Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 10

Dia segera mendapatkan komputernya lalu duduk menaip. Segala apa yang dilaluinya dicoretkan. Demikian juga perbualan mereka berdua. Beberapa jam kemudian, Maya berhenti untuk berehat di samping mahu melapangkan fikiran. Ketika ini dia terfikir-fikir hendak mencari jalan permulaan untuk membongkar misteri yang menyelubungi kejadian ngeri tersebut.

“Siapa Zurhan dan suara halimunan itu sebenarnya? Mengapa mereka berdua hadir sewaktu aku sedang sibuk menulis manuskrip mistik ni?” Maya mudik ke balkoni. “Dan siapa pula lembaga berjubah dan lelaki gondok tu?” suanya lagi semakin bingung diasak persoalan demi persoalan. Maya menoleh ke belakang pabila terdengar suara seseorang mengguman kasar. “Awak ke tu suara?” tanyanya. Pandangan meliar ke semua ruang bilik.

Tiada tindak balas. Lama Maya ternanti-nanti hingga akhirnya mengabaikan bunyi pelik tadi. Masa beredar pantas. Beberapa hari ini Maya agak sibuk menulis. Pagi ini Maya cuba meluangkan masa untuk mengunjungi kedai siber. Dia mahu mencari beberapa maklumat mengenai insiden yang membabitkan Zurhan dan suara halimunan tersebut. Dia ingin mengenal pasti mangsa-mangsa yang terlibat untuk memudahkannya membongkar kejadian sebenar.

“Mesti keratan akhbar tu dah berusia tiga bulan,” bisik Maya tanpa suara. Dia segera membuka laman www.newsabahtimes.com.my. Namun apa yang dicari masih tidak dijumpai. Maya berasa tertekan dalam diam. “Mustahil tak ada.” Maya tidak berpuas hati. Remaja yang duduk di sebelahnya memandang dengan muka berkerut. Maya tidak mengendahkannya malah merungut lagi.

“Tajuk apa yang akak cari?” Tak tertahan remaja tersebut bertanya. Maya seperti teragak-agak sewaktu memandangnya. Sambil merapikan bingkai cermin matanya Maya bersuara. Remaja tersebut angguk-angguk lalu mengambil alih papan kekunci. “Nampaknya maklumat mengenai kejadian tu dah dipadamkan. Tak mengapalah, nanti Kazumi tolong carikannya untuk akak.”

“Ha?” Maya berasa hairan. “Muka nampak Melayu tapi nama macam orang Jepun.” Kazumi tersenyum kecil lantas menjelaskan bahawa namanya hanyalah sekadar nama timangan. Nama olok-olok yang akhirnya menjadi sebati dalam dirinya. Mereka berdua kemudiannya bertukar-tukar nombor telefon. Kazumi berjanji akan cuba membantu Maya.

“Susah betullah nak jumpa Maya sekarang ni,” rungut Munira. “Kami bercadang nak jumpa awak petang tadi tapi kami pula yang tak dapat.” Pandangannya beralih arah pelayan perempuan yang datang untuk menghantarkan makanan yang dioder oleh mereka tadi. Ketika ini mereka bertiga berada di Anjung Selera yang terletak berhampiran Teluk Likas. Tempat ini dibuka sehingga jam 1 pagi.

“Kau macam tak cukup tidurlah Maya. Hmm... kau masih dihantui mimpi-mimpi buruk tu ke?” tanyanya selepas pelayan perempuan itu beredar. Ketika ini dia sedang mengetuk-ngetuk permukaan meja dengan siku jari telunjuk sebelah kiri. Maya sekadar mengguman. Sementara Jiah pula tidak berkata apa-apa lantaran sibuk membalas mesej dari kawannya. “Harap-harap mimpi awak tu tak seteruk sebagaimana sebelum ni.”

“Buat masa ni belum ada lagi yang seteruk dulu. Tapi rasanya aku dah pandai mengawal perasaan takut sekarang ni.”

“Baguslah,” kata Munira sepatah. Mereka tidak banyak berbual kerana sibuk bermain fikiran. Selesai berbual ala kadar, Jiah dan Munira menghantar Maya balik.

“Kalau ada apa-apa yang tidak kena, jangan lupa hantar mesej okey,” pesan Jiah. “Oh ya! Ada kawan aku beritahu bahawa mereka ada ternampak sekumpulan pegawai polis berlegar kat kawasan kemalangan tempoh hari. Aku rasa, kemungkinan besar nahas ngeri yang berlaku tiga bulan lepas akan disiasat semula. Sementara lelaki yang menyergah awak tu pula kini dalam perhatian pakar Psikiatri. Dia masih mendakwa yang awak memang berada kat situ dan saksi utama kejadian tersebut.”

Maya menghela nafas. Pandangannya menghempap Munira sejenak sebelum menyibak tirai kata. “Bagaimana pula dengan pemilik kereta Exora tu?”

“Dia meninggal dunia selepas dua hari tidak sedarkan diri. Pelik, dia mati dalam keadaan mata terbelalak.” Demikian penjelasan Jiah. Maya terkejut lalu segera membisikkan secebis ayat Al-fatihah sebagai sedekah buat arwah. Munira menarik nafas. Dia tidak berkata apa-apa sebagai ulasan terhadap perkara yang sedang dikupas oleh Jiah.

Walau sebenarnya dia ada mengikuti laporan mengenai kejadian dan kedua mangsa kemalangan tersebut. “Sebenarnya kunci kejadian ngeri tiga bulan lepas masih dalam keadaan koma sekarang. Tiada sesiapa pun yang tahu mangsa yang terselamat itu berada di mana. Semua maklumat mengenai mangsa tu disorokkan demi keselamatannya. Almaklum, di samping kejadian nahas itu, dia juga menjadi mangsa culik.”

“Nampaknya awak lebih tahu dari aku,” kata Maya seperti kesal pula.

“Itulah awak asyik berperap dalam rumah je. Sekali-sekala luangkanlah masa menonton televisyen atau membaca akhbar tempatan,” tempelak Munira pula lantas mentertawakannya. “Jomlah. Dah malam sangat ni,” ajaknya. Jiah mengangguk. Sesudah mengucapkan selamat tinggal, Opel Zafira miliknya pun beredar pergi. Manakala Maya pula segera memasukkan anak kunci ke dalam lubang mangga. Dia melangkah masuk dan menghidupkan suis lampu.

“Masih awal lagi,” bisiknya setelah mengintai jarum pendek jam dinding. Walhal ketika ini jarum jam tepat menuding angka 2 pagi. Maya cepat-cepat menukar baju selepas menghidupkan komputer. Berselang seminit, dia dah pun duduk menghadap skrin komputer dengan kedua mata terbuka luas. Maya tiba-tiba teringatkan sesuatu lantas ke dapur untuk membancuh semug minuman.

Ketukan bertalu-talu di pintu menyentakkan Maya. Dia segera mengintai melalui tingkap dapur dan terkejut tatkala melihat Zurhan terpacak di luar. “Zurhan rupanya. Mimpi apa pula dia datang waktu-waktu begini?” monolognya lantaran dihempuk rasa hairan. Tambahan pula dirasakannya kedatangan Zurhan pada kala ini amatlah tidak wajar. Zurhan yang terlihatnya menjengah di tingkap dapur tadi tidak lagi mengetuk. Dia berdiri diam-diam sambil berpeluk tubuh. Dia berasa sejuk sungguh.

“Maaf sebab datang pada masa-masa begini.” Zurhan tersenyum. Pandangannya telus ke anak mata Maya lalu tembus ke dalam hati gadis itu. “Tentu Maya masih ingat kata-kata ni?” Maya dibidik rasa pelik.

“Kata-kata mana pula?” Gadis itu kebingungan. Zurhan tersenyum kecil.

“Boleh aku masuk? Sejuklah kat luar ni,” katanya. Maya baru teringatkan sesuatu lantas mempersilakannya masuk dengan senyum buruk tersua di bibir.

“Kata-kata tu ialah... aku berasa terseksa begini. Hidup dalam minda awak tanpa segeluk kehidupan. Aku bagaikan pelarian yang terkapa-kapa dalam lautan khayalan milikmu. Karam tanpa sempat memudikkan kebenaran,” bisik Zurhan seraya tersenyum lagi. Maya bertambah keliru namun tidak memahat walau secarik kata.

“Kerana ungkapan inilah aku berusaha untuk mendapatkan awak. Aku ingin menjejak kebenaran yang terbina dan akhirnya menjumpai gadis misteri itu iaitu awak. Aku benar-benar bersyukur dan tak akan mungkin melepaskan peluang ini. Walau sebenarnya peluang itu dah lama terkambus.”

Maya tergelak sinis dan agak lirih. “Aku tak pernah menulis ungkapan itu. Mungkin awak tersilap orang.”

“Tidak Maya. Aku lebih dari yakin bahawa awaklah penulis bicara indah penuh misteri itu.”

Maya tiba-tiba tergelak sumbang namun bunyinya semacam kelucuan. “Kelakarlah awak ni.” Bingkai cermin matanya ditanggalkan.

“Sebenarnya awak seorang gadis yang cantik Maya.” Zurhan tersenyum dan gelagatnya seperti mahu menyisihkan bilah-bilah rambut yang menghiasi pelipis Maya. Maya cepat-cepat berundur sambil mengenakan semula cermin matanya. “Kau macam takutkan aku?”

“Sebab perangai awak menakutkan aku. Awak janganlah bersikap macam ni. Kita kan cuma kawan.” Maya seperti hendak mengingatkan. Zurhan menarik nafas lantas berkata maafkan aku. “Tau tak, aku berasa terhina bila awak cakap aku ni cantik. Aku sedarlah siapa diri aku ni. Awak tak usahlah cakap lebih-lebih macam tu pula,” marah Maya. Wajahnya berubah masam.

“Maafkanlah aku, Maya. Aku tak berniat nak menghina awak atau apa-apa juga sebagaimana yang Maya sangkakan. Aku cakap macam tu sebab memang betul. Maya sebenarnya seorang gadis yang cantik. Cuma masalahnya sekarang Maya sendiri yang tak menitik beratkan soal penampilan Maya.” Pandai pula Zurhan menjebaknya. Senyumnya menguntum pabila melihat Maya seperti terpegun pula.

“Tak mungkin.” Maya menafikan.

“Tiada apa yang mustahil kerana Maya juga seorang wanita. Wanita umpama sebutir permata. Semakin digilap semakin terserlah. Demikianlah juga diri Maya. Maya cuma perlukan sentuhan untuk menjadi seorang gadis yang cantik.” Maya kehilangan kata-kata. Ternyata lelaki itu bijak menawan hatinya hingga melumpuhkan urat saraf fikirnya.

“Walau bagaimana pun aku lebih suka menjadi diri aku yang sebenarnya. Aku senang dan selesa dengan penampilan begini kerana bagi aku itulah diriku yang sebenarnya.”

“Betul cakap Maya tu. Oh ya Maya, aku...” kata-kata Zurhan terpangkas apabila angin tiba-tiba berhembusan kasar. Pintu balkoni yang entah sejak bila terselak menghempas ke dinding bilik. Maya cepat-cepat bangun lalu menghilang ke bilik untuk menutup pintu balkoni. Setelah selesai, dia kembali semula ke ruang tamu. Dia terkejut apabila mendapati Zurhan sudah tidak berada di situ.

“Eh, ke mana pula perginya dia ni?” bisiknya pada hening suasana. Tunaknya meliar. Mencari-cari batang tubuh Zurhan. Dijengahnya dapur kemudian berganjak arah pintu. Dilihatnya pintu berkunci dari dalam. “Agaknya aku cuma berhalusinasi tadi. Kalau benar Zurhan datang, kenapa pula dia tiba-tiba hilang? Pintu pula ternyata terkunci dari dalam. Mustahil Zurhan boleh keluar tanpa membuka kunci pintu terlebih dulu. Huh!”

Keluhnya lantaran bingung. Dia bergegas ke dapur sambil menolak rambutnya ke belakang. Mug yang tergeletak sepi berhampiran sinki diambilnya. Air panas yang bergenang di dalam ternyata masih berasap. Tanpa bertangguh, Maya segera membancuh minuman kemudian bergerak hala bilik. Komputer yang sudah terpasang kelihatan setia menantinya. Dua jam kemudian, Maya masuk tidur. Tambahan pula waktu ini hari dah dinihari. Sebentar lagi mentari akan memperagakan diri.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.