“Hei!! Awak berdua berhentilah bertekak! Bising tau!”
bentak Khairi mula naik darah.
Izat mengetap bibir. Bara di hatinya semakin marak.
“Gara-gara orang bodoh inilah kita tersilap masuk.” Sukar untuknya memadam
segala rasa-rasa yang menghentak tempurung kepalanya. “Sepatutnya, awak marah
kat dia... bukan aku.” Izat tidak berpuas hati.
“Aku lebih dari pasti! Memang jalan raya inilah menuju ke
Telupid! Jalan sebelah kiri tu ke Kanibungan.” Nampaknya Aswad masih dengan
keputusannya.
“Ok! Kalau memang benar menuju ke Telupid! Kenapa kita
masih berada dalam hutan tebal ni?!” soal Izat, meradang.
“Sebab kita masih berada dalam kawasan Paitan! Kalau kita
dah nampak ribuan pokok kelapa sawit kiri dan kanan jalan... tu maknanya kita
dah lepas Paitan.”
“Aku tahu! Tapi sekarang ni masalahnya kita dah dekat 3
jam menyusur jalan raya yang sama! Jalan raya yang diapit hutan tebal dan
semacam tidak berpenghujung!” pintas Izat.
“Ya. Kita dah lama berlegar di sini,” sampuk Raman. Aswad
terdiam seketika. Dalam hati dia mengaku kebenaran kata-kata Raman. Izat
gembira apabila mendapat sokongan. “Kita akan kehabisan bekalan minyak kereta
jika keadaan ini berterusan.”
“Betul. Tapi takkan kita nak berhenti rehat kat bahu
jalan raya ni? Tempat ni gelap gelita dan sangat menakutkan?”
“Tak apa Aswad. Kita ada empat orang lelaki kat sini.
Tiada apa yang nak ditakutkan.” Demikian pendapat Khairi.
Raman menghela nafas. “Tak salah jika sudah terpaksa. Itu
lebih baik dari meneruskan perjalanan yang tiada berkesudahan ini. Kita tunggu
besok pagi kemudian gerak.” Izat kalut dalam diam. Ternyata pandangan Raman dan
sokongan Khairi mengecutkan hatinya. Mana mungkin dia berani bermalam dengan
tiga lelaki ini di sini. Biarpun mereka semua lelaki sepertinya, namun itu
tetap tidak menjanjikan sebarang keselamatan.
“Ok! Sekarang aku mahukan suara ramai.. sama ada
meneruskan perjalanan? Ataupun berhenti kat bahu jalan dan tunggu sehingga
pagi?”
“Berhenti,” kata Raman sepatah.
“Ok. Berhenti.” Suara Aswad menyusul. Serasanya dia tiada
pilihan lain selain memilih berhenti. Tambahan pula, daripada mereka kehabisan
bekalan minyak... lebih baik berhenti dan menunggu sehingga pagi.
“Izat? Apa keputusan awak?” Khairi memandang Izat melalui
cermin depan.
“Hmm...” Izat serba salah. Raman yang duduk di sebelah
memandangnya. “Aku dengar tempat ni lubuk penyamun.”
“Kita akan matikan lampu kereta dan letak kereta di
tempat yang tersorok. Penyamun tu pasti akan terlepas pandang.” Kedengaran
lawak namun itulah jawapan Khairi. “Lagi satu, 2 orang akan berjaga dan 2 orang
lagi tidur. Kita akan bergilir-gilir hingga awal pagi besok. Bagaimana?”
“Aku ok saja, Khairi.” Aswad menguap. “Aku mahu giliran
pertama tidur,” pintanya.
“Ok. Awak dan Raman akan tidur. Manakala aku dan Izat
pula berjaga. Kami akan kejutkan kamu berdua selepas 2 jam.”
“Boleh Khairi. Terbaik.” Nampaknya Raman amat bersetuju.
Kebetulan dia berasa sangat mengantuk. Tanpa bertangguh, dia dan Aswad segera
melelapkan mata. Khairi mengajak Izat berbual sambil mencari tempat melabuhkan
kereta. Dari jauh, Khairi ternampak sebatang pokok rimbun. Dahan-dahan pokok
tersebut tampak rendah dan teduh. Izat tidak berkata apa-apa ketika Khairi
memarkir kereta di bawah rimbunan pokok tersebut.
Khairi menyandarkan belakang selepas mematikan enjin
kereta. Suasana bertukar gelap gelita. Tiada apa yang tersaji di depan mata
selain remang malam. “Awak jangan tidur, Izat.” Diintainya Izat melalui cermin
depan. Namun tiada apa yang menyeruak masuk dalam matanya kecuali pekat malam. Izat
dan Raman kelihatan berbalam di belakang.
“Baiklah. Awak jangan susah hati.” Izat meraba batang
tengkuknya. Entah mengapa, dia tiba-tiba berasa seram sejuk pula. “Harap-harap
aku tak tertidur.” Belakangnya turut disandarkan. Dia berasa sangat letih dan
lenguh.
“Usahakanlah,” kata Khairi sepatah. Pandangannya
menembusi kelam malam. Dia dan Izat bersunyi-sunyi. Benaknya rompong tidak
berisi apa-apa walau sepatah kata untuk dilontarkan kepada Izat. Demikian juga
Izat.
“Tiba-tiba rasa kantuk pula,” beritahunya tatkala
berasakan kedua kelopak matanya memberat.
Khairi terkejut. “Cubalah bertahan,” katanya dua patah.
Walhal dia sendiri tidak jauh berbeza dengan Izat. Kedua kelopak matanya
acapkali terkatup tanpa sedarnya. Pedih berair.
“Ya.” Suara Izat kedengaran sayup dalam lohong telinga
Khairi. Khairi akhirnya terlelap tanpa sengaja dan tanpa sedarnya. Izat tidak
menyedari hanya dia seorang lagi yang masih terkebil-kebil di situ. Kedua mata
Izat membesar apabila ternampak batang jalan raya tiba-tiba terang.
Pandangannya beralih.
Dalam kepalanya hanya terisi objek kereta. “Ada kereta
lalulah,” hebahnya tanpa mengetahui Khairi sudah lama terlena. Sedang dia
khusyuk mencari dari arah mana datangnya cahaya kereta tersebut, tiba-tiba
kedengaran pintu dibuka dari arah depan. Haluan mata Izat spontan beralih.
Dipandanginya Aswad. Lelaki itu masih berada di situ. Demikian juga Khairi.
“Hmm...” Dia mengguman, hairan.
PANDANGANNYA berganjak apabila berasakan ada
bayang-bayang bergerak perlahan menuju ke jalan raya. “Itu bukan bayang-bayang.
Itu...” Kedua matanya mengecil. “Itu Khairi.” Dia terkejut lantas bergegas
keluar. “Khairi! Awak nak pergi mana?” Langkahnya diatur memanjang. Dia hampir
jatuh tersepuk apabila kaki kirinya tersangkut banir pokok. “Khairi!” serunya
lagi. Dilihatnya Khairi pantas menuju arah jalan raya lalu berdiri tepat di
tengah jalan.
Waktu yang sama, sebuah kenderaan yang tidak diketahuinya
jenis apa semakin mendekat. “Khaiiirii!” laungnya sekuat hati dan berlari laju
mendapatkan Khairi. Debaran dalam dadanya sudah tidak terkira ketika ini. “Khairi?”
sebutnya perlahan dan tergaman kerana Khairi tidak berada di situ. Lampu kereta
yang tersorot garang arahnya membuatkan pandangannya silau. Kedudukannya yang
hanya beberapa kaki dari muncung kereta tersebut membuatkan kenderaan tersebut hilang
pertimbangan.
“Hati-hati! Ada oranglah!” Satu suara menjerit nyaring.
“Celaka!!” Pemandu Myvi putih tersebut terpaksa memutar
stering menghala kereta pacuan 4 roda milik Khairi yang tersorok di sebalik
pokok. Khairi, Raman dan Aswad yang terjaga serentak selepas terdengar suara
Izat tadi bingung seketika. Raman cepat-cepat membuka pintu kereta dan meloncat
keluar.
“Ada keretalah!!” Renna terpekik histeria. Suara jeritan
teman-teman mereka turut memenuhi ruangan kereta tersebut. Rehal panik dan kaget.
Namun dia tidak sempat melakukan apa-apa. Selain terpaksa merempuh hilux Dmax
Khairi. Izat yang masih tercancang kaku di tengah jalan terlopong dan tersentak
apabila myvi tadi melantun arahnya selepas merempuh hilux Khairi.
Kejadian yang tidak disangkakan itu berlaku dengan
pantas. Suasana bertukar sunyi. Hening sehening-heningnya. Bau minyak Petrol
tertumpah mula terhidu di merata tempat. Lampu kereta Myvi pula masih tersorot
garang. Menerangi persekitaran yang dikelilingi hutan tebal. Bunyi kera kedengaran
bersahut-sahutan dari jauh.
Dentuman guruh di langit membuatkan Cicie terjaga. Gadis
itu pantas bangun dan bingung seketika. Dipandanginya semua objek yang bersepah
di situ. Dia terkejut apabila melihat seorang lelaki asing. Dia pantas berundur
apabila Aswad menapak halanya. “Bertenang.” Aswad mengangkat kedua tangan
menyuruh Cicie bertenang. Cicie tetap begitu dan mula melaungkan nama Renna,
Mila, Violet dan Rehal dalam nada cemas. Aswad mendengus seakan marah. “Awak ni
gila! Tau tak?” hamburnya tanpa sedar. Pandangannya beralih. “Izat?”
Izat yang muncul dari sebalik kelam malam memandang
bingung. Kepalanya diusap perlahan. Ada benda panas sedang mengalir di situ.
Benda yang tidak diketahuinya apa. “Awak semua ok ke?” ajunya tanpa menyedari
kehadiran Cicie di situ.
“Entahlah! Agaknya Raman dan Khairi dah mati!” Aswad
memandang Cicie semula. Wajahnya penuh kesal dan marah. “Heh! Kawan-kawan awak
mana hah?” tanyanya kasar. Cicie semakin takut dan kembali melaungkan nama
teman-temannya.
“Ya!” Satu suara menjawab. Cicie tersenyum dan bergegas
mencari arah munculnya suara tersebut. Renna yang terperosok dalam Myvi
mengensot keluar diikuti Violet. “Awak tak apa-apa, Cicie?”
“Cicie ok. Syukurlah kamu berdua selamat. Mana Mila dan
Rehal.”
“Aku di sini.” Rehal menjawab. Suaranya kedengaran
seperti dalam kesakitan. Cicie, Violet dan Renna cepat-cepat mendapatkannya.
“Awak tersepit.” Violet memanggung muka ke arah Aswad dan
Izat. Kedua lelaki itu hanya memandang mereka. “Awak berdua boleh tolong tak?”
Tak tertahan hatinya meminta pertolongan.
Izat memandang Aswad. “Awak pergilah kalau nak. Aku nak
pergi cari Khairi dan Raman.” Aswad berlalu. Tanpa kata, Izat mendapatkan
gadis-gadis tersebut. “Dia tersepit kat dalam ni,” beritahu Violet. Sejenak,
Izat hanya memerhatikan Rehal yang tersepit di antara bangku pemandu dengan
stering kereta.
“Awak ok ke?” suanya. Rehal mengangguk. Izat menunduk dan
melakukan sesuatu pada stering kereta tersebut. Entah apa yang dilakukannya
namun stering itu terbuka. “Awak boleh keluar sekarang.” Dia berundur. Rehal
segera bergerak keluar. Dia jatuh tersepuk ketika melangkah keluar dari tempat
duduk kereta. Pandangannya berpinar, ruang dadanya terasa sesak dan saluran
pernafasannya menyempit.
“Rehal?” Cicie panik apabila Rehal mula muntah-muntah.
Ketulan darah menyeruak keluar dari mulutnya. Izat, Violet dan Renna hanya
memandang resah. Tiada apa yang termampu mereka lakukan selain hanya
memerhatikan Rehal begitu.
“Aku ok.” Rehal mengangkat tangan kanan menyuruh Cicie
bertenang. “Cari Mila,” suruhnya lantas duduk menyandar di tepi kereta.
Nafasnya ditarik dalam-dalam kemudian dihembus perlahan. “Aku tak faham apa
yang telah berlaku sebenarnya? Awak ke yang terhangak-hangak kat tengah jalan
raya tadi?” Tunaknya menikam Izat. Izat serba-salah. Entah bagaimana mahu
menjelaskan situasi sebenar. Dia sendiri bingung dan tertanya-tanya sejak bila
dan bagaimana malapetaka ini boleh berlaku.
Violet dan Renna beredar. Cicie hanya memandang mereka
dan tidak berkutik dari tempatnya tercancang. Bunyi guruh sekali lagi
kedengaran mementung dada langit. Suasana terang-benderang sejenak. Jeritan
histeria Renna dan tangisan Violet menyentakkan mereka semua yang berada di
situ. Izat dan Cicie berlari pantas mendapatkan mereka. “Mila... Milaa dah
mati,” beritahu Violet tersedu-sedu.
Izat terkedu apabila melihat jasad mangsa yang masih
nampak sempurna. Dia menunduk dan segera memeriksa pergelangan tangan Mila.
Keluhannya terhembus lantas bangun dan memandang Cicie. “Dia dah tak ada.”
Begitu katanya. Air mata Cicie meluncur laju. Panas membasahi kedua belah
pipinya. Mereka semua menoleh apabila terdengar suara seseorang terbatuk keras.
Izat segera menepi untuk memberikan Rehal laluan.
“MILA DAH...” Renna tersengguk-sengguk pilu. Dia
kemudiannya meraung.
“Bertenang.” Pemuda itu mengetap bibir. Diusahakannya
agar tidak menangisi pemergian adik kandungnya yang baharu berusia 15 tahun
itu.
“Maafkan kami, Rehal.” Violet mendekati Cicie lalu
berpelukan dengan gadis itu. Rehal diam tanpa kata. Namun kilau matanya sempat
menyelar Izat. Dirasakannya semua bala dan kematian adiknya ini berpunca dari
Izat. Ya. Kerana lelaki yang belum dikenalinya itulah semua ini berlaku. Izat
menunduk dan berundur. Tidak jauh dari situ, kedengaran suara Aswad dan Khairi
melaungkan nama Raman.
“Maafkan aku. Aku tahu semua ini berpunca dari aku.” Izat
bersuara. Serasanya, sudah tiba masa untuknya menjelaskan keadaan sebenar,
untuk merungkai persoalan yang mengusut dalam benak mereka. Rehal tidak
memandangnya. Pemuda itu duduk perlahan dan meletakkan kepala Mila atas
pangkuannya. Kedua keningnya bercantum kerana berasakan haba tubuh Mila yang
masih panas. Dia segera meletakkan kepala di atas dada Mila namun tidak
mendengar apa-apa.
“Awak buat apa kat tengah jalan raya? Awak dah tahu ada
kereta nak lalu... lagi nak pergi situ? Bodohlah awak ni!” Renna marah amat
sangat. Didekatinya Izat lalu menampar muka lelaki itu. Kalau diikutkan kata
hati, mahu saja dibunuhnya Izat sebagai bayaran terhadap nyawa Mila. Izat yang
terkilan hanya memandangnya dengan muka bersalah. Cicie dan Violet turut
memandang Izat. “Awak tengoklah apa yang awak telah buat?!” sergah Renna lalu
memukul dada Izat bertalu-talu.
Izat tidak berganjak dari tempatnya terpacak. Dia masih
berdiri teguh di situ walaupun dadanya terasa perit dipukul Renna. Renna
akhirnya menangis sendiri selepas puas menjadikan dada Izat sebagai tempatnya
melampiaskan segala rasa-rasa yang menyeksa. “Apa yang awak buat kat tengah
jalan tu?” tanya Rehal, berusaha bertenang. Dia cuba mewaraskan fikiran dan
menganggap apa yang sudah berlaku ini adalah suratan takdir. Mungkin sudah ajal
adiknya menjadi mangsa dalam kemalangan yang tidak dijangka ini.
“Mereka kat hilux Dmax tu adalah kawan-kawan aku. Kami
seramai 4 orang datang dari arah Kota Marudu mahu ke Sandakan dengan menaiki
hilux Dmax. Setahu kami, laluan kat Paitan ni tak adalah memakan masa sampai 3
jam. Tapi itulah yang berlaku. Perjalanan yang tidak berpenghujung itu amat
meletihkan kami. Sebab lain, kami bakal kehabisan bekalan minyak kereta sekiranya
situasi tersebut berterusan.”
Izat menarik nafas. Dilihatnya tangisan ketiga-tiga gadis
itu mula reda. Rehal memandangnya. Kemudian menunduk dan kembali mengusap
ubun-ubun Mila. Dirasakan haba tubuh Mila masih panas walaupun suasana ketika
ini amat dingin. “Kerana kebimbangan inilah kami memilih untuk memarkir kereta
kat bahu jalan dan di sebalik pokok tu. Kami risau sekiranya disamun jika
meletakkan kereta di tempat yang terdedah.”
Sekali lagi Izat berhenti. “Sewaktu sedang bergilir
berjaga itulah aku ternampak kawan aku.. Khairi keluar. Aku tak nampak dia
keluar dari kereta. Apa yang aku nampak tu adalah bayang dia berlari menuju
arah tu.” Izat segera menuding arah yang dimaksudkannya. Pandangan Rehal,
Violet, Cicie dan Renna spontan terhumban ke arah yang sama.
“Tengah jalan raya?” Khairi yang berada di belakang
mereka bersuara. Izat menoleh diikuti mereka yang lain. Aswad memandang Khairi
dengan muka hairan. Dia mahu bersuara namun tangan Khairi bagaikan satu isyarat
buatnya. “Tunggu Izat habiskan ceritanya,” bisiknya perlahan.
Izat membasahkan bibir. Pandangannya kembali menunjal
Rehal. “Sebelum tu aku memang dah menyedari kehadiran kereta yang dipandu oleh
awak tu. Kalaulah bukan kerana mahu menyelamatkan Khairi yang berdiri kat
tengah jalan raya tu... mungkin kemalangan ini tak akan berlaku.”
“Aku tak pernah ke mana-mana, Izat. Aku masih berada
dalam kereta tu bersama dengan Raman dan Aswad.” Khairi menjelaskan sambil
berjalan terhenjut-henjut mendekati Izat.
“Aku tahu,” balas Izat. “Aku tahu awak masih berada dalam
hilux tu. Awak tak pernah keluar dari situ.” Dipandanginya muka Khairi
tepat-tepat.
“Habis tu kalau...” Rehal pening dan keliru.
“Ehh apa yang awak cerita ni? Kami tak fahamlah.” Suara
Violet kedengaran keras menukul gegendang telinga Izat.
Izat memandang Rehal dan mereka semua satu-persatu. “Kita
berdepan dengan puaka di tempat ini. Itulah jawapannya. Jawapan kepada punca
tragedi ini.”
“Heh! Apa yang kau mengarut hah?” Aswad tiba-tiba berang.
“Awak tahu tak Raman hilang?” Mereka semua berpandangan.
“Apa maksud awak, Izat?” Khairi menarik nafas. Dia
tiba-tiba terfikirkan sesuatu.
“Batang tubuh yang aku sangkakan awak tu sebenarnya
hanyalah bayang milik puaka tu. Puaka tu sengaja nak menarik perhatian aku.
Mengumpan aku ke tengah jalan raya tu. Aku sedar selepas cubaan menangkap
batang tubuh tu. Tubuh itu tiba-tiba lesap dan waktu yang sama Myvi mereka
sedang menuju ke arahku kemudian membelok arah kiri. Lalu merempuh hilux awak
dan melantun ke arahku. Selepas tu aku pengsan.” Dirabanya kepalanya yang masih
terasa basah dibanjiri darah.
Renna memusing tubuh tepat berdepan dengan Izat. “Awak
tak buat-buat cerita ke?” Nada suaranya seperti tidak mempercayai cerita Izat.
“Aku percayakan dia, Renna.” Ternyata ayat Rehal berjaya
melenturkan rasa-rasa yang mengasak hati Renna. “Dia tak bodoh mahu menyerahkan
nyawanya jika tak ada sebab lain.” Dengusan nafas Khairi kedengaran. “Sekarang
ni musim hujan. Banyak benda tak bagus berlaku. Kita kena redha terhadap apa
yang sudah terjadi,” lanjut Rehal.
“Ok! Kita semua tak bersalah! Semua yang berlaku
disebabkan benda keparat tu! Sekarang ni kita kena uruskan mayat ni. Nak letak
kat mana? Kemudian cari Raman. Aku rasa dia tak jauh dari lokasi hilux tu,”
putus Khairi.
“Nak cari guna apa? Guna mata ke? Tempat ni gelap gelita
tak nampak apa pun?” Cicie mengesat air matanya. Dia tidak mahu tahu pasal
Raman. Dia mahu berehat dan menunggu hingga hari berganjak pagi. “Lagipun kami
tak kenal Raman. Untuk apa kami nak sibukkan diri cari dia? Awak bertiga
pergilah cari sebab Raman tu kawan awak semua.”
“Cicie,” bisik Violet perlahan. Dia tidak bersetuju
apabila Cicie berkata begitu.
Khairi tersenyum hujung bibir. “Alahai sombongnya.
Kasihan. Dah ditimpa bala macam ni pun masih nak berlagak. Perempuan 3 orang
dengan seorang lelaki yang dah lemah tak berdaya. Mampu ke nak bertarung kalau
disamun orang jahat?” sindirnya lantas mengajak Izat dan Aswad beredar. Izat
serba-salah. Namun langkahnya tetap diatur kerana Khairi dan Aswad adalah
kawannya.
“AWAK tak patut kata macam tu, Cicie,” marah Violet.
“Gara-gara merekalah kita jadi macam ni.”
“Tapi Cicie... kita masih perlukan mereka. Malam masih
panjang. Macam-macam boleh terjadi sepanjang waktu itu. Kita tak boleh ego dan
mementingkan diri dalam keadaan begini. Tengok. Pandang persekitaran kita...
buka mata luas-luas. Kita semua berada di tempat asing yang sangat menyeramkan
dan menakutkan.” Rehal menggeleng seperti tidak berpuas hati. Cicie serba
salah.
“Memanglah salah mereka tapi kita tak boleh salahkan juga.
Dia dah jelaskan situasi sebenar dan apa yang dia bagitahu tu masuk akal. Kita
semua kena fikir dua perkara kemudian cari rasionalnya. Pertama, mengapa mereka
parkir dan sorokkan kereta belakang pokok tu? Kedua, kenapa lelaki tu berani
sangat berdiri kat situ? Semua tu ada pro dan kontranya. Dan lelaki tu dah
rinci semua...”
“Maafkan aku, Rehal,” pintas Cicie. Renna dan Violet
berpandangan.
“Lebih baik kita uruskan mayat Mila kemudian ikut serta
mereka.” Rehal bingkas. Dia tampak kepayahan. Dadanya terasa sakit seperti
ditujah puluhan buluh runcing. Sakit perit yang dirasanya bukan kepalang. Rehal
terduduk. Darah merah menyembur keluar dari mulutnya. Ketiga-tiga gadis itu
lekas membantunya. “Tak apa. Uruskan mayat Mila. Violet pergi periksa tempat
duduk belakang atau bonet kereta. Tengok mana yang tak remuk. Kita nak letak
mayat Mila kat situ.”
“Tak boleh ke kalau kita biarkan saja mayat ni di sini?
Kita bukannya nak ke mana-mana pun,” cadang Renna.
Rehal menggelengkan kepala. “Tak boleh. Kita kena tolong
mereka cari kawan mereka. Jadi jasad Mila ni kena letak di tempat yang selamat.
Macam-macam boleh berlaku kalau kita biarkan kat sini.” Dikesatnya hujung bibir
dengan birai lengan baju. Dia menoleh ke sisi apabila tertangkap kelibat
seseorang. Namun tiada apa yang berada di situ selain kereta Myvi miliknya yang
remuk di bahagian depan. Nafasnya dihela. “Tempat ni keras.” Hanya itu katanya.
Dia segera memberikan bahasa isyarat menggunakan batang jari.
Violet mengangguk seraya beredar. Segera diperiksanya tempat
duduk belakang. Tempat tersebut masih elok tetapi pintunya pula rosak. Violet
beredar ke bonet. Nampaknya bahagian belakang kereta juga kemek dan terperosok
ke dalam. Tanpa bertangguh, dia mendapatkan Rehal semula dan menghebahkan
perkara tersebut. “Kita guna tempat duduk belakang. Letak jasad Mila kat situ,”
putus Rehal.
Cicie, Renna dan Violet segera bekerjasama mengangkat
mayat Mila. Hati Violet berdetik. Dia berasakan tubuh Mila sangat berat.
Ternyata apa yang dirasainya turut dirasai oleh Cicie dan Renna. Namun tiada
sesiapa pun di antara mereka mahu mengatakan hal tersebut. Rehal memaksa diri
mengekori setiap langkah mereka bertiga. Waktu ini, Khairi dan kedua kawannya
masih sibuk mencari Raman.
“Tiada apa yang boleh kita lakukan,” kata Aswad seperti
berputus asa. “Gelap. Susah nak cari.”
“Aku pun dah puas melaung tapi tiada jawapan.” Pandangan
Izat kelam seketika. Dia pantas menyentuh tempurung kepalanya. Basah seperti
tadi. “Aku rasa kepala aku tercederalah.”
“Mungkin,” jawab Khairi sepatah. “Nasib baik awak tak
mati.” Dia termenung seketika. Pandangannya menembusi kelam malam yang tidak
berpenghujung. “Betul ke apa yang awak ceritakan tu, Izat?” ajunya tanpa
menoleh ke arah Izat.
“Ya. Benda menyerupai awak tu hilang.”
“Kenapa awak tak lari selepas tahu benda tu adalah
syaitan?”
“Aku tak sempat lari, Aswad. Muncung kereta mereka dah
hampir sangat. Mujurlah lelaki tu sempat menyasarkan haluan dan hilux Khairi
menjadi mangsa.”
“Ya. Jadi mangsa tapi kereta tu tetap menghentam awak
kan?” Khairi berpeluk tubuh. “Nasib baik awak tak hancur berkecai ditimpa
kereta tu.” Pandangannya menyula Izat. Waktu itulah dia ternampak setitik
cahaya dari kejauhan. Cahaya menyerupai kerlipan lampu itu terletak di seberang
jalan raya. “Eh! Ada cahayalah kat situ.”
“Cahaya?” kata Izat dan Aswad serentak. Pandangannya
mereka beralih namun tiada apa yang tertera di depan mata mereka berdua.
“Ya. Cahaya.” Khairi berdebar-debar. Dia berjalan
melintasi kedua lelaki itu. Aswad dan Izat berpandangan lalu mengekori Khairi.
“Dekat mana cahaya tu, Khairi?” Aswad turut berdebar.
“Tak sangka dalam hutan ni ada cahaya.” Dia tiba-tiba teringatkan sesuatu.
“Agaknya cahaya tu mata hantu agaknya.” Bulu tengkuk Izat
meremang. Aswad sekadar memandangnya tanpa kata.
“Aku pun fikir macam tu,” bisik Aswad. Khairi melangkah
pantas. Dia semakin jauh. Cahaya tersebut masih jelas depan matanya. “Bagaimana
perasaan awak selepas mendapati batang tubuh yang awak sangkakan Khairi tu
rupa-rupanya milik puaka?”
“Entah. Aku tak sempat nak rasa takut sebab minda aku
dikuasai oleh situasi genting waktu tu. Bayangkan, aku bakal jadi arwah kalau
kereta mereka tu tak sempat menyimpang.” Mereka berdua berpaling serentak
apabila terdengar suara Renna memanggil. “Kita kena ikut dia! Dia kata ada
cahaya lampu kat situ!” Izat tidak berhenti. Dia dan Aswad meneruskan
perjalanan tanpa mengendahkan kumpulan Renna.
“Jom!” ajak Violet. Dia dan Renna segera memapah Rehal
kemudian bergerak perlahan diikuti Cicie. Khairi bagaikan terlupa mereka semua
lantaran terlalu teruja. Dia ingin tahu apa sebenarnya benda yang sedang
berkerlip-kerlip itu. Berpandukan cahaya dari telefon bimbitnya, Khairi berjaya
sampai ke seberang jalan raya. Pandangannya tak lekang dari menguliti cahaya
tersebut.
“Agaknya dia ternampak balan-balan.” Renna menduga.
“Agaknya. Kat hutan ni macam-macam ada.” Kembang bulu
roma Violet. Ekor matanya menggelinyau. Memerhatikan persekitaran mereka. Cicie
ikut takut apabila terpandang Violet. Dirabanya batang tengkuknya sambil
menoleh ke belakang.
“Tak payahlah kita nak fikir yang bukan-bukan. Sebaiknya
fikir positif. Harap-harap benda yang dia nampak tu lampu rumah. Bolehlah kita
menumpang tidur hingga pagi besok.” Rehal bersuara. “Aku dah tak larat macam
ni. Dada aku terasa sakit sangat.”
“Mungkin pasal terhentak kat stering tu. Tapi mana
perginya belon keselamatan kat situ?”
“Entahlah Renna.”
“Tak apa Rehal. Kita gerak perlahan-lahan ikut kemampuan
awak,” kata Violet lembut.
“Kau orang cepat!” laung Khairi tanpa menoleh. Dia enggan
kehilangan cahaya lampu tersebut. Tanpa berfikir panjang, dia terus berjalan
mencelah rimbunan belukar yang memenuhi hutan tersebut. Semakin lama dia
berjalan, cahaya tersebut semakin terang dan terang. Khairi terpegun apabila
tiba di pinggir sebuah pekan. Pekan tersebut kelihatan gelap gelita dan hening
seolah tidak berpenghuni.
HANYA sebuah rumah kelihatan berlampu. Lampu dari rumah
itulah yang dilihat oleh Khairi sedari tadi. “Pekan?” Khairi berasa hairan.
“Dalam hutan tebal ni ada pekan? Tak masuk akal.” Kepalanya digaru. “Atau
sebenarnya pekan peninggalan?” Dia bingung. Beberapa bangunan lama turut
bersepah di situ. Bangunan kedai yang diperbuat dari kepingan papan dan
beratapkan zink. Bangunan bertiang setinggi dua kaki setengah dari permukaan
tanah. “Sekarang ni dah zaman moden. Bangunan kedai macam ni tak wujud lagi.”
Khairi cuba mengingat. “Bangunan tahun 1970-an,” tekanya.
“Ya. Tahun 70-an.” Debar di dadanya memacu keras. Dia berpaling apabila
tertangkap suara Aswad dan Izat.
“Wow! Biar betul!” Izat bagaikan tidak percaya apabila
ternampak bangunan-bangunan usang yang seakan rumah panjang bersusun di depan
matanya. “Lampu tu?” katanya sambil membuang langkah arah Khairi. “Hebat!
Inilah penemuan yang paling hebat aku rasakan. Pekan terbiar atau pekan
tersorok.”
Khairi meletakkan jari telunjuk ke bibir sebagai bahasa
isyarat menyuruh Izat diam. “Kita belum tahu ini pekan apa? Persoalannya,
kenapa pekan ni tersorok dalam hutan tebal?”
“Alaa.. kau bukan tak tahu.. semua pekan atau rumah
penduduk kat kawasan Paitan ni memang tersorok dalam hutan. Kena masuk dalam
hutan ni baru ada peluang nak tengok rumah mereka. Releklah,” sampuk Aswad. Dia
berasa sangat lega kerana penemuan ini. Mereka bertiga berpaling. Renna dan
Violet yang sedang memapah Rehal berjalan perlahan ke arah mereka. Pergerakan
mereka agak lambat kerana berat Rehal amat membebankan kedua gadis tersebut.
Cicie muncul dari arah belakang. Dia tidak berkata
apa-apa sewaktu ekor mata Khairi menghempuknya. Wajah gadis itu mengingatkan
Khairi pada keangkuhannya tadi. “Ok. Begini.” Dipandanginya mereka semua
satu-persatu. Suaranya cukup perlahan namun amat jelas menyonsong masuk dalam
lohong telinga mereka semua. “Kita semua tahu waktu-waktu begini, berada dalam
hutan tebal ni dan selepas melalui kejadian mengerikan tadi hingga meragut
nyawa salah seorang dari kita... tak kurang juga yang hilang.. kesudahannya
pasti ada perkara yang tak masuk akal akan menyusul.”
“Aku tak faham,” celah Violet. Izat memandangnya,
kemudian memandang Khairi semula.
Khairi menarik nafas. “Biar aku rumuskan apa sebenarnya
yang sedang menemui kita sekarang ni. Kita bukan datang ke sini kerana menemui
sesuatu. Tetapi sesuatu sengaja mengheret kita semua ke sini untuk satu tujuan.
Tak tahulah tujuan apa. Sama ada baik atau buruk. Itulah yang sedang kita
hadapi sekarang ni.”
Renna dan Cicie membasahkan bibir. Detak jantung mereka
menjadi perlahan dan hampir tidak kedengaran. Ada sesuatu yang mengerikan
berapungan dalam benak mereka berdua. Demikian juga Rehal, Aswad dan Izat. “Maksud
awak?” Suara Aswad kedengaran seperti berbisik.
“Puaka. Syaitan,” kata Khairi amat perlahan. “Tengok
bangunan kedai yang berderet-deretan tu? Cuba perhatikan lekuk dan senibinanya
serta bahan yang digunakan untuk mendirikan bangunan-bangunan tersebut. Semua
tu wujud lagi ke pada zaman ni?” tekannya. Renna menutup mulut. Violet dan
Cicie mula tak keruan. Rehal menelan air liur. Dia cuba bertenang dan bersikap
wajar. “Ni bangunan era 60 atau 70an,” beritahu Khairi bersungguh-sungguh.
“Takut.” Cicie cepat-cepat menghimpit Renna. Dia
menggigil. Izat mengetap bibir dan tekun memerhatikan persekitaran mereka. Dia
cuba menentang rasa-rasa yang berantakan dalam dadanya. Pelbagai gambaran
menakutkan mengisi ruang legar benaknya. Dia berasa takut dalam diam.
“Aku tak tahu kita sebagai apa dalam dunia kelam ni. Apa
yang aku tahu dan rasakan, kita tak akan berjaya keluar hidup-hidup selepas
memasuki sempadan ni.” Kata-kata Khairi membuatkan mereka semua langsung
menunduk dan memandang permukaan tanah di mana mereka tercancang.
“Kau biar betul, Khairi. Jangan cakap sembarangan kalau
tak betul,” kata Aswad keras dan perlahan. Wajahnya tampak serius dan seperti
marah.
“Ok. Aku akan tutup mulut.” Khairi angkat bahu. “Nasihat
aku, baca dan lafazkanlah apa-apa yang awak semua tahu sebagai pendinding diri.
Tiada sesiapa yang akan menampan sesiapa. Kita semua hanya mampu membantu diri
sendiri kerana dunia ini bukan milik kita. Kita berkongsikan pemandangan yang
sama. Aku berada di sini dan nampak semua tu. Demikian juga kau orang semua.
Ini bermakna, kita semua berada di sini tanpa pengecualian dan tiada yang
terkecuali kecuali 2 orang rakan kita tu. Siapa yang tak percayakan aku...
abaikan apa yang aku percaya. Tiada paksaan.”
SUASANAN HENING. Tiada siapa mahu menyulam kata selepas
bicara terakhir Khairi. Masing-masing cuba bernafas sebagaimana sebelum ini,
walau denyut nadi mereka semakin perlahan seiring apa yang sedang merasuk
jemala mereka. Syak wasangka Khairi mengesan di hati mereka semua walau belum
terbukti kesahihannya. “Sampai bila kita nak terpacak kat sini? Malam semakin
dingin.” Rehal menggeletar. Dia berasa sangat sejuk.
“Kita perlukan bantuan.” Renna memanggung muka. Khairi
memandangnya.
“Ya. Kita perlukan bantuan.” Helaan nafas Aswad
kedengaran. Dia serba salah. Sukar untuknya menidakkan pra-sangka yang
bercambah dalam minda Khairi. Entah apa akan jadi jika semua itu betul? Dan apa
pula yang akan berlaku sekiranya apa yang disangkakan oleh Khairi itu tidak
benar sama sekali. Ekor matanya menghempap Izat. Izat sekadar memandangnya. Riak
wajah lelaki itu menjelaskan bahawa lelaki itu tidak memahami maksud
pandangannya. Ataupun kelam malam telah membuatkan Izat tidak berjaya membaca
air mukanya.
“Kita dapatkan bantuan dari rumah yang ada pelita tu.”
Suara Violet kedengaran getir dan semacam terpaksa. Hakikat sebenar, dia berasa
amat takut. Takut sangat-sangat. Pelbagai rupa hantu menyesak dalam balang
fikirnya.
“Awak pergilah, Aswad. Beri salam kat rumah tu.” Izat
menepi. Aswad menelan air liur. Menyesal pula rasanya berkata tadi. Kini beban
tanggungjawab yang dipanggul Khairi beralih ke bahunya. “Cepatlah. Dia tak
boleh bertahan lama,” desak Izat. Dilihatnya Rehal semakin kritikal. Muka
lelaki itu kini pucat dan memutih. “Izat.” Khairi memberikan isyarat muka. Anggukan Izat
menandakan dia faham apa yang dimahukan oleh Khairi darinya. Dia dan Khairi segera
mengambil alih tugas kedua gadis itu. Renna kelegaan. Nafasnya terhembus
beberapa kali lantaran berasa sangat penat. “Jangan pandai cakap saja tapi tak
berani buat,” sindir Khairi apabila melihat Aswad masih tercancang di situ.
Tekak Aswad semakin terasa kering dan menyempit. Dia
menggigil dalam diam. Dipandanginya mereka semua seolah meminta dimengertikan.
Namun nampaknya tiada sesiapa mahu mengerti. Mungkin mereka sengaja ataupun
berasakan itu adalah urusannya seorang. Rintihan dan erangan Rehal bagaikan
satu peringatan buatnya. Kerana terpaksa, Aswad akhirnya membuang langkah
pertama. Kini baru diketahuinya betapa seksa dan peritnya menanggung ketakutan
yang teramat sangat.
Rumah usang yang berbalam hitam di depan membuatkan
tempurung lututnya melonggar. Dia bagaikan ternampak-nampak berpasang mata
sedang mengintainya melalui celahan dinding papan yang berlubang-lubang. Tin
pelita yang tersangkut di luar rumah bertiang itu tiba-tiba berkeriut ditolak
angin. Api pelita tersebut turut meliuk seakan hendak terpadam. Aswad terlompat
apabila daun jendela salah sebuah bangunan kedai di sebelah kanannya terbuka
lalu terhempas ke dinding. Mereka yang berada jauh di belakang turut terkejut. Aswad
semakin terketar-ketar. Sungguhpun begitu, dia enggan berpaling.
Selepas meneguk liurnya beberapa kali dan cuba bernafas
seperti biasa, Aswad akhirnya melaungkan salam. Salam pertama langsung tidak
kedengaran. Entah ke mana perginya suaranya yang lantang sebelum ini. Aswad
melaungkan salam kedua. Kali ini suaranya timbul namun masih perlahan. Aswad
semakin resah, kalut dan seriau amat sangat. Salam ketiga agak kuat. Aswad
menanti dengan muka terpanggung arah pintu rumah usang tersebut. Penantian
tersebut amat menyeksanya. Saat demi saat berlalu dan Aswad semakin seram.
Pelbagai gambaran mengerikan dan menakutkan mengasak
benaknya serentak. Situasi tersebut menyerpihkan ketenangan Aswad. Bunyi lantai
berkeriut dipijak seseorang berjaya menghentikan denyut nadi Aswad. Aswad
seakan mahu terkencing apabila daun pintu ditarik perlahan dari dalam. Dia
menanti dengan kedua mata terbuntang. Sesuatu muncul di situ dan pandangan
Aswad mendadak kelam. Dunianya terasa berputar deras mengitarinya. Lelaki itu
akhirnya tumbang sebatang tidak sedarkan diri....