Zalikha terpaksa menunaikan permintaan Mohd. Firul agar
menyusul Nor Cecilina. Menurut Firul, adik kandungnya itu telah dibawa oleh
Shaqir Zamarul berbulan madu ke sebuah pulau yang terletak di perairan Sulu.
Shaq mendakwa pulau tersebut adalah milik keluarga turun temurun. Bahkan Cecil
sempat berjanji padanya akan kembali ke Kota Kinabalu selepas 30 hari.
Namun hingga kini, pasangan suami isteri itu masih menyepi tanpa khabar berita.
Fenomena tersebut meresahkan Firul. Sebelum ini, Firul pernah meminta Bibo dan
Neil pergi memeriksa keadaan adiknya dalam pulau tersebut. Aneh. Kedua pemuda
itu juga turut hilang dari radar.
Situasi ini menggetirkan hati Firul. Dia kemudiannya mengambil keputusan hendak
pergi sendiri. Namun di pertengahan jalan, Firul telah ditimpa kemalangan.
Hampir dua bulan lamanya Firul terlantar koma dalam hospital. Selama terlena,
dia sering mendengar suara tangisan adiknya meminta pertolongan.
Selepas terjaga, Firul segera meminta Zalikha agar membantunya menjejak Cecil.
Dia percaya Cecil masih berada dalam pulau tersebut dan memerlukan
pertolongannya. Kerana simpati, Zalikha yang bertugas sebagai jururawat Firul
akhirnya akur dan meletakkan persetujuan.
Bertemankan sejumlah maklumat mengenai kedudukan pulau tersebut, Zalikha
akhirnya tiba ke destinasi yang dituju. Pak Deris dan Kamal yang mengiringi
perjalanannya mengambil keputusan menantinya di jeti. Keadaan pulau yang sangat
menyeramkan memaksa mereka membatalkan hasrat hendak menemani Zalikha memeriksa
rumah-rumah usang yang terbiar di situ.
Zalikha terpaksa bergerak sendirian. Dia terus saja ke rumah agam. Dan dia
bernasib baik kerana berjaya menjumpai Cecil yang terperangkap dalam bilik
bawah tanah. Cecil yang masih trauma menangis tersedu-sedu dan memeluk Zalikha
seeratnya.
Keadaan dirinya sangat menyayat hati Zalikha. Zalikha memutuskan untuk duduk
berbual dengan Cecil dalam ruang tamu rumah agam. Tambahan pula, hari sudah
lewat malam.
Cecil dengan khusyuk memulakan cerita dari hari pertama hingga detik terakhir.
Sesekali tangisannya mencelah dan air matanya tak henti-henti mengalir. Zalikha
tekun mendengar dan tersentuh hati walau berasa sangat seram. Cerita Cecil
membuatkan bulu tengkuknya tak henti-henti menyangkak. Penghujung cerita sangat
menyentakkan Zalikha.
Waktu yang sama, pintu utama rumah agam diketuk bertalu-talu dari luar. Zalikha
yang masih terperanjat hanya berdiri kaku di situ. Pak Deris dan Kamal menyerbu
masuk. Cecil hilang dari pandangan. Zalikha tersepuk di atas lantai dalam
keadaan menggeletar. Tidak lama kemudian, kedengaran suara Cecil menangis
tersedu-sedu di bilik bawah tanah diikuti laungannya meminta tolong.
Apa sebenarnya yang telah berlaku kepada Cecil selama menghuni pulau berhantu
tersebut? Benarkah Shaqir Zamarul dan Aziq Shaqrul adalah sepasang kembar?
Siapakah petualang sebenar yang telah menyebabkan sejumlah mangsa dibunuh
dengan kejam dalam pulau itu? Demikian juga nasib Neil dan Bibo. Apa sebenarnya
yang telah berlaku pada mereka berdua? Benarkah Wadi, Kudin, Bob, Que dan
Sazlan adalah mayat hidup sebagaimana yang dilihat oleh Cecil?
Ikuti kisah WANITA REMBANG MALAM dari PROLOG hingga BAB 35 untuk mengetahui
jawapannya. BAB2 selebihnya tidak akan dimasukkan ke dalam PORTAL ILHAM.