Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 16

Maya berhenti sekejap. Dia berasa lenguh pula setelah sekerat hari ini terketuk-ketuk papan kekunci. Sambil menyandarkan belakang, Maya meliarkan pandangan. Dia berasa selesa dan tenang sungguh selepas berpindah ke rumah ini. Namun begitu dia berasa hairan dan terkilan kerana Zurhan, Zak dan Kazumi tiba-tiba menyepikan diri. Tiada kunjungan dari Zurhan dan Zak sebagaimana sebelum ini. Bahkan tiada juga panggilan telefon mahupun mesej dari Kazumi. Remaja lelaki yang baru dikenalinya itu. Remaja yang tampak matang dan dewasa.

Situasi ini membuatkan Maya disergah persoalan yang tak akan mungkin terjawab. Sesekali, terlintas dalam benak Maya mengenai kewujudan Zurhan. Adakala dia berasakan kehadiran Zurhan terlalu misteri. Seperti ada yang tidak kena. ‘Siapa Zurhan sebenarnya?’ detik hatinya berteka-teki. “Ya, siapakah Zurhan yang sebenarnya?” utusnya dalam nada yang amat perlahan. Keningnya bertaut satu. Pensil yang tersadai dekat jarinya diambil lalu dilakarnya nama Zurhan berulang-kali. Tunaknya kemudian menerjah karangan yang menghiasi skrin komputer.

“Atau pertemuanku dengan Zurhan sudah diwakili oleh karangan tadi?” Dalam diam, Maya berasakan apa yang ditulisnya sebentar tadi seperti benar-benar berlaku. Dia seperti baru juga berulit mata dan bersembang dengan Zurhan. Hinggakan debaran yang bergurindam dalam dadanya masih terasa berdegup pantas.

“Pening kepala ke?” sapa satu suara diikuti tawa-tawa kecil. Maya terkejut lantas menoleh. Entah mengapa, dia berasa rindu pula pada pemilik suara itu. Dia rindu hendak berbahas dan bertekak.

“Lama tak dengar suara awak.” Maya bangkit. Dia hendak membancuh semug minuman.

“Napa rindu ke?” Zak terkekeh. Sejurus kedengaran derap-derap kakinya menghala ke meja komputer. “Seronok tak tinggal kat sini? Nasib baik awak seret watak aku kat tempat ni. Kalau tak, pertemuan dulu pasti akan menjadi saat-saat terakhir...”

“Ya ke?” Maya berfikir-fikir sejenak.

“Aku nak tanya, watak Maya dalam manuskrip tu adalah klon awak kan? Maksud aku, peribadi dan perwatakan heroin tu hampir 99% sama dengan yang asli. Betul tak?” Maya terkejut apabila suara itu hanya kedengaran di sebelahnya sahaja. Entah sejak bila Zak mudik arahnya. Tiada apa yang terpacul dari mulut Maya selain seambung keluhan. “Sebenarnya, aku lebih berminat dengan yang asal. Aku suka pada apa yang ada dalam diri Maya sekarang ni. Selain bersikap pelik dan keunikan Maya sebagai seorang penulis novel cinta popular, Maya juga seorang gadis yang menarik sebenarnya.”

Keluhan Maya berdetasan kasar. “Awak sedang sindir aku ke ni?” Bibirnya tercebik. “Cantik tak rumah ni?” Sengaja Maya bertanya. Dia mahu menguji sejauh mana ingatan Zak terhadap rumah barunya ini.

“Bolehlah. Tapi aku macam pernah datang ke sini sebelum ini.”

Maya tergelak mendengarnya. “Memanglah pernah sebab ini rumah awak. Cuba awak ingat betul-betul Zak.” Dia beredar ke meja komputer sambil memegang mug.

“Ya ke? Tapi macam mana awak boleh berada di sini Maya?” sua Zak ingin tahu. Dalam diam, dia cuba untuk menajamkan kembali ingatannya. Apapun, tempurung kepalanya terasa sakit pula.

“Melalui Rezza Haqiem Aqasyah.”

“Siapa Rezza tu? Aku kenal dia ke?”

“Apa pula tak kenal. Dia kan kawan rapat awak. Dialah yang sarankan supaya aku tinggal kat rumah ni buat sementara waktu. Mungkin aku terlupa beritahu awak bahawa Syah yang aku ceritakan dulu tu sebenarnya adalah Rezza Haqiem Aqasyah.” Senyum Maya tersimpul di bibir.

“Oh dia ke?”

“Kerana ingin menelusuri kehidupan awaklah aku memberikan persetujuan dan terus saja berpindah ke sini. Tujuan aku ialah nak pulihkan ingatan awak semula Zak. Awak kan selalu datang berjumpa dengan aku dan membincangkan masalah awak. Maka kerana situasi itulah aku menerima cadangan Syah. Sekurang-kurangnya suasana dan barang-barang dalam rumah ini dapat menyumbang sedikit ingatan buat awak. Aku nak awak pulih Zak.”

Zak terkedu dan berasa terharu tatkala mendengarnya. “Terima kasihlah Maya. Aku amat menghargai usaha-usaha awak untuk mengembalikan aku ke dunia asal. Aku berjanji akan mencari awak selepas cerita ini ternoktah.”

“Cerita ini pasti akan ternoktah. Tapi tengoklah, cerita ini semacam tiada kesudahan dan penghujungnya.”

“Maksud awak?”

“Mungkin awak akan pulih Zak. Tetapi tidak dengan jiwa-jiwa yang lain. Lagi satu awak bukan salah seorang dari jiwa yang hilang itu. Aku, Kazumi dan Syah dah meneliti hampir separuh dari cerita ini tetapi nampaknya kami masih terkurung dalam takuk cerita yang sama. Persoalannya sekarang ialah ke mana perginya 2 jiwa sebagaimana yang didakwa oleh Zurhan.”

“Mungkin Zurhan sengaja mereka-reka cerita.”

Maya menggelengkan kepala. “Tak. Zurhan tak sengaja mewujudkan cerita. Memang benar dan masuk akal apa yang didakwanya itu. Syah sendiri tertanya-tanya ke mana perginya penghuni kereta yang menculik awak? Dan penghuni kereta pertama? Mereka semua hilang Zak. Sehingga kini kes dan misteri nahas tu masih dalam siasatan. Pihak polis terutamanya keluarga Zak tidak berpuas hati terhadap kesudahan nahas tu. Apatah lagi sekarang ini Zak masih terlantar koma dan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala. Menurut Syah, awak semakin lemah sekarang dan tidak menunjukkan sebarang petanda untuk pulih semula.”

Zak menghembus nafas. “Aku tahu,” katanya lesu. Mereka berdua membatu sejenak.

“Walau apapun, awak kena bersabar dan tabah menghadapi semua ni. Awak juga kena kuatkan semangat dan berusaha untuk bangkit semula. Usah mengalah kepada takdir kerana awak belum tewas Zak. Awak belum kalah dalam perjuangan awak. Awak harus meneruskan perjalanan takdir ini kerana hayat dan hidup ini masih menjadi milik awak. Awak kena percaya dan meyakini diri sendiri bahawa awak mampu melakukannya.”

“Sebab itulah aku perlukan pertolonganmu Maya. Tolong bongkarkan semua kejadian untuk memulihkan ingatanku. Aku perlukan sederetan memori untuk menyegarkan semula semua kenangan.”

“Aku sedang berusahalah ni Zak.” Nafasnya dihembus. Dia terkejut pabila terasa jari-jemarinya digenggam seseorang.

“Terima kasihlah Maya kerana banyak membantuku. Aku amat terhutang budi dan percayalah, aku akan cari awak juga suatu detik nanti.”

“Aku tak memerlukan balasan. Aku melakukan semua ni bukan kerana terpaksa atau terdesak lantaran mahu membebaskanmu dari dibelenggu karma ini. Tetapi kerana mahu menyelesaikan apa yang telah aku mulakan.” Maya menarik perlahan tangannya. Kata-kata Zurhan kembali terngiang dalam balang telinganya.

“Kau cakaplah apa-apa Maya. Aku tetap akan menjejakmu untuk mengubah takdirmu. Sebenarnya aku semakin tertarik padamu Maya.”

“Dahlah Zak. Jangan bercanda lagi. Gurauan awak tu tak lucu tau. Sakit hati aku dengar semua tu.”

“Maya....”

“Bagaimana dengan karangan aku ni? Okey tak?” Sengaja Maya mengalihkan isi perbualan. Zak tidak segera bersuara. Agaknya pemuda itu sedang meneliti karangan Maya.

“Maya, karangan ini bagaikan satu jawapan. Kata-kata watak Zurhan tu semuanya masuk akal. Dia...”

“Awak jangan main-main.” Maya tiba-tiba berasa seram pula. Bulu tengkuknya spontan mencuar.

“Betul Maya. Nukilan ini bagaikan kunci sebenar terhadap semua kejadian. Maya adalah perintis dan... dan Maya akan mendapat jawapannya seandai ada gabungan maklumat di antara kami semua,” kata Zak membaca karangan tersebut. Benaknya dipugar.

“Tapi Zurhan dan Syah tu belum mati Zak.” Maya menekan suara. “Nukilan ni sekadar karya. Sedikit dari cerita yang memenuhi setiap perenggan tidak bermakna betul. Ataupun tidak bermakna benar-benar terjadi. Ia hanyalah sekadar buah fikiran yang terhasil dari daya imaginasiku.”

“Bagi aku apa yang awak tulis ni adalah benar belaka.”

Keluhan Maya berhamburan. Baru sebentar tadi dia menerima panggilan dari Stamford College. Tenaga pengajar yang mengendalikan kelas berbayar tersebut menyuruhnya datang untuk menyudahkan jadual kelas. “Hmm...” Gadis itu mengguman kasar. Dia masih duduk di situ sambil menggodek balang fikir. Tika ini dia sedang menimbang-tara beberapa keputusan yang bakal diambilnya. “Harap-harap Syah,” bisiknya apabila telefon bimbitnya berdering sekali lagi. “Syah ke?”

“Tak. Kazumi.”

“Kazumi?” Maya semacam tidak percaya. “Kazumi, awak ke mana selama ini? Puas akak tunggu panggilan telefon dari awak tau. Kalau ada apa-apa hantarlah mesej kat akak,” bebel Maya pula. Kazumi ketawa perlahan.

“Kazumi tak dapat keluar kak. Kazumi jatuh sakit selepas menelefon akak hari tu. Mungkin Kazumi tak dapat berjumpa dengan akak lagi.”

“Aik. kenapa pula macam tu? Kazumi ada masalah ke?” Hati Maya meruntun. Ada persoalan berlegar dalam benua kepalanya.

“Masalah kecil je. Oh ya, Kazumi dah kirimkan gambar abang Zakrul Hakimi dan sedikit maklumat mengenainya serta dua orang mangsa. Kazumi harap kiriman tu dah sampai. Mungkin ini kali terakhir Kazumi berhubung dengan akak.” Suara itu kedengaran sedih.

Maya terkilan. “Kazumi, mengapa macam ni? Kakak ada buat salah ataupun terkasar bahasa ke hingga Kazumi tak nak jumpa akak lagi?”

“Bukan macam tu kak. Kakak janganlah fikirkan yang bukan-bukan. Malah Kazumi dan kekasih Kazumi bersyukur kerana berpeluang mengenali akak walaupun dalam tempoh yang singkat. Kami berdua amat mengharapkan keberhasilan akak membongkar misteri nahas tersebut. Kazumi juga amat berharap agar akak dapat menjejak 2 orang mangsa yang hilang itu. Kazumi percaya, misteri dan kekeliruan ini akan terjawab setelah penemuan kedua mereka. Kakak berusahalah ya. Jangan berputus asa kerana kami semua mengharapkan kejayaan akak.” Talian tiba-tiba terputus.

“Kazumi? Helo Kazumi!” Sunyi dan hanya satu bunyi seolah angin sedang bersiuran kedengaran. “Apa fasal pula Kazumi ni?” Diintainya skrin telefon bimbit. Hanya perkataan No Number terpapar di situ. “Takkan tiada nombor pula. Kan tadi ada nombor dengan nama Kazumi sekali. Lawak betullah.” Kerana tidak berpuas hatilah Maya membuka ruangan received calls. Tiada apa yang tertera di situ seolah-olah Maya tidak pernah menerima dan menjawab panggilan telefon sebentar tadi.

“Engkau telefon biar betul. Aku hempuk kau karang sampai hancur berkecai. Don’t play-play ar,” marahnya lantaran tidak berpuas hati. Dia kemudiannya mencari di ruangan senarai nombor telefon. “Kazumi, Kazumi,” katanya berulang-kali sambil mencari nama tersebut dalam laman kenalan. Kegagalan tersebut membuatkan Maya berasa tertekan. Kerana mahu menenangkan perasaanlah Maya beredar ke luar rumah. Berlegar-legar di situ sambil menikmati suasana di pekarangan. Dia hanya masuk semula selepas sejam berlalu. “Pelik betullah.” Sekilas, wajah Kazumi menerjah dalam ruang fikirnya.

Sambil meramas rambutnya yang sedikit kusut, Maya beredar ke dalam bilik. Dia kemudiannya menandu langkah ke kamar mandi selepas mengambil pakaian persalinan. Masa beredar pantas. Maya kini berdepan dengan monitor komputer dan sedang rancak mengetuk papan kekunci.


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.