TAPAK perkhemahan kami
terletak berhampiran dengan kolam air terjun. Namun, untuk ke kolam tersebut,
kami terpaksa melalui sebuah curam yang agak kecil sebelum tiba di tebing kolam
air terjun. Semua peserta begitu sibuk memasang khemah masing-masing. Setiap
satu khemah harus dikongsi tiga orang. Aku seperti biasa akan berkongsi khemah
dengan Farhana dan Kak Min. Tetapi, kadang-kala di waktu malam, Kak Nad akan
menumpang tidur di khemah kami.
Selesai memasang khemah, kami terus
mengeluarkan alat-alat kelengkapan peribadi masing-masing untuk membersihkan
diri. Kak Nad mendahului kami untuk menuruni curam tersebut. Diikuti dengan
Farhana. Aku mencangkung di tebing curam itu terlebih dahulu sebelum melompat
ke bawah. Kak Nad dan Farhana membantu memegang kedua-dua belah tanganku
sewaktu aku hendak terjun ke bawah agar aku tidak terjatuh. Sementara Kak Min
pula memantau dari belakang. Sebaik tiba di bawah, aku dan Kak Nad membantu Kak
Min pula untuk turun dari curam tersebut.
Setelah membersihkan diri, kami
solat Zuhur berjemaah. Para peserta telah
diberi kebebasan untuk membuat sebarang aktiviti. Namun, ramai yang mengambil
kesempatan untuk merehatkan diri. Kami yang terdiri daripada ahli-ahli
jawatankuasa projek terpaksa menjalankan tugas masing-masing. Aku, Farhana dan
Kak Nad hanya membantu Kak Min yang selaku ketua biro makanan menyediakan makan
tengahari untuk para peserta. Manakala kaum-kaum lelaki yang terdiri daripada
Abang Que, Abang Reza, Abang Dino dan Hakimi pula saling bekerjasama membina
‘lapangan’. ‘Lapangan’ merupakan satu tempat yang berfungsi sebagai tempat
berkumpul untuk para peserta. Ianya hanya dialas dan dibumbungi oleh dua lembar
kanvas. Biasanya, lapangan itu digunakan untuk para peserta berkumpul untuk
makan, membuat aktiviti berkumpulan, mengadakan malam kebudayaan dan
sebagainya.
Selepas makan tengahari, setiap
peserta diminta membasuh pinggan yang telah digunakan. Kemudian, kami diminta
untuk berkumpul di ‘lapangan’ untuk memulakan agenda yang telah dirancang untuk
hari ini. Kami memulakan agenda kami dengan sesi pengenalan diri memandangkan
ramai peserta projek kali ini terdiri daripada ahli-ahli baru. Sesi perkenalan
diri ini dimulakan dengan ahli-ahli baru dan kemudian diikuti dengan ahli-ahli
lama pula.
Setelah tamat sesi itu, kesemua peserta diminta
berkumpul mengikut kumpulan. Kami diminta untuk bekenalan antara satu sama lain
di dalam kumpulan masing-masing. Selain itu, kami diminta untuk menamakan serta
menetapkan ketua kumpulan masing-masing. Sepanjang sesi itu, aku cuba
berlagak biasa dan menganggap Azhari tidak wujud di antara kami. Kucuba
membuang jauh wajah itu biarpun dia begitu hampir denganku.
Petang itu, kami telah diberi aktiviti bebas tetapi
secara berkumpulan. Memandangkan pada malam itu merupakan giliran kumpulan satu
untuk menyediakan hidangan makan malam, kami mengambil keputusan untuk
berbincang akan menu yang akan kami hidangkan malam ini.
*****
USAI
SOLAT ASAR, kami memulakan operasi kami. Setiap ahli kumpulan diberi tugasan
seperti membasuh beras, memotong bawang dan kentang, menghidupkan api dapur dan
sebagainya. Aku dan dua orang lagi ahli kumpulan diberi tugas untuk mengupas
kentang dan menghiris bawang. Aku tersenyum kambing melihat Uzair, salah
seorang ahli baru yang turut membantuku menghiris bawang. Naik berair matanya
menahan pedih akibat racikan bawang merah itu. Berbeza dengan seorang lagi
jejaka yang hanya dikenali sebagai Mizan. Walaupun dia berpangkat junior
padaku, tetapi atas kesungguhnannya mengaktifkan diri di dalam kelab ini setahun
yang lalu membuatkan dia sudah terbiasa dengan kerja-kerja dapur seperti ini.
Seketika aku mendongak, memandang Hakimi dan Azhari
yang sedang bertungkus-lumus menghidupkan dapur gas. Aku tersenyum sendirian
melihat kedua-dua jejaka yang kian akrab itu. Terdetik rasa simpati di hatiku
melihat Azhari, jejaka yang pernah kusayangi suatu ketika dahulu. Namun kini,
bukan lagi sayang malah aku terlalu membenci dirinya. Aku menghelakan nafas
perlahan. Dari rasa simpati terus bertukar menjadi rasa bersalah. Bersalah
kerana terlalu berkasar dan emosional terhadapnya semenjak kami bertemu
kembali. Tak munasabah rasanya aku menghukum Azhari dengan sebegitu rupa hanya
kerana kesalahannya melukakan hatiku dulu. Tapi, apakan daya. Segalanya dahpun
berlaku. Terlajak perahu boleh diundur, tetapi kalau terlajak kata, tak boleh
diundur kembali. Perlukah aku minta maaf? Argh! Tak perlu rasanya. Biarlah dia
rasa terhukum sekarang kerana pernah melukakan sekeping hati milik seorang
gadis di suatu masa dulu.
Dan lamunanku mati tatkala terdengar desisan yang
kian jelas. Segera aku mengerling ke wajah Uzair. Matanya sudahpun merah dan
berair. Timbul rasa kasihanku terhadap anak muda ini, lantas aku mengarahkannya
untuk berhenti.
“Tak apalah, Uzair. Berhentilah dulu. Pergi cuci
muka tu. Kesian pulak akak tengok awak ni,” ujarku seraya ketawa kecil.
“Eh, tak apalah Kak Aween,” katanya membantah.
“Tak apa, pergi cuci muka tu dulu. Lepas tu, datang
sini balik tolong kupas kentang pulak,” arahku. Akhirnya dia akur. Aku
tersenyum memandang Mizan sebaik Uzair berlalu pergi. Kami menggeleng kecil.
Merah senja mulai menebarkan diri di dada langit.
Tugasan kami menyediakan hidangan makan malam hampir selesai. Masuk waktu
Maghrib, segala-galanya selesai. Aku menghelakan nafas lega. Nasib baik sempat
siap sebelum hari gelap. Kalau tidak, tentu lebih menyukarkan lagi tugasan
kami. Tambahan pula, bukannya senang untuk menyediakan hidangan seramai tiga
puluh lebih kepala. Kena pandai bajet. Kalau terlebih, tak apa. Buatnya kalau
terkurang, macam manalah gamaknya nanti?
Kami menikmati makan malam kami selepas usainya
solat Isya’. Dua buah periuk besar yang berisi nasi dan lauk sudahpun kami
letak di atas para buluh yang dijadikan kaunter makanan. Masing-masing beratur
untuk mengambil makanan dan seterusnya ke lapangan untuk menikmati hidangan
beramai-ramai.
Dan pada malam itu, sekali lagi kami diberi aktiviti
bebas. Namun sebelum itu, kami diminta berkumpul di lapangan untuk diberi
taklimat.
“Okey, malam ni, seperti biasa setiap kumpulan harus
menjalankan tugas untuk menjaga kawasan perkhemahan kita ni. Bermula jam dua
belas tengah malam sampailah pukul enam pagi, waktu Subuh,” Abang Que
bermukadimah.
“Bermula jam dua belas sehingga jam dua pagi,
giliran kumpulan tiga. Dari pukul dua sampai ke pukul empat, giliran kumpulan
dua dan akhir sekali kumpulan satu pada jam empat pagi sampai Subuh.
Memandangkan kumpulan satu merupakan kumpulan terakhir, saya minta salah
seorang wakil dari kumpulan satu untuk melaungkan azan Subuh,” sambungnya lagi.
“Ada
apa-apa pertanyaan?” soal Abang Que kepada semua. Tiada sebarang pertanyaan
dari para peserta. Seterusnya, setiap seorang dari kami akan diberikan ‘kata
laluan’. ‘Kata laluan’ itu haruslah disebarkan dengan cara berbisik. Fungsinya
adalah sebagai password demi menjaga
keselamatan diri dan juga harta-benda yang ada di kawasan tapak perkhemahan.
Aku dan Farhana mulai menyusup ke dalam khemah untuk
tidur. Kami menggunakan beg jinjit yang padat sebagai alas kepala kami.
“Kau bawak alarm
clock tak, Anne?” soalku kepada
Farhana.
“Tak,” jawab Farhana ringkas.
“Habis tu, macam mana kau nak bangun untuk berjaga
nanti?” soalku lagi.
“Aku dah pesan kat Kak Min, suruh dia kejutkan aku
bila shift kumpulan dia dah habis
nanti,” katanya. Aku mengangguk.
“Anne, kau pun nanti tolong gerakkan aku lepas habis
shift kau, tau!” pasanku kepadanya.
“Hmm… yalah,” ujar Farhana, menyenangkanku. Aku
tersenyum.
Terasa mataku begitu berat untuk dipejam. Namun
badanku terasa amat letih sekali. Entah mengapa begitu degil sekali mataku ini
untuk lelap.
“Aween,” sapa Farhana perlahan. Aku mengerutkan
dahi. Rupanya dia juga belum tidur. Segera aku menoleh ke sebelah,
memandangnya.
“Apa?” soalku.
“Kau tak tidur lagi ke?” Aku menggeleng dengan
pertanyaannya itu.
“Belum lagi. Rasa tak boleh tidur pulak,” jawabku.
“Boleh aku katakan sesuatu?” soal Farhana lagi.
“Hmm… apa dia?” soalku kembali.
“Kau tak marah?” Aku mengeluh.
“Kau tak cakap lagi, macam mana aku nak marah, Cik
Anne oi! Apa dia, cakaplah? InsyaALLAH, kalau benda tu baik, aku taklah nak
melenting,” kataku.
“Aku rasa kau tak patut layan Azhari macam tu,”
ujarnya perlahan. Hmm… memang aku dah agak. Tentu hal Azhari yang hendak
dibangkitkannya.
“Layan macam mana?” soalku berbasa-basi.
“Kau ni, kura-kura dalam perahulah pulak. Cara kau layan
dia tu, kasar sangatlah, Ween. Aku rasa kau tak patut buat dia macam tu.”
“Kenapa pulak? Aku rasa memang dia patut dihukum
macam tu. Takkan kau tak ingat, Anne? Masa awal-awal aku kenal kau. Betapa
parahnya aku ketika itu. Dan kaulah yang menjadi penawar serta memulihkan
kelukaanku ketika itu setelah aku meceritakan segala-galanya kat kau. Kau telah
mengembalikan semula semangatku yang kian hilang sehinggalah aku berjaya
menjadi seorang graduan seperti sekarang. Takkan kau lupa semua tu, Anne?”
Farhana mengeluh berat. Nafasnya dilehakan perlahan.
“Aku tahu kau masih terluka dengan apa yang pernah dilakukannya dulu. Tapi,
hukuman kau tu terlalu berat dengan kesalahannya itu. Aween, terus-terang aku
katakan, sebelum aku mengenali Azhari, memang aku terlalu benci terhadapnya
setelah mengetahui apa yang telah dilakukannya terhadap kau. Malah, boleh
dikatakan saban hari aku mengutuknya sendirian dalam hati kerana tergamak
melakukan semua tu terhadap kau. Tapi, bila aku bersua muka dengannya dan mulai
kenal hati budinya, baru aku sedar yang dia tu taklah sebusuk yang aku
sangkakan selama ni,” tutur Farhana lembut.
“Aku rasa dia dah menyesal kerana mengecewakan kau
dulu, Aween. Aku tengok dia benar-benar nak berbaik semula dengan kau. Tapi kau
pulak terus membenci dirinya. Aku rasa, itu tak adil, Ween,” sambungnya lagi.
Aku ketawa sinis.
“Aku tak adil? Jadi, kau rasa apa yang pernah
dibuatnya kat aku dulu tu adillah, ya?” protesku.
“Tak, aku tak kata macam tu. Ya, mungkin dia
tersilap langkah dulu, meninggalkan kau dan terus bersama budak hingusan tu.
Tapi kau harus sedar, tak ada manusia yang sempurna dalam dunia ni. Semuanya
melakukan kesilapan. Kadang-kala, kesilapan yang tak disengajakan seperti
inilah yang biasanya akan mematangkan fikiran manusia. Aku cadangkan kau,
supaya berbaik semula dengan dia. Jangan kau terus seksa dia macam ni. Berilah
dia peluang untuk dia memperbetulkan kesilapannya tu. Aku dah tak sanggup nak
tengok kau terus membencinya. Aku percaya, kau lebih mengenali dirinya. Tentu
dia seorang yang baik, bukan? Takkanlah hanya kerana kesalahannya melukakan
perasaan kau dulu membuatkan kau bertindak menyeksaanya sebegini rupa? Itu satu
tindakan yang kejam, Ween,” lebih panjang khutbahnya.
“Lagi satu, kau tak rasa ke bahaya yang bakal kau
temui kalau kau terus bersikap macam ni? Tentu ramai yang akan rasa pelik. Tadi
Kak Min dah tanya aku, kenapa kau angin semacam dengan si Azhari tu. Nasib baik
aku tak terlepas cerita. Aku cuma kata yang aku tak tahu aja,” sambungnya lagi.
Aku terdiam mendengar kata-kata Farhana itu, yang
berupa satu nasihat dari seorang sahabat sejati. Aku menghelakan nafas berat
sebelum mengusun kata-kataku.
“Macam mana aku nak beri dia peluang, Anne? Takkan
aku nak tinggalkan Shazzy dan pergi semula kepadanya yang pernah mengecewakan
aku dulu? Aku rasa itu lagi tak adil,” ujarku.
“Aku tak suruh kau tinggalkan Shazzy. Maksud aku,
apalah salahnya kau berkawan dengannya? Itu dah cukup memadai. Cubalah kau
kenang balik segala kebaikan yang pernah dilakukannya terhadap kau semasa kau
orang masih lagi sedang hangat bercinta dulu. Jangan asyik nak ingat yang buruk
aja. Aku percaya, yang baik itu, banyaknya lebih berganda kalau nak
dibandingkan dengan yang buruk tu, kan?”
ujar Farhana lagi. Dan sekali lagi aku terdiam, memikirkan kebenarannya.
“Fikirlah baik-baik, Ween. Aku selaku kawan cuma
mampu memberi nasihat. Keputusannya tetap di tangan kau,” Farhana menyambung
kata-katanya.
“InsyaALLAH, aku akan cuba. Tapi, mungkin mengambil masa
yang lama, bukan secara mendadak,” ujarku perlahan.
Suasana menjadi sepi semula. Dan dikala itu juga,
terasa mataku kian kelam dan akhirnya aku terlena juga.
*****
“AWEEN!
Aween, bangun! Dah pukul empat,” terasa tubuhku digoncang. Aku mengeliat kecil.
Mataku terasa amat berat sekali untuk dibuka. Malas pula rasanya hendak
berjaga. Tanpa sedar aku merebahkan kepalaku semula untuk menyambung tidur.
“Woi, bangunlah Kak Cik oi!” kejut
Farhana lagi. Aku bangkit semula sambil menggosok-gosok mataku yang masih
separuh pejam.
“Anne, aku malaslah nak berjaga. Mengantuk.
Kalau tak jaga tak boleh?” soalku dalam keadaan mamai.
“Ewah, ewah… banyak comel muka kau!
Orang lain sanggup bangun berjaga, kau pulak sedap-sedap nak tidur sepanjang
masa. Tak boleh! Tak adil namanya. Kau kena pergi jugak!” tegas Farhana.
“Alah, aku mengantuklah,” rungutku.
“Wei, makcik! Aku tadi pun mengantuk
jugak. Tapi terpaksa bangun nak jalankan tugas. Yang kau pulak bukan main sedap
lagi tidur. Dan sekarang ni, giliran aku pulak yang sambung tidur dan kau pulak
kena berjaga. Dah, chow keluar! Aku
nak tidur,” arah Farhana. Aku memuncungkan bibir. Malas. Farhana telahpun
merebahkan diri menyambung lenanya. Di sebelahku, kelihatan Kak Nad dan Kak Min
yang sedang enak tidur. Entah bila mereka menyusup masuk, aku sendiri tidak
sedar.
Aku keluar dari dalam khemah dalam
keadaan terpisat-pisat. Kusarung sneakers
ke kaki bagi melindungi dari terpijak sebarang benda yang bahaya. Maklumlah,
hari masih gelap, mana nak nampak sebarang bahaya yang terdapat di tanah.
Tubuhku turut kusarungkan dengan sweater
bagi meredakan rasa dingin pagi. Sebaik aku berdiri, tiba-tiba sebuah cahaya
menyuluh mukaku. Aku mengecilkan mata menahan silau.
“Siapa tu?” soalku
“Kimi!”
“Janganlah suluh kat muka aku. Silaulah!”
marahku.
“Sorry.”
Seketika kemudian, Hakimi pun berlalu pergi. Suasana tapak perkhemahan agak
gelap. Hanya diterangi lampu-lampu suluh dan juga unggun api. Gemersik bunyian cengkerik
dan burung hantu saling bersahut-sahutan, menghasilkan sebuah irama yang cukup
tenang pada malam itu. Aku melangkah menghampiri kawasan lapang yang
menempatkan unggun api. Kelihatan beberapa orang peserta sedang duduk melepak
berhampiran dengannya. Juga kedengaran beberapa suara garau menyanyi
berlatarkan bunyi petikan gitar. Begitu mendayu sekali.
Aku melangkah ke para buluh yang
menempatkan makanan dan juga barang-barang dapur. Kusuluh ke segenap ruang para
itu dengan lampu picit. Memandangkan lampu gasoline
sudahpun dimatikan, terpaksalah aku membawa lampu suluh sendiri. Sebiji kole
plastik kucapai lalu menuang air teh yang masih panas. Aku membuka tudung
periuk. Ada maggi
goreng. Siapalah yang buat ni? Rajin betul. Getus hatiku. Aku membuka tin yang
berisi roti biskut lalu mengeluarkannya sekeping. Waktu-waktu begini kalau
pekena air teh panas dan biskut kering memang nikmat.
Aku beredar dari para makanan menuju
ke satu tempat yang agak jauh dari orang lain. Namun, masih jelas kelihatan
cahaya unggun api yang begitu marak menyala. Kulabuhkan punggungku pada sebiji
batu yang agak besar saiznya sambil menikmati roti biskut yang dicecah dengan
air teh panas itu. Emmm…sedapnya! Sambil itu, mataku tak putus-putus memandang
ke arah cahaya unggun api di hadapan. Sayup-sayup kedengaran suara mereka
menyanyi bersama petikan gitar. Cukup membuai.
“Hai. Kenapa duduk kat sini?” sapa
satu suara. Aku sedikit terkejut. Pantas kutoleh ke sebelah. Azhari sudahpun
mengambil tempat bersebelahan denganku tanpa meminta izin dariku terlebih
dahulu.
“Saja, nak duduk jauh sikit dari
orang lain. Nak cari ketenangan,” ujarku lembut dan selamba. Dia ketawa kecil.
“So,
Ari mengacaulah ni?’ soalnya. Aku menggeleng perlahan.
“Taklah,” jawabku ringkas.
“Minum?” pelawaku. Dia menggeleng perlahan.
“No, thanks.”
Sesungguhnya, aku mulai menyedari akan kebenaran
kata-kata Farhana sebentar tadi. Aku sedar akan kesilapanku kerana terlalu
memusuhi dirinya, sedangkan hakikatnya tidak ada sebab untuk aku terus
memusuhinya hanya kerana peristiwa lama itu. Tetapi, mampukah aku lakukannya?
Suasana menjadi sepi. Tiada bicara
antara aku dan dia. Aku pula begitu nikmat meneguk air teh panas yang masih
berbaki.
“Aween, Ari nak cakap sesuatu,”
ujarnya setelah lama membatukan diri. Aku terdiam. Kalau nak diikutkan hati,
aku tak mahu dengar apa-apa lagi darinya. Aku tak mahu dia mengungkit kembali
cerita lama yang bisa mengguris perasaan ini. Namun, kata-kata Farhana sebentar
tadi bagaikan terngiang-ngiang di telingaku ini. Bagaikan menghalang untuk aku
terus bertindak mengikut kata hati.
“Ari nak apa lagi?” soalku dengan
intonasi yang cukup lembut.
“Ari mahukan Aween semula.”
Kata-katanya itu benar-benar membuatkan aku terpana seketika. Benarkah apa yang
kudengarkan ini? Sedarkah dia akan apa yang dituturkannya itu?
“Ari, bukankah hubungan kita ni dah
lama berakhir? Apa lagi yang kau nak harapkan dari aku?” tuturku perlahan.
“Ari tak pernah pun mengakhiri
hubungan kita. Aween sendiri yang putuskan agar kita berpisah,” tegasnya. Aku
ketawa sinis seraya menggeleng.
“Tapi kau yang menjadi punca supaya
aku memutuskannya,” balasku. Dia merengus lemah.
Sepi lagi. Tiada lagi bicara antara
kami. Kucuba menahan rasa gundah di hati ini, kerana kisah lama itu telahpun
diungkit kembali. Dan sekali lagi luka yang hampir sembuh kembali berdarah.
“Ari, tolonglah jangan diungkit lagi
kisah tu. Aku dah lama melupakannya. Tolonglah, Ari. Jangan guriskan lagi luka
yang dah sembuh ni. Aku dah tak sanggup untuk menahan rasa pedih di hati ni,”
rayuku perlahan.
“Boleh. Dengan syarat Aween kena
terima Ari semula,” ujarnya seakan mengugut. Ya ALLAH, gilakah apa dia ni?
Meminta sesuatu yang tak munasabah.
“Kau sedar tak apa yang kau cakapkan
ni?” soalku sebak.
“Aku sedar, Aween. Aku masih dalam
keadaan waras. Aku sedar apa yang aku buat dan apa yang kuucapkan,” tegasnya.
“Ya ALLAH,” keluhku berat sambil
menelangkupkan wajah dengan kedua belah tapak tanganku.
“Kita mulakan semula,” pintanya. Argh, semakin
bingung aku dibuatnya. Kenapalah lelaki ini sukar hendak memahami akan diriku?
“Tak boleh, Ri. Tak boleh!” tegasku pula. Ah, dia
ni! Bila aku berlembut, makin naik lemak pula! Karang kalau aku jadi agresif
balik karang, jangan terkejut bila pipi tu berbirat dek penampar lima jariku ini!
“Kenapa tidak? Adakah sebab lelaki tu, maka kau
tolak cinta aku ke tepi?” soalnya lebih tegas. Aku tersenyum sinis. Ah! Cinta.
Kenapa dia mesti menyoal aku? Sedangkan jawapan itu ada pada dirinya sendiri!
“Excuse me.
Nama dia Shazzy! Tolong respectsikit boyfriend aku. Jangan nak biadap!” aku
bersuara keras. Kesabaranku mulai menipis. Harap-harap janganlah dia nak
teruskan lagi. Bisa meletup aku dibuatnya nanti.
“Okay, fine.
Shazzy. Pasal Shazzy ke Aween tak nak terima Ari lagi?” soalnya lagi. Aku
mengeluh lagi. Kenapalah dia terus hendak menekan aku?
“Kenapa mesti risaukan Shazzy? Dia tu bukannya suami
Aween.” Tersirap darahku mendengar ucapannya itu.
“Ari, antara kita dah tak ada apa-apa. Cubalah
belajar terima hakikat. Kalau aku boleh lakukannya, kenapa tidak kau?” soalku
geram.
“Senanglah Aween cakap. Sebab Aween yang memutuskan
hubungan kita dulu,” ujarnya keras. Aduh, balik-balik itu yang diungkitkannya!
Dia tetap mahu meletakkan kesalahan itu ke bahuku. Sedangkan hakikatnya
segala-gala yang berlaku ini berpunca darinya juga. “Tapi Ari sedar tak, apa
puncanya Aween berbuat begitu? Tak ingat lagi ke pasal Hardija? Takkan begitu
mudah sekali Ari lupakan semua tu?” aku hampir menempiknya. Mujurlah aku dapat
mengawal suaraku. Dan mujur jugalah tempat kami itu agak jauh dari orang lain.
Tak ada sesiapa yang dapat mendengarnya.
Azhari mengeluh lagi. Dia kelihatan bingung. Kedua
belah tangannya meramas-ramas rambutnya yang kasar berceracak itu. Aku
menggeleng kecil melihatnya yang bagaikan orang sasau itu.
“Aween terlalu menuduh. Aween suka dengar cakap
orang. Ari kesal sangat sebab Aween lebih percayakan kata-kata orang dari Ari
sendiri,” keluhnya.
“Ya, memang aku dengar cakap-cakap
orang. Mulanya aku tak percaya. Tapi bila aku sendiri yang nampak, aku sendiri
yang dengar perbualan kau orang, takkan aku masih tak percaya? Sejak kau kenal
dengan Hardija, tiap-tiap hari kau lambat masuk ke kelas. Bila aku tanya kau ke
mana, kau jawab pergi sarapan dengan kawan kat kafe. Sampailah suatu hari aku sendiri
ternampak kau dengan Hardija berdua di kafe. Siap bersuap-suap lagi! Dan suatu
hari aku pernah dengar perbualan kau dengan Hardija kat belakang fakulti.
Hardija suruh kau tinggalkan aku. Lepas tu kau jawab yang kau akan tinggalkan
aku dan pergi kepadanya, tetapi ambil masa sedikit. Betul tak?” Dia memandangku
dengan pandangan yang sukar kemengertikan. Dahinya tampak berkerut. Kuhelakan
nafasku berat. Aku sendiri tidak sedar, bila masakah aku mulai tersedu. Yang
pasti, setiap kali aku mengungkit kembali kisah itu, aku pasti tidak dapat
menahan sebak. Sakit, pedih dan ngilu. Semuanya begitu menusuk di dada ini.
“Ari tahu tak, betapa hancur dan luluhnya hati ini
bila terdengar perbualan Ari dengan Hardija waktu tu? Rasa macam nak tercabut
aja nyawa ni dari badan. Sukar untuk aku percaya dengan apa yang aku dengar.
Tak sangka kerana budak hingusan tu kau sanggup mengkhianati hubungan kita!”
luahku geram, diselangi esakan halus.
Ternyata Azhari begitu terkejut. Melopong dia
memandangku, seperti kurang percaya dengan apa yang telah didengarinya sebentar
tadi.
“Kenapa diam? Terkejut? Tak percaya? Atau kau masih
nak menafikan dan terus menyalahkan aku di atas apa yang berlaku?” soalku
bertubi-tubi dalam sebak, namun sinis. Aku ketawa mengejek. Airmataku yang
bagaikan tidak dapat ditahan mengalir keluar lagi, mencurah-curah dari tubir
mataku. Dia pula beristighfar panjang.
“Aku tak sanggup nak tengok kau orang berdua
berkepit ke hulu, ke hilir di depan mata aku. Aku sakit hati melihat kau orang
berdua membina kebahagiaan kau orang di atas kelukaan aku. Aku tak sanggup nak
hadapi semua tu. Maka sebab itulah aku bertindak untuk berhenti dari belajar
kat kolej tu. Aku takut prestasiku akan merundun jatuh. Yalah, aku ni tak
pandai macam kau orang, pelajar Anugerah Dekan,” sambungku lagi memerli.
“Sekarang kau dah tahu duduk perkara sebenar, kan? Jadi janganlah kau terus-terusan nak
menyalahkan aku dalam hal ni. Sedangkan hakikatnya dah terlalu jelas dan nyata
di depan mata, yang kau adalah punca segala-galanya. Kalau kau tak menggatal
layan perempuan tu dulu, semua ni takkan berlaku. Jangan-jangan, kita dah
terlalu bahagia sekarang ni. Tapi tak tahulah kalau kau memang dah bosan dengan
aku dan ada pasang niat nak cari yang lain,” kataku lagi berbaur sinis.
“Aween, maafkan aku. Okey, aku mengaku aku silap.
Aku tak sepatutnya mensia-siakan kau dulu. Aku tak sepatutnya mendampingi
Hardija. Baru aku sedar, betapa bodohnya aku melukakan hati seorang gadis yang
berjiwa mulia seperti kau,” luahnya sebak. Aku mengetapkan bibir, menahan rasa
hiba yang kian mencengkam. Airmata yang mengalir bagaikan tidak kenal erti
berhenti.
“Kau sudi memaafkan aku?” soalnya. Aku menghelakan
nafas perlahan.
“Aku boleh memaafkan kau. Tapi, untuk kembali semula
ke pangkuan kau, itu satu perkara yang mustahil,” jawabku.
“Kenapa pulak?” soalnya lagi. Ah, dia benar-benar
tak faham atau buat-buat tak faham? Hatiku merungut sendiri.
“Aku dah ada teman lelaki, Ari,” tegasku agak geram.
Dia terdiam lagi. Kuseka perlahan airmata yang masih tersisa di pipi.
Dan sepi terus menyelubungi kami. Air teh yang
sudahpun sejuk kuteguk sehingga habis.
“Kenapa cari aku semula? Kenapa tak cari aja
perempuan tu?” soalku lagi. Agak pedas dan sinis.
“Buat apa Ari nak cari perempuan yang tak pernah nak
hargai diri Ari?” balasnya pula. Aku mengerling ke sebelah.
“Kenapa?” soalku lagi. Dia menghelakan nafas berat.
“Cerita lama, Aween. Zaman cinta remaja. Cinta budak
hingusan.” Aku ketawa kecil. Sinis. “Jadi bila kau datang semula pada aku, kau
fikir dengan begitu mudah aku dapat terima kau semula? Setelah kau khianati
cinta dan kasih sayang aku dulu?” Dia terdiam dan terus menyepi tanpa jawapan.
Alunan suara nyanyian mereka yang sedang duduk
berhampiran dengan unggun api masih lagi kedengaran. Malah, kian mendayu di
pagi yang sunyi ini. Aku tersenyum melihat mereka yang tampak seronok dan ceria
sekali. Hati yang lara tadi menjadi sedikit tenang melihat situasi itu.
“Tapi, kita masih boleh mulakan lagi, kan?” dia bersuara lagi.
Ya ALLAH, rasa macam nak menjerit aja! Ingatkan bila dah senyap maknanya faham.
Rupanya tidak. Kenapalah dia ni tak faham-faham bahasa? Terus nak mengasak aku
dengan permintaan gilanya itu. Bodoh!
“Azhari!” gertakku marah. Dia ketawa.
“Jangan salah faham, Azween. Maksud aku, mulakan
sebagai seorang kawan,” ujarnya. Aku memandangnya tajam. Tak puas hati dengan
caranya mengenakan aku. Dia masih ketawa melihat reaksiku itu. Aku turut tidak
dapat menahan diri dan akhirnya ketawa sama. Seketika aku menghulurkan tangan
kepadanya. Tawanya terhenti. Terpinga-pinga dia memandangku. Dan dalam keadaan
teragak-agak, dia menyambut huluran tanganku.
“Hai, saya Khairul Azween. Panggil saya Aween. Salam
perkenalan,” ujarku selamba. Dia tersenyum.
“Saya Khairul Azhari. Salam perkenalan,” balasnya.
Aku tersenyum namun hambar. Tiada riak mesra.
Aku bingkas bangun. Sebaik aku
hendak memulakan langkah, sekali lagi dia memanggilku.
“Nak ke mana? Takkan nak pergi kot?
Duduklah dulu, kita berborak panjang. Banyak lagi cerita yang Ari tak tahu
tentang Aween tau,” ujarnya. Langkahku mati. Segera aku memaling ke arahnya.
Dia tersenyum. Aduh, manisnya senyuman itu. Ya, senyuman yang pernah membuatkan
hatiku tenang dan sering dilanda asmara.
Namun, itu cerita dulu. Tetapi kini, adakah senyuman itu masih mampu membuatkan
aku berperasaan sebegitu? Ah, entahlah. Tanpa kusedari, bibirku turut
mengukirkan senyuman buatnya.