Home Novel Cinta Selagi Aku Masih Ada
Selagi Aku Masih Ada
Mya Effa
17/7/2013 01:56:21
111,671
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

SUATU pagi, aku menerima panggilan telefon dari seseorang. Sungguh aku tidak menyangka yang aku akan menerima panggilan darinya di saat aku sedang memerlukan seseorang di kala ini.

“Helo, Aween. Ari ni,” ucap suara itu. Aku menghelakan nafas berat.

“Hai, Ari. Apa khabar? Ni apa mimpi telefon aku ni?” soalku agak dingin. Sengaja hendak jual mahal dengannya.

“Tak ada apa sebenarnya. Entah tiba-tiba rasa rindu pulak kat kau. Tu yang call tu,” jawabnya. Aku mencebirkan bibir. Rindu konon!

“Yakah rindu? Atau mulut aja cakap rindukan aku tapi dalam hati rindukan orang lain?” soalku sinis.

“Khairul Azween, pleaselah. Tolong jangan buat Ari macam ni. Please, Aween. Kita tetap kawan macam dulu. Okey, Ari takkan ungkit lagi pasal hal lama tu. Ari janji,” rayunya. Satu keluhan terbit di bibirku. Seketika aku menelan air liur.

“Okeylah, Whatever! So, what’s up?” soalku mengubah topik.

“Kita keluar lunch sama hari ni?” Aku terkesima dengan pelawaannya yang secara tiba-tiba itu. “Kenapa tiba-tiba aja ni?” soalku agak hairan.

“Saja nak jumpa Aween. Sejak pulang dari camping hari tu, terus tak dengar khabar berita dari Aween. Kenapa, dah ada temujanji dengan Shazzy?” Ah, dia sudah pandai menyebut nama itu. Terasa diri ini disindir.

“Hmm… tak adalah. Pukul berapa nak jumpa ni? Kat mana?” soalku bertubi-tubi.

“Kalau kita jumpa di Pertama Complex, boleh tak?” soalnya. Aku mengerutkan dahi, memikirkan tempat yang dicadangkannya itu. Jauh dari tempat aku ni. Hatiku berbisik. Lama aku terdiam.

“Ada masalah ke?” soalnya menyentakkanku. Aku mengeluh berat.

“Jauhlah dari tempat aku ni,” ujarku.

“Tapi, rasanya boleh kot, kalau aku keluar awal,” akhirnya aku memberi persetujuan. Kedengaran dia menarik nafas lega di hujung sana.

“Ni, nak Ari datang jemput atau Aween nak pergi sendiri?” soalnya lagi. Aku terdiam. Nak dia jemput atau pergi sendiri? Kalau dia jemput, jimat sikit duit aku. Tapi berisiko jugak kalau buatnya Shazzy pasang spy! Mamat tu bukannya boleh percaya. Dalam dia menyembunyikan diri, boleh jadi dia pasang ‘mata-mata’ untuk mengetahui segala tindak-tandukku. Bukankah dia seorang yang mudah berprasangka buruk dan sanggup melakukan apa saja? Nak selamat, lebih baik pergi sendiri.

“Hmm… tak apalah, aku pergi sendiri,” putusku.

“Okeylah. Kalau macam tu, kita jumpa di CT Selera,” ujarnya. Aku hanya bersetuju dengan cadangannya itu. Ternyata dia bagaikan sudah merancang terlebih dahulu sebelum mempelawaku. Sebaik talian kumatikan, terus aku ke bilik untuk bersiap.

Tiba di hadapan Pertama Complex, aku menapak ke CT Selera yang terletak di tepi kompleks membeli-belah itu. Aku memandang di sekitar gerai itu. Dan akhirnya aku ternampak kelibat Azhari yang sudahpun menungguku di meja yang terletak di luar, berhampiran jalanraya. Pantas aku melangkah menghampirinya.

“Assalamualaikum,” sapaku. Dia mendongak seraya tersenyum ceria. Terserlah lesung pipit di kedua belah pipinya itu. Dan aku sedikit terpana melihat kacamata yang tersangkut di wajahnya itu, mengingatkanku kembali akan kenangan silam antara kami.

“Waalaikumussalam,” jawabnya lembut. Aku tersenyum seraya mengambil tempat di hadapannya.

“Dah lama sampai?” soalku ramah. Dia menggeleng. Ah, biasalah. Dari dulu dia memang macam itu. Bila kutanya begitu, dia akan menggeleng. Sekali lagi kenangan silam itu bertandang tanpa dipinta.

Tidak lama kemudian, datang seorang gadis bertudung untuk mengambil pesanan kami. “Teh ais satu, teh limau ais satu,” ujarnya kepada gadis itu.

“Makan?”

“Saya nak nasi goreng USA. Kau nak makan apa, Aween?” soalnya kepadaku.

“Nasi goreng kampung,” jawabku. Pelayan wanita itu mengangguk seraya mencatat pesanan kami ke atas sehelai memo.

“Itu saja?” soalnya. Kami mengangguk.

“Ya, itu saja.” Seketika wanita itu berlalu pergi membawa pesanan kami. Dia merenungku tajam, membuatkan aku tidak keruan.

Speck baru ke?” soalku, ingin meredakan rasa tak tentu arahku. Dia menggeleng.

“Taklah,” jawabnya ringkas.

“Kau orderkan aku air apa tadi?” soalku kepadanya. Kerana tadi, belum pun sempat aku memesan minumanku, dia terlebih dahulu memesannya untukku.

“Bukankah air teh ais yang menjadi favourite kau dulu?” soalnya. Aku tergamam. Dia masih ingat lagi segala-gala tentang diriku rupanya.

“Itu dulu. Tapi sekarang, tak lagi. Bukankah aku dah banyak berubah?” kataku berbaur sinis. Namun sesungguhnya, minuman itu masih lagi menjadi kegemaranku sehingga kini. Itu memang tak dapat kunafikan.

“Hmm… mungkin kau dah banyak berubah. Tak tahu pulak aku, selain dari gaya kau, citarasa kau pada benda lain pun dah berubah sama. Sorrylah, aku masih lagi diselubungi dengan kenangan lama tu,” ujarnya lemah.

Kami berbual panjang. Namun topik perbualan kami tak lari dari tentang hal kerja dan juga tentang kelab. Kami langsung tidak menyentuh tentang hal-hal lama mahupun hal-hal peribadi.

“Syam apa khabar?” soalku. Azhari mengangguk.

“Alhamdulillah, sihat walafiat. Kenapa, rindu ke?” usiknya. Aku mencebik.

“Huh, tak kuasa aku! Nak buat apa?” sangkalku.

“Dengar cerita, kau orang berdua ni nak buka business sendiri,” ujarku. Dia ketawa kecil. “Cadang-cadangnya gitulah. Buat masa ni, aku kerja bawah syarikat bapak dia,” tuturnya panjang. Aku mengangguk faham.

“Kau pulak, dengar cerita kerja bawah ‘bakal suami’ kau,” ujarnya. Aduh, terasa betapa tajam lidahnya berbicara. Bisa menusuk ke jantung. Kalau sebelum ni, mungkin aku akan tersenyum bahagia apabila perkataan ‘bakal suami’ itu disebut. Namun kini, terasa pedih ulu jantung ini tatkala mendengarnya. Aku tersenyum hambar.

Makanan yang dipesan tiba tidak lama kemudian. Sepi antara kami. Tiada sebarang bicara selepas itu. Dengan perlahan aku menyuap nasi goreng kampung ke mulut. Terasa kurang nikmatnya ketika itu. Aku langsung tidak memandang ke depan, sengaja melekakan diri. Dan suapanku terhenti sebaik kudongakkan kepala tanpa sengaja. Begitu tajam dia merenungku. Aku menjadi tidak tentu arah.

“Kau okey?” soalnya tiba-tiba. Aku terkesima. Mata kami saling bertaut. Ah, panahan mata itu, mengembalikan semula saat indah antara kami dulu. Cukup menikam hati ini. Aku menjadi kalut seketika. Pantas aku menganggukkan kepala. Dia ketawa sinis. Aku memandangnya pelik.

“Kenapa kau ketawa?” soalku. Namun dia masih seperti tadi, ketawa dengan penuh sinis. “Kau tak pandai menipu, Aween. Dengan melihat mata kau tu, jelas menunjukkan yang kau dilanda masalah sekarang ni,” tegasnya. Ah, semakin tak keruan aku dibuatnya. Segera aku melarikan pandanganku ke arah lain. Hairan aku, macam mana dengan begitu mudah dia boleh tahu? Takkan Farhana ceritakan kepadanya? Tak munasabah!

Ah, baru aku teringat akan kebolehannya dalam membaca masalah orang. Sesungguhnya aku sudah tidak dapat lari lagi darinya. Segalanya bagaikan terbongkar, seperti yang pernah kualami sewaktu kecewa dengan Hafsyam dulu. Dan sekali lagi, kenangan lama itu menggamit kembali. Aku mengeluh sendiri. Kenapalah terlalu banyak perkara yang berlaku hari ini seakan sama dengan peristiwa lama itu? Ya, peristiwa di hari dia melamarku sebagai kekasihnya dulu.

*****

“AWEEN, maaf sekali lagi kalau aku katakan yang aku benar-benar nak bantu kau,” ucapnya pada malam di mana kami keluar bersama buat pertama kali. Ketika itu, kami sedang duduk berdua di tangga berhadapan Kompleks Pernas Sogo. Aku keliru dengan kata-katanya itu. Apa kena dengan mamat ni? Sejak kami duduk di sini tadi, kata-katanya banyak yang berupa tersirat.

“Bantu? Bantu apa?” soalku. Kali ini, panahan matanya begitu tajam menikam mataku. Aku menjadi kalut.

“Aween, aku rasa sangkaanku selama ni memang benar sama sekali. Kau berubah laku kerana kecewa dengan Hafsyam, bukan?” dia mengasakku dengan persoalan berkenaan Hafsyam. Argh, tensionnya aku! Aku merengus keras.

“Ari, dah berapa kali aku cakap, masalah aku ni tak ada kena-mengena langsung dengan Syam atau sesiapapun. Kau tak faham ke?” aku bersuara keras. Dia menggeleng laju. Seketika dia tersenyum sinis.

Look, Khairul Azween. Mulut kau boleh menipu, tetapi mata kau tak mampu nak menipu. Dari mata kau, aku dah dapat baca segala-galanya. Benar bukan, jangkaanku selama ni?” Sekali lagi dia mendugaku dengan persoalan itu. Di kala itu, terasa dada ini berdegup kencang. Seluruh tubuhku menggigil ketakutan. Terasa darah di mukaku kian kering dan dingin. Tentu pucat lesi mukaku ketika itu. Segala-galanya bagaikan sudah terbongkar. Azhari sudah dapat menghidu akan apa yang terbuku di hatiku ini. Ya ALLAH, bantulah hambaMu ini. Amin.

Tanpa kuduga, Azhari memaut kedua belah bahuku. Aku terpana dengan tindakannya yang agak drastik itu. Tubuhku dipalingkan mengadapnya. Mata kami bertentangan. Aku bagaikan terpukau dengan panahan mata di sebalik bingkai kaca itu.

“Aween, berterus-teranglah. Niatku ikhlas nak bantu kau. Aku janji akan merahsiakan perkara ini dari pengetahuan orang lain. Hanya kita berdua saja yang tahu hal ni. Aku janji, Aween,” ucapnya perlahan. Aku menundukkan wajah, melarikan pandanganku. Lama aku begitu. Terasa bibirku menggeletar untuk mengiakan kenyataan itu. Seketika kemudian, aku mengangguk perlahan, mengakui kebenarannya. Memandangkan mulutku yang terasa amat berat berkata ‘ya’ kepadanya. Di kala itu juga, terasa ada air hangat yang mengalir menerjuni pipiku. Buat pertama kalinya aku menangis di hadapan seorang lelaki hanya kerana seorang lelaki juga.

Aku mulai tersedu. Spontan aku mengangkat muka menentang wajahnya semula. Airmata yang kian lebat mencurah ke pipi kuseka. Kurenung wajah tenang di hadapanku ini. Dia tersenyum nipis. Ah! Entah mengapa senyuman itu kurasakan begitu menyamankan hatiku yang gundah ini. Bisa membuatkan aku tenang dan damai.

“Memang tak salah sangkaanku selama ni rupanya,” ucapnya buat kesekian kali.

“Kau sukakan Hafsyam?” soalnya seketika kemudian. Aku masih memandang wajahnya yang redup itu. Entah, aku sendiri tidak dapat menjawabnya. Malah, aku sendiri tidak tahu apakah perasaanku yang sebenarnya terhadap Hafsyam selama ini. Aku menggeleng. “Aku tak tahu, Ari. Aku tak pasti dengan perasaanku sendiri,” kataku jujur. Sekali lagi segaris senyuman terukir di bibirnya. Aduh! Bisa gugur jantungku ini.

“Aku tahu. Kau sebenarnya tak ada perasaan langsung kat Hafsyam, bukan? Kau cuma rasa asyik kerana Hafsyam selalu memberikan perhatiannya terhadap kau,” ujarnya. Sungguh aku kagum dengan kebolehan jejaka ini dalam menganalisis perasaan orang lain. Persis seorang pakar psikologi.

“Aku nak tanya kau, apa istimewanya Hafsyam pada pandangan kau?” soalnya lagi. Aku terfikir sejenak. Apa istimewanya Hafsyam pada pandanganku? Aku menyoal hatiku sendiri sebelum memberi jawapan kepada Azhari. Senyumannya? Tidak! Matanya yang kuyu itu? Hmm… mungkin, tapi pada pandanganku, matanya itu biasa sahaja. Mungkin ada daya tarikan, tapi sedikit sahaja. Dan sekali lagi aku tidak dapat menjawabnya. Entah mengapa aku rasakan yang Hafsyam itu rupa-rupanya tidak ada daya penarik pada pandanganku. Aku menggeleng lagi.

“Aku tak tahu,” kataku lagi.

“Itu tandanya, kau tak cintakan dia. Kau cuma kecewa kerana perhatiannya sudah beralih arah kepada orang lain. Kau kecewa kerana kehilangan perhatian darinya, bukannya kau kecewa kerana kehilangan cintanya,” tegasnya lagi. Di kala itu juga, serasakan diriku ini bagaikan baru terjaga dari lena yang panjang. Lelaki ini telah mengejutkan aku dari mimpi yang aku sendiri tak pasti bilakah kesudahannya. Macam kisah dongeng ‘Sleeping Beauty’ pula. Akhirnya aku tersenyum. Terasa lega dan ringan fikiranku ini.

Aku merenung wajah jejaka di hadapanku buat kesekian kalinya. Entah bagaimana, aku mulai terperasan akan keindahan di sebalik cermin mata itu. Spontan tanganku menanggalkan cermin mata berbingkai hitam itu dari wajahnya. Dia pula seakan merelakan tindakanku itu. Subhanallah… kacaknya dia! Macam hero bintang filem Thailand. Di saat itu juga, aku bagai dapat melihat akan keistimewaan jejaka ini. Daya penariknya cukup kuat. Gayanya yang bersahaja, rambutnya yang dipotong lurus dan terbelah tengah, kulitnya yang agak cerah kekuningan, matanya yang sedikit sepet tetapi redup, serta sepasang lesung pipit yang turut menghiasi kedua belah pipinya. Cukup sempurna pada pandanganku. Ya ALLAH, macam mana aku boleh tidak terperasan akan keistimewaan yang ada pada lelaki ini? Sedangkan sudah hampir beberapa bulan lamanya aku mengenali dirinya.

Kutatap wajah tenang itu lagi. Aku ingin berkata sesuatu, tetapi lidahku seakan kelu. Terasa suaraku turut tersekat di celah kerongkong.

“Kau nak kata sesuatu?” soalnya perlahan.

“Ari, kalau kau tanya aku, di manakah letaknya daya penarik Hafsyam, mungkin aku tidak tahu akan jawapannya. Tetapi, kalau kau tanya aku apakah istimewanya diri kau, mungkin aku dapat menjawabnya. Kerana aku sudah dapat melihat keistimewaan kau sekarang ni,” ucapku perlahan. Dia terpaku seketika. Ah, malu aku dibuatnya.

“Apa istimewanya aku ni?” soalnya seakan berbisik.

“Kau… kau kacak, bijak dan sempurna pada pandanganku,” ucapku jujur. Namun, aku dapat rasakan ketebalan mukaku di saat itu. Terasa darah hangat mulai menyerbu ke wajahku ketika itu.

Azhari ketawa kecil. Sekali lagi tindakan beraninya membuatkan seluruh urat nadiku terhenti. Kali ini, kedua belah tangannya memegang kedua belah pipiku pula. Wajahku dihala ke atas, menentang wajahnya. Seketika pipiku diusapnya lembut.

“Kau jugak cantik dan sempurna pada pandanganku, Khairul Azween. Alangkah bertuahnya aku kiranya kau menjadi sebahagian dari diri aku,” bisiknya penuh syahdu. Aku terpaku, keliru dengan tindakan dan kata-katannya itu. Apa maksud kau, Khairul Azhari? Soalan itu hanya mampu kuluahkan di dalam hatiku.

“Azween, izinkan aku menjadi sebahagian dari hidup kau,” bisiknya lagi. Aku masih lagi terkaku. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Adakah ini satu lamaran untukku menjadi kekasihnya?

“Izinkan aku menyayangi kau,” ucapnya lagi. Aku memejamkan mataku rapat, menikmati belaian tangan sasanya di wajahku. Pipiku dielusnya halus. Rambutku yang terjuntai menutupi dahi diselaknya lalu diselitkan ke belakang telingaku. Seketika aku membuka mataku semula. Dan wajah itu masih berada di hadapanku. Malah, kedua belah telapak tangannya masih lagi setia memaut kejap wajahku.

“Ya, aku izinkan. Aku izinkan kau menjadi sebahagian dari hidupku ini,” ucapku romantis. Sebelah telapak tangannya kucapai lalu kutekapkan ke bibirku.

*****

“AWEEN!” Aku tersentak apabila dia memetik jarinya di hadapan wajahku. Pantas kualihkan pandanganku ke hadapan, menentang matanya. Dia tersenyum. Ah, sekali lagi kenangan lama itu hadir. Senyuman itu. Entah mengapa rasa benci yang kupupuk terhadapnya selama ini menjadi pudar sedikit demi sedikit. Senyuman itu telah membuatkan hatiku tenang. Aku bungkam. Kenapa ini semua boleh berlaku?

“Kenapa? Tak percaya dengan apa yang dah berlaku ni? Rasa diri kau kembali semula ke zaman kita dulu? Kau lupa akan kebolehan aku untuk baca hati dan perasaan orang?” katanya seraya ketawa kecil. Aku hanya membungkamkan diri. Tak tahu nak kata apa lagi. Sememangnya tekaan itu tepat sama sekali. Seketika aku menyedut perlahan minumanku.

“Kau ada masalah ke?” soalnya lagi. Aku hanya terdiam tanpa reaksi. Tak tahu sama ada mahu mengangguk atau menggeleng. Sebolehnya aku tidak mahu dia tahu krisis yang melanda hubunganku dengan Shazzy. Dia mengangguk tiba-tiba. Aku tak mengerti, apa maksud anggukannya itu.

“Tak apa, Aween. Aku faham. Tapi, kalau kau perlukan bantuan apa-apa, beritahu aku. Janganlah segan-segan. Anggap aja aku ni sebagai kawan yang boleh membantu,” ucapnya. Aku ketawa kecil. Ah, kenapalah segala yang berlaku ini seakan mengimbas kembali akan peristiwa lama? Cuma bezanya, tempat yang kami duduki ini bukanlah di hadapan Sogo.

Nasi goreng yang masih berbaki kuhabiskan. “Minggu depan, aku nak balik Kedah,” katanya tiba-tiba. Entah kenapa dia memberitahuku tentang itu, aku sendiri tak pasti. Aku meneguk minumanku sambil menjelingnya.

“Dah lama rasanya tak balik, jenguk ibu,” ujarnya. Aku mengangguk.

“Baguslah kalau macam tu. Cubalah jaga hati ibu tu sebaik mungkin selagi dia masih ada ni. Kalau dia dah tak ada esok, sekurang-kurangnya kita taklah rasa menyesal, sebab kita dah banyak berbakti kepadanya semasa hayat dia,” kataku panjang. Begitu mendalam maksudku. Dan tak semena-mena, ingatanku terkenangkan arwah mama. Sesungguhnya, dia telah pergi sewaktu usiaku terlalu muda. Aku kesal kerana tidak berkesempatan untuk mencurahkan bakti kepada mamaku. Namun, aku tak pernah kesal dengan takdir Ilahi.

Azhari memandangku sayu. Mungkin terharu mendengar nasihatku itu. Nasihat dari seorang sahabat yang sudah kematian ibu.

“Kalau boleh, aku nak ajak kau sekali. Aku nak kenalkan kau dengan keluarga aku. Itupun kalau kau tak keberatan,” ucapnya. Aku kaget. Apa mimpinya hendak memperkenalkan aku kepada keluarganya?

“Kenapa tiba-tiba aja nak ajak aku balik Kedah?” soalku kehairanan. Dia tersenyum. “Saja nak kenalkan sahabat lama aku ni dengan family. Lagipun, dulu kau tak sempat nak berkenalan dengan dia orang, kan?” Pinggan yang sudah licin kutolak ke tepi. Aku mencapai minumanku lalu menyedutnya perlahan.

“Perlu ke semua tu?” soalku berbasa-basi. Dia mengeluh berat. Air teh limau aisnya turut disedut perlahan.

“Tak adalah perlu sangat. Tapi, aku berharap sangat kau kenal dengan ibu,” jawabnya. Aku mengalihkan pandanganku ke arah lain.

“Nanti, apa pulak kata ibu kau. Karang tak pasal-pasal, dia pasang angan-angan pulak. Sedangkan antara kita cuma kawan aja,” aku memberi alasan.

“Aween, Ari nak kenalkan Aween dengan ibu hanya sebagai kawan aja, bukan nak kahwin,” katanya. Aku termalu sendiri. Itulah, padan muka aku. Mulut tu lancang sangat. Kan dah kena. Aku mengutuk diriku sendiri. Aku tersengih. Malu. Dia turut tersenyum melihat aku tersipu-sipu macam itu.

“Tapi, aku banyak kerja,” aku memberi alasan lagi.

“Kalau tak nak, cakap ajalah tak nak. Tak payah nak reka seribu satu alasan,” sindirnya. Aku mengeluh berat.

“Hmm… tengoklah macam mana nanti. Bagi aku masa untuk fikir. Kalau aku nak ikut nanti, aku beritahu kau. Tadi tu, nombor telefon kau ke?” akhirnya aku memberi kata putus. Dia mengangguk tanda setuju.

“Ya, tu nombor baru aku. Call tau,” pesannya. Aku mengangguk lagi.

*****

SUASANA petang yang mendamaikan di Taman Tasik Shah Alam. Angin petang yang tiup sepoi-sepoi bahasa begitu menyamankan. Sesekali hatiku cukup terhibur melihat kanak-kanak yang berlari-lari riang sambil diperhatikan oleh ibubapa masing-masing. Pandanganku turut beralih ke permukaan tasik yang tenang.

“Kenapa Shaz sanggup buat kau macam ni? Sebulan menghilang tanpa berita!” ujar Farhana. Aku ketawa kecil. Kedengaran begitu hambar.

“Entahlah, Anne. Kekadang tu terasa diri aku ni malang aja dapat pakwe macam tu. Sakit hati betul aku dibuatnya!” getusku geram. Farhana ketawa sinis.

“Kalau akulah, dah lama aku angkat kaki. Kalau macam inilah sikap dia, siapa boleh tahan? Ni belum lagi kahwin. Buatnya esok kalau dah berumahtangga, entah macam-macam hal lagilah agaknya. Silap-silap kita ni digantung tak bertali. Menyeksakan hidup aja. Habis tu, apa tindakan kau selepas ni? Takkan kau nak terus berdiam aja macam ni?” soalnya.

“Aku nak bercuti selama seminggu. Aku nak keluar dari kota besar ni,” jawabku.

“Kau nak ke mana?” soalnya lagi.

“Aku nak ke Kedah. Ikut Azhari balik kampung.”

Melopong Farhana memandangku. Aku tersenyum. Tudung botol air mineral kupulas lalu kuteguk perlahan, membasahkan tekak yang kering. Sesekali peluh yang memercik keluar di dahi kukesat dengan tuala muka yang tersangkut di bahu.

“Kau biar betul, Aween! Macam tak percaya aja aku mendengarnya. Sejak bila pulak kau dah berbaik-baik semula dengan Azhari ni? Kalau sebelum ni, bila dengar aja nama dia sikit punya menyampah lagi?” perlinya.

“Kau jangan beritahu sesiapa, tau. Kalau kau dengar apa-apa berita pasal Shazzy, tolong mesej aku, boleh?” pesanku.

“Kau ni, masih nak fikirkan hal Shazzy tu! Dah sebulan lebih dia buat kau tak tentu arah macam ni, kau masih ada hati nak ingatkan dia? Lupakanlah hal dia tu buat masa ni. Menyakitkan hati aja. Kalau kau nak lupakan dia sampai bila-bila pun, aku lagi suka. Terus-terang aku katakan, yang aku cukup tak berkenan dengan sikap si Shazzy tu. Aku kesian tengok kau, Aween. Kau selalu jadi mangsa tuduhannya yang membabi buta tu. Dia tu macam tak pernah nak hargai kasih sayang kau. Tapi aku tengok kau ni masih lagi nak sayang-sayang kat dia. Yalah, dia dah bertakhta di hati kau tu, nak buat macam mana,” bebel Farhana panjang. Seketika dia meneguk sedikit air mineralnya.

Aku bungkam mendengar kata-kata Farhana itu. “Aku rasalah, si Shazzy tu bukanlah satu pilihan kau yang tepat, Aween. Maaflah kalau kau terasa, tapi ini memang ikhlas lahir dari hatiku sendiri. Kau fikirlah, sampai bila kau nak menyeksa diri kau dengan hubungan ni? Pada akulah, si Azhari tu jauh lebih baik dari Shazzy. Kalau kau tinggalkan Shazzy, dan seterusnya memberi peluang kepada Azhari untuk memperbetulkan kesilapan lampaunya dulu, aku rasa tak ada salahnya daripada kau membiarkan si Shazzy tu terus menyeksa kau dengan sikap ego dan cemburu butanya itu,” nasihat Farhana lagi. Aku masih terdiam. Tak tahu nak kata apa lagi. Kata-kata Farhana itu memang ada benarnya. Satu keluahan terbit di bibirnya tatkala melihat aku terus membatukan diri.

“Aku sendiri hairan. Macam manalah kau boleh bersabar dengan Shazzy? Dari dulu sampai sekarang, masalah kau orang hampir sama aja. Gaduh sebab si Shazzy cemburu, ragu-ragu dengan kesetiaan kau, dan suka membuat andaian dan tuduhan tak berasas. Nah, sekarang ni dia menghilang pulak entah kemana. Apa motif dia buat kau macam ni?” sambungnya lagi. Ah, sesekali terasa panas juga telinga ini apabila Farhana mengutuk-ngutuk Shazzy. Tetapi, apa yang dikatakannya itu memang benar sama sekali. Dah tak dapat nak dinafikan lagi. Sememangnya itulah diri Shazzy, jejaka yang kucintai sepenuh jiwa dan ragaku selama ini.

Aku mengeluh berat. Kalau boleh kucabut kepalaku ini, memang dah lama kucabut. Biar keluar semua masalah dan terbang di bawa angin lalu.

“Hmm… entahlah, Anne. Aku pun pening jugak memikirkan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku pada hari yang mendatang. Aku nak lupakan sekejap pasal Shazzy. Kau janji ya, jangan beritahu sesiapa ke mana aku pergi,” pesanku lagi. Farhana mengangguk lagi sambil meletakkan telapak tangannya di dada.

I swear!” ucapnya jujur. Aku tersenyum lega.

Thanks,” ucapku seraya memaut tubuhnya.

“Kau nak jogging lagi tak ni?” soalnya. Aku mengangguk.

“Naklah. Hei, takkan baru satu round dah nak berhenti?” ujarku.

“Hmm… okeylah. Jom,” ajaknya. Kami menyambung semula larian kami mengelilingi tasik.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mya Effa