MALAM
kian merangkak sepi. Aku keluar dari bilik air sambil mengirai-ngirai rambutku
yang basah. Terasa tubuhku begitu segar dan nyaman setelah beberapa minit
bersiraman dengan air suam-suam kuku.
Kakiku terus melangkah ke tepi
tingkap. Jendela kaca itu kukuak perlahan. Sepantas kilat angin malam menerobos
masuk, mendinginkan suasana kamarku. Aku hanya berdiri di situ, membiarkan sang
bayu meniup tubuhku yang hanya dibaluti rob
mandi. Suamiku masih belum pulang dari pejabatnya. Katanya dia terpaksa membuat
kerja overtime untuk mengemaskinikan
akaun bulanan setelah tiba hujung bulan. Namun aku masih setia menanti
kepulangannya dengan penuh sabar dan debaran di dada.
Kedinginan malam kian menggamit.
Seketika kupejamkan mata rapat, cuba
menghilangkan segala kekusutan yang kualami sejak dari siang tadi. Hatiku cukup
kacau setelah mendengar perkhabaran dari Doktor Hazim, seorang pakar perbidanan
dan sakit puan siang tadi. Sungguh tidak kusangka, begitu hebat sekali dugaan
Tuhan terhadap diriku pada kali ini.
“Setelah pemeriksaan demi
pemeriksaan yang saya dah jalankan ke atas puan, saya dapati ada ketumbuhan
tumor pada pangkal rahim puan. Dan setelah diteliti, saya dapati tumor itu
adalah sel kanser.” Penerangan doktor itu masih terngiang-ngiang di gegendang
telingaku ini. Aku menjadi kalut. Cemas, risau, gerun, semuanya bercampur-baur.
Seperti yang telah diketahui umum, penyakit itu merupakan pembunuh nombor dua
kaum wanita selepas kanser payudara.
“Apa? Di pangkal rahim saya ada
kanser?” soalku seakan tidak percaya. Doktor Hazim mengangguk. Aku menggeleng
laju. Seluruh tubuhku menggigil ketakutan.
“Tidak, doktor. Tak mungkin!”
bentakku dalam suara yang agak terkawal. Doktor Hazim menghelakan nafas berat.
“Saya faham, puan. Puan sukar hendak
menerima berita ini. Malah menurut pengalaman saya sebelum ini, ramai wanita
yang menghidapi kanser seperti puan pada mulanya sukar hendak mempercayai yang
sel itu sedang aktif di dalam tubuh mereka,” terangnya menenangkanku. Aku
mengeluh. Terlalu berat untuk aku menerima berita yang menakutkan ini.
Aku melangkah perlahan menuju ke katil. Airmataku
mulai menitis keluar. Rasa sedih dan takut silih berganti. Sebaik kepalaku
dipaling ke tepi, serta-merta pandangan mataku bertembung dengan sebuah bingkai
gambar yang terhias cantik di sisi katil. Pantas kucapai bingkai gambar
tersebut. Semakin sayu hatiku menatap gambar tersebut. Oh, mama… hatiku
merintih. Sama sekali tidak kusangka yang aku akan mewarisi penyakit yang
pernah dideritainya di suatu ketika dahulu. Dan penyakit itu jugalah yang telah
meragut nyawanya di saat dia melahirkan adikku. Fikiranku melayang,
mengenangkan kisah silam yang sentiasa segar di dalam kotak ingatanku.
Masih kuingat lagi, ketika itu usiaku baru
menjangkau tujuh tahun. Di suatu malam, aku terjaga dari lena sebaik terdengar
suasana riuh dari arah ruang tamu rumah kami. Aku bangkit, lalu dengan perlahan
kubuka pintu bilikku. Satu demi satu langkahku diatur menuruni anak tangga. Aku
ingin melihat, apa yang sedang berlaku di bawah.
“Imah, tolong tengokkan rumah. Esok kalau Aween
tanya ke mana kami, katakan kami di hospital,” kedengaran suara ayah memberi
pesanan kepada Kak Imah, pembantu rumah kami.
“Baik, encik.”
Baru kutahu, sudah tiba masanya untuk mama
melahirkan kandungan keduanya itu. Dari dalam kulihat ayah tergesa-gesa keluar
menuju ke anjung kereta. Pantas aku berlari mengejarnya dari belakang.
“Aween! Aween, nak pergi mana?” laung Kak Imah
seraya mengejarku.
“Ayah, ayah! Aween nak ikut,” jeritku. Langkah ayah
terhenti, lalu menoleh ke belakang mengadapku. Aku memandang ayah dengan penuh
berharap. Ayah pula merenungku dengan pandangan yang sayu.
Aku melihat mama yang sudah pun berada di dalam
kereta. Wajah mama yang berkerut menahan sakit itu tampak pucat sekali.
“Aween nak ikut, ayah,” pintaku lagi. Ayah lalu
melangkah menghampiriku. Dia menyangkung, melawan panahan mataku. Kepalaku
diusapnya dengan penuh kasih.
“Tak boleh, sayang. Aween tak boleh ikut. Ayah cuma
nak hantar mama ke hospital aja. Bukannya ke mana pun. Kesian mama sakit,”
pujuknya lembut.
“Alah, Aween nak ikut jugak,” aku tetap berdegil.
Ayah menggelengkan kepala.
“Tak boleh. Aween tak boleh ikut. Esokkan Aween
sekolah?”
“Tak payah pergi sekolah!” kataku tegas. Ayah
merenungku.
“Aween, ayah tak suka anak ayah ponteng sekolah,”
tegas ayah.
“Alah, nanti cakaplah kat cikgu yang Aween tengok
mama kat hospital,” rengekku. Ayah menghelakan sebuah keluahan yang berat.
“Aween, dengar cakap ayah. Aween tak payah ikut.
Jangan ingkar,” tegas ayah lagi. Aku terdiam. Seketika airmata berlinangan
keluar dari tubir mataku. Melihat aku mulai tersedu, ayah segera memelukku.
“Aween, ayah janji. Esok ayah jemput Aween balik
sekolah. Lepas tu kita ke hospital tengok mama, ya sayang?” pujuk ayah.
“Ayah janji?”
“Ya, ayah janji. Dah, pergi masuk tidur. Dah lewat
sangat ni. Esok Aween nak ke sekolah.” Pelukan ayah terlerai. Aku menghantar
pemergian ayah dan mama dengan ekoran mata yang sayu.
Keesokannya, sebaik waktu persekolahan tamat, aku
berkejar ke luar pintu pagar sekolah. Kulihat ayah sudah pun menungguku. Aku
berlari mendapatkannya. Sebaik enjin dihidupkan, kereta yang dipandu ayah terus
meluncur membelah jalanraya.
“Ayah, mama macam mana?” soalku. Ayah menghelakan
nafas berat. Matanya masih tertacap di tengah jalanraya.
“Aween, kita pergi makan dulu, ya?” ayah mengubah
topik.
“Tak nak. Aween tak nak makan. Aween nak tengok
mama,” rengekku.
“Aween tak lapar?” soal ayah. Aku menggeleng.
“Ayah, mama macam mana? Dapat baby apa?” soalku lagi. Sekali lagi ayah mengeluh. “Aween dapat
adik lelaki,” kata ayah. Aku tersenyum gembira.
“Eee… bestnya.
Esok boleh Aween main dengan adik, kan
ayah?” aku bersuara riang. Ayah memandangku tanpa reaksi. Wajahnya tidak
menunjukkan riak ceria. Aku memandangnya kehairanan.
Sambil memimpin tanganku, ayah bergegas mendapatkan
doktor yang baru keluar dari Unit Pembedahan itu.
“How’s my
wife, doc?” soal ayah agak cemas. Aku memandang kedua lelaki di hadapanku
dalam keadaan yang terpinga-pinga. Doktor muda itu membuka cermin mata bingkai
tebalnya seraya menggosok-gosok matanya.
“Doctor,
what’s wrong with my wife?” soal ayah agak keras. Doktor itu mengeluh
berat. Kulihat ayah begitu kalut memandangnya.
“I’m so sorry,
Encik Kamaruddin. Kami dah cuba
berusaha, tetapi kami gagal untuk menyelamatkan isteri encik. Saya suggest baik encik masuk dan berjumpa
dengannya. Ajar dia mengucap. Dia sedang nazak,” tutur doktor itu dengan penuh
berhati-hati.
Dadaku berdegup kencang sebaik mendengar perkhabaran
itu. Kulihat nafas ayah turut berombak. Dengan pantas dia berlari masuk ke
dalam unit tersebut. Aku menurutinya dari belakang. Ya ALLAH, Ya Tuhanku…
sesungguhnya Kau berikanlah kekuatan ke atas diriku untuk menghadapi ujianMu
ini. Tabahkanlah hati ayah serta seluruh kaum keluargaku.
Hatiku dirundun pilu melihat ayah menggenggam erat
tangan lesu mama. Airmataku sudah tidak dapat ditahan lagi dari terus mengalir.
“Azean,” dengan perlahan ayah memanggil mama.
“Maafkan segala salah dan silap abang, Yan. Abang jugak maafkan Yan walaupun
Yan tak pernah melakukan dosa terhadap abang. Abang halalkan segala-galanya,”
tutur ayah sebak. Dan dengan teliti ayah mengucap dua kalimah syahadah ke
telinga mama. Begitu sukar sekali mama menyebutnya. Ayah terus mengajarnya
tanpa berputus asa.
“Lailahaillallah…” akhirnya terucap juga kalimah itu
dari bibir lesu mama walaupun agak payah. Akhirnya, mama pergi jua dijemput
Ilahi.
Innalillahhiwainnailaihirajiun... Aku tersedu di
sisi jenazah mama. Dengan perlahan, ayah menutupi seluruh jasad mama dengan
kain putih yang menyelimuti separuh dari tubuh arwah. Pantas ayah menyambar
tubuhku. Aku menangis teresak-esak di dalam dakapan ayah. Kini, aku mulai sedar
yang aku telah kehilangan mama buat selama-lamanya. Hanya pada ayah sajalah
tempat aku menumpang kasih. Sesungguhnya, aku redha dengan ketentuan ini. Aku
akan sentiasa merindui kasih sayang dan belaianmu, mama…