Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 11


“Wah! Sibuk nampak,” tegur satu suara dan Maya amat mengenalinya. Maya tidak menoleh melainkan tergesa-gesa menutup halaman yang sedang ditaipnya. Dia tidak mahu suara itu melihat ataupun membaca cerita yang ditulisnya. Tambahan pula suara itu suka sangat mengkritik dan mengulas apa yang ditulisnya.

Keadaan dan situasi tersebut amatlah tidak disenanginya. Dia berasa rimas dan selalunya mereka berdua akan berbahas mengenai tajuk tersebut. “Tentu watak Dyanna tu adalah gadis yang dimaksudkan oleh geng keras awak tempoh hari kan?” sua suara itu dalam nada semacam bengang.

“Erk eleh.. engkau ni cemburu ke apa? Suka hati akulah nak bubuh nama siapa kat karya aku ni.” Meluat pula Maya.

“Mesti kau sukakan dia?” teka suara itu masih bengang.

“Aku tak suka Zurhan. Aku cuma gunakan namanya dan nama perempuan yang dicintainya,” tepis Maya. “Takkan itu pun tak boleh. Awak ni sensitif sangatlah.”

“Jangan letakkan kereta Subaru kat situ. Letaklah kereta Honda sempena nama sebenar kereta dia. Warna merah garang... jangan lupa.” Satu keluhan kedengaran. “Sebenarnya aku tak suka kau rapat sangat dengan Zurhan. Walaupun tak kenal sangat dengannya tapi aku berasakan yang Zurhan juga terlibat dalam nahas jalan raya tu. Agaknya dia juga turut bersekongkol dengan wanita berjubah hitam tu.”

“Wanita berjubah hitam?” Maya terkejut. “Wanita yang memakai jubah lusuh tu ke?”

“Ya. Wanita itulah yang mengarahkan seorang lelaki membelasahku sehingga pengsan. Sedar-sedar saja aku dah disumbat dalam bonet kereta. Entah kereta siapa dan penghujungnya adalah kejadian ngeri tu.” Suara itu menjelaskan dalam nada bersungguh-sungguh. Maya menarik nafas.

“Memang Zurhan ada cakap yang dia juga terlibat dalam kemalangan tu tetapi peranannya hanyalah sebagai saksi. Menurutnya ada 2 jiwa yang terhindar dari kemalangan ngeri tu.”

“Agaknya salah seorang dari kedua jiwa tu adalah aku. Aku terselamat tetapi tu pun tak ada maknanya. Hanya jasadku terlantar dengan nadi masih berdenyut lemah dalam sebuah bilik pengap. Sedangkan semangatku berkeliaran dalam benua ciptaanmu ini. Awak pula asyik melalut dengan menulis cerita semacam tu. Tapi eloklah begitu. Lebih baik awak jangan terlalu berterus terang kat cerita tu.”

Mereka berdua membatu sekejap. “Awak masih ingatkah alamat rumah awak ataupun Imelda?”

“Itulah masalahnya aku tak ingat apa-apa. Otakku kosong tak berisi walau sekelumit pun memori. Aku cuma ternampak muka Imelda, kejadian ngeri tu dan kereta Subaruku.”

“Bodoh betullah kau ni,” marah Maya pula.

“Eh apa pula?” Suara itu terkejut pabila dicakap bodoh. Biarpun begitu, jiwanya tidak tercalar. Dia tahu, gadis itu baik hati sebenarnya. Tak seperti tunangnya yang berkasad jahat padanya.

“Kan kau cakap tadi kau terkurung dalam bonet kereta. Jadi apa fasal pula kau boleh ternampak kejadian ngeri tu berlaku?” Maya tidak berpuas hati. Dia berasa diperlekehkan.

Suara itu menghela nafas. “Bonet kereta itu tiba-tiba terbuka dan aku tercampak kat luar sebelum kereta itu saling berlanggar. Kereta depan melencong lalu menjunam ke tebing jalan raya. Sementara yang sebuah lagi terbalik beberapa kali atas jalan raya sebelum terseret lalu melanggar tiang elektrik.” Suara itu cuba untuk mengingat lagi.

“Baru aku teringat Maya, tidak lama selepas itu kelihatan seorang lelaki tinggi lampai memanjat naik dari arah tebing. Mungkin dia pemandu kereta yang menjunam tu. Lelaki itu kemudiannya berdiri terhuyung-hayang di tepi sebelum dilanggar oleh sebuah kereta. Kereta tu adalah kereta ketiga selepas dua kereta tadi. Dan kereta itu terbabas ke tebing lalu meletup sebelum terbakar. Tapi peliknya aku terdengar seperti ada 2 letupan berlaku.”

“Mungkin kereta ketiga menimpa kereta pertama yang dipandu oleh lelaki yang awak nampak tu. Nampaknya cerita awak dan Zurhan sama saja. Sahlah kamu berdua terlibat dalam kemalangan ngeri tu.” Maya bangkit. “Sekarang ni persoalannya siapa Zurhan dan macam mana aku nak mendapatkan jasad awak tu? Mungkin aku masih boleh beriktihar selepas berdepan dengan jasad awak tu.” Mereka berdua mengeluh serentak. “Boleh tak awak jelaskan perwatakan Imelda? Dan lagi satu... awak sukakan dia ke?”

“Aku tak mengenali Imelda sangat. Alih-alih saja kami dah bertunang dan aku seperti sukakannya. Entah sejak bila aku sukakannya. Aku sendiri pun kurang faham. Tapi Imelda tu memang cantik. Dia seperti gadis kacukan.”

“Ada iras-iras Melayu Turkish ke?” Maya cuba menduga.

“Ya. Lebih kurang macam tu lah Maya.”

“Hmm.” Maya menggaru-garu kepala. “Dyanna, Imelda.... Dyanna, Imelda....” sebutnya berulang kali.

“Apa kena pula dengan awak ni?”

“Mungkin Dyanna dan Imelda adalah orang sama. Barangkali nama penuhnya Dyanna Imelda. Gadis cantik yang disukai oleh Zurhan. Menurut Zurhan, Dyanna sanggup melakukan perbuatan syirik untuk menyihir seorang lelaki kaya agar sukakannya. Lelaki kaya itu pula adalah awak.”

“Aku? Aku kaya ke? Aku tak rasa pun macam tu.” Suara itu meningkah.

“Kau ni bodoh betullah. Kerana kau kaya sangatlah Dyanna Imelda nakkan kau. Dan inilah jawapan terhadap persoalan kau tadi. Kau cakap tadi yang kau pun tidak tahu sejak bila kau sukakan Dyanna kan? Alih-alih saja kamu berdua dah mengikat tali pertunangan.”

“Mustahil juga dia nak sihirkan aku? Kan dia dah cukup cantik untuk memikatku. Pelik sungguh.” Suara itu ketawa semacam kelucuan. “Kalau kau yang buat macam tu aku tak hairanlah tapi ni Imelda.”

Maya mencebik. “Ya. Kau bolehlah cakap apa-apa sebab aku ni tak adalah secantik Imelda. Kalau macam tu kau carilah Imelda. Suruh dia selesaikan masalah awak dan Zurhan,” katanya macam merajuk pula.

“Alah janganlah macam tu. Aku lebih perlukan kau berbanding Imelda. Engkau ni gurau sikit pun tak boleh.”

“Selain Imelda ada sesiapa lagi tak muka-muka perempuan yang kau masih ingat?” Maya kembali serius. “Ada masa nanti aku nak tengok gambar-gambar Imelda melalui Zurhan. Tentu Zurhan ada menyimpan gambar-gambar kenangan bersama Imelda. Dia kan suka sangat-sangat kat Imelda.”

“Ya betul. Harap apa yang Maya fikirkan ni semuanya benar belaka. Dyanna Imelda, satu nama yang boleh disatukan dan boleh juga diasingkan menjadi dua.”

“Berbalik kepada cerita tadi. Awak masih ingat ke muka lelaki tinggi lampai yang kena langgar oleh kereta ketiga itu?”

“Tak. Semuanya nampak samar dan berbalam. Aku rasa lelaki tu memang dah mati dah. Termasuk mereka yang berada dalam kereta. Cuma aku yang terselamat dan bernafas hingga saat ni.”

“Tapi menurut Zurhan ada 2 jiwa yang tidak berangkat ke alam baka. Mungkin sekarang dah jelas, awak salah seorang darinya. Tapi bagaimana pula dengan yang seorang lagi? Setakat ni, aku hanya dihantui oleh awak, Zurhan, wanita berjubah dan seorang gadis muda. Wanita berjubah tu pula hanya hadir dalam mimpi. Dia tidak pernah hadir secara nyata sebagaimana awak dan Zurhan. Gadis muda itu pula muncul sebagai hantu. Jadi pendapat aku, mungkin hanya awak dan Zurhan saja yang terselamat.”

“Jangan yakin sangat Maya. Setinggi mana pun kepercayaan dan keyakinan awak terhadap Zurhan, awak kena juga berhati-hati dan beringat selalu. Manalah tahu, dia sengaja mengaku sebagai saksi terhadap kejadian tersebut. Tetapi rupa-rupanya dia juga turut terlibat dan ada pakatan sulit dengan wanita berjubah tu.”

“Ya aku akan cuba siasat dirinya dengan berpura-pura merapatinya.”

“Baguslah begitu. Janganlah cakap apa-apa fasal aku sebelum ada kesahihan mengenai identiti Dyanna Imelda. Manalah tahu kita tersilap orang rupanya.” Suara itu menasihatkan. Maya mengangguk dan waktu yang sama telefon bimbitnya berdering. Dia segera menyambutnya dan tersenyum apabila pemanggil tersebut memperkenalkan diri.

“Okey simpan keratan tu.” Wajah Maya berseri-seri. “Malam ni Kazumi ada masa tak?” suanya lantas terangguk-angguk. “Okey kakak tunggu kat depan siber dulu ya. Terima kasih Kazumi. Bye!” Maya mematikan telefon lantas berkata yes. “Aku dah dapat info mengenai kejadian ngeri tu. Eh suara... nama awak siapa erk?”

“Aku pun tak tahu siapa nama aku, Maya.”

Lidah Maya berdecit. “Engkau ni bongok betullah. Buat aku bengang je,” katanya seraya menyusun kertas-kertas putih yang berselerakan atas meja komputernya. “Aku nak keluar malam ni untuk berjumpa dengan Kazumi. Awak nak ikut ke? Ataupun awak balik ke tempat awak sajalah. Tak payahlah ikut-ikut. Nanti menyusahkan aku je.” Selesai menyusun kertas-kertas tersebut. Maya mencari pula kucingnya yang bernama Toyol. “Engkau ada nampak Toyol ke?” tanya Maya sambil terjenguk-jenguk ke bawah meja.

“Siapa Toyol tu? Hantu ke?”

“Kucing akulah. Takkan hantu pula. Hisy awak ni.” Maya mengguman. Suara halimunan itu tergelak kecil. “Dah lama aku tak nampak kucing tu.”

“Agaknya si Toyol tu pergi bersembang dengan kawan-kawan dia kat luar. Mungkin dia bosan dengan kau yang asyik mengadap komputer je.”

“Alah, penulis memang macam tu. Takkan mengadap muka kucing tu saja kan.”

Suara itu ketawa mengekek. “Sesekali mengadaplah muka aku. Kau tak pernah tengok aku pun.”

“Muka apa yang kau ada? Habuk pun tak ada. Bayang pun tak nampak. Bahlul betullah kau ni.” Mahu saja disekehnya suara itu.

“Ya. Kau cakaplah apa-apa. Tapi aku ni lebih baik daripada dinding tu tau. Nampak depan mata tapi tak pandai cakap apapun.”

“Dinding lain kau lain. Jangan samakan diri kau dengan dinding tu pula. Eh... pergilah kau. Lagipun cerita kita dah selesai. Kalau ada pun, nanti je sambung.” Kini Maya mengusir pula. Cermin matanya ditanggalkan.

“Kau ni cantik sebenarnya Maya. Dengan mata yang bundar, alis yang lebat, bulu mata yang lentik dengan bibir yang seksi...”

“Eh! Kau dah siap ke belum? Jangan nak melalut pula kat sini. Pergilah!” marah Maya dengan pandangan terarah hala suara itu. Suara itu ketawa perlahan.

“Betul cakap aku Maya. Nanti kalau aku dah sedar dari koma, kita couple ya.” Suara itu ketawa lagi. Nadanya semacam mengacah.

Maya mencebik. “Engkau jangan buat aku marah. Kat manuskrip memang watak-watak yang aku tulis jiwang karat. Tapi aku tak macam tu tau. Aku ni garang.”

“Kau tak akan garang lagi bila dah bersua mata, berulit bicara dengan aku nanti. Janji ya kita couple.”

“Dahlah! Jangan nak bercanda lagi. Aku nak cepat ni.”

“Yalah. Jumpa awak nanti okey!” Kedengaran bunyi derap-derap kaki menuju ke luar. Maya segera menukar pakaian kemudian terkocoh-kocoh keluar.

Kazumi tersenyum tatkala melihatnya. Mereka berdua segera menyelinap ke sebuah kafe. Selesai mengoder minuman, Kazumi pun mengeluarkan keratan akhbar tersebut. Maya membacanya usai merapikan bingkai cermin matanya. Kazumi hanya membatu dan membiarkan Maya menghabiskan bacaan. Dalam diam, dia tertanya-tanya siapa Maya sebenarnya. “Mohd. Zakrul Hakimi, Hirdyanna... Aizat Harith,” sebutnya satu-satu.

“Ini bermakna ada dua mangsa lagi tidak ditemui,” katanya sambil menggodek ketulan ais dalam minumannya. Wajahnya diselirati persoalan misteri yang mungkin tidak akan terjawab. Kazumi tidak bertanya apa-apa melainkan sekadar memandangnya dengan kedua kening bertaut satu. “Ke mana perginya dua mangsa tu lagi?”

“Kakak tanya Kazumi ke?” Tak tertahan Kazumi bertanya.

Maya cepat-cepat menggelengkan kepala. “Tak. Kakak cuma berasa hairan. Menurut satu sumber, kemalangan tu membabitkan lima orang mangsa tetapi dalam keratan ini hanya tiga orang mangsa disebut. Mangsa bernama Hirdyanna dan Aizat Harith telah disahkan mati di tempat kejadian setelah terbakar hingga rentung. Sementara Mohd. Zakrul Hakimi mendapat kecederaan parah di bahagian kepala. Kakak rasa mangsa ni masih dirawat dan dalam perhatian doktor pakar.”

Kazumi angguk-angguk. “Dalam keratan ini ada juga dinyatakan bahawa mangsa kemalangan yang masih hidup itu dijumpai berhampiran bahu jalan raya dengan kedua pergelangan tangan dan kaki terikat. Demikian juga mulutnya.”

“Ya.” Maya segera mencari perenggan yang dimaksudkan oleh Kazumi.

“Tentu dia diculik oleh pemilik salah sebuah dari ketiga-tiga buah kereta tu. Sebenarnya kak, mangsa yang diculik tu merupakan anak tunggal Tan Sri Kamarul. Dia memiliki sebuah kereta Subaru yang telah melalui proses modifikasi. Cukup cantik dan kereta tu tersadai berhampiran Teluk Sepanggar. Sementara pemandunya pula hilang dan nahas itu telah membongkar misteri kehilangannya.”

“Dari mana Kazumi tahu semua ni?”

“Kisah ini cukup popular tiga bulan lepas dan sehingga kini penyiasatan terhadap kes ini masih giat dijalankan. Pihak polis mahu menjejak dalang sebenar kejadian ini. Ini kes culik dan akan menjadi kes pembunuhan seandainya kemalangan ngeri itu tidak berlaku. Kemungkinan besar anak tunggal Tan Sri akan dibunuh dan mungkin juga bakal menjadi tebusan.” Maya angguk-angguk lagi.

“Kakak tak kenal Zakrul Hakimi ke?” Maya menggeleng. “Dia seorang pemuda yang tampan dan ada menubuhkan sebuah kelab kereta. Tetapi hanya anak orang-orang kaya je yang berpeluang menjadi ahli. Faham-fahamlah kak, kereta Subaru bukannya murah dan hanya mereka yang berkemampuan saja mampu membelinya,” kata Kazumi melanjutkan cerita.

“Dia berada kat mana sekarang?”

Kazumi angkat bahu. “Tiada siapa yang tahu dia berada di mana sekarang. Agaknya keluarganya telah menyembunyikannya untuk keselamatannya.”

Maya angguk-angguk. “Boleh tak Kazumi dapatkan sekeping gambarnya untuk kakak?” Kazumi tersenyum tatkala menadah permintaan tersebut. “Nanti kakak berikan Kazumi sesuatu sebagai balasan.”

“Baiklah kak. Kazumi akan berusaha dapatkan gambarnya termasuk profailnya sekali. Hmm... Kazumi nak tahu. Kenapa dan mengapa kakak berminat sangat nak tahu fasal kes nahas tu?”

Maya tidak segera menjawab melainkan menyedut minumannya dengan straw. “Tak taulah. Cuma yang pastinya, kakak sibuk ambil tahu selepas mendapat gangguan dari salah seorang mangsa nahas tersebut.”

Kazumi terkejut mendengarnya. “Mungkin semangat salah seorang dari mangsa kejadian ngeri tu sedang berkeliaran dan mencari jalan pulang. Kakak tak cuba jalankan upacara ritual.”

“Kakak tak percayakan semua tu Kazumi. Kuasa Allah lebih hebat,” ujarnya bersahaja. Kazumi angguk-angguk. Kata-kata Maya tadi menginsafkan dirinya.

“Nanti Kazumi kenalkan teman wanita Kazumi. Dia bekerja di bahagian Unit Kecemasan di hospital Queen.” Maya memandang hairan dan Kazumi faham maksud pandangan tersebut. “Dia tua lima tahun dari Kazumi. Tapi tak salahkan bercinta dengan gadis yang lebih tua? Sekurang-kurangnya dia dapat mematangkan Kazumi.”

Maya mengangguk lantas tersenyum. “Patutlah bahasa Kazumi agak matang. Okeylah Kazumi. Jangan lupa dapatkan kakak sekeping gambar idola dan maklumat mengenai kemasukan idola kita kat hospital Queen. Firasat kakak dia sedang koma sekarang ni dan mengalami sedikit keretakan di bahagian tengkorak kepala. Situasi ini pasti akan membuatkannya lupa ingatan.”

“Betul kak. Hmm... kakak balik naik teksi ke apa? Kalau kakak tak ada kenderaan nak balik, Kazumi boleh tumpangkan kakak.”

“Tak mengapalah Kazumi. Kakak boleh balik sendiri.” Selesai bersalaman Maya pun bertolak menuju ke perhentian teksi. Sewaktu sedang duduk dalam teksi itulah Maya berasakan ada sesuatu duduk menghimpit di sebelahnya. Maya tidak berkata apa-apa. Dia tahu siapakah gerangannya insan tersebut. Dia hanya membuka mulut setiba di rumah. “Nampaknya Kazumi kenal benar kat awak Zakrul Hakimi.”

Jaket kain yang dipakainya ditanggalkan. Dia berasa berbahang sungguh. Sepi. Tiada siapa yang menyahut. Maya berasa pelik. “Suara, kenapa diam?” Entah mengapa, tiba-tiba bulu tengkuknya terasa menyangkak pula. Maya terkejut apabila kesemua lampu terpadam serentak. Saat yang sama, daun pintu balkoni terselak sendiri. Maya hampir terloncat pabila ternampak wanita berjubah lusuh itu tercancang keras di situ dan sedang merenungnya.

Tiada sinar tercurah dari kolam mata wanita berjubah tersebut. Kedua matanya rompong tak berisi apa-apa. “Hentikan!” pekik suara itu seperti tempikan halilintar. “Awak akan menerima padahnya jika berdegil!” ugut wanita berjubah itu dengan tangan terhunus. Batang lengan itu tampak lesi semacam tangan mayat dan Maya semakin takut apabila wanita berjubah itu melayah deras arahnya. Maya segera menutup mukanya dengan tangan. Dia menggeletar sambil berkata tidak.

“Maya! Buka pintu ni!” teriak satu suara. Maya tersentak. “Maya! Buka pintu ni? Kau tak apa-apa ke?” Kali ini kedengaran pula bunyi ketukan di pintu bertalu-talu. Maya merenggangkan jari-jemarinya dan cuba mengintai. Dia terkejut apabila mendapati biliknya terang-benderang. Bahkan tiada sesiapa di situ selainnya dan Toyol. Toyol pula sedang memandangnya dengan hairan. “Maya!” Maya lekas bangun lalu membukakan pintu. Dia kelegaan apabila melihat Zurhan. “Kau tak apa-apa ke?” Zurhan keresahan.

Tunaknya kelihatan mengintai ke dalam rumah. Seolah-olah mencari sesuatu. Maya menggelengkan kepala seraya mengajaknya masuk. “Aku dah lama parkir kereta kat hujung jalan tu. Aku tunggu kau balik. Sewaktu kau turun dari dalam teksi itulah aku ternampak seorang wanita berjubah hitam ikut turun. Dia berjalan dengan kepala tertunduk di belakangmu. Tanpa bertangguh aku ke sini untuk memastikan keadaanmu, Maya.”

“Siapa wanita tu Zurhan?” Maya terkejut. Entah mengapa, bulu tengkuknya masih meremang ketika ini seolah ada sesuatu yang tidak kena.

“Entahlah Maya. Aku bancuhkan kau minuman ya.” Pemuda itu menawarkan diri dan terlompat ke tepi apabila Toyol tiba-tiba menyerangnya dengan mulut menyeringai. Kucing itu seakan marah padanya.

“Toyol!” Maya terkejut. “Biadab betullah awak ni.” Segera diambilnya kucing itu lalu mencampaknya kat luar. “Toyol memang jarang berjumpa dengan orang luar,” jelas Maya dengan senyuman hambar tersungging di bibir. Zurhan sekadar mengangguk lalu membancuh dua mug minuman panas. Zurhan hanya beredar pergi menjelang subuh.

Dia sengaja bertele-tele di situ kerana tidak yakin apabila melihat keadaan Maya. Maya semacam masih risaukan serangan wanita berjubah itu. Dan memang benar Maya galaukan kehadiran wanita itu. Apapun, sehingga ke pagi Maya tidak melelapkan. Dia hanya berangkat ke tempat tidur setelah matahari terpacul. Maya terus saja terlelap.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.