Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 31

Zak ketawa perlahan. “Engkau ni lucu betullah Maya. Tau tak, masa Maya telefon.. aku ada kat depan Maya je. Aku tengok muka Maya macam malas je nak bersembang dengan aku,” katanya perlahan.

“Betul. Aku memang malas nak berbual dengan orang yang macam mayat hidup je. Tak ada respon.”

“Ada. Aku hembus nafas kuat-kuat sebagai tindak balas terhadap kata-kata Maya. Umi gembira. Ketika ini mereka berdua berada kat sebelah aku je. Oh ya, bagitaulah fasal Zurhan. Aku nak dengar.” Dikerlingnya telefon bimbitnya yang tersadai atas meja komputer. Maya yang sedang menaip berhenti sekejap. Dia menghela nafas seraya menuturkan semua kejadian pelik yang berlaku dalam bilik tersebut sebelum menyatakan firasatnya mengenai Zurhan. “Maksud Maya, Zurhan dah lama mati ke iaitu sebelum kejadian penculikan termasuk nahas ngeri itu?”

“Ya Zak. Kan Zurhan cakap yang dia telah menyerang lelaki itu. Namun kekuatan lelaki itu yang ternyata jauh lebih kuat darinya telah membuatkannya tewas. Lelaki itu kemudiannya menghentam kedua batang kakinya menggunakan sebatang kayu hingga patah. Demikian juga mayat yang aku nampak tu. Kedua batang kakinya patah. Sementara kepalanya pula terkulai ke depan seperti telah diputar hingga patah. Tak cukup tu badannya pula ditikam beberapa kali. Mayat itu kemudiannya diheret dekat pintu sebelum dibungkus dengan kain cadar kalis air.”

“Huh... zalim sungguh. Lepas tu?” Zak berdebar-debar.

“Lepas tu aku tak tahu. Gambaran tu berlaku setakat di situ saja. Jadi aku rasa... yang menelefon awak tu cuma hantu Zurhan. Dia ingin benar berjumpa dengan awak. Dia berniat baik dan sekadar mahu melepaskan awak dari jebak Imelda. Tetapi sayangnya, kasadnya tak kesampaian setelah nadinya dipepat sebelum waktunya.”

“Patutlah dia cakap yang dia jadi saksi terhadap nahas tu.”

“Selain jadi saksi, dia juga punca nahas tu berlaku. Sekarang dah jelas dah, Zurhan bukan salah seorang mangsa dalam kemalangan ngeri tu. Zurhan juga bukan lelaki tinggi lampai yang awak nampak merangkak keluar dari kereta pertama tu.”

“Kalau memang benar hanya rohnya berada di situ... kenapa pula dia tak nampak muka semua mangsa? Lagi satu macam mana pula dia tak habis menonton semua kejadian dari A sampai Z? Sebagai entiti, dia sepatutnya nampak semua kejadian termasuk mangsa-mangsanya sekali,” pertikai Zak.

Maya ketawa perlahan. “Memanglah dia tak nampak sebab dia telah mati untuk kali kedua. Ini adalah perkara biasa buat mereka yang tidak menyedari kematian mereka. Mereka berasakan diri mereka seolah masih hidup sebagaimana manusia biasa. Agaknya Zurhan telah dirempuh oleh kereta pertama sebelum mati buat kali kedua.”

“Ya. Betul juga cakap awak tu. Jadi macam mana sekarang?”

“Maksud Zak?” Bingkai cermin matanya ditanggalkan. Dia kemudiannya menggosok kedua kelopak matanya dengan birai baju. Ada keletihan mengempar dalam danau matanya. Zak berasa kesian pula melihatnya begitu.

“Mayat Zurhan. Tentu mayat tu telah disorokkan oleh konco Imelda. Barangkali mayat tu telah dicampakkan berhampiran kawasan nahas.”

Maya angguk-angguk. “Aku akan periksa nanti. Sekarang ni aku tengah menantikan kiriman Kazumi.”

“Benda tu belum sampai-sampai lagi ke?”

“Belum,” sahut Maya sepatah. Dia berganjak ke birai tingkap pabila tertangkap bunyi pasir bertaburan atas bumbung. “Gerimis,” bisiknya. Pandangannya dilemparkan sesayupnya. Dia terkejut apabila ternampak Amirul tercancang sebatang di tubir pagar.

“Orang gila,” kata Zak perlahan.

Maya terkejut. “Awak nampak dia macam orang gila ke?”

“Ha ah. Orang gila yang macam dah lama reput dalam liang lahat. Dah lah, mungkin dia tu hantu seseorang.” Maya terasa lengannya dipaut. Dia terpaksa mengikut arah Zak. “Kita ke bilik aku kejap. Ada benda aku nak tunjukkan.” Maya tidak berkata apa-apa. Langkahnya ditandu hala luar dan dia terkejut apabila melihat Jiah tercongol di hujung tangga dengan muka terpanggung arahnya.

“Kenapa Maya macam tu?” Jiah hairan tatkala melihat lengan Maya terhulur seperti seseorang sedang mengheretnya pergi. Maya serba tak kena. “Awak okey ke Maya?” Keningnya bertaut satu. “Peliklah awak ni,” keluhannya terhambur. Sambil menggeleng-gelengkan kepala, Jiah menyuruhnya bersiap kemudian menghilang di tingkat bawah.

“Tengok. Jiah dah salah faham.” rungut Maya sambil menarik lengannya. Zak ketawa perlahan lantas mengajaknya meneruskan haluan.

“Cuba Maya tengok gambar ni. Ada perbezaan tak?” Dua keping gambar milik Imelda dihamparkan atas meja tulis. Maya memandang kedua gambar tersebut silih berganti.

“Perbezaan apa pula? Gambar ni nampak sama je pun.”

“Cuba Maya tengok betul-betul...” suruh Zak lantaran tidak berpuas hati. Maya menajamkan mata. “Alah patutlah rabun dekat. Rupanya mata kedua Maya tertinggal kat meja komputer.” Zak mentertawakannya. “Awak bawalah gambar-gambar ni kat bilik dan cari perbezaannya.”

“Kalau tak ada?”

“Mesti ada.” Waktu yang sama kedengaran telefon bimbit milik Zak berdering. “Cepat pergi sambut. Tu panggilan dari umi,” gesa Zak. Tanpa bertangguh Maya mengutip kedua keping gambar itu kemudian beredar keluar.

Auntie nak ucapkan terima kasih.” Puan Sri terus saja meluahkan hasratnya dengan suara gembira.

“Mengapa pula auntie nak ucapkan terima kasih?” Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Demikianlah kiranya gelagat Maya.

Puan Sri ketawa perlahan. “Selepas detik tu Zak dah mula menunjukkan tindakan positif. Doktor pakar psikiatri yang merawatnya juga berkata bahawa sekarang ini Zak hanya menanti masa untuk celik. Auntie dan uncle amat gembira dan mengucapkan berbanyak terima kasih atas bantuan...” Kata-katanya terhenti sekejap. “Boleh auntie tau anak ni nama apa?” suanya dengan suara lembut dan lunak.

“Maya,” beritahu Maya sepatah.

“Maya? Cantik nama Maya. Terima kasihlah Maya atas bantuan tersebut. Auntie dan suami amat menghargainya.”

“Sama-sama auntie.” Maya tersenyum lebar selepas perbualan mereka berdua ternoktah. Dia ingin mendapatkan Zak semula namun kemunculan Jiah memangkas kasadnya. “Kejaplah. Aku tengah bersiaplah ni,” katanya sambil menyorokkan kedua keping gambar tersebut. Jiah mendengus perlahan lantas berpatah semula ke tingkat bawah. Manakala Maya terus saja bersiap.

Puas mereka berdua menanti. Namun Munira masih tidak muncul sebagaimana yang telah gadis itu janjikan. Setengah jam kemudian, Jiah mula berkeluh-kesah lantaran kejenuhan. Segelas minuman diodernya lagi untuk mengusir kebosanan yang mula terasa membesit diri. Manakala Maya pula berusaha bersabar walau hatinya mula berbahang.

“Telefon kita pun tak?” Jiah mengisar punggung dan membiarkan tubuhnya menghadap arah lain. Waktu ini suasana dalam restoren tersebut tidaklah sesibuk mana. Hanya kelihatan beberapa orang pelanggan sedang khusyuk menikmati santapan. “Sekurang-kurangnya kita tak perlu berlagak seperti orang bodoh kat sini,” rungutnya lagi sebagai kesinambungan ayat sebelum ni. Maya masih tidak bereaksi. Entahkan enggan atau pun sengaja membatu dan membiarkan Jiah kelemasan dalam lubuk kemarahan. “Engkau dengar ke tak ni? Diam je dari tadi.” Ternyata sikapnya melahirkan rasa di hati Jiah.

“Bertenang sajalah. Nak buat macam mana. Kita tunggu jelah.”

“Nak tunggu sampai bila? Budak gempal tu tahu je berjanji tetapi tak pandai menunaikannya.” Rengusannya bertabur. Walaupun dalam nada yang cukup perlahan namun kilau matanya berjaya menarik perhatian salah seorang pelanggan dalam restoren tersebut.

“Mungkin dia ada masalah,” kata Maya dalam nada bersahaja. Dia tidak mahu memarakkan lagi kemarahan gadis itu dengan meladeni kata-katanya. Panggilan telefon dari Azhan menggamit pandangan Jiah. “Kami sedang tunggu dia. Kenapa?” Maya melarikan pandangan pabila Jiah memandangnya.

“Kamu berdua ada dekat mana sekarang?”

“Yang kau nak tahu lokasi kami kenapa? Cakap sajalah apa yang kau nak cakapkan,” desaknya kejengkelan.

“Memang aku nak cakap tapi bukan dalam talian telefon ni. Kalau boleh biarlah secara bersemuka. Tindakan ini lebih baik dari berbual dalam corong telefon.” Azhan meningkah. Waktu ini dia sudah pun bertenggek atas motornya.

Keluhan Maya kedengaran. “Penting sangat ke awak nak jumpa kami berdua ni?”

“Lebih dari penting. Please Maya. Aku tahu Maya masih marah dan bengang tapi tolonglah bagi muka kali ini. Lagipun hal ni memang berkaitan dengan kehidupan mistik Maya.”

Maya ketawa sinis. “Ya ke? Sampai begitu sekali firasat awak.” Dikerlingnya Jiah yang kini sedang memandang curiga. “Kami berada kat restoren Selera di Indah Permai. Awak datanglah. Itu pun kalau masih sempat. Kami pun dah nak pergi ni.”

“Alah! Tunggulah aku kejap.” Azhan cepat-cepat memutuskan perbualan. Topi keledar yang turut bertenggek di depannya disarungkan ke kepala. Dia kemudiannya menghidupkan enjin motor dan memecut. Ferdy dan seorang kawannya yang berada tidak jauh dari situ hanya memerhatikan gelagatnya. Mereka berdua menyulam kata selepas itu. Membualkan rancangan yang nampaknya menemui kegagalan berikutan tindakan bodoh seorang kawan lagi.


Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.