Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 15


Akhirnya Syah mengajaknya pergi selepas mengintai jarum pendek jam tangan. Mereka berdua beredar meninggalkan lokasi tersebut. Termasuk meninggalkan insan-insan tadi yang bergelandangan di sekitar mereka. Selesai bersantap, Syah mengajak Maya membeli beberapa pasang pakaian. Maya tiada halangan kerana dia memang memerlukan pakaian-pakaian yang baru. Tambahan pula, dia memang bersikap lurus dalam sesetengah perkara.

“Cukuplah. Dah banyak ni,” katanya kebimbangan.

Syah sekadar tersenyum. “Belum banyak lagi tu. Maya perlukan sejumlah pakaian.”

“Yelah tu. Mentang-mentanglah semua baju Maya buruk.”

“Bukan macam tu. Maya ni selalu sangat buruk sangka. Nah ambil duit ni, Maya kena bayar baju-baju ni sendiri.” Syah terkekeh seperti kelucuan. “Keluarga Tan Sri memang memerlukan seseorang yang rapat dengan Zak. Aku rasa mereka tak akan peduli siapa pun Maya yang penting Zak tercelik dari lenanya. Kita andaikan saja mereka tergolong sebagai insan-insan yang terdesak ketika ini. Oh ya minggu depan ni aku nak Maya pindah kat Bandar Sierra.” Maya terkejut mendengarnya. “Zak ada membeli sebuah rumah di tempat tu tanpa pengetahuan keluarganya. Maya tinggallah kat situ buat sementara waktu.”

“Imelda tahu ke fasal rumah tu? Nanti tak fasal-fasal hilang batang hidung aku olehnya.” Risau benar hatinya namun dia tidak menolak jika disuruh tinggal kat tempat tu. Sekurang-kurangnya memori Zak akan pulih apabila datang menjelanginya nanti. Syah segera mengajaknya minum di sebuah kafe dan menyambung perbualan tadi.

“Sebenarnya aku tak senang hati apabila melihat awak tinggal dalam kawasan setinggan seperti itu. Kau berkorbanlah dalam sedikit masa ni selagi berpeluang melakukannya. Cari sesuatu dalam rumah tu untuk membantu Zak.”

“Kalau keluarga Zak tahu tentu mereka akan menyangka aku ni mata duitan dan pisau cukur.”

“Maya janganlah berfikir macam tu. Selagi hayat masih dikandung badan, selagi itulah aku tak akan benarkan sesiapa pun mengusik Maya. Lagipun bukan senang nak cari kawan yang sanggup berkorban macam awak ni. Seharusnya aku dan keluarga Tan Sri menghargai dan tak akan mensia-siakan pertolonganmu itu. Tiada apa yang lebih penting dan bermakna selain melihat keberhasilanmu untuk mencelikkan Zak dari lena yang panjang,” kupasnya panjang lebar. Ada kesungguhan melimpah-ruah dari kolam matanya. Maya tersenyum mendengarnya.

“Yelah.” Ice mocha yang terhidang dihirupnya. “Cantik ke rumah Zak tu?” ajunya mengalihkan tajuk perbualan.

Syah tersenyum seraya mengangguk. “Rumah tu memang sesuai untuk gadis kesayangan Zak.”

“Aku bukan gadis kesayangan dia. Aku ni kawan dia dan awak je... tak lebih dari itu.”

“Ya aku faham. Tapi macam mana kalau Zak tiba-tiba jatuh hati selepas terjaga? Apa yang Maya akan lakukan? Ni soalan cepu emas tau.” Syah ketawa perlahan. “Jawablah.”

“Tak perlulah. Aku bukannya ada hayat yang panjang lagi.” Maya berpura-pura bersedih. Syah nampak terkilan tatkala melihatnya begitu. Lelaki itu kemudiannya meminta maaf. “Aku nak tengok tempat tu, boleh ke?” Kini Maya berasa tak sabar-sabar pula.

Syah tersenyum. “Boleh. Tak ada masalah. Maya nak pindah minggu ni pun boleh.” Maya tergelak riang. Dia semakin tak sabar-sabar lantas mengajak Syah pergi selepas itu. Syah akur dan tanpa Maya sedari gelagatnya mendapat perhatian seseorang yang kebetulan duduk tidak jauh dari lokasi mereka berdua.

“Nampaknya Maya dah semakin tak waras sekarang ni.”

Rakannya mengguman. “Biarkanlah dia.”

“Kalau beginilah keadaan Maya, alamatnya tak berapa lama lagi dia akan jadi salah seorang penghuni kat hospital Mesra di Bukit Padang.” Suara itu kedengaran lirih.

“Apa boleh buat seandainya itulah nasib Maya.”

Mereka berdua mengguman serentak. Ketika ini Syah dan Maya sedang dalam perjalanan menuju ke kawasan Menggatal di mana terletaknya Bandar Sierra. Ia sebuah projek gergasi yang melibatkan pembinaan puluhan rumah dan apartment yang bernilai berjuta-juta ringgit. Maya tersenyum setelah tiba. Rumah teres dua tingkat itu tersergam megah. Rekabentuknya unik dan mampu menarik minat para pembeli serta pelabur.

“Macam banglo,” bisiknya gembira sungguh. Dia semakin tak sabar-sabar mahu melihat suasana di dalam. Syah segera mengeluarkan kunci pendua dari poket jean lalu membuka mangga pagar. “Zak tak pernah tinggal di sini ke?” soal Maya setelah berada di dalam. Dilihatnya semua perabot yang memenuhi setiap ruang dalam rumah tersebut masih dihampari kain putih.

“Pernah. Sebenarnya rumah ni baru juga dibelinya. Buat masa ni hanya aku seorang saja yang mengetahui dana hartanya ini. Bahkan diberikan kebebasan untuk keluar masuk di tempat ni. Buktinya ialah kunci pendua ni.”

“Kenapa awak tak ikut Zak tinggal kat sini je? Daripada susah-susah... lebih baik temankan dia kan.”

Syah tersenyum. “Takkan aku nak temankan Zak pula. Nanti tak fasal-fasal orang sekitar cakap kami ni pasangan kekasih pula,” tingkahnya lantas tawanya berciciran di mulut. Maya ikut ketawa. “Rumah ini semacam tidak bernyawa selepas tuannya terlibat dalam kemalangan jalan raya. Apapun, aku seringkali melawat rumah ni untuk memastikan tiada barang-barang yang hilang. Manalah tahu ada orang pecah masuk kerana rumah ini selalu bergelap. Oh ya sekarang ini, Zak berada dalam jagaan doktor pakar psikiatri. Doktor itu akan melawat Zak empat kali dalam seminggu.”

“Ya ke?” Maya angguk-angguk. “Aku amat berharap agar Zak tak akan lupa ingatan selepas terjaga dari koma. Nanti masyarakat memandang serong dan menyisihkan Zak pula. Macam aku ni, mereka anggap aku kurang sepuluh sen apabila ternampak aku bermonolog sendirian. Aku tak salahkan mereka kerana aku memang macam ni.”

Syah angguk-angguk tanda faham. “Itulah seninya seorang penulis. Pelbagai watak menghantui diri mereka hingga masyarakat sekitar tersalah tafsir. Aku faham situasi awak. Walaupun baru mengenali Maya namun aku berasakan seolah dah lama sangat bersahabat denganmu.” Senyumnya diberikan.

“Macam mana awak tahu aku seorang penulis?”

“Hmm... melalui fail yang awak cakap dokumen tu dan destinasi awak tadi. Tempat yang awak masuk tu merupakan syarikat penerbitan buku.” Syah tersengih-sengih. “Mulai dari saat ini, tak akan ada sesiapa lagi yang membuli Maya. Jika ada, aku akan remukkan muka mereka.” Maya ketawa mendengarnya. “Aku benar-benar bermaksudkannya. Jika mahu menyakiti hati dan perasaan sahabat aku, sakitilah aku dulu baru mereka akan sampai kepada Maya.”

“Bertenanglah. Janganlah serius sangat nanti tak ada pahala kita melawat tempat ni.” Diajaknya Syah melihat-lihat suasana dalam rumah tersebut termasuk di tingkat atas.

Wajah Maya berseri-seri pabila tunaknya menyapa batang tubuh milik Zurhan. “Lama tak nampak awak. Ingatkan dah tak sudi lagi nak jumpa aku,” katanya setelah berada di depan Zurhan. Zurhan tersenyum kecil. Kolam matanya tampak cetek semacam hatinya tengah merudum pilu tika ini. “Awak okey ke?” Maya hairan.

“Aku macam ni juga Maya. Seperti yang awak nampak dan kenali sebelum ni. Sebenarnya aku selalu berkunjung ke sini. Namun kesibukan awak bagaikan penghalang untukku menghampiri awak. Aku tengok Maya terlalu sibuk sekarang ni.” Rambut depannya ditolak ke belakang.

“Biasalah,” kata Maya sepatah. Dalam hati berceruak prasangka. Pada fikirannya tentu Zurhan dah berjaya menghidu rancangannya dengan Zak. Sebab itulah Zurhan berbicara sedemikian rupa. “Hmm... bila kali terakhir awak menjelangi aku? Aku dah lupalah?”

Zurhan tersenyum tatkala menadah pertanyaannya. Pemuda itu tidak segera menjawab melainkan membuang pandang arah hujung jalan. “Mari kita pusing-pusing bandar,” ajak Zurhan pula sambil mengintai jarum pendek jam tangan Rolexnya. Maya berfikir-fikir sekejap. “Aku akan jawab kesemua pertanyaanmu kalau Maya sudi memenuhi permintaan ini,” jebak Zurhan. Wajahnya disolek misteri. Jauh di dasar hati, Maya seperti mengharapkan kehadiran Zak di situ. Dia bukannya tidak percayakan Zurhan tetapi selepas perbincangannya dengan Zak, segala tanggapan dan kepercayaannya tersasar dari paksi sebenar. Kini dia semacam meragui dan mencurigai pemuda itu. “Please Maya,” rayu lelaki itu. Benar-benar mengharap.

“Hmm... okey...” Kerana tiada pilihanlah Maya terpaksa meletakkan persetujuan. Zurhan tersenyum lantas membukakan pintu kereta untuk Maya. Maya melangkah masuk kemudian mendaratkan punggung. Dalam diam dia berasa istimewa pula pabila dilayan sedemikian serupa. “Sebenarnya awak tinggal kat mana Zurhan?”

“Nantilah aku beritahu,” tingkahnya. Enjin kereta dihidupkan. Kereta Honda itu kemudiannya meluncur perlahan. Waktu yang sama sebuah kereta Subaru melintasi mereka. Maya menoleh ke belakang untuk melihat kereta tersebut. Pelik. Kereta yang seakan milik Syah itu lesap begitu saja. Zurhan tersenyum tatkala melihat tingkah-lakunya. “Aku kenal Rezza Haqiem Aqasyah. Dia, aku dan Zak berkawan rapat. Apapun, Syah lebih rapat dengan Zak. Mereka berdua berkawan rapat dan merupakan komponen yang paling banyak memainkan peranan dalam kelab kereta.”

Maya angguk-angguk. “Kenapa awak beritahu aku semua ni?” Prasangkanya semakin beranak-pinak dalam tempurung kepala.

“Sebab Maya memang perlu mengetahui semua perkara. Macam mana Maya nak tolong kawan-kawan seandai tiada informasi dari aku ataupun Syah.”

Maya menghela nafas. Dadanya berdegub kencang. Pandangannya dialihkan arah luar sebelum kembali menikam Zurhan. “Tentu awak pernah terdengar perbualan di antara aku dengan Zak,” duganya dengan perasaan kurang senang. Keluhannya berdetasan. Dalam benak bertindanan prasangka. Sekilas terbayang olehnya wajah Zak yang kacak itu. Adakala terfikir olehnya bagaimana dan macam mana dia boleh berkawan dengan tiga orang pemuda tampan dalam masa yang sama.

Syah, Zak dan Zurhan bukanlah sembarangan lelaki. Mereka bertiga memiliki aset yang memenuhi citarasa kebanyakan wanita. Tampan bergaya, kaki kereta, mewah dan romantik. Namun entah apakah jadahnya hingga mereka bertiga terhumban dalam lubuk yang sama. Buat masa ini, hanya Zak saja yang benar-benar sudah dikenal pasti akan takdir yang merantainya. Zurhan pula masih samar. Lelaki itu seakan memiliki dua identiti iaitu sebagai saksi dan juga sebagai mangsa.

Berbeza pula dengan Syah. Kewujudan Subaru tadi berjaya menimbulkan tanda tanya dalam kerangkingan fikir Maya. Berjaya menumbuhkan wasangka Maya bahawa lelaki itu sebenarnya juga bernasib malang sebagaimana Zak. Mungkin juga salah seorang mangsa dalam nahas itu. “Tak. Aku tak pernah. Maya janganlah memikirkan yang bukan-bukan pula.”

“Jadi macam mana awak tahu aku kenal Syah dan Zak?” soalnya lantaran tidak berpuas hati.

“Melalui firasatku.”

“Tak usahlah berdolak-dalih Zurhan. Katakan saja jika awak juga salah seorang dari mereka. Salah seorang dari mangsa-mangsa nahas tu.” Maya semakin berani. Dikerlingnya Zurhan. Zurhan tampak terkilan. Buah halkumnya bergerak. Ada keresahan berasakan dalam dadanya. “Dulu awak bagitau bahawa awak hanyalah seorang saksi. walhal yang sebenarnya awak juga merupakan salah seorang dari mereka,” tuduh Maya.

Zurhan membatu. Tiada sebenih kata tercurah dari mulutnya. Wajahnya mendadak kelam dan suram. Ada kesedihan dan keterkilanan mengisi ruang matanya. Maya tidak berkata apa-apa lagi sekalipun mengasah sebilah bicara. Dia turut mengheningkan diri pabila tersantap kebisuan Zurhan. “Awak janganlah ambil hati. Itu andaian aku saja. Walau apapun, aku lebih dari sudi seandainya awak mahu berkongsikan semua cerita,” tawar Maya. Suaranya kedengaran lembut semacam mahu memujuk lelaki yang tiba-tiba dirundung kemuraman itu.

Zurhan tidak bereaksi. “Boleh tak kalau aku berhentikan kereta kat sini?” pintanya pula hampir tidak kedengaran. Tidak dipandanginya Maya melainkan memperlahankan kereta. Maya mengguman sebelum mencicirkan sepuntung kata. Tanpa bertangguh, Zurhan segera memasuki bahu jalan dan memarkir kereta dekat dengan sebukit busut. “Tentu Maya masih ingat tempat ni kan?” ajunya tanpa memandang Maya yang kini terjengah-jengah di luar. Maya mengangguk.

“Kenapa bawa aku ke sini?” Ada debaran memacu di dadanya. Dikerlingnya Zurhan dan nampaknya lelaki itu masih enggan memandangnya.

“Aku nak Maya lihat betul-betul apa sebenarnya yang tidak kena dalam nahas tu.”

“Awak...” Debaran di dadanya semakin rancak.

“Kalau Maya sudi, aku nak Maya menikmati perjalanan kejadian ni sedari mula. Maksud aku, kejadian yang berlaku di depan mataku. Gambaran kejadian selebihnya mintalah kepada Syah dan Zak. Setelah semuanya terhimpun Maya akan mendapat jawapannya. Namun sebagai kawan, aku kena ingatkan Maya... sesudah melangkah ke depan Maya tak boleh berpatah semula. Maya kena teruskan juga walau apapun yang akan berlaku. Maya kena selesaikan semuanya. Seandai Maya gagal atau kecundang di pertengahan jalan, mereka yang terbabit akan mencari Maya pula. Mereka tidak akan berhenti selagi Maya masih bernadi,” ujar Zurhan menekan suara.

Maya menelan liur. “Ini perjanjian ke ataupun sekadar peringatan?” Getar suaranya jelas kedengaran.

Zurhan menyandarkan tubuh. Nafasnya dihembus. “Ini bukan perjanjian, tetapi sebagai syarat dan peringatan. Bukan senang mahu membuat perhitungan dengan mereka yang telah dilaknati. Apapun, keberhasilan awak akan membuahkan kebahagiaan buat mereka yang dahagakan kebebasan. Selain itu, awak juga dapat melepaskan Zak dari terus-terusan dikuasai oleh wanita berjubah.” Zurhan berhenti sejenak. “Macam mana? Awak sanggup ke tak?”

“Hmm...” Maya serba-salah. Sekilas terbayang olehnya muka Zak dan rayuannya. “Rupanya awak pun tahu fasal wanita berjubah tu,” katanya namun suaranya hanya bergema dalam rengkung.

“Hanya awak seorang saja yang mampu menyelesaikan semua ni Maya. Awak memiliki kuasa yang luar biasa. Nukilan awak adalah kunci sebenar semua kejadian. Awaklah perintis. Awaklah yang menguasai semua watak-watak. Kerana kebolehan inilah awak terpilih untuk menjejak semua mangsa termasuk dalang dalam nahas ngeri itu. Imaginasi dan halusinasi awak terlalu kuat. Kerana elemen inilah awak mampu menembusi dunia watak-watak awak.”

Maya terperangah tatkala mendengarnya.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.