Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 22

Maya tergesa-gesa turun dari teksi setiba di depan gerbang pintu rumah. Ketibaannya disambut oleh lelaki yang hanya dikenalinya sebagai Amirul. “Awak nak apa?” tanyanya kasar. Pandangannya berkilau sewaktu menghempap muka lelaki itu. Dia kemudiannya bergegas untuk menguak pintu pagar.

“Tak ada apa-apa. Saja nak berikan tangkal ni.”

“Tangkal?” Maya menoleh. Tunaknya terus saja menyergah tangkal yang diunjukkan oleh lelaki itu. “Untuk apa tangkal ni? Aku tak perlukannya.” Maya berlalu semacam tidak berminat. Lelaki itu cepat-cepat menghalangnya. “Heh! Aku kata tak nak! Tak naklah!” Suara Maya melangsing ke udara. Lelaki itu tergemap lantaran terkejut. Maya mencebik dan terus saja menyelinap masuk ke pekarangan rumah sambil menjinjit beg plastik berisi barang-barang. Dia kemudiannya mengatupkan semula kedua pintu pagar tanpa mengacuhkan Amirul. Sementara Amirul yang masih terpacak di situ memandangnya dengan wajah kesal dan terkilan.

“Awak perlukan tangkal ini Maya!” laungnya dengan suara memohon pengertian. Maya tersentak. Pandangannya sekali lagi memanah muka lelaki itu.

“Heh! Dari mana awak tahu nama aku hah?!” suanya dengan mata terjegil. Lelaki itu kelihatan serba-salah.

“Hmm... kan Maya sendiri bagitau aku pada malam tu.”

“Malam tu tak wujud! Aku cuma berhalusinasi atau bermimpi!”

Lelaki itu ketawa kecil. “Maya tak pernah berhalusinasi. Semua yang berlaku adalah realiti dan bukan imaginasi. Masih ingat namaku Amirul kan? Apapun gambaran atau situasi seram yang awak kongsikan dengan kedua kawan-kawan awak tu hanyalah satu imaginasi. Ataupun imbasan masa lalu. Kecuali suasana yang awak lihat dan lalui seorang diri. Maksud aku suasana dan pembabitan lelaki-lelaki kacak tu dalam hidup awak.”

Maya terkejut lantas mencebik. “Aku tak suka dengan semua ni.”

“Sebab itulah Maya kena pakai tangkal ni dan padamkan semua karma ini. Selagi Maya tak berusaha menoktahkannya, selagi itulah lelaki gondok dan wanita berjubah itu akan mengekori Maya. Akan menghantui dan membayangi hidup Maya. Mereka tak akan berhenti selagi tiada jiwa yang meninggalkan jasad...”

“Ahh! Aku tak percaya! Awak hanya cuba menakut-nakutkan aku!” pangkas Maya lantas membuang pandang. Ada keresahan menggelupur dalam dadanya. Dalam diam dia berasa takut teramat sangat.

Amirul mengetap bibir. “Percayalah padaku, Maya. Aku ikhlas mahu membantumu. Sebenarnya, aku berbohong padamu dulu dengan mengatakan rumah awak ada masalah. Tetapi sebenarnya... awaklah yang bermasalah Maya. Kau akan menyebabkan kepincangan dalam takdir milik kawan-kawanmu. Dalam sedikit masa lagi, mereka akan beransur pergi setelah tiba waktunya. Jiwa-jiwa mereka akan menjadi cagaran dan perhitungan dalam enigma ini. Maka seharusnya, kau bertindak seawalnya dengan memakai tangkal ni,” kata Amirul bersungguh-sungguh benar.

Maya masih seperti tadi. Dingin dan enggan menadah ayat-ayat yang dikaruk oleh lelaki itu. “Baiklah. Aku hanya akan mempercayai awak jika awak tidak menafikan apa-apa mengenai diri awak,” kata Maya semacam bertegas. Dia mahu Amirul berterus-terang mengenai perkara tersebut. Mungkin dia hanya percaya dan yakin terhadap kata-kata Amirul setelah lelaki itu menjelaskan siapa dirinya yang sebenar. Amirul kelihatan terperangkap. Nafasnya dihela dan seperti ada kekesalan menoreh parah mukanya. Maya tersenyum sinis.

“Tiada apa yang hendak dijelaskan Maya. Hanya mereka yang mengenali aku akan melihat situasi-situasi seperti ini.”

“Apa maksud awak?” Maya menarik nafas dan dengan muka semacam tidak berpuas hati dia menyambung ayat tadi. “Semua ini terasa seperti satu enigma dan misteri... bukan imaginasi mahupun fantasi semata-mata. Dan sekarang aku mahukan kepastian dan penjelasan mengenai diri awak. Awak tau tak... awak juga salah satu objek misteri yang tiba-tiba je muncul dalam hidup aku. Tiba-tiba datang menghantuiku selepas memperkenalkan diri.” Gadis itu semakin tidak berpuas hati. Amirul kelihatan serba-salah. “Tahu tak? Kenyataan awak ni langsung tak munasabah. Tak masuk akal. Masakan mungkin awak tidak memiliki identiti...”

“Aku tak bermaksud begitu. Sebenarnya belum saatnya untuk Maya mengetahui fasal aku. Dan rasanya Maya akan faham selepas mengetahui keadaan sebenar.” Tanpa berkata apa-apa, Amirul berlalu selepas menyangkutkan tangkal tersebut atas pagar. Terpulang pada Maya samada mahu mengambilnya ataupun tidak. Maya terkilan dan hanya menyoroti batang tubuh lelaki itu hingga lesap dari pandangan.

“Benarkah akulah punca semua enigma dan misteri ini?” Dia semakin bercelaru. Sukar untuknya meletakkan jawapan setelah diri tergegau. “Mustahil.” Maya tidak berpuas hati. Tangkal yang diperbuat dari akar pokok yang telah dikeringkan itu dibeleknya. “Dari mana pula Amirul mendapat tangkal sepelik ini?” Bunyi telefon bimbit mengalihkan perhatiannya. “Okeylah,” katanya sepatah lantas mematikan perbualan. Dikerlingnya sejenak jam tangan sebelum beredar ke kamar mandi. Tangkal tadi dilemparkannya arah ranjang.

Gelagatnya seperti tangkal tersebut tidak berguna padanya. Atau sebetulnya dia tidak mempercayai semua tu. Selesai membersihkan diri dan berpakaian, Maya bergegas ke dapur untuk membancuh segelas jus oren. Sambil menikmati minuman tersebut, pandangannya dihumban hala pekarangan belakang. Ketika ini dia masih berada dalam dapur. Keluhannya terhembus. Entah keresahan mana yang bersimpuh dalam dada hingga sekalut ini. “Imelda,” sebutnya setelah perkataan tersebut melayah deras dalam benua fikir. “Pelik,” gerutunya lantas menggeleng-gelengkan kepala. Air mukanya masih kontang kala ini.

Mungkin kerana masih dibayangi wajah-wajah milik Zurhan, Syah dan Kazumi. Atau pun disebabkan oleh kehadiran Amirul dan kewujudan tangkal tersebut. Mungkin juga kerana rumah ini diselubungi misteri dan mistik. Ataupun disebabkan oleh kehadiran hantu lelaki gondok dan wanita berjubah itu. Maya tergelak sinis pabila teringat semula sedulang penjelasan yang telah dicurahkan oleh Amirul tadi. Penjelasan mengenai lelaki gondok dan lembaga berkelubung hitam. Semuanya terasa tidak masuk akal pabila Amirul mendakwa bahawa ia adalah kejadian realiti. Bukan fantasi mahu pun khayalan semata-mata.

“Huh!” Gadis itu semakin tidak berpuas hati. Jauh di dasar hati menyatakan bahawa semua itu adalah igauan dan mimpi buruk. Dan dia benar-benar mengharapkan agar ia berakhir saat ni juga. Rasanya dia dah tak betah menikmati enigma ini lagi. Selain menyeksa, ia juga boleh membuatkan Maya hilang kewarasan. Sejenak, terimbau olehnya segugus kata-kata yang terlucut dari mulut Amirul. “Bagaimana hendak memadamkan karma ini jika ianya dah tertulis sedari azali? Bodoh sungguh,” bisiknya seraya meneguk habis sisa minumannya.

Dia kemudiannya bergerak ke pekarangan depan. Mengintai persekitaran yang terbaring lesu di luar pagar rumahnya. Entah apa yang dicarinya di situ. Puas merayau, Maya berpatah semula ke dalam rumah. Tangkal yang tergeletak sepi atas peraduannya dialihkan. Dia kemudiannya berbaring lantaran berasa letih dan lesu sungguh. Tanpa sedar, Maya akhirnya terlelap. Dia hanya terjaga setelah malam membalut hari. Namun, Maya berasa pelik. Seingatnya, dia baru jua terlelap tadi. Masakan pula secepat ini malam menjelma.

Sambil mencicirkan keluhan, Maya beredar dari katil lalu tergagau-gagau arah suis lampu. Kelam dan malapnya suasana menyukarkannya untuk menjejak suis lampu tersebut. Maya terperanjat pabila terdengar bunyi mendesah berhampirannya. Dadanya dipalu debaran maha hebat. Pergerakannya tergencat. Dia ingin menoleh untuk memastikan siapakah gerangan yang telah mendesah tadi. Apapun kasad tersebut akhirnya terkubur lantaran tidak memiliki walau sekelumit pun keberanian untuk berbuat demikian. Dia bimbang sekiranya lelaki gondok ataupun lembaga berjubah hitam itulah yang empunya bunyi tadi.

Kerana tidak disuakan pilihanlah Maya terpaksa meneruskan niat asalnya. Apa pun, sekali lagi dadanya dibelasah debaran pabila tertangkap suara seseorang menyebut namanya. Entah siapakah gerangannya. “Maya, tiada apa yang dapat menjauhkan kita! Roh awak akan menjadi milikku dalam sedikit masa lagi!” Suara itu kembali menggegarkan suasana. Ia seakan milik seorang wanita muda. Perkataan yang disebutnya tidak terlalu jelas namun tetap melangsing dalam lohong telinya Maya. Maya terpinga-pinga dan masih enggan menoleh ke belakang. Tika ini dapat dirasakannya seseorang berada di belakang.

Melayah-layah di sana seolah mahu menerkamnya. Demikian apa yang tersemai dalam batas wasangkanya. Disebabkan prasangka inilah Maya berusaha menahan hati dari menoleh. Dia kelegaan pabila hujung jarinya tersentuh suis lampu. Dengan debar masih memacu di dada, Maya menekan suis lampu dan menanti. Dia menggelabah pabila tiada cahaya yang mencurah lantas menekan suis lagi. Namun, situasi tersebut berulang semula. Kedengaran suara berdekih di belakang. Serentak itu, Maya berasakan persekitarannya berputar. Bunyi berdengung-dengung turut kedengaran.

Maya cepat-cepat menutup muka dengan telapak tangan pabila kelibat seseorang mengitarinya. Dia lebih dari pasti bahawa benda tadi adalah jelmaan wanita berjubah hitam. “Kenapa ganggu dia?!” Satu suara bergema. Ia semacam milik Amirul. Ternyata kehadiran suara tersebut mengembalikan sedikit keberanian Maya. Tanpa sebetik ragu, Maya cuba mengintai melalui celahan jemarinya dan terkejut setelah tunaknya tersantap panorama yang terhidang kala ini.

“Dia milik aku! Dia harus menikmati hukuman ini kerana campur tangan dalam urusan kami!” Suara wanita berjubah itu berhalilintar memenuhi semua pelusuk. Benua suram yang dihuni kekakuan dan keheningan itu retak seketika. Kemudian bercantum semula dan situasi ini amat merimaskan Maya.

“Dia tidak bersalah.” Amirul menapak dekat. Sekali lagi Maya terkejut sesudah tersapa pakaian Amirul yang koyak-rabak dan diselirati banir reput serupa tangkal. Lelaki itu lesi sungguh dan jelasnya seperti manusia yang telah lama permisi dari dunia nyata. Seperti manusia yang baru tercelik setelah berkurun lamanya terlena dalam pusara. Perempuan yang berselindung di sebalik jubah lusuh itu ketawa terbahak-bahak. Seolah memperlekehkan kata-kata Amirul. Suaranya memantul di udara hingga bumi tempat mereka bertiga terpacak bergegar. Jasad Maya kembali retak seribu hingga ke serpihan halus. Ia hanya bertaut semula setelah tawa wanita berjubah itu reda.

“Awak siapa mahu menghalang aku? Awak hanyalah cebisan roh yang telah lama mereput di tempat ni! Awak tidak memiliki apa-apa pun untuk menentang aku!” Wanita berjubah itu meliuk ke udara sebelum terbang menjunam arah Maya. Maya kaget dan sepantas itu Amirul menyentap tangannya lantas mengheretnya pergi. Mereka berdua berlari meredah hutan belantara yang kaku tak bernyawa. Maya tiba-tiba terkehel lalu jatuh tercelapak. Dia menjerit pabila wanita berjubah itu semakin dekat dan melayah pantas arahnya. Namun sepantas itu jualah Amirul bertindak melindunginya dengan menampannya menggunakan tubuh.

Jiah dan Munira terkejut pabila tertangkap suara jeritan milik Maya dari arah bilik. Tanpa bertangguh mereka berdua berkejaran ke tingkat atas dan terus saja menceroboh masuk ke kamar tidur Maya. “Maya! Bangun Maya!” Jiah menggoncang-goncangkan kedua bahu gadis itu. Maya tersentak. Matanya buntang sewaktu menadah pandangan kedua-dua rakannya itu. Kelihatan wajah dan lehernya dihujani keringat dingin. “Awak tak apa-apa ke?” Tanpa kata Maya bangun lalu duduk menyandar di kepala katil. Air mukanya masih tegang dan keliru.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.