Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 19

“Maya tu memang rindukan Azhan. Azhankan lelaki impiannya,” bisik Jiah. “Maya yang cakap kat kita dulu bahawa dia sukakan Azhan. Takkan awak dah lupa,” lanjutnya lantas menyengap pabila terdengar bunyi derap kaki Maya. Dia dan Munira sempat bertukar senyum. Maya kembali semula bersama semangkuk kacang goreng.

“Mesti kamu berdua lapar. Jom! Makan kat luar. Tapi nantilah selepas kita habiskan kacang goreng ni dulu.”

“Okey.” Sebiji kacang diambilnya lalu dikunyah perlahan. Dipandanginya Munira yang tiba-tiba bingkas lalu menapak ke birai tingkap. Lama gadis itu tercegat di situ sebelum akhirnya terintai-intai. Dia dan Maya pula sedang leka menganyam perbualan. “Err, kenapa dengan awak ni Munira? Tiba-tiba je terbongkok-bongkok macam tu. Ada sesuatu kat luar ke?” Tak tertahan Jiah bertanya. Maya turut menoleh.

“Tak ada apa-apa. Aku cuma hairan tengok lelaki tu. Pelik sangat. Dia tidak memakai apa-apa selain seluar jeans hitam.” Maya tersentak tatkala mendengar ayat tersebut. Sedar-sedar saja dia sudah pun tercancang tegang di sebelah Munira. Sementara Jiah pula cepat-cepat menutup daun pintu lalu menguncinya. Entah apa benar yang difikirkannya hingga terus saja bertindak.

“Tak ada pun. Mana dia lelaki yang Ira cakapkan tu?” Maya tertanya-tanya. Bingkai cermin matanya yang tersenget sedikit dirapikan. Air mukanya semacam menagih kepastian.

“Tu! Lelaki kacak tu!” Munira tersenyum-senyum. Tadi dia hanya berseloroh. Tak sangka pula gurauannya berjaya menyerpihkan ketenangan Maya dan Jiah.

“Apalah Ira ni. Buat orang terkejut beruk je.” Jiah berpatah semula ke tempat duduk. Maya pula masih terkilan. Dia tidak bereaksi melainkan memandang lelaki yang dimaksudkan oleh Munira. Lelaki itu pula sedang menjenguk pekarangan rumahnya. Seolah ada sesuatu milik lelaki itu tercicir di sana. Keluhan Maya berterbangan. Keras sungguh sewaktu tertumpah ke lohong telinga Jiah dan Munira. Tanpa berfikir panjang, Maya melingas keluar. Jiah dan Munira berkelebat mata lantas meningkahnya.

“Heh! Awak! Apa yang awak cari kat sini hah?!” sergah Maya semacam marah. Lelaki itu tergesa-gesa menjauhi pagar rumahnya. Air mukanya seperti serba-salah. “Apa yang awak cari hah?!” ulang Maya kasar. Pandangannya terhunus tajam. Sikapnya meresahkan Munira dan Jiah. Namun mereka berdua tidak melakukan apa-apa selain terkebil-kebil menonton sketsa yang sedang berlangsung.

“Hmm... ada seorang lelaki memanjat pagar rumah cik tadi lalu menyelinap masuk. Pelik. Lelaki bertubuh tegap dan rendah itu hilang selepas memijak pekarangan.” Ternyata penjelasan tersebut berjaya meragut ketenangan Maya. Tanpa kata, disorotinya laman rumah dengan wajah curiga. Bahkan ekor matanya sempat menjilat muka Jiah dan Munira. “Sebenarnya ada sesuatu yang tak kena kat tempat ni. Cik berhati-hatilah. Kalau ada apa-apa, jangan segan panggil abang. Abang cuma duduk kat seberang tu je.”

Jari telunjuknya ditudingkan dan mereka bertiga memandang serentak namun tidak melihat apa-apa selain hutan nipis. “Berhati-hati sebab lelaki tadi kelihatan bengis dan seperti berniat jahat.” Dia kemudiannya beredar pergi selepas mendedahkan perkara tersebut. Maya tidak berkata apa-apa. Terlalu banyak kebetulan yang telah berlaku hari ini. Dia medapatkan Jiah dan Munira. “Jom masuk,” ajaknya.

“Siapa lelaki tu?” Muka lelaki tadi masih melekat dalam ingatannya. Maya angkat bahu tanda tidak tahu. Dia sebenarnya sedang galau memikirkan lelaki yang dimaksudkan oleh pemuda tadi. Dia bimbangkan keselamatan mereka bertiga. Maya segera menjelaskan isi perbualannya dengan lelaki tersebut. “Baik aku tutup pintu dulu. Risau pula sekiranya lelaki itu bercakap benar,” kata Jiah lalu mengangkut punggung.

“Eloklah tu Jiah.” Keresahan jelas terlukis pada kanvas wajah Munira. “Kenapa kita bertiga tak perasan pula kalau memang betul seorang lelaki telah menceroboh masuk? Walhal dah sejam lebih kita bertiga terconggok dalam ruang tamu. Yang peliknya, macam mana lelaki tu boleh lesap kat pekarangan? Lokasi tu pun bukannya ada tempat nak menyorok.” Munira merapikan duduknya lantaran berasa tidak selesa.

“Agaknya lelaki tadi tu saja buat-buat cerita. Sengaja nak menakut-nakutkan kita. Apasal erk? Rumah tempat tinggal Maya ni terpinggir dari rumah-rumah lain? Semuanya dibina berderetan dan mengikut urutan. Hanya rumah ni saja kelihatan terasing dan terpulau.” Jiah mula menyedari sesuatu. “Pelik. Kenapa Maya tak tinggal saja dengan ahli keluarga. Lagi senang.”

Munira ketawa kecil. “Macamlah tuan rumah tu tahu-tahu je bidang Maya.” Maya tidak bereaksi. Dia sendiri baru menyedari situasi yang membekam rumah dua tingkat bersenibina banglo ini.

“Aku serius Maya, ada sesuatu yang tak kena dengan rumah ni. Maya pun nampak tak sihat selepas mendiami rumah ni.”

“Entahlah Jiah. Aku sendiri pun tak faham keadaan aku. Yang aku tahu, aku okey je sekarang ni.” Ternyata Maya masih menafikan hal sebenar. Jiah melucutkan keluhan lantas memandang Munira. Munira buat-buat tak tahu.

“Okeylah. Nanti temankan kami balik. Kami nak ambil sedikit pakaian.” Maya dibidik hairan lantas menyua senyiru pertanyaan. “Kami sengaja tak bawa. Manalah tahu Maya tak izinkan kami menumpang tidur kat rumah ni. Buang masa dan tenaga saja kan?” soal Jiah lantas beredar ke dapur. Dia terkejut pabila melihat suasana di luar yang hitam membukat. Tiada apa bergelimpangan selain maya yang tampak berbalam-balam. Dari celahan gelita, kelihatan sepasang mata terkebil-kebil arahnya. Berwarna merah saga semacam milik seekor kucing. Tapi entahlah... Jiah pun tak pasti.

“Jiah!” panggil Maya. Dia mahu menunjukkan kamar tidur gadis tersebut. Keheningan Jiah mendorongnya menyusul ke dapur. “Heh! Kenapa dengan awak ni?” sergahnya lantas menepuk bahu Jiah. Jiah tersentak lalu menoleh arahnya. Wajah gadis itu nampak pucat. Maya diketuk hairan. “Kenapa? Ada yang tak kena ke?” suanya sambil membuang pandang hala luar. Cerah dan tiada apa-apa yang berhamburan di sana sebagaimana yang telah disaksikannya tadi.

“Agaknya tapak rumah sewa Maya ni tak elok. Kawasan keras.” Gadis itu cepat-cepat beredar ke ruang tamu. Maya menggigit bibir. Bulu tengkuknya meremang. Sejenak, teringat olehnya kejadian-kejadian pelik yang semakin kerap berlaku semenjak dia menduduki rumah ini. Bahkan segugus ayat yang dicicirkan oleh satu suara yang seakan milik wanita berjubah itu turut menendang benaknya. Ayat tersebut terlalu misteri dan mengandung seribu makna. Entah bila dapat ditelusinya untuk menjejak senaskah jawapan. Semua ini amat mencelarukannya.

Maya menoleh pantas pabila berasakan ada sesuatu melintasinya. Bahkan sempat dirasanya angin yang terhasil. Sejuk sungguh tika merangkul jasad. “Semua ni mesti dinoktahkan,” bisiknya menggentas kata. Dengan langkah perlahan, dihampirinya Jiah yang kini tersadai atas sofa. Gadis itu kelihatan rusuh dan resah. “Maaflah fasal tadi.” Punggungnya dihenyak. Dia sudah terlupa niat asalnya hendak menunjukkan bilik tidur Jiah. Jiah sekadar menghela nafas. Benaknya kini ditambuni pelbagai persoalan.

Wajah Azhan berubah ceria selepas terintai batang tubuh Maya. Segera dihampirinya gadis itu untuk bertukar cerita. Maya mengirai senyuman. Bantal empat segi yang dipeluknya dialihkan atas riba. “Sihat Azhan?” sapanya sebagai memukadimahkan perbualan. Azhan mengangguk dengan senyuman masih terhampar di bibir. Ekor matanya tak lekang dari menyoroti wajah Maya. “Janganlah pandang aku macam tu. Tak senonoh tau.” Maya kurang selesa. Mulutnya dicebikkan.

“Rindulah kat Maya,” luah Azhan pula bergurau.

“Semua orang pun rindukan Maya!” sampuk Munira. “Kawan-kawan kat kedai pun rindukan dia.” Beg kertas berisi pakaian diletakkan atas sofa. Gadis itu kemudiannya beredar ke dapur untuk membancuh sejug minuman sejuk.

“Tapi tak adalah yang jadi angau macam aku ni.” Azhan meningkah. Pandangannya dialihkan pabila angin tiba-tiba berhembus kasar. Bahang panas jelas terasa mencelur kulit ari-arinya. Apapun, ia hanya berlaku seketika. Munira terpekik apabila seekor kucing meloncat pantas arah mukanya. Azhan dan Maya terperanjat lantas bergegas ke dapur. Jiah menyusul kemudian. “Kenapa?”

“Kucing.” Hanya sepatah kata terloncat dari mulut Munira.

“Kucing?” ulang Azhan lalu melilaukan mata. Berusaha menjejak binatang jinak tersebut. Maya dan Jiah turut meliarkan pandangan. “Kucing ini ke?” Zurhan tersenyum sinis seraya menapak arah kucing berbulu belang-belang yang terconggok dekat bendul pintu. Direngkuhnya lalu dibawa dekat dengan Maya. Jiah menggelengkan kepala. Dia berpatah ke biliknya semula. Jeritan Munira tadi amat memeranjatkannya.

Munira mengherot bibir. “Bukan kucing itulah! Kucing tadi berwarna hitam dan saiz badannya besar.” Gadis itu menjelaskan sambil meraba mukanya. Terdapat dua kesan cakaran. Walaupun ia tak seteruk mana namun cukuplah untuk membuatkan Munira berasa pedih. Zurhan mentertawakannya. Sementara Maya pula segera menggigit hujung jari. Sekilas teringat olehnya Toyol yang tengah uzur. Rasanya sudah lama dia tidak melihat Toyol iaitu sedari meninggakan rumah sewa lamanya.

“Agaknya awak bermimpi.” Lelaki itu mengajak Maya meninggalkan dapur. Maya ragu-ragu. Pandangannya masih menghentak Munira. “Jom!” ajak Azhan seakan mendesak. Tanpa sebiji kata, Maya meningkah Azhan sambil merapikan bingkai cermin matanya. “Kucing belang-belang ni pun dikatanya kucing hitam. Agaknya budak gempal tu dah sasau.” Dia ketawa kecil lagi sambil mengelus perlahan kucing yang tersadai atas ribanya itu.

“Kucing hitam melambangkan kejahatan.”

Azhan terkejut lantas mengalihkan pandangan. Sinar matanya menjelaskan isi fikirannya. “Kenapa Maya cakap macam tu?” Dilihatnya gadis itu walang sungguh. “Maya okey ke?” Dilihatnya ada sesuatu yang tidak kena dengan Maya. Maya memanggung muka lantas berkata tiada apa-apa. Azhan tergelak lirih. “Usah ikutkan perasaan dan emosi. Semua tu kepercayaan tahyul dan tidak benar. Hmm... ada perkembangan ke cerita yang Maya sedang tulis sekarang ni?” Azhan mengalihkan cerita.

Maya tidak berkata apa-apa. Hanya gelengannya diberikan. Sejurus Jiah beredar keluar dari bilik sambil membopong sebuntil plastik besar. Dia terus saja menuju ke luar dan mahu membuang sampah tersebut. Pada masa yang sama, Munira keluar dengan menatang sebuah dulang berisi sejug oren dan beberapa biji gelas. Gadis itu nampak masam sewaktu pandangan Azhan mengilir mukanya. “Uish! Takkan marah sangat,” usik Azhan.

“Aku tak marahlah. Tapi perangai awak tu buat aku tensen. Mata aku ni belum bilar lagi tau tak? Memang jelas kucing yang menyerang aku tadi tu berwarna hitam dan bukan si Belang ni,” katanya kasar. Keluhannya bersepah kemudian. “Jemput minum Maya,” pelawanya sesudah menuang air kesemua gelas-gelas tersebut. Maya mengangguk perlahan. Bayangan Toyol mengisi ruang legar benaknya. Dalam hati dia tertanya-tanya ke mana perginya Toyol.

“Agaknya memang betul apa yang Ira cakap tu,” sampuk Jiah. “Terlalu banyak keganjilan sekarang ni.” Dikerlingnya Maya seakan menyindir gadis tersebut. Maya merebahkan wajah. Dia tahu Jiah bermaksudkan dirinya. Selesai menutup pintu, Jiah menyertai mereka semua. “Serasanya kita sudah terpalit keganjilan tersebut. Jelasnya, kita sudah terlibat sama. Pelik, masih ada yang tidak mengaku betapa dunia ini terlalu ganjil sekarang,” perlinya sengaja mahu menyedarkan Maya.

“Siapa yang Jiah maksudkan? Aku ke?” Tak tertahan Maya bersuara. Dia paling tak suka disindir dan diperli seenaknya. Azhan dan Munira mula bimbang.

Jiah tergelak sinis. “Kenapa? Kata-kata tadi tak cukup lagi ke untuk membuatkan Maya berasa bersalah? Tau tak? Kami bermati-matian bimbangkan Maya. Bila ditanya... Maya menafikan pula. Kenapa? Selama ini Maya tak menganggap kami ni kawan baik Maya ke? Hingga tiada sekuman pun kepercayaan dan keyakinan Maya terhadap kami.”

“Dahlah tu Jiah,” pangkas Azhan pabila terintai air muka Maya. Risau pula jika gadis itu ambil hati. Maya tidak membidas kata-kata tadi selain melucutkan sebilah keluhan.

“Belum sampai masanya lagi. Aku nak kamu sendiri terjebak dan mencari jawapannya.”

“Maksudmu?” Munira memandang curiga.

Maya tidak segera bersuara melainkan bertele-tele dengan mencecap minumannya. “Semua ni sukar untuk dijelaskan. Lagi pun aku sendiri tak pasti samada ia realiti atau sekadar imaginasi. Cuma yang pastinya... ia bagaikan igauan ngeri dan mimpi buruk buatku. Tapi rasanya kamu berdua dah pun tahu keadaanku sebelum ini. Bahkan beria-ia menuduhku berhalusinasi.” Helaan nafasnya menyusul. Azhan, Jiah dan Munira sekadar bertaut pandang. Mereka bertiga tidak menyuakan apa-apa selain menantikan saki-baki ayat tadi.

“Aku tak nak kamu terlibat kerana campur tangan kamu semua hanya merumitkan keadaan.” lanjut Maya.

“Apa fasal pula?” Munira mencelah. Tiada siapa memandang arahnya kecuali Maya. Maya tidak menyepuh ayat tadi selain berkata hanya itu. Jiah dan Azhan mengeluh serentak. “Tapi kami ingatkan semua imaginasi serta khayalanmu sebelum ini telah tertinggal di rumah sewa lama. Tak sangka pula ia mengekorimu ke rumah sewa baru.”

“Aku tak akan paksa Maya untuk menuturkan semuanya. Apapun, aku juga tak akan menolak jika Maya mahu berkongsikan masalah tersebut,” sampuk Azhan.

“Seeloknya kita kongsi dan bincangkan masalah ini seawalnya. Lebih-lebih lagi jika masalah ini membabitkan kita semua. Aku tak mahu ada sesuatu yang buruk berlaku sedangkan masalah ni belum terkupas.” Jiah mencelah. Minuman yang tersedia untuknya diteguk rakus. “Maya, sebenarnya kami dah pun terlibat kerana kami adalah kawan-kawan awak.”

Maya tidak berkata apa-apa. Lagi pun memang benar apa yang Jiah sangkakan. Mereka berempat berbual-bual lagi dan hanya beredar dari situ setengah jam kemudian. Johan dan Ferdy yang sedang berborak-borak di tempat meletak kereta berpaling arah mereka. Senyum Johan melebar setelah mata menyapa wajah hodoh milik Maya. Segera diajaknya Ferdy menghampiri mereka berempat. Ferdy tidak menolak. Maka berlakulah perkenalan singkat antaranya dengan mereka semua.


Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.