Sewaktu
mahu menutup pintu, tanpa diduga dia ternampak bayang-bayang seseorang atas
lantai kamar mandi. Empunya bayang-bayang itu pula seperti sedang menyorok di
sebalik pintu kamar mandi yang terselak sedikit. Keningnya berkerut dan
dilihatnya bayang-bayang itu saiznya agak besar dan memanjang. “Mustahil Maya.
Maya kecil dan tak adalah sebesar itu.” Spontan bulu tengkuknya mencuar pabila
teringatkan saiz badan Munira. Tanpa bertangguh, pintu biliknya segera
dirapatkan lalu dikuncinya dari dalam.
Tidak lama kemudian, kedengaran pula bunyi derap kaki
berlegar-legar di luar biliknya. Bunyi desahan nafas menyusul dan kedengaran
bersipongang dalam ruang legar telinganya. Sambil menarik nafas, Jiah
membongkok dan cuba mengintai melalui ruang di bawah pintu. Dilihatnya ada
bayang-bayang sedang mundar-mandir di situ. Tiba-tiba bayang-bayang tersebut
berhenti lalu merapati daun pintu. Jari-jari kaki yang tersua di bawah pintu
memeranjatkan Jiah lantas berundur mendadak. Ia kelihatan pucat dan membengkak.
Bunyi telefon bimbit turut menyentakkan Jiah. Sakit
sungguh jantungnya seperti dihempuk sebiji batu. Waktu yang sama, telefon
bimbit Maya juga turut mengalunkan bunyi yang sama. Bunyi ganjil tersebut
memaksa Maya menghambur turun lalu mengetuk pintu bilik Jiah sambil memanggil
gadis itu. Suara Maya melegakan Jiah. Dia terus saja membuka daun pintu dan
terkejut apabila ternampak batang tubuh Munira di belakang Maya.
Amat rapat hingga bilah-bilah rambut Maya menyentuh kulit
muka Munira yang telah terkopak hingga menampakkan tulang pipi. “Kenapa? Awak
okey ke?” Maya hairan. Dilihatnya Jiah seperti mahu memberitahunya sesuatu
namun suara gadis itu tersekat dalam rengkung pula. Namun Maya mula berasakan
kehadiran sesuatu di antara mereka berdua. Sesuatu yang serasanya hanya berada
di belakangnya saja.
Maya tidak segera bertindak melainkan menarik nafas
sedalamnya lantas memejamkan kedua mata. Dia kemudiannya memutar tubuh tepat
menghadap ke belakang. Mata Jiah terbuntang dengan mulut ternganga. “Tak ada
pun,” katanya sesudah membuka mata seluasnya. Jiah menoleh ke belakangnya
sebelum mengajak Maya ke ruang tamu. Dia masih berdebar-debar dan berasa takut
ketika ini.
“Lebih
baik kita ajak mana-mana kawan kita untuk datang menemani. Aku dah tak betah
menanggung babak demi babak dalam rumah ini. Lebih-lebih lagi selepas kematian
Ira. Semuanya semakin jelas dan menakutkan.” Jiah berasakan seluruh badannya
panas berbahang. Agaknya selepas ini dia akan jatuh sakit. Almaklum, susuk
tubuh Munira tadi berjaya menerbangkan semangatnya. “Kalau tak pun, kita keluar
dari rumah ni dan berpindah ke tempat lain. Tempat yang arwah tu tak tahu.”
Maya menelan liur. Dia faham perasaan Jiah. Bahkan dia
tahu sedalam mana ketakutan yang menghentam jiwa dan perasaan gadis itu. “Macam
ni lah, lebih baik Jiah balik je kat apartment Jiah di...”
“Tak nak!” pangkas Jiah sambil menggelengkan kepala.
“Takkan aku nak balik kat sana setelah apa yang berlaku pada Ira. Tempat tu
lagi teruk. Mustahil Ira tak terfikir nak menjenguk apartment tu.”
“Jika begitu kita kena bertahan dulu di tempat ni. Kita
tak akan ke mana-mana selagi masalah ini belum selesai.” Deringan telefon
memeranjatkan Jiah. Gadis itu cepat-cepat bangun pabila melihat Maya membongkar
duduk. Maya tidak pula menghalang apabila Jiah membuntutinya ke tingkat atas di
mana biliknya berada. “Ada apa?” suanya setelah menyambut panggilan tersebut.
Dikerlingnya Jiah yang kini sedang mengintai di tebing tingkap.
“Dah lama kita tak jumpa. Boleh tak kalau Maya luangkan
masa malam ni?” Kedengaran satu suara yang seakan milik Zurhan.
Maya tidak segera bersuara. Gelagatnya semacam mahu
mengecam suara tersebut. “Nantilah Zurhan. Aku pun sibuk sangat sekarang ni.
Tambahan pula hari dah malam sangat.” Keluhan Zurhan kedengaran.
“Tolonglah Maya. Aku perlukan awak sekarang ni. Ada
sesuatu yang aku nak cakap kat awak.” Nada suara Zurhan kedengaran seperti
terdesak. Maya berfikir-fikir sekejap. Dia kemudiannya bersuara di samping
memaku sepapan janji. Kerana janji ini jugalah Zurhan sudah tidak mendesak
lagi. Mereka berdua berbual-bual sekejap dan ia berakhir sejurus kemudian. Maya
sempat termenung sebelum mendapatkan Jiah.
Sekilas, teringas olehnya mayat Zurhan yang jatuh
berdebuk di belakangnya. “Apa yang Jiah intai?” tanyanya sambil merapati Jiah.
Pandangannya turut menjengah luar namun tiada apa pun yang dilihatnya tercampak
di sana. “Jiah tengok siapa sebenarnya?” suanya lagi lantaran tidak berpuas
hati. Dikerlingnya Jiah seakan mencari sesuatu melalui riak wajah gadis itu.
“Tak ada apa. Saja nak pandang kat luar.” Jiah melepaskan
kain langsir lalu bergerak perlahan hala bangku kayu yang terdapat di situ.
Maya meningkah gelagatnya. “Pelik. Kenapa aku tak nampak apa yang Maya nampak.”
“Janganlah macam meminta-minta pula. Lebih baik Jiah tak
payah tengok apa yang aku nampak. Semua tu tak seindah suasana yang ada kat
luar Jiah. Ia bagaikan mimpi buruk yang tak dapat dilupakan. Semuanya melekat
dalam otak dan jadi barah,” katanya dengan muka rusuh. Jiah menarik nafas.
Wajahnya keruh sungguh seolah sedang dibebani setambun masalah. Hakikat
sebenar, dia masih bimbangkan kejadian sebentar tadi berulang semula.
“Apa? Kau nak ikut aku tidur kat sini?” Terkejut pula
Maya apabila Jiah menyodorkan cadangan tersebut. Tunaknya tak berkelip sewaktu
memantak muka Jiah. Jiah dengan selamba menabur alasan. “Engkau cubalah jangan
fikirkan sangat benda tu,” nasihat Maya pula. Enggan menadah alasan Jiah.
Baginya, tiada apa yang boleh menghalang kewujudan makhluk halus tersebut dari
terus-terusan menghantui mereka berdua. Jiah mengetap bibir. Geram pula
rasanya.
Terasa
malam ini kelam sungguh. Tiada apa yang menghiasi kamar langit selain gelita.
Sang rembulan juga tidak memperagakan diri sebagaimana malam-malam sebelum ini.
Ternyata suasana ini hanya menambah kegetiran perasaan Jiah. Jiwanya berkecamuk
memikirkan pelbagai situasi yang sungguh menyeramkan. Bahkan masih
terbayang-bayang olehnya akan muka Munira yang pucat lesi itu. Wajah yang
sungguh menakutkan hingga berjaya menyerpihkan semua kewarasan yang membalut
dirinya.
Desiran angin yang tiba-tiba berhembus rakus di luar
menyentakkan Jiah. Selimut yang sedia menutupi sekujur jasad miliknya ditarik
hingga ke paras dagu. Terasa dadanya seperti diketuk batang alu hingga nafasnya
jadi semput. Dia jadi rimas dan kurang selesa selepas setengah jam berlalu.
Walaupun ketika ini kipas sedang berputar ligat namun bahang kepanasan tetap
terasa meramas serata tubuhnya. Keadaannya bertambah gawat apabila bekalan
elektrik tiba-tiba terputus.
Bunyi langit berderak memeranjatkan Jiah. Dia segera
meraba di sebelahnya. “Mana pula telefon ni?” rungutnya dalam kepekatan malam.
Apapun, tindakannya tergencat pabila tiba-tiba terbayangkan sesuatu lantas
tangannya ditarik lalu disorokkan ke dalam selimut. Terpaksalah Jiah
membatalkan niat untuk menghubungi Maya. Dia enggan meneruskan tindakan tadi
kerana risau teraba jasad Munira pula. Sewaktu kecil dulu, ibunya sering
mengingatkan supaya jangan membiasakan diri meraba dalam gelap.
Menurut ibunya, sesuatu akan berlaku jika perbuatan
tersebut diamalkan. Tidak pula ibunya menjelaskan apa namun waktu itu dia sudah
mengerti akan natijah tindakan tersebut. Jauh di dasar hati, Jiah amat berharap
agar Maya mengetuk pintu biliknya dan mengajaknya bersembang di luar. Dia lebih
rela bersengkang mata dari membiarkan diri dibelasah situasi ini. Senyumannya
tersibak pabila tiba-tiba kedengaran ketukan bertalu-talu di pintu. “Maya ke
tu?” suanya dengan suara kurang sabar. Almaklum, memang ketukan seumpama inilah
yang diharap-harapkannya.
Kedengaran suara Maya menjawab perlahan. Pelik sungguh,
suara itu kedengaran seperti bergema dalam gua telinganya. “Ah! Lantaklah.”
Jiah cepat-cepat bangun dan terus saja menuju ke pintu. “Awak ke tu Maya?”
tanyanya lagi inginkan kepastian. Ketika ini dia sudah pun mencengkam tombol
pintu dan bersedia untuk memutarnya.
“Ya. Cepatlah...” sahut suara itu lirih sungguh. Jiah
meneguk liur. Entah mengapa desir suara tersebut membuatkan bulu tengkuknya
tiba-tiba saja menyangkak. Kini dia berasa serba salah pula sama ada mahu
menyelak daun pintu atau pun kembali ke tempat tidur. Dia bukannya tidak sudi
malah inilah yang diharap-harapkannya tetapi suara Maya kedengaran pelik
sungguh. Ia seakan bukan kepunyaan Maya.
“Cepatlah...” Jiah terperanjat lantas menoleh dan
terkejut pabila melihat sekujur tubuh kaku terpacak di sebelahnya. Sedar-sedar
saja, dia sudah pun menguak luas daun pintu. Maya yang sedang membakar lilin di
ruang tamu memandang hairan. Jiah terus saja meluru arahnya dalam keadaan
menggeletar. Maya segera menenangkannya dan bertanya kenapa.
“Kan aku
dah cakap tadi... jangan terlalu memikirkannya.” Maya mempersalahkannya pula.
“Dahlah! Lupakan.” Ditepuknya bahu Jiah kemudian melanjutkan kerjanya. Ruang
tamu kian terang pabila beberapa batang lilin dinyalakannya lagi. “Azhan
telefon tadi. Dia dan Ferdy nak datang. Termasuk kawan Ferdy tu,” beritahunya
sesudah melabuhkan punggung di sebelah Jiah. Jiah tidak berkata apa-apa.
“Bertenanglah. Malam masih muda,” bisiknya dan pada masa yang sama, dia
tertangkap kelibat seseorang melintas di depan mereka.
Bayang-bayang itu kemudiannya menghilang di dalam dapur.
Dia tidak berkata apa-apa kerana bimbangkan keadaan Jiah bertambah teruk. “Dia
berdiri terlalu hampir dengan aku tadi.” Jiah menjelaskan selepas setengah jam
berlalu. “Patutlah suara pelik tu kedengaran seperti terngiang-ngiang dalam
gegendang telinga. Rupanya arwah tu memang berada kat belakang aku je.”
Maya menghela nafas. “Tak payahlah cerita apa-apa.
Penjelasan Jiah tu hanya menyusahkan kita berdua,” celahnya dengan gelagat
semacam tidak berminat. Dia sebenarnya tidak mahu memburukkan keadaan dengan
menadah cerita tersebut lalu mengupasnya. Lebih-lebih lagi tika gelita sedang
menguasai mereka berdua. Ditambah pula dengan ketiadaan bekalan elektrik. Hari
pula seperti hendak hujan.
“Simpan saja untuk besok,” lanjutnya berbisik. Jiah tidak
berkata apa-apa lagi. Mungkin kerana berasakan Maya betul. Tidak banyak yang
mereka sembangkan. Tambahan pula Maya sedang sibuk memeriksa inbox telefon bimbitnya. Entah Maya
sengaja atau pun tidak namun itulah yang dilihat oleh Jiah. Tidaklah
diketahuinya bahawa gadis itu memang sengaja menyibukkan diri untuk mengelak
dari bersembang dengannya.
“Ada bunyi motorlah,” kata Jiah lantas bingkas.
“Ya ke? Tak dengar apa-apa pun,” komennya. “Jangan selak
dulu langsir tu. Biar aku yang tengok,” tegahnya pabila melihat Jiah berura-ura
mahu menyibak bucu langsir tingkap. Maya sebenarnya bimbangkan kejadian sebelum
ini berulang semula. Mungkin dia boleh menghadapi semua babak tersebut walau
pun ia terpentas berulang kali namun tidak Jiah. Dilihatnya ketenangan,
ketabahan dan kecekalan gadis itu terlalu sedikit. Gadis itu lemah semangat dan
tidak sekebalnya.
Jiah mengangguk seraya berpatah ke tempat duduk.
Sementara bunyi enjin motor berderuman semakin jelas kedengaran. Serasa Jiah
mungkin pemilik motor tersebut sudah pun berada di depan pintu pagar. “Kau
pasti ke kau ada mendengar bunyi motor?” soal Maya lantaran tidak berpuas hati.
Jiah mengangguk pantas. Keluhan Jiah bertaburan. “Tak ada sesiapa pun berada di
luar.” Dilepaskannya bucu langsir lalu kembali mendaratkan punggung.
Jiah kehairanan. “Mustahil. Kan bunyi enjin motor tu...”
“Kalau aku dah cakap tiada... tiadalah.” Maya memarahinya
pula. Sambil mengetap bibir, Maya mencapai telefon bimbitnya seraya menekan
nombor telefon milik Azhan. Tanpa kata, Jiah bangkit dan terus saja menyelak
langsir namun tidak melihat sesiapa pun di situ.
“Mustahil,” bisiknya tidak berpuas hati. Dia menoleh dan
terkejut pabila ternampak kelibat seseorang berlalu pantas menuju ke tingkat
atas. Tunaknya segera menghempap Maya dan gadis itu masih sedang berusaha
mendapatkan Azhan dalam talian.
“Agaknya mereka dalam perjalanan sekarang ni,” kata Maya
sambil meletakkan semula telefon bimbit. Jiah sekadar mengguman dan melabuhkan
punggung. Dia berusaha untuk bertenang. Lagipun mendedahkan kejadian tadi
bukanlah tindakan bijak. Mustahil Maya mahu mempercayainya lagi selepas
dakwaannya tadi. Maka sebaiknya membatu dan membiarkan saja kejadian tadi
berlalu dihembus waktu.