencampak beg sandang ke satu
tempat. Spike boot jenama Timberland
yang tersarung di kaki kutanggalkan. Seluar yang kupakai turut kulipat sehingga
ke paras lutut. Begitu juga dengan Farhana dan Kak Min. Setelah menanggalkan
kasut, segera kami ke bongkah batu berhampiran lalu mencelupkan kaki ke dalam
anak sungai tersebut. Aduhai, nikmatnya. Aku menghayun-hayunkan kakiku di dalam
air sejuk yang hanya paras betis itu sambil menikmati kedinginannya.
“Jom, kita mandi jom,” ajak Farhana.
Kak Min turut mengajak dengan memberi isyarat dengan kepalanya. Farhana
kelihatan gambira. Tanpa berfikir panjang terus dia melangkah ke tengah sungai. Seluruh badannya mulai ditenggelami air
“Fulamak, bestnya!” soraknya. Aku dan Kak Min sekadar menepuk dahi sambil
menggeleng, melihat gelagat Farhana itu.
“Jakon! Macam tak pernah mandi
sungai,” getusku kuat. Dia ketawa mendengar kata-kataku.
Aku dan Kak Min berpimpinan tangan
menyusuri air sungai tersebut. Seketika aku mendesis kesakitan tatkala kakiku
yang agak pijar akibat berjalan terlalu lama tadi terpijak batu tajam.
“Kenapa?” soal Kak Min. Aku
menggeleng.
“Tak ada apa. Terpijak batu tajam,” ujarku.
Seluruh tubuh kami sudahpun ditenggelami air sebaik tiba di tengah-tengah
sungai. Kami ketawa riang sambil menyimbah-nyimbah air ke arah satu sama lain.
“Habis basah satu badan,” rungutku.
“Alah, tak apa. Jauh lagi
perjalanan. Nanti dah sampai atas, keringlah,” ujar Kak Min. Aku dan Farhana
memandang Kak Min dengan mata yang membuntang.
“Jauh lagi ke, kak?” soal Farhana.
Kak Min menggeleng.
“Taklah jauh sangat. Tapi semput
jugaklah nak mendaki lepas ni,” jawab Kak Min. Maknanya jauh lagilah perjalanan
kami selepas ini.
“Ni baru fasa keenam. Kita belum
sampai lagi fasa ketujuh,” ujar Kak Min lagi.
“Dahlah tu. Jom kita gerak. Tengok
dia orang pun dah naik,” ajak Kak Min. Kami mengambil semula beg dan kasut
kami. Kami terpaksa membuka kasut untuk melintasi sungai tersebut. Beg sandang
juga terpaksa kami junjung di kepala kerana paras air sungai itu yang dalamnya
mencecah bahu kami. Tiba di seberang, barulah kami menyarung semula kasut kami.
Masih ada lagi yang sedang enak berendam di dalam sungai. Tetapi, mujurlah
Hakimi ada. Sekurang-kurangnya ada seorang pemegang peta panduan di situ.
Nanti, taklah mereka sesat.
Kami meneruskan perjalanan kami. Entah berapa jauh
lagilah agaknya jarak hendak sampai ke Air Terjun Jerangkang. Sesekali aku
menoleh ke belakang. Sungai tadi sudah jauh kami tinggalkan. Namun, bunyi
desiran air terjun serta anak sungai yang mengalir masih lagi kedengaran.
Ketika dalam perjalanan, kelihatan seorang jejaka sedang berjalan seorang diri
di hadapan sana. Aku agak terpana. Dari pandangan belakang, aku sudah dapat
agak siapa gerangannya.
“Eh, tu siapa tu?” soal Kak Min.
“One of my group
member,” jawabku ringkas.
“Macam kenal aja, Ween?” soal Farhana pula.
“Memang kenal pun,” jawabku bersahaja.
“Kenapa dia jalan sorang? Mana kawan-kawan dia yang
lain?” Kak Min pula menyoal. Aku menjungkitkan bahu.
“Ni hah, Kak Min. Budak yang kat sebelah kita ni
kawan dia,” kata Farhana selamba. Aku menyikunya. Dia ketawa.
“Aween kenal ke?” Kak Min menyoal lagi. Aku mengeluh
berat.
“Mestilah kenal. Dah satu group dengan Aween,” jawabku agak keras. Aku menjeling ke arah
Farhana yang tersenyum seperti kerang busuk.
“Ingat, janji kita hari tu,” bisikku agak perlahan,
agar tidak didengari Kak Min.
“Jom kita jalan dengan dia. Kesian dia akak tengok,”
ujar Kak Min tiba-tiba. Bundar mataku memandang Kak Min.
“Buat apa, kak? Tak payahlah. Dia tu lelaki, tahulah
jaga diri. Kita pantau ajalah dia dari belakang ni,” bidasku.
“Kata budak tu lelaki, pandai jaga diri. Alih-alih
nak pantau dari belakang pulak. Apa cerita kau ni?” sampuk Farhana, mahu
mengenakanku. Aku menjeling tajam ke arah Farhana. “Tak apalah, kesian dia
sorang-sorang,” ujar Kak Min lagi.
“Adik! Adik!” jerit Kak Min memanggil jejaka itu.
Dia menoleh ke belakang.
“Tunggu!” pekik Kak Min lagi. Aku memandang Kak Min
dengan pandangan yang kurang senang. Beria-ia sangat dia hendak mengajak Azhari
berjalan sama dengan kami. Yang si Azhari tu, apalagi. Berhentilah dia menunggu
kami apabila Kak Min memanggilnya begitu.
Semakin hampir langkah kami ke arah pemuda itu,
semakin berdegup kencang dadaku ini. Aku membiarkan Kak Min dan Farhana
melajukan langkah mereka. Sementara aku pula sengaja memperlahankan langkah.
“Adik sorang aja, ke? Mana kawan-kawan adik yang
lain?” soal Kak Min ramah kepada Azhari. “Dia orang dah ke depan. Tapi ada
jugak yang masih mandi kat sungai masa saya nak gerak tadi,” jawab Azhari.
Sesekali matanya mengekori ke sebelah Kak Min, memandangku. Aku hanya berlagak
biasa.
“Adik ni orang baru, ke? Akak tak pernah jumpa pun
sebelum ni?”
“Ya, kak. Saya baru lagi.”
“Hmm… budak baru rupanya. Tapi lain kali, janganlah
jalan sorang-sorang. Awak dahlah baru lagi. Karang sesat. Tak apalah, jalan
dengan kami.” Aku membiarkan Kak Min beramah-mesra dengan Azhari.
“Ni, akak kenalkan. Yang ini Khairul Azween. Kita
orang kat sini semua panggil dia Aween,” Kak Min memperkenalkan aku dengan
Azhari. Aku ketawa. Kak Min ni lupakah? Bukankah tadi aku sudah katakan
kepadanya yang aku mengenali jejaka ini?
“Saya kenal dia, kak,” ujar Azhari bersama tawa kecil.
Kak Min menelangkupkan mulutnya dengan tangan.
“Ops, sorry!
Tadi Aween ada beritahu yang dia kenal dengan adik. Akak terlupa,” ucap Kak
Min.
“Haa… yang kat sebelah sana tu….”
“Farhana Hassan, panggil Anne,” Farhana terlebih
dahulu menyampuk sebelum Kak Min menyebut namanya kepada jejaka itu. Aku
tersengih. Dalam hati aku ketawa melihat gelagat mereka.
“Dia ni pun saya dah kenal. Tapi, saya tak tahu nama
dia,” Azhari bersuara lagi. Kak Min mengangguk sambil tersenyum.
“Baguslah kalau adik dah kenal dengan kami. Nama
akak Jasmina. Panggil aja Kak Min. Adik ni pulak, siapa nama?” soal Kak Min.
“Saya, Khairul Azhari. Panggil saya Ari,” ucapnya. Aku
merengus kasar. Kupanjangkan langkahku meninggalkan mereka ke belakang.
*****
AKHIRNYA
kami sampai juga di fasa ketujuh. Kelihatan para peserta yang sudah mendahului
kami bergelimpangan keletihan. Ada yang duduk tersadai di bawah pokok, ada yang
terbaring. Semuanya tampak keletihan.
“Wah! Tahniah, Aween!” sapa Abang
Que lalu menerpa ke arahku. Aku memandangnya dengan dahi berkerut. Seketika aku
memandang di sekeliling. Segala beg-beg pakaian para peserta serta alatan
kelengkapan yang dibawa sudahpun berada di sini. “Tahniah? Tahniah untuk apa,
Abang Que?” soalku hairan.
“You’re
the first lady yang sampai,” ujar Abang Que. Aku memandang ke belakang.
Terkedu aku sebaik kelibat mereka bertiga tidak kelihatan. Mana mereka? Baru
kusedar yang aku telah meninggalkan mereka jauh ke belakang. Kak Nad yang
berada tidak jauh dari kami turut tersenyum.
“Apa pulak Aween yang first? Tu, Kak Nad tu?” Aku memuncungkan
mulut ke arah Kak Nad. Abang Que memandang ke belakang, ke arah Kak Nad.
“Kita orang tak termasuk. Eh, mana
yang lain? Anne dengan Kak Min mana?” soal Abang Que setelah menyedari hanya
aku sahaja peserta perempuan yang ada di situ.
“Entahlah, bang. Tadi Aween jalan sama
dengan dia orang.” Aku memandang ke belakang lagi. Ah, mereka baru sampai.
Rupa-rupanya mereka begitu rancak berborak. Oleh sebab itulah mereka lambat
sampai. Hatiku merengus geram mengenangkan Azhari.
Bunyi deruan air terjun yang kian
jelas kedengaran begitu mendamaikan jiwa. Rasa penat juga menjadi sedikit reda
dengan keindahan alam ciptaan Yang Maha Esa ini.
“Mana tapak khemahnya, Abang Que?”
soalku. Abang Que menundingkan jarinya ke satu arah. Aku memalingkan wajah ke
tempat yang ditunjuknya.
“Kat atas tu?” soalku. Abang Que
mengangguk. Aku mengeluh.
“Aduh, nak kena daki lagilah ni?”
Abang Que mengangguk dengan pertanyaanku itu. Dia ketawa melihat wajahku yang
ceria berubah rupa.
“Alah, tak jauh. Betul-betul kat
atas ni. Tak apalah. Kejap lagi kita naik. Sekarang ni, rehatlah dulu. Nak
tidur dulu pun boleh,” ujar Abang Que.
Aku mengangguk lalu mengambil tempat di bawah
sebatang pokok. Boot kulit yang
tersarung di kaki kutanggalkan. Aku membelek-belek telapak kakiku yang perit.
Padanlah pijar semacam. Rupanya dah menggelembung dimasuki air.
“Kenapa, Ween?” soal Farhana sebaik
mengambil tempat di sebelahku. Aku menggeleng laju.
“Tak ada apa,” jawabku. Seketika Kak
Min turut duduk berdekatan denganku.
“Marilah sini, Ari,” Kak Min
bersuara. Aku menjeling Kak Min dengan tajam. Farhana yang bagaikan mengerti
akan apa yang sedang mengganggu fikiranku mengusap-usap bahuku menyuruh aku
bertenang.
“Kak Min jangan nak melebih, kak.
Nanti Abang Reza marah,” usik Farhana bersama tawa. Kak Min menjeling ke arah
Farhana.
“Apa pulak? Kak Min dengan dia cuma
kawan ajalah. Lagipun akak cuma anggap dia tu macam adik akak sendiri,” bidas
Kak Min.
“Kenapa kaki tu?” soal Azhari sebaik
menghampiri kami. Aku menjeling tajam tanpa menjawab soalannya. Suka sangat
buat aku naik darah. Benci! Hatiku merengus.
“Err… tak apalah, kak. Saya cari
tempat lain,” ujar jejaka itu tiba-tiba. Segera dia bingkas bangun.
“Eh, kenapa pulak tiba-tiba aja,
ni?” soal Kak Min.
“Saya nak cari tempat lain. Tak
manis rasanya duduk berkeliling dengan perempuan,” jawabnya. Dalam hati aku
mencebik. Meluat!
“Laa… kenapa pulak? Tak ada
salahnya,” sangkal Kak Min. Amboi, bukan main lagi Kak Min dengan dia. Mengadu
kat Abang Reza karang, baru tahu! Getus hatiku.
“Tak apalah, kak. Terima kasih.
Lagipun, saya tengok Aween macam tak suka aja saya duduk kat sini,” katanya
memerli. Aku mencebik lagi. Eleh, merajuk konon. Merajuklah, aku tak hairan.
Tak ingin aku nak pujuk. Bagus jugak, taklah dia asyik nak mengacau aku aja.
Kak Min menjeling tajam ke arahku. Tentu dia tidak puas hati dengan sikapku
terhadap Azhari.