Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 29

Maya dah tak sabar-sabar lagi mahu menghidupkan telefon elektronik milik Zak. Senyumnya terkuak pabila sesusuk tubuh milik Zak terpapar sebagai wallpaper. Aksi-aksi Zak bersama Zurhan dan Syah pula mengisi ruangan screen saver. “Kamu bertiga memang macho,” pujinya. Dalam diam dia berasa bangga kerana berkawan baik dengan mereka bertiga. “Aku harap kau tak seperti apa yang aku dan Zak gambarkan Syah,” katanya pabila terimbau penjelasan Zurhan. “Jangan-jangan Zurhan sebenarnya dah lama mati. Mungkin mayat yang jatuh berdebuk dalam bilik tidur Zak adalah Zurhan.”

Maya jadi resah pula tatkala andaian tersebut mencucuh benaknya. Ketenangannya bersepai selepas tu. “Kebetulan kedua kaki mayat tu pun macam patah dan...” Kata-kata Maya terputus di situ pabila terpandang nama ‘umi’ sebagai penelefon terakhir. Dia segera menekan butang telefon semula kemudian melekapkan badan telefon ke telinganya. Bunyi ringtone kedengaran... sejurus, talian disambut dan satu suara menyapanya. “Awak siapa?” tanya suara itu tanpa salam terlebih dahulu.

Maya berdebar-debar. “Kawan Zak. Saya dengar Zak...”

“Kawan Zak yang mana satu?” tanya wanita itu lagi sengaja memepat ayatnya.

“Kawan lama Zak.”

“Awak duduk kat Bandar Sierra ke? Nombor ni kepunyaan Zak kan? Macam mana nombor telefon Zak ada kat tempat awak? Awak ni siapa sebenarnya? Apa kaitan awak dengan Zak?” Soal Puan Sri Marina bertubi-tubi. Kebetulan ketika ini dia berada di samping Zak.

“Sabar auntie. Saya kawan lama Zak. Kami tiada apa-apa hubungan melainkan sebagai kawan biasa je. Kali terakhir saya berjumpa dengan Zak ialah sebelum nahas tu. Zak beritahu ada seseorang nak jumpa dia berhampiran Teluk Sepanggar. Lalu meminta saya membawa telefon bimbitnya ke kedai untuk dicas. Saya pun pergilah tapi entah apa masalah... telefon bimbit tu langsung tak nak hidup selama beberapa bulan ni.”

Keluhan Puan Sri kedengaran. “Macam mana auntie nak percaya awak? Auntie tak kenal awak.”

Maya menghela nafas. “Auntie tak perlulah ambil tahu fasal saya. Saya perempuan biasa je. Tak ada apa yang menarik. Sekiranya auntie tak keberatan... izinkan saya membisikkan sesuatu kepada Zak. Zak perlu tahu semua ni.”

“Hmm...” Wanita itu mengguman seperti serba-salah.

“Tolonglah auntie. Permintaan saya ni taklah sebesar mana. Namun hasilnya mungkin boleh membantu untuk mengembalikan Zak,” pinta Maya dengan suara perlahan. Dia amat berharap agar wanita itu memberikan kelonggaran untuknya memenuhi permintaan Zak. Lantaran tiada pilihanlah Puan Sri Marina memberikan persetujuan. Dia segera menggunakan headset sebagai penghubung di antara Maya dan Zak. “Zak, aku dah tahu siapa Zurhan yang sebenarnya. Nanti kau datanglah berjumpa dengan aku ya. Aku akan beritahu semuanya. Zak, kau usahakanlah sesuatu supaya umi kau tu percayakan aku. Janganlah diam dan membatu macam patung je. Sampai bila kau nak jadi macam ni?” Hampir setengah jam Maya bermonolog dengan Zak sebelum memutuskan perbualan.

Tiada kata-kata perangsang mahu pun ayat yang boleh membangunkan minda Zak disusur galurkannya. Dia sekadar menurap bicara biasa sebagai memenuhi permintaan Zak. Dia akan kembali membincangkan perbualan sepi itu setelah kunjungan Zak nanti. Sementara Puan Sri pula terkejut apabila anak kesayangannya itu tiba-tiba menarik nafas panjang sewaktu perbualan tersebut berlangsung.

Situasi tersebut telah mengocak hati dan perasaannya sebagai seorang ibu. Sungguh tidak disangkanya, permintaan gadis misteri yang tidaklah sebesar mana itu berjaya menyerpihkan kesedihannya. Kini bayangan harapan untuk melihat Zak pulih sepenuhnya mula tergambar di ruang mata. Tanpa bertangguh, dia segera menghubungi Tan Sri Kamarul untuk berkongsikan kegembiraan tersebut.

Maya dan Jiah beriringan keluar setelah terdengar suara seseorang melaungkan salam. Mereka berdua terkejut apabila terpandang Amirul yang kini tercegat di tebing pagar. Amirul melambaikan tangan sambil melemparkan senyuman. Pandangannya agak mesra. Jiah mencebik. “Agaknya lelaki itu cuma hantu,” katanya sambil berpatah semula ke tempat duduk. Bengangnya belum hilang disebabkan kegagalan mereka berdua tadi. Maya tidak membalas walau sebiji kata. Dengan langkah perlahan, kakinya dihayun menuju ke luar.

“Pelik. Tak nampak pun rumah awak kat dalam hutan tu.”

Amirul tersenyum. “Rumah aku tersorok. Kalau Maya nak... aku boleh bawa Maya ke sana,” tawarnya dengan suara sedikit memujuk. Dilihatnya muka Maya agak masam. “Atau pun kita pergi lain kali sahaja. Sebenarnya, aku datang ni sebab nak bagitau sesuatu. Ia mengenai kawan-kawan Maya yang tersesat dalam hutan nipis tu.”

“Kawan? Kawan mana pula?” Maya terperanjat.

“Kawan lelaki Mayalah. Mereka cakap bahawa mereka ni adalah kawan-kawan Maya. Hmm... kedua-duanya lelaki.” Spontan ingatan Maya menerjah muka Azhan dan Ferdy. “Seorang tu agak tinggi dan yang seorang lagi rendah serta kurus.” Amirul melanjutkan.

“Ni mesti Azhan dan Ferdy. Kenapa awak tak tunjukkan saja arah mana yang harus mereka berdua ikut?”

Amirul menggigit bibir. Pandangannya kian dalam hingga terasa menusuk ulu hati Maya. “Aku tak boleh buat macam tu.” Demikian alasan yang diberikannya.

Sinar mata Maya berubah curiga. Helaan nafasnya kedengaran. “Kenapa pula tak boleh? Lainlah kalau awak bukan manusia seperti kami.”

“Aku tak boleh Maya. Memang aku nak tolong mereka berdua sebab mereka tu kawan awak. Tapi keadaan diriku tak mengizinkan aku berbuat demikian. Terpaksalah aku biarkan mereka dan mengambil keputusan datang ke sini untuk memberitahumu mengenai hal ni. Sekarang terpulang padamu sama ada mahu menuntun mereka keluar dari kawasan hutan tu atau pun tidak.”

Maya mengeluh seraya berkata. “Nantilah aku telefon mereka.”

“Masalahnya tempat tu tak ada liputan.”

“Habis? Awak nak aku buat apa? Pergi kat sana ke?” suanya dengan mata terbuntang. “Awak ni memang tak mampu atau pun sebetulnya ada hajat lain?” Kini Maya mengaruk prasangka pula. Amirul terkejut dan kelihatan terkilan.

“Aku memang ikhlas nak berkawan dengan awak, Maya. Tiada maksud lain atau pun apa-apa jua yang awak sangkakan. Memang dulu aku seorang lelaki yang liar dan mata keranjang, tetapi sekarang tak lagi. Setakat gadis sepertimu tak susah untukku dapatkan. Aku tak bercakap takbur tetapi memang itulah hakikatnya,” ujarnya berjela-jela. Maya tidak berkata apa-apa. Dalam diam dia berasa tersindir pula ekoran wajahnya yang hodoh. “Bagaimana?” tuntut Amirul dan anggukan gadis itu melahirkan senyumannya. Tanpa memaklumkan Jiah, Maya menyelit keluar dari celahan pintu pagar. Dia kemudiannya membuntuti helaan langkah Amirul.

“Sampai sekarang aku masih terfikir-fikir, macam mana kami boleh terlepas pandang rumah awak.”

Amirul ketawa perlahan. “Rumah aku tu kedudukannya agak tersorok. Setakat ini, belum ada sesiapa pun yang perasan akan kewujudannya. Tapi rasanya Maya dah pernah melihat rumah aku tu dalam mimpi kan?” ajunya sambil menoleh ke belakang. Sekadar mahu memandang Maya.

Maya mengguman. “Kalau rumah buruk dan usang itulah yang awak maksudkan... memang pernah. Tapi itu dalam mimpi. Ia tak sama dengan realiti. Yang aku nak sekarang ialah aku nampak rumah awak tu sebiji depan mataku sendiri.”

Tawa Amirul berciciran lagi. “Jika begitu, izinkan aku membawamu singgah di rumah sekejap. Walaupun rumah tu tak secantik mana tetapi di situlah tempat aku berlindung dari panahan panas dan simbahan hujan selama ni.”

“Kalau nak diukur dari segi rupa paras... aku tengok awak ni tak adalah semiskin mana...”

Keluhan Amirul tercurah. “Rasanya aku dah bagitau Maya sebelum ni bahawa semua tu hanyalah imbasan masa lalu. Dulu iaitu sebelum perumahan tu wujud, tempat tu hanyalah sebuah kawasan semak-samun. Maksud aku, sebuah kawasan yang ditumbuhi pepohonan renek yang tak setebal mana. Aku pula selalu menjelangi tempat ni. Aku berasa tenang pabila berada di sini. Tempat ni menjanjikan setimbun ketenangan yang sukar diperolehi di tempat lain.” Dia terpaksa berdusta untuk menutup pekungnya yang sebenar. “Oh ya! Itupun pondok buruk aku!” beritahunya sambil menuding jari telunjuk.

Maya membuang pandang dan terpegun sejenak. Nampaknya pondok tersebut tidak jauh berbeza dengan gubuk buruk yang pernah dilihatnya dalam mimpi. “Mustahil awak tinggal kat sini,” katanya masih sangsi dan curiga. Tunaknya tidak beralih dari terus-terusan meneliti pondok usang yang semacam dah dimamah usia itu. Lokasi tersebut agak tersorok dan dipenuhi semak-samun serta tidak terjaga. Agaknya Amirul sengaja ataupun memang malas mahu menebas semak-samun yang tumbuh berpilin-pilin memenuhi persekitaran kediamannya itu. Demikian apa yang mengisi jemala Maya.

Amirul tergelak kecil. “Tak mengapalah kalau Maya tak percaya. Aku nak buat macam mana kalau Maya enggan mengutip penjelasanku. Hmm... kedua kawan lelaki Maya tu berada tidak jauh dari sini. Aku fikir lebih baik Maya tak payahlah singgah. Tambahan pula hari dah pun senja.”

“Maksud awak, awak nak aku terus mendapatkan mereka berdua dan keluar dari premis ni ke?” suanya seolah kecil hati. Dirasakannya Amirul sengaja mahu mengusirnya pula.

Senyuman lelaki itu tersibak lagi. Ada ketulusan dan keikhlasan mengisi kolam matanya. “Aku tak bermaksud macam tu. Aku cuma rasakan keputusan itulah yang terbaik memandangkan hari dah pun merangkak senja.” Keluhannya bertaburan sejenak sebelum mengasah sebilah ayat lagi. Tika ini pandangannya masih menjamah Maya. “Sebenarnya aku risaukan keselamatan Maya. Hutan ini bukanlah tempat yang selamat. Lebih-lebih lagi buatmu.”

“Ya. Aku dah faham,” celah Maya dan ingin beredar.

“Aku harap Maya dah dapat petanda kedua kematian. Berhati-hatilah.” Maya menoleh pantas dan Amirul sudah pun berada jauh darinya. Kata-kata tadi membuatkan dadanya terus saja dipentung debaran maha hebat.

“Johan,” sebutnya tanpa suara.

Sambil menarik nafas, dia menghayun langkah. Fikirannya masih diasak ayat tadi. Dari jauh kelihatan Azhan dan Ferdy sedang memandang hairan arahnya. Seingat mereka, baru sebentar tadi mereka berdua menabur kata meminta dilepaskan dan kini Maya sudah pun tercancang di depan mata. Bahkan sedang memandang mereka berdua dengan kening bertaut satu. Agaknya gadis itu marah selepas mendapat tahu hal mereka berdua.

“Pelik. Dia tu Maya ke bukan?” bisik Ferdy agak curiga. Ternyata ayat tersebut berjaya menyerpihkan ketenangan Azhan. Dalam diam, dia turut memikul praduga yang sama.

“Bodoh betul kamu berdua ni!” marah Maya sedikit bengang. “Yang kamu mengekori kami masuk kat dalam hutan ni kenapa? Tengok! Apa dah jadi sekarang? Menyusahkan saja!” Rengusannya berjejeran. Azhan dan Ferdy tidak menyua walau sebenih pun kata selain terbolak-balik memandangnya. Mereka berdua sebenarnya masih berkongsikan prasangka yang sama. Almaklum, kehadiran Maya terlalu misteri. Sambil menggeleng-gelengkan kepala, Maya memutar tubuh dan mengajak mereka berdua keluar dari situ. Pada mulanya mereka berdua enggan tetapi akhirnya terpaksa jua mengorak langkah selepas dimarahi oleh Maya. Tambahan pula matahari dah meruyup tika ini.


Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.