Home Novel Cinta Selagi Aku Masih Ada
Selagi Aku Masih Ada
Mya Effa
17/7/2013 01:56:21
111,668
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

SUDAH hampir dua minggu, hubunganku dan Shazzy berjalan lancar seperti biasa. Aku cukup gembira, malah rasa lebih bahagia dengan perubahan sikapnya itu. Dia benar-benar telah berubah. Hubungan persahabatan antara aku dan Azhari juga tidak terjejas. Malah, setiap kali aku hendak keluar berjumpa Azhari, tanpa rasa ragu aku akan memberitahu Shazzy terlebih dahulu. Ternyata dia tidak kisah dengan siapa aku berjumpa kali ini.

“Baguslah, kau dengan Shazzy dah berbaik semula. Kau ni terlalu baik sangatlah, Aween. Kalau si Shazzy tu tak menghargai kasih sayang kau kali ni, hmm… tak tahulah nak kata apa lagi,” tutur Farhana. Aku hanya tersenyum sambil mulutku begitu lahap menjamah nasi kandar yang terhidang di hadapanku.

So, apa cerita pulak kau dengan Azhari?” soalnya. Aku mengangkat sebelah keningku. “Okey, semuanya berjalan dengan begitu baik sekali,” jawabku bersahaja.

“Shaz tahu kau berkawan rapat dengan Azhari?” soalnya lagi. Aku mengangguk.

“Tahu.”

“Habis tu, dia tak marah ke?” Farhana bertanya lagi. Aku menggeleng.

“Kan aku dah cakap, yang dia dah berjanji takkan menghalang aku dari berkawan dengan sesiapa pun,” ujarku.

“Dia tahu tak, pasal cerita kau dengan Azhari dulu?” soalnya lagi. Aku menggeleng laju.

“Tak. Dia tak perlu tahu. Pada aku dan Ari, yang lepas tu biarkan lepas. Kami dah janji nak tutup buku. Tak mahu ungkit lagi cerita lama tu. Dan kami sekarang ni lebih selesa dengan hubungan kami sebagai sahabat baik yang saling memahami,” jawabku penuh jujur. Farhana tersenyum.

That’s good. Tapi, kau betul-betul sure ke yang si Shazzy tu boleh terima semua ni? I don’t think so, dengan semudah ini dia boleh berdiam diri,” Farhana bersuara lagi.

I know it’s hard for him, Anne. Walau macam mana sekalipun, dia harus cuba terima semua ni. Dia tak boleh nak bantah. Kalau tidak, dia akan kehilangan aku. Biarlah dia. InsyaAllah, lama-lama nanti dia okeylah tu,” jawabku yakin.

Farhana terdiam. Seketika dia menjungkitkan bahunya sambil menjamah mi goreng mamaknya.

“Aku tengah keliru sekarang ni, Anne,” luahku tanpa dipinta. Dia memandangku pelik. “Keliru pasal apa pulak ni?” soal Farhana dalam nada mengeluh. Aku menghelakan nafas berat. “Pasal Azhari,” kataku. Semakin berkerut dahi Farhana merenungku.

“Kenapa pulak dengan mamat tu?” Aku mengeluh lagi seraya menggelengkan kepala. “Aku tengok, dia tu macam masih mengharap sangat kat aku. Aku serba salah sekarang ni. Kalau kau nak tahu, dia dengan mak dia cukup baik sangat semasa aku berada di kampungnya dulu. Selama seminggu aku tinggal di rumahnya, banyak perkara yang dah aku selami tentang dirinya. Dia masih setia menunggu aku, Anne. Walhal dia dah tersedia maklum yang aku sudah berteman lelaki,” ceritaku.

Farhana menghentikan suapannya lantas memandang tepat ke anak mataku. Lama dia begitu. Aku pula bagaikan sedang kebingungan.

“Hmm… susah jugak kalau jadi gadis rebutan ni, ya? Nasib baiklah ALLAH tak kurniakan aku rupa yang cantik macam kau ni,” selorohnya. Aku mencebik. Ke situ pulak minah ni! “Tak baik kau cakap macam tu, tau! Tapi entahlah, Anne. Aku pun tak sangka yang aku akan hadapi semua ni. Hairan aku. Dulu, masa aku masih di bangku sekolah, sebelah mata pun orang tak pandang kat aku ni. Kiranya aku ni tak ada taste langsunglah pada dia orang,” luahku lagi.

“Janganlah cakap macam tu, Ween. Sadis aku mendengarnya. Kau sebenarnya tak kekurangan apa-apa, Ween. Pada aku, kau ni dah cukup semuanya. Baik, bijak, rupa pun cantik. Pendek kata kau memiliki pakej yang lengkap. So, apa lagi yang tak cukupnya?” tutur Farhana memujiku. Aku tersenyum malu bila dipuji sebegitu.

“Soalnya sekarang ni Anne, aku shock, kau tahu tak! Dah terkena kejutan. Sebelum ni, aku tak pernah rasa benda-benda macam ni. Tapi semenjak aku tamat alam sekolah, mula belajar kat kolej, universiti, tiba-tiba aja saham aku naik melambung. Kalau kau berada kat tempat aku sekarang ni, apa kau rasa? Satu kejutan budaya, kan?” kuhamburkan lagi apa yang terbuku di hati. Sesungguhnya, Farhana memang seorang kawan yang baik. Selama ini, dialah yang menjadi tempat untuk aku meluahkan segala masalah yang melanda.

“Dulu kau sendiri yang cakap kat aku yang kau tu dulu ‘lone ranger’ masa kat sekolah. Agaknya kawan-kawan sekolah kau dulu tak sedar keistimewaan yang ada pada kau sebab kau tu low profile sangat. Tak menonjol. Mungkin kelebihan kau tu lebih menyerlah bila kau dah mula melanjutkan pengajian kau ke peringkat yang lebih tinggi sehinggalah sekarang. Nah, tengoklah sekarang ni. Masih ramai lagi yang terkejar-kejarkan kau. Biasalah tu, Aween. Manusia, ALLAH cipta dengan pelbagai ragam dan citarasa.” Begitu panjang sekali Farhana menasihatiku. Aku ketawa kecil.

“Tapi aku keciklah, Anne. Macam kanak-kanak ribena. Macam manalah orang boleh pandang aku?” aku merendah diri.

“Hei, kecik-kecik pun, tapi cute. Badan pun solid. Sedap! Nikmat laki kau esok,” sendanya nakal. Aku membuntangkan mata.

“Kurang asamnya kau!” bentakku perlahan. Dia ketawa.

“Senang cerita, kau lupakan si Shazzy dengan Azhari. Beri peluang pada mamat-mamat yang masih mengharapkan kau masa kat U dulu,” ujar Farhana tiba-tiba. Aku menjengkilkan mataku sebaik mendengar kelancangan mulutnya itu. Namun aku tahu, dia hanya berniat untuk bergurau.

“Amboi, senangnya cakap!” marahku. Dia ketawa lagi.

Memang tidak dapat kunafikan, baik ketika di kolej, mahupun di universiti dulu, aku ini boleh diketegorikan sebagai ‘gadis buruan’ pelajar-pelajar lelaki. Bukan aku hendak membangga diri, tetapi itulah hakikatnya. Sesungguhnya, aku agak terkejut dengan situasi yang melanda secara tiba-tiba ini. Yalah, bayangkan sewaktu di bangku sekolah dulu, tak pernah ada orang yang datang mendekati aku. Sampaikan aku rasa cemburu yang teramat melihat rakan-rakanku yang lain yang sudah memiliki teman lelaki. Sedangkan aku masih lagi keseorangan.

Dan sebaik aku menjejakkan kaki ke menara gading, ramai pula jejaka yang ingin mendekatiku. Malah, ada juga yang cuba menagih cinta dariku. Sampai pada satu tahap, aku berasa takut untuk menjawab panggilan telefon saban hari kerana sering diganggu oleh panggilan-panggilan misteri. Ketika itu aku masih lagi berada di peringkat diploma dan baru sahaja berpindah dari kolej swasta ke universiti awam. Namun aku bersyukur kerana itu semua tidak menjejaskan langsung prestasiku dalam bidang akedemik. Dan keadaan telah menjadi sedikit reda apabila aku mulai menjalinkan hubungan cinta dengan Shazzy sewaktu aku baru hendak memulakan pengajianku di peringkat ijazah.

“Terpulanglah, Ween. Kau kan bijak? Pandai-pandai kaulah buat keputusan sendiri. Ini masa depan kau. Kau yang harus tentukan sendiri. Kita ni dah cukup dewasa, dah boleh berfikir baik dan buruknya sesuatu perkara tu,” nasihatnya lagi. Aku mengagguk lemah. Huh, cakap memanglah senang!

“Sebenarnya Aween, ada sesuatu yang aku nak beritahu tentang apa yang aku perhatikan selama ni. Tapi, kau jangan bersangka buruk pulak. Aku cuma nak mengingatkan kau aja,” kata Farhana tiba-tiba. Aku memandangnya dengan pandangan yang berkerut. Apa maksudnya itu?

“Apa bendanya?” soalku.

“Aku tengok, si Shazzy tu dah lain sangat sekarang ni. Macam tengah hadapi masalah besar. Kau tak perasan ke?” soal Farhana. Aku mengerutkan dahi. Keliru. Lantas kugelengkan kepala.

“Masalah besar?” soalku kembali. Farhana mengangguk.

“Aku dengan Kimi ada ke gymnya hari tu. Masa tu, kau masih bercuti. Aku tengok dia lain benar. Dia pandang kita orang pun semacam aja,” cerita Farhana. Aku mengerutkan dahi lagi.

“Kau ke sana dengan Kimi? Buat apa?” soalku kehairanan. Sejak bila pulak Farhana dah mula ‘kamcing’ dengan Hakimi?

“Saja, nak exercise.”

“Kau dengan Kimi ni ada apa-apa ke?” soalku terus tanpa berselindung. Farhana menggeleng bersama kerutan di dahi. Wajahnya tampak berbeza. Ada rona kemerahan, seperti menahan malu. Ini mesti ada sesuatu yang cuba diselindung dari pengetahuanku. Seketika bibirku turut mengukirkan senyuman meleret.

“Haa… ni mesti ada apa-apa yang kau orang nak sorokkan dari aku ni,” ujarku cuba memerangkap.

“Tak ada apa-apalah!” tegasnya. Namun dia kelihatan agak menggelabah. Ah, aku tak percaya. Lantas kucapai tangannya lalu kugenggam kuat, tak mahu lepas.

“Baik kau cakap. Apa hubungan kau dengan Kimi?” ugutku. Dia merentap tangannya. “Weh, janganlah picit tangan aku macam ni, sakitlah!” jerkahnya.

“Cakaplah Anne, apa hubungan kau dengan Kimi?” soalku lagi ingin tahu.

Nothing!

“Tipu! Aku kenal kau, Anne. Kau tak pandai menipu. Come on, Anne… tell me, please…” rayuku.

“Hei, sabarlah. Relax. Cool, beb! Okeylah, aku beritahu. Actually, aku couple dengan Kimi. Puas?” dia mulai membuat pengakuan. Melopong mulutku memandangnya.

“Kau biar betul, Anne. Since when?” soalku lagi.

“Baru aja lagi, tak sampai sebulan pun.”

“Ooo… diam-diam kau orang pasang ya? Tak nak beritahu aku pun.” Aku mulai menarik muncung.

“Bukan aku tak nak beritahu. Tapi, masa tu kan kau tengah stress dengan kehilangan Shazzy? So, Kimi pesan supaya rahsiakan dulu dari pengetahuan kau. Dia tak mahu kau lebih terasa. Yalah, masa tu kan kau tengah bermasalah. Dia takut kau lagi pressure,” terang Farhana satu-persatu.

“Habis tu, macam mana pulak dengan Abang Dino?” soalku.

Hello, Abang Dino tu cuma anggap aku ni sebagai adik dia ajalah. Kau orang yang melebih-lebih lagakan aku dengan dia. Padahal kita orang tak ada apapun!” sangkal Farhana. Aku tersenyum. Dalam hati aku turut tumpang bahagia melihat sahabat baikku ini telah bertemu dengan jejaka idamannya.

“Hmm… baguslah, Anne. Kimi pun baik, caring, rupa pun ada. Aku tumpang gembira. Tahniah,” ucapku.

Thanks.

Aku masih ingat, bagaimana sikap Hakimi ketika berada di Air Terjun Jerangkang. Dia bukan sahaja baik, malah terlalu mengambil berat dan bertanggungjawab. Sememangnya Farhana beruntung memiliki jejaka seperti Hakimi.

“Memandangkan kau dengan Shazzy dah berbaik semula sekarang ni, cubalah kau beri perhatian sepenuhnya kat dia. Dalam diam-diam, kau cuba selami apa yang terbuku kat hati dia tu. Lepas tu, try tanya apa masalah dia. Itu baru dinamakan girlfriend mithali,” ujar Farhana pula disertakan dengan gurauan. Kami ketawa serentak.

“InsyaAllah, aku akan cuba. Buat masa ni, memang aku nak lakukan yang terbaik buatnya. Biar dia rasa betapa bertuahnya mendapat teman wanita mithali macam aku ni,” kataku pula, perasan sendiri. Dan sekali lagi tawa kami meletus.

*****

SELEPAS makan tengahari dengan Farhana, aku terus ke Mellenium Fitness Centre, tetapi ketika itu Shazzy tidak ada di pejabatnya kerana ada urusan di luar daerah. Entah mengapa, hatiku bagaikan dapat merasakan sesuatu yang kurang enak. Kata-kata Farhana sebentar tadi benar-benar membuatkan fikiranku agak terganggu. Aku menghampiri Fariz yang sedang kusyuk membaca komik Naruto di kaunter. Ketika itu, tiada seorang pun pelanggan yang kelihatan di sekitar gym itu.

“Eh, err… Kak Azween.” Dia tampak terkejut dengan kehadiranku. Aku tersenyum melihat dia tak tentu arah sebegitu.

“Sibuk?” sengaja aku menyoalnya. Sedangkan aku tahu dia tidak ada kerja. Dia menggeleng seraya menyimpan komiknya itu.

“Abang Shaz tak ada, kak,” ucapnya. Aku mengangguk.

“Saya tahu, Fariz. Saya datang ni nak jumpa dengan awak, bukan dengan Abang Shaz,” ujarku.

“Kenapa, kak? Ada apa-apa yang boleh saya tolong?” soalnya lembut. Aku tersenyum. “Saya nak tanya sesuatu,” ujarku lagi. Dia membeliakkan matanya.

“Apa dia, kak?” soalnya.

“Tapi, boleh awak janji yang awak takkan beritahu sesiapa? Lebih-lebih lagi Abang Shaz,” tegasku. Dalam keadaan teragak-agak, dia mengangguk kecil.

“Janji dengan saya? Ini rahsia antara kita aja, tau!” tegasku lagi. Kali ini dia mengangguk laju.

“Janji,” ujarnya. Aku tersenyum lega.

Aku mengetapkan bibir, menahan emosiku yang bergelora sebelum mengutarakan soalan yang terpendam sejak dari tadi.

“Semenjak Abang Shaz balik dari Jakarta, macam mana keadaan dirinya?” soalku terus. Anak muda itu mengerutkan dahi.

“Maksud akak?”

“Maksud akak, ada tak awak nampak sesuatu yang tak kena dengan bos awak tu? Dia nampak lain atau biasa aja macam selalu?” Fariz terdiam seketika lalu menggeleng perlahan. “Dia nampak biasa aja. Cuma sesekali bila fikirannya terganggu, dia akan duduk termenung. Kalau tak di biliknya, dia akan lepak kat bar sambil minum,” ujarnya. Aku masih tidak puas hati dengan penerangan anak muda itu. Matanya yang bundar itu kurenung sedalam-dalamnya, mencari keikhlasan di sebalik anak mata itu.

“Tahu tak, apa yang membuatkan fikirannya terganggu?” soalku lagi. Dia menghelakan nafas berat.

“Saya tak pasti kak, tapi pada pemikiran saya tentu dia teringat kat akak. Sebab tu dia macam tu,” jawabnya lagi.

“Betul?” soalku lagi, ingin mendapatkan jawapan yang pasti. Dia mengangguk perlahan. “Awak pasti yang dia tak ada masalah lain?” soalku buat kesekian kalinya. Dia menjungkitkan bahu.

“Saya tak pasti. Kenapa akak tak tanya dia sendiri?” soal Fariz kembali kepadaku. Aku menggelengkan kepala.

“Takut nanti dia tak mahu beritahu saya. Saya tak mahu dia merahsiakan apa-apa dari pengetahuan saya,” jawabku berterus-terang. Dia mengangguk.

“Tak apalah, Fariz. Terima kasih,” ucapku dan terus berlalu pergi.

Namun sebaik kakiku mulai hendak melangkah, anak muda itu memanggilku semula. “Err… Kak Azween!” Segera kutoleh semula memandangnya.

“Ya, ada apa lagi, Fariz?” soalku. Raut wajahnya agak berlainan sekali ketika itu. Tampak seperti rasa bersalah. Aku dapat mengagak, yang dia ingin memberitahuku sesuatu. Tetapi mulutnya seakan berat untuk berkata-kata.

“Err… tak, tak ada apa-apa. Cuma saya nak beritahu akak yang pernah sekali seorang perempuan datang dan naik ke atas bertemu abang. Saya tak kenal siapa perempuan tu dan tak tahu apa hubungannya dengan abang,” katanya agak terketar-ketar. Aku mengerutkan dahi. Siapa pulak tu? Adakah dia ke tingkat atas untuk berurusan kerja dengan Shazzy?

“Macam mana rupanya, Fariz?” soalku berkobar-kobar. Hatiku berdetak hebat, begitu kencang sekali.

“Rupa dia, seakan-akan India macam tulah, berkulit cerah. Tak tahulah saya kalau itu adik perempuan abang atau kakaknya. Saya tak berani nak buat sebarang andaian,” tuturnya perlahan. Fikiranku mulai ligat memikirkan siapakah gerangan gadis yang dimaksudkannya itu. Kak Lyn ke? Mungkin juga kerana Shazzy tak ada adik perempuan. Aku musykil, kerana selama ini tak pernah aku terserempak dengan Kak Lyn di sini. Namun tak mustahil Kak Lyn ke sini untuk bertemu Shazzy, bukan? Aku bermonolog sendiri di dalam hati.

“Hmm… mungkin jugak kakak dia. Tak apalah, Riz. Terima kasih,” ucapku.

“Tapi, akak jangan beritahu abang yang saya cakapkan hal ni. Nanti dia marahkan saya pulak,” pesan Fariz. Aku tersenyum seraya mengangguk.

Don’t worry. Saya takkan beritahu dia apa-apa. Awak pun, jangan beritahu dia yang saya bertanyakan hal ni, tau,” pesanku pula. Dia mengangguk laju. Aku tersenyum ke arahnya dan meneruskan langkahku keluar dari situ.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mya Effa