AKU
masih menyandarkan diri di kepala katil. Sebatang rokok yang sudah dinyalakan puntungnya kusedut sedalam-dalamnya lalu kusembur keluar. Berkepul-kepul asap putih itu memenuhi ruang udara serta mengeluarkan bau yang cukup menyesakkan. Seketika aku terbatuk-batuk kerana tidak biasa menghisap benda itu. Aku tersenyum sendirian sambil merenung sebatang rod tembakau yang masih menyala api di hujungnya. Hmm… memang benda ini banyak keburukannya. Tapi, bila sekali disedut, memang nikmat. Fikiran yang sedang berserabut boleh jadi tenang. Terbang segala masalah yang melanda bersama-sama asap yang berkepul keluar di celah bibir.
Pandanganku turut kian berpinar-pinar. Rasa loya dan mual turut menyapa ke anak tekakku. Tin-tin minuman berkarbonat serta bungkusan pil penenang berselerakan di meja sisi katil. Setelah habis sebatang, kukeluarkan lagi sebatang rod tembakau dari kotaknya lalu kunyalakan api di hujungnya. Kusedutnya dengan rasa nikmat. Seluruh bilikku sudahpun diselubungi dengan bau asap rokok yang cukup kuat dan menyengat.
Sedang aku melayan perasaan asyikku sendirian, tiba-tiba kedengaran dedaun pintu bilikku terbuka.
“Aween! Kenapa terkurung aja ni? Pintu rumah pun tak berkunci. Dahlah tinggal sorang. Kan bahaya? Ni apa pasal duduk dalam gelap pulak ni?” omel satu suara. Aku yakin, itu suara Farhana. Lantas kutoleh ke muka pintu.
“Hisy, apa bau busuk ni?” soalnya sambil menelangkupkan hidungnya dengan tangan. Seketika suis lampu bilikku dipetiknya. Dia tergamam melihat keadaanku.
“Ya ALLAH, Aween! Apa dah jadi ni!” jeritnya lalu menerpa ke arahku. Bahuku dipautnya kuat.
“Aween, apa dah jadi dengan kau ni! Aween, wake up!” jeritnya sambil menampar-nampar halus pipiku. Ketika itu, terasa kepalaku kian laju berpusing.
“Hisy, kacaulah kau ni!” marahku dalam suara yang mamai. Dia mendekati meja sisi katilku. Dicapainya botol serta bungkusan pil yang terdapat di situ lalu dibelek-beleknya. “Astagfirullahal’azim. Khairul Azween, what have you done!” jerkahnya lagi seraya menolak tubuhku. Aku yang terhoyong-hayang kerana baru lepas mengambil pil tidur itu terjelapuk di atas katil. Terasa pandanganku kabur.
“Aween, kau sedar tak apa yang kau dah buat ni! Kau sedar tak!” jeritnya lagi sambil menggoncang-goncangkan tubuhku. Di kala itu terasa isi perutku hendak terkeluar semula. “Woi, kau janganlah goncang badan aku macam tu. Sakitlah, bodoh!” marahku.
Dalam kesamaran cahaya yang menyelubungi kamarku, dapat kulihat mulut Farhana berkumat-kamit beristighfar.
“Ya ALLAH, Aween. Kenapa sampai macam ni sekali kau seksa diri kau? Kau ni dah gila ke! Mana pergi iman kau, Aween? Kau dah lupakan ALLAH ke? Kau dah tak ingat dosa? Kau dah tahu benda-benda ni semua boleh memudaratkan diri kau, kenapa kau ambil jugak? Bodoh!” marah Farhana lagi. Aku tahu, dia kesal dengan tindakan bodoh yang telah kulakukan itu.
“Aween, kalaupun kau tertekan, kenapa kau tak serahkan aja kepada ALLAH? Kenapa kau tak dekatkan diri kau kepada Dia? Banyakkan beribadat, banyakkan berdoa, mengaji Quran. Bukan buat kerja gila macam ni!” Habis dihamburkannya rasa amarahnya terhadapku.
“Woi, Anne. Kau jangan nak sibuk. Suka hati akulah, nak buat apa sekalipun. Ya, memang aku dah gila!” bentakku diiringi dengan tawa mengilai.
“Aku rela mati dalam keadaan tak siuman macam ni, Anne. Aku dah serik asyik dikecewakan lelaki, kau tahu tak? Aku serik! Serik! Argh, aku benci semua lelaki dalam dunia ni! Mereka semuanya kejam! Mereka semua penipu! Tak guna!” jeritku bagaikan orang terkena histeria. Lantas aku berlari keluar dari bilik itu.
“Aween, kau nak ke mana tu!” jeritnya. Aku terus berlari menuju ke tangga. Argh! Pandanganku yang kian berpinar-pinar menyukarkan langkahku untuk menuruni tangga. Mataku pula kian memberat. Namun aku tetap gagahi diriku dan cuba melangkah turun.
Tanpa sedar aku tersilap langkah dan akhirnya tubuhku jatuh berguling ke bawah. “Aween!” kedengaran suara garau menjerit di ruang tamu sebaik terlihat tubuhku tergolek di anak tangga. Namun aku tak pasti akan tuan punya suara itu kerana aku masih dalam keadaan tidak waras ketika itu. Ditambah pula dengan rasa bisa yang menyengat tubuhku akibat terkena bucu-bucu tangga. Aku terbaring lemah sebaik tubuhku terlentang di tingkat bawah. Dalam keadaan yang separuh sedar, kedengaran namaku dipanggil berkali-kali.
“Kimi, kita bawa dia ke hospital. Lekas!” kedengaran suara Farhana cemas. Pandanganku kian kelam dan akhirnya menjadi gelap-gelita.
*****
DENGAN perlahan aku membuka mataku yang memberat. Pandanganku kabur. Kepalaku juga masih lagi berdenyut-denyut. Terasa begitu beban untuk aku mengangkatnya.
“Aween, Aween…” sayup-sayup kedengaran suara halus memanggil-manggil namaku. Aku tahu, itu suara Farhana. Mataku masih tidak mampu untuk dibuka lagi. Terasa berat sekali. Aku masih lemah. Rasa sengal-sengal dan bisa-bisa tulang masih menggigit seluruh tubuh badanku.
“Aween, ini aku, Anne. Bangunlah Aween. Bukalah mata kau. Aku tahu kau dengar suara aku. Bangun Ween, bangun,” sayu sekali kedengarannya.
“Anne, janganlah ganggu dia. Biarkanlah dia berehat,” kedengaran suara garau memujuk Farhana. Aku yakin, itu suara Hakimi.
Mataku terpejam semula. Namun begitu, aku masih dapat menangkap setiap butir bicara mereka.
“Bersabarlah, Anne. Kimi yakin dia okey sikit hari lagi. Mungkin dia masih terkejut dan sukar nak percaya dengan apa yang berlaku ni.” Kedengaran suara esakan Farhana. “Tak sangka dia boleh bertindak sejauh ni. Bukannya dia tak pernah kecewa dulu, tapi taklah sampai macam ni sekali!”
“Mungkin cinta ex-boy dia dulu tak sehebat cinta Shazzy, mana tahu?” Hakimi memujuknya. Dan hatiku benar-benar sakit apabila nama itu disebut.
“Nasib baiklah ayahnya masih berada di Jepun. Kalau dia ada, tentu dia kecewa tengok Aween macam ni,” ujar Farhana bersama esakan. Hatiku hiba mendengar kata-kata Farhana itu. Wajah ayah menjelma di ruang mataku. Jelas tergambar rasa kecewanya sambil menggeleng-gelengkan kepala. Dalam keadaan mataku yang terpejam, airmataku masih mampu mengalir di celah-celah kelopak mataku.
“Bila ayahnya pulang?” kedengaran suara Hakimi menyoal.
“Dijangka sampai esok.”
“Habis, bekas-bekas ubat dan puntung rokok yang bersepah kat biliknya tu, macam mana? Dah buang semuanya?”
“Dah, Anne dah kemas biliknya pagi tadi. Semuanya Anne dah bersihkan.”
“Hmm… nasib baik. Kalau ayahnya balik, tak tahulah apa kita nak jawab nanti.”
“Itulah yang Anne sedang fikirkan ni. Kalau ayahnya balik, tengok dia terlantar macam ni, alasan apa yang patut kita beri? Anne betul-betul geram dengan Shazzy. Dia yang timbulkan masalah ni, kita pulak yang runsing. Dah tu main lepas tangan aja. Tengoklah, dah seharian Aween terlantar kat hospital ni. Mana ada dia datang jenguk? Padahal ini semua angkara dia. Kerana dia Aween jadi macam ni!” kedengaran Farhana melepaskan geramnya.
“Shhyy… sabar. Kawal sikit suara tu. Nanti Aween terjaga. Jom, kita duduk luar. Biarkan dia tidur.”
Suasana menjadi hening selepas itu. Aku membuka mataku perlahan. Tubuhku masih kaku, terbaring lesu di atas katil yang begitu asing sekali bagi diriku. Dahiku berkerut menahan rasa denyutan yang mencengkam di kepala. Tanpa disedari, airmataku menitis lagi setitik demi setitik. Sesungguhnya aku menyesal dengan apa yang telah berlaku. Aku sendiri tidak menyangka yang aku boleh bertindak sejauh itu. Padahal, aku sudah dididik oleh kedua orang tuaku sejak kecil lagi. Malah, ustazah yang mengajarku matapelajaran agama sewaktu di sekolah dulu juga pernah berkata yang perbuatan yang mampu memudaratkan diri itu berdosa. Sekiranya kita mati akibat dari perbuatan kita itu, dosanya sama seperti membunuh diri. ALLAH melaknat umatnya yang membunuh diri. Nauzubillah….
*****
AKU terjaga lagi. Dalam keadaan yang samar-samar, aku dapat melihat seorang doktor dan seorang jururawat sedang berdiri di sisiku. Pergelangan tanganku dicapainya. Urat nadiku dipicit. Seketika doktor lelaki itu berkata sesuatu dan jururawat itu pula mencatatkan sesuatu pada sebuah fail. Melihat mataku sudah celik, dia tersenyum.
“Macam mana keadaan cik, sekarang? Masih terasa gangguan emosi lagi?” soal doktor itu lembut. Aku turut mengukirkan senyuman seraya menggeleng kecil.
“Baguslah. Nampaknya ada sedikit improvement. Tapi, awak masih perlukan rehat secukupnya dan banyakkan bertenang. Awak masih lemah,” ujar doktor muda itu. Aku mengangguk lagi. Seketika mereka berlalu.
Belumpun mereka sempat keluar, tiba-tiba kelihatan pintu wad terbuka. Aku terkesima melihat wajah ayah yang menerjah masuk ke wad itu dalam keadaan yang kelam-kabut. Ah, ayah sudah pulang!
“How’s my daughter, doc?” soal ayah agak menggelabah.
“Encik Kamaruddin?” soal doktor itu. Ayah mengangguk.
“Boleh encik ke bilik saya sekarang? There’s something that I want to tell you,” ujar doktor itu kepada ayah.
“But, let me see my daughter first,” pinta ayah. Doktor itu mengangguk.
“Sure.”
Ayah meluru pantas ke arahku. Namun cepat-cepat aku memejamkan mata. Serasakan, aku belum bersedia untuk bersemuka dan bersoal-jawab dengan ayah sekarang ini. Nanti bertambah terganggu fikiranku dibuatnya. Aku tahu yang aku akan dimarahi ayah. Aku akan hadapi saat itu. Tetapi aku belum bersedia untuk menghadapinya sekarang. Biarlah aku benar-benar stabil sebelum menerima sebarang hukuman daripadanya.
“Aween, ayah dah balik,” kedengaran suara ayah berinteraksi lembut denganku. Aku masih seperti tadi. Mataku masih terpejam, namun telingaku dapat mendengar bicara yang terluah dari bibir ayah.
“Aween, ayah datang, sayang. Ayah datang nak jumpa Aween. Ayah rindukan Aween. Ayah tak sabar nak jumpa dengan Aween. Tapi ayah kecewa sebab bukan Aween yang datang menjemput ayah di KL Sentral tadi. Sebaliknya kawan-kawan Aween yang menunggu. Ayah terkejut bila mereka kata Aween masuk wad. Kenapa ni, sayang? Apa yang dah berlaku?” tutur ayah lagi.
Hatiku mulai berbelah bahagi. Sama ada hendak buka mata ataupun tidak. Aku takut hendak menatap wajah ayah, namun dalam masa yang sama aku amat rindukan ayah. Tapi aku takut ayah akan memarahiku. Ayah berlembut begini mungkin kerana hendak mengumpanku supaya membuka mataku dan sekaligus menerima kemarahan darinya. Atau mungkin ayah benar-benar rindu denganku dan ingin berbual-bual denganku. Ah, lebih baik aku membatukan diri begini. Lebih selamat daripada menerima sebarang kemungkinan.
“Aween tidurlah dulu, sayang. Ayah nak jumpa doktor. Nanti bila Aween sedar, kita cakap,” kedengaran suara ayah berkata-kata lagi. Seketika aku merasakan sebuah kucupan hinggap ke dahiku. Hatiku menjadi sayu. Rasa hiba kerana di saat-saat begini, ayah masih mampu menunjukkan rasa kasihnya terhadapku.
Kedengaran bunyi derapan kaki menuju ke arah pintu wad. Seketika kedengaran pula bunyi pintu terbuka dan ditutup semula. Tahulah aku yang ayah baru sahaja meninggalkan wad itu. Suasana menjadi hening kembali. Pantas aku membuka mataku luas, memerhatikan siling yang kelihatan kosong. Tanpa dapat kutahan lagi, aku teresak sendirian. Airmata kian lebat mencurah-curah, mengalir di pipiku dan seterusnya membasahi bantal bersarung putih itu. Ayah, mama, maafkan Aween. Hatiku mendesis sendirian.
*****
MAHU ataupun tidak, aku terpaksa juga bersemuka dengan ayah. Aku sudah tidak dapat mengelak lagi dari ayah ketika aku sedang menikmati makan malam yang telah disediakan oleh pihak hospital. Kedatangan ayah ketika itu benar-benar mengejut.
“Ayah,” panggilku lemah. Tanganku kuhulurkan kepadanya. Ayah menyambut huluran tanganku. Lantas kucium dengan penuh hormat. Wajahnya tampak sayu sekali. Dia mengambil tempat di sisiku. Ubun-ubunku diusapnya dengan penuh kasih sayang.
“Makan?” pelawaku dalam keadaan gugup. Ayah mengangguk lemah. Wajahnya masih sunggul. Aku tahu, dia kecewa. Kecewa dengan sikapku yang terlalu mengikutkan rasa hati. Dan sekali lagi, aku tidak dapat mengawal perasaanku tatkala menatap wajah ayah. Dan aku mulai teresak.
“Ayah, I’m sorry,” ujarku hiba. Ayah tersenyum. Lantas diraihnya tubuhku ke dalam dakapannya. Ku menangis di dalam pelukannya.
“Sudahlah tu, sayang. Yang lepas tu biarkanlah lepas,” ucap ayah lembut.
Seketika pelukan kami terlerai. Aku menyeka airmataku dengan telapak tangan. Aku merenung wajah ayah. Ternyata, wajah itu kelihatan tenang. Langsung tidak kelihatan riak kemarahan. Adakah ayah telah memaafkan aku?
“Aween,” ujar ayah perlahan. Aku masih memandangnya.
“Betul ke Aween ada ambil ubat tidur hari tu? Betul ke Aween merokok?” soal ayah. Namun intonasi suaranya masih lembut kedengaran. Aku bungkam lama. Kutelan air liur yang kelat. Dan seketika aku mengangguk lemah.
“Tapi kenapa?” soal ayah lagi, kali ini kedengaran tegas.
“Aween hilang kawalan,” jawabku ringkas. Ayah menggeleng.
“Ayah tak pernah ajar Aween buat perkara yang bukan-bukan macam tu,” ujar ayah dalam nada kecewa. Dan aku teresak semula sebaik mendengar ungkapan dari mulut ayah itu
“Ayah, Aween minta maaf,” ucapku dalam keadaan yang serak. Ayah menggeleng. Kepalaku diusapnya lagi.
“Aween jangan minta maaf daripada ayah. Tapi, minta ampunlah daripada ALLAH. Ayah memang dah maafkan Aween. Aween anak ayah. Ayah yang membesarkan Aween. Ayah faham naluri dan perasaan Aween. Dah terlalu faham. Aween akan bertindak mengikut kata hati bila Aween rasa kecewa dengan sesuatu. Selalunya, bila Aween dilanda masalah, ayah serta kawan-kawan Aween ada bersama. Tapi hari tu, Aween keseorangan. Sebab tu Aween berani buat sebab tak ada orang nak halang,” tutur ayah panjang.
Aku tertunduk. Sayu hatiku mendengar tuturan ayah itu tadi. Benar-benar menusuk ke kalbuku.
“Aween,” panggil ayah lagi. Pantas kudongakkan kepala memandangnya. Ayah tersenyum. Ah, sesungguhnya senyuman yang terukir dari bibir ayah itu benar-benar menenangkan jiwaku di kala ini.
“Janji dengan ayah?” pintanya lembut. Aku maklum akan maksudnya itu. Segera kuanggukkan kepala laju.
“Janji yang Aween takkan ulangi kesilapan ni lagi?” ujarnya. Aku mengangguk.
“Aween janji, ayah. Aween takkan buat kerja bodoh ni lagi. Aween janji,” ucapku bersungguh-sungguh. Ayah tersenyum lagi. Dan kepalaku diraihnya semula ke dalam dakapannya. Dan sebuah ciuman turut hinggap di kepalaku. Aku tersenyum lega. Syukurlah, ayah tidak memarahiku. Tentu ayah ingin memberikan aku peluang untuk memperbaiki kelemahanku itu. Sesungguhnya, takkan aku ulangi lagi kesilapan besar yang telah kulakukan ini. Itu janjiku. Bukan sahaja kepada ayah, malah kepada ALLAH jua.