Jiah
mengeluh selepas segeluk cerita dicurahkan ke pengetahuannya. “Eloklah Maya
tinggalkan saja rumah ni,” sarannya entah yang ke berapa puluh kali lalu
meneguk minumannya. Ketika ini mereka bertiga sedang duduk berehat di ruang
tamu. Cahaya matahari pula masih meraja di luar. Tiada gelita sebagaimana yang
dilihat oleh Maya dalam mimpi buruk tadi. “Rasanya lokasi ini tak sesuai
dijadikan kediaman. Sebaiknya Maya berpindah saja.”
Jiah menambah dan anggukan Munira bagaikan sokongan
buatnya. Maya tidak bereaksi. Hanya matanya terkebil-kebil arah mereka berdua
namun benaknya dikisar perkara lain. Sambil mengeluh, Maya berjerih ke birai
cermin pintu. Ekor matanya dibiarkan berkeliaran arah luar. Dia termenung di
situ dan ternyata gerak-gerinya meresahkan kedua kawannya. “Kenapa dengan dia?”
bisik Munira khuatir sungguh.
“Agaknya dia masih dihantui mimpi tadi.” Jiah beredar ke
bilik air selepas melucutkan kata-kata tersebut. Entah mengapa, perutnya
tiba-tiba memulas.
“Lelaki itu bernama Amirul,” jelas Maya sekembali Jiah
dari tandas. Dia berpaling sekejap untuk melihat reaksi Munira dan Jiah. Munira
tidak berkata apa-apa. Benaknya sedang menjejak gerangannya lelaki yang
dimaksudkan oleh Maya. Sejurus, wajah Amirul mengetuk dinding fikirnya.
“Lelaki kacak penuh misteri itu ke?” suanya inginkan
kepastian. Maya sekadar mengguman.
“Dia ada memberikan aku seurat tangkal. Dia juga ada
menjelaskan bahawa semua ini berpunca dariku. Bukan rumah ini mahu pun tapak
kediaman ini. Dia menasihatiku agar tidak mencampuri urusan sesiapa.”
Jiah mengulum bibir. “Ah! Mustahil! Dari mana dia tahu?”
Munira tidak berpuas hati. Maya memutar tubuh lalu mengangkat kedua bahu tanda
tidak tahu. “Bila dia cakap macam tu?”
Maya mendecitkan hujung lidah. Punggungnya didaratkan
berhampiran Jiah. “Baru tadi. Aku ada juga bertanyakan hal dulu tapi dia cakap
semua tu imaginasi kita.” Sekali lagi kedengaran mulut Munira mencicirkan
perkataan mustahil. Dia benar-benar tidak berpuas hati. “Katanya semua misteri
ini hanyalah imbasan masa lalu.”
“Imbasan masa lalu? Apa pula maksud dia berkata macam tu?
Seingatku, semua kejadian mistik yang telah kita lalui bersama amat jelas di
mata. Lagi pun tak logik langsung dia cakap babak tu hanyalah khayalan kita.” Jiah
kalut dan bingung. Deringan telefon bimbit memaksanya berganjak ke luar. Waktu
yang sama, Munira ke tandas sekejap untuk melepaskan hajat.
“Maya, bagaimana dengan karyamu? Dah siap ke?”
Terpaksalah Jiah menghidangkan tajuk baru sekembali dari luar. Tambahan pula,
dia malas nak memanjangkan cerita mengenai enigma yang sedang merangkul diri
mereka bertiga. Maya tidak segera menjawab melainkan membasahkan tekaknya
terlebih dulu.
“Belum lagi. Kenapa? Jiah nak sumbangkan modal ke?”
Senyumannya dihulur. Bunyi mesej mengajaknya mengintai skrin telefon bimbit. Namun,
dia tidak tergesa-gesa memeriksa kandungan mesej tersebut. Ketika mahu
bersuara, Munira melangkah masuk sambil melontarkan sebuntil soalan.
Terpaksalah Jiah menutup mulut untuk memberikan Maya ruang menjawab pertanyaan
Munira tadi. “Tak ada pula. Kenapa? Ira mahu menghubunginya ke?” Ada prasangka
bersemut dalam jemalanya apabila Munira bertanyakan nombor telefon Amirul.
“Aku brcadang nak menanyakan sendiri perkara tadi.
Mustahil kita bertiga berimaginasi. Tak masuk akal langsung dia cakap macam tu.
Mungkin boleh diterima jika ketika ini Maya masih bersendirian di rumah sewa lama.”
Ternyata perkara tersebut masih merasuk benak Munira. “Semua kejadian pelik dan
menakutkan itu masih baru. Semuanya masih bugar dalam ingatan. Awak tak rasa
macam tu ke Jiah?” Kini tunaknya memantak Jiah yang lebih banyak membatukan
diri sedari tadi. Entah apa benar yang merunsingkan gadis itu hingga
terus-terusan membisu. Jiah memanggung muka halanya lantas mengangguk perlahan.
“Ada yang tak kena ke kat awak ni?”
“Aku rasa senak perut.” Pendek saja jawapan gadis itu.
“Mungkin banyak angin.” Munira meneka. Pada masa yang
sama, Maya menerima panggilan telefon dari Syah
“Aku tak sihatlah. Oh ya kunci tu aku dah jumpa,”
beritahu Maya sambil mengerling Munira dan Jiah. Namun Syah masih menyuakan
ayat yang sama. “Aku tak sihat. Betul, aku tak bohong,” ulang Maya menyajikan
alasan yang sama. Syah yang entah berada di mana menghela nafas seraya berkata
baiklah. Maya segera menuturkan perkataan maaf sebelum memutuskan perbualan.
Mereka bertiga kembali bersembang. Tepat pukul 4 petang, mereka pun bersurai
untuk menjelangi bilik masing-masing. Tambahan pula Jiah dan Munira belum
membersihkan diri. Mereka bertiga hanya menjelangi ruang tamu semula selepas
waktu Maghrib.
“Oh ya! Azhan dan housematenya
kirim salam,” beritahu Munira sambil menekan perutnya. Entah mengapa dia pun
berasa senak perut sebagaimana Jiah. Maya sekadar menganggukkan kepala. Dia dan
Jiah beriringan ke dapur setelah sepakat hendak menyediakan santapan malam.
Suara
seseorang melaungkan salam merungkai keheningan suasana. Munira tergesa-gesa
membongkar duduk dan berjalan pantas hala pintu. Pandangannya dijengah dan
batang tubuh Amirul yang tercegat di birai pagar mendorongnya melaungkan nama
Maya. Maya keluar dan bertanya kenapa. Munira sekadar menjuihkan mulut dan
kembali semula ke tempat duduk. Maya segera membuang langkah hala pintu dan
terus saja menjengahkan muka. Dilihatnya Amirul sedang melambaikan tangan
arahnya. Sambil mengeluh, Maya melangkah keluar. Dihampirinya Amirul yang masih
setia menanti. Tanpa senyuman dia bertanya ada apa.
“Maya ok?” aju Amirul pula.
“Aku okey. Kenapa?” Maya kurang senang. “Peliklah awak ni.
Ribut pun tak ada tiba-tiba je bertanyakan keadaan aku. Kenapa? Apa yang awak
nampak pula kali ini?”
“Tak ada apa-apa. Cuma aku mahu menasihatimu supaya lebih
berhati-hati. Usah percaya sangat dengan lelaki-lelaki kacak tu. Dan tangkal tu
letakkan di sisimu selalu.”
“Lelaki-lelaki kacak? Siapa yang awak maksudkan?”
Amirul tersenyum. “Tak perlulah aku jelaskan. Rasanya
awak lebih dari faham dan tahu siapa yang aku maksudkan. Bukankah sebelum ini
awak lebih cenderung bersama dengan mereka. Mengupas dan membincangkan tragedi
tu...”
“Hmm... Jiah nak berjumpa dengan awak,” pintas Maya
kurang berminat terhadap ayat tersebut. Dalam diam, dia tertanya-tanya bagaimana
pemuda itu mengetahui semua hal yang disorokkannya dari pengetahuan Jiah dan
Munira.
“Nyawamu lebih penting berbanding hal-hal lain.”
“Heh? Awak siapa mahu mengambil berat diri aku hah? Aku
nak mati ke? Nak pergi mampus ke? Awak peduli apa?” Maya sengaja bersikap
kurang ajar. Lebih baik begini dari menyuakan senyuman. Bingkai cermin matanya
dirapikan dengan pandangan tidak beralih. Amirul tidak bereaksi. Dia kelihatan
terkilan. Maya menghela nafas dan berusaha untuk mengendurkan kemarahannya.
“Aku nak tahu siapa sebenarnya wanita berjubah tu? Adakah awak mengenalinya?
Dan...” Maya memandang arah Jiah dan Munira sekejap sebelum memandang Amirul
semula. “Dan kenapa wanita berjubah tu tak nak aku mencampuri urusannya? Apa
yang ditakutinyanya?” lanjutnya.
“Tak perlu tanya dia. Dia tak akan cakap apa-apa?” Maya
terkejut pabila terdengar suara Zak di sebelahnya. “Dia tak akan cakap apa-apa.
Percayalah padaku. Barangkali dia tu salah seorang dari watak dalam
manuskripmu. Agaknya dia tak berpuas hati kerana awak singkirkan nama dan
peranannya lantas datang menghantuimu,” bisik Zak lagi.
Amirul tersenyum lembut. Pandangannya berciciran
seketika. “Maafkanlah aku, Maya. Kehadiranku di sini sekadar mahu menampanmu
dari hilang buat selama-lamanya.” Maya tertawa sinis pabila tercecap kata-kata
tersebut. Seolah melekehkan sebakul ayat yang baru ditumpahkan oleh Amirul.
“Perempuan berjubah tu tak pernah mati. Semangatnya akan terus menghantui selagi
perkara yang membebaninya tidak terbongkar. Maya berhati-hatilah kerana semua
ini bukan mimpi tapi realiti. Hanya awak saja yang mampu menamatkan perhitungan
ini." Pandangannya dihela arah lain.
"Kawan-kawan Maya akan turut merasai bahang
perhitungan ini. Namun tidak akan memasuki alam sebagaimana lokasi yang pernah
Maya saksikan. Apa pun, keselamatan mereka semua terletak dalam tangan Maya.
Tolong nasihatkan mereka atau singkirkan saja nama mereka dari dunia
halusinasimu, Maya. Kau akan menyesali takdir ini seandai tidak bertindak
seawalnya.” Amirul kemudiannya meminta diri. Maya tidak mengasah walau sebilah
kata apatah lagi mengangguk. Dirasakannya lelaki itu lesap begitu saja.
“Betul apa yang dicakapkannya tu. Maya sebenarnya banyak
berhalusinasi. Mungkin kerana penulisan Maya dan mungkin juga disebabkan
terlalu banyak kebetulan yang terjadi,” sua Zak. Maya tidak berkata apa-apa
melainkan sekadar mengangguk.
“Jumpa aku di bilik nanti,” bisiknya lantas mudik ke
ruang tamu semula. Dia terus saja ke dapur apabila tidak melihat sesiapa berada
di ruang tamu. Akan tetapi langkahnya tergencat apabila Munira menegurnya. Dia
jadi hairan, sejak bila pula Munira berada di ruang tamu walhal tadi dia tidak
melihat sesiapa pun terconggok di situ. “Maya dari mana?” tanya Munira dengan
muka bingung. Maya semakin hairan apabila disuakan pertanyaan. Sambil
menggeleng-gelengkan kepala, Maya meneruskan haluan ke dapur.
Jiah
yang sedang menumis bawang menjelingnya.
“Dah bingung agaknya budak Ira tu. Dia dah tau aku dari
mana tadi... lagi nak tanya,” luahnya tidak berpuas hati. Jiah sekadar
tersengih. Dia tidak melihat Maya ke mana-mana selain tersadai di ruang tamu
tadi. Duduk menonton TV bersama dengan Munira. Bahkan sebelum keluar tadi,
gadis itu sempat mengadu sakit kepala kepadanya. Sekarang, entah siapa di
antara mereka bertiga yang betul dan masih waras. Selesai makan malam, mereka
bertiga berborak sekejap sebelum Maya meminta diri untuk naik ke tingkat atas.
Alasannya ialah mahu menyambung penulisan. Walhal kasadnya
yang sebenar ialah mahu berbual dengan Zak. Di samping mahu menggunakan
kesempatan ini untuk menceroboh masuk ke dalam bilik tidur Zak. “Alah... borak-boraklah
dulu dengan kami kejap.” Munira seperti sengaja mahu melengahkannya. Popcorn
yang dibelinya siang tadi diletakkan atas meja.
“Banyak idea dan ilham ni.” Demikian alasan yang
diberikan oleh Maya. Gelagatnya seperti kurang sabar pula. Dia sebenarnya risau
nanti Zak menghilangkan diri. Dia benar-benar mahu Zak berada di sampingnya
pada waktu-waktu begini. Munira dan Jiah berpandangan.
“Pergilah Maya. Jangan pedulikan Ira. Lagi pun aku masih
ada di sini untuk menemani si gemuk ni,” kata Jiah. Maya segera mengucapkan
terima kasih lantas pergi dari situ. Dia terus saja melaungkan nama Zak setelah
terhangak-hangak dalam bilik tidur. Sunyi.
“Zak!” panggilnya lagi dengan muka serius. “Zak...”
Pandangannya meliar, menjilat serata bilik dengan sinar mata penuh harap.
Walhal sebenarnya tiada apa yang hendak dicarinya kerana kewujudan Zak lebih
dari abstrak. Tiba-tiba Maya terloncat ke depan pabila bahunya ditepuk
seseorang dari belakang. Sejurus, kedengaran tawa Zak berciciran. “Bodoh
betullah awak ni,” marah Maya pula lantaran terkejut amat sangat.
Zak tidak ambil hati kerana dia dah biasa diperlakukan
sedemikian rupa. Sebab lain, dia dah biasa dengan bahasa dan layanan Maya. “Aku
ingatkan awak dah pergi.” Ditariknya laci meja solek. Sebatang kunci
dikeluarkannya. “Nasib baiklah aku terserempak dengan Syah kat pantai Tanjung
Lipat tempoh hari. Kalau tak, sampai bila-bila pun aku tak berpeluang menceroboh
masuk kat dalam bilik Zak.”
“Senang je. Pecahkan saja pintu bilik tu,” cadang Zak
pula.
“Lebih baik bersabar dari bertindak macam orang kurang
siuman. Nanti Jiah dan Munira menganggap aku gila pula.”
“Alah... awak melakukannya kerana beralasan.”
“Mari,” ajak Maya seraya mengatur langkah. Dia sempat
menyuruh Zak diam setelah berada di luar bilik. Dia tidak mahu Munira dan Jiah
mendengar apa-apa waktu ini. Maya kemudiannya mengatur langkah arah bilik tidur
Zak. Dengan gelagat seperti seorang pencuri... Maya memasukkan batang kunci ke
dalam tombol pintu kemudian memutarkannya perlahan. “Mari,” ajaknya lagi sambil
menolak perlahan pintu. Terlebih dulu, Maya hanya menghulurkan tangannya untuk
memetik suis lampu di tepi pintu.
Zak ketawa perlahan. “Kau takut ke?” tanyanya sengaja
mahu mengacah.
“Mestilah takut. Manalah tahu... kat dalam tu ada mayat
engkau,” tingkah Maya pula memulangkan usikan Zak.
“Uhh....”
“Syyt.” Maya menyuruhnya diam. Dia cepat-cepat melangkah
masuk selepas melihat bilik tidur Zak terang-benderang. Kini tiada apa lagi
yang hendak dirisaukannya.