“Sekarang
dia berada kat mana?”Zurhan angkat bahu. “Dah tiga bulan aku tak jumpa dia. Selama
tempoh ni baru awak seorang yang aku jumpa.” Zurhan tersenyum manis. “Apabila
melihat awak, aku berasa menyesal pula Maya.”
Maya terkejut. “Mengapa pula?” tanyanya seperti sakit
hati terhadap kata-kata Zurhan sebentar tadi. Pada fikirannya, tentu Zurhan
berasa menyesal kerana telah berkenalan dengan seorang gadis hodoh yang
langsung tidak sepadan dengannya.
“Janganlah salah faham.” Zurhan tersenyum kecil.
“Sebenarnya aku berasa menyesal kerana tidak dipertemukan dengan Maya
seawalnya. Kan bagus kalau aku berkenalan dengan Maya lebih awal dari Dyanna.”
“Hmm... ya ke?” Maya tersipu-sipu. Dia berasa malu pula
kerana terlajak memikirkan yang bukan-bukan.
“Itulah yang aku tak suka kat engkau ni. Cepat sangat
perasan. Dia cuma nak ambil hati awak je tu Maya,” bisik suara itu seakan
mengingatkan. Maya cepat-cepat menarik tangannya apabila melihat batang
lengannya itu beralih sendiri.
‘Ni mesti kerja suara tu,’ bisik hatinya semakin
meradang. Kehadiran suara itu membuatkannya berasa terganggu. “Awak kesejukan
ke?” Dilihatnya Zurhan seperti menggeletar kesejukan. Zurhan menggelengkan
kepala. Dia segera berpeluk tubuh sambil membuang pandang arah laut. Nafasnya
dihela dan dengan wajah sayu dia bersuara semula.
“Adakala aku berasakan hidup ini terlalu kejam.”
“Mengapa pula macam tu? Seharusnya kau bersyukur kerana
diberikan kehidupan yang sempurna dalam hayat ini.”
Keluhan Zurhan bersepaian. “Kau tak faham Maya.”
“Maya, kambing-kambing tu gelakkan awak.” Terasa bahunya
dicuit. Maya tahu ia pasti kerja suara halimunan itu.
“Woi! Awak dah gila ke duduk termenung kat situ?!” Maya
segera menoleh pabila terdengar laungan sinis tersebut. Sekumpulan remaja
sedang mentertawakannya sambil mengatakannya gila. Zurhan turut memandang arah belakang.
Bibirnya diketap.
“Biar aku ajar mereka,” katanya dengan muka marah.
Maya cepat-cepat bersuara. “Tak apalah. Aku dah biasa.”
Risau pula Maya pabila melihat Zurhan bersiap-siap hendak menyerang kumpulan
remaja tersebut.
“Fikirkanlah. Ni mesti ada yang tidak kena.” Suara itu
berbisik dalam nada menghasut. Sebagaimana sebelum ini, Maya tetap tidak
mengendahkan kata-kata suara tersebut. Zurhan menarik nafas dan dengan muka
kering dia memandang arah laut semula. “Aku berasa tidak sedap hatilah kita bersama
dengan lelaki ini.” Suara itu meluahkan ketidakselesaannya.
Maya mengguman. Baginya Zurhan seorang lelaki tampan yang
baik dan amat menghormatinya. Dia lebih mencurigai kewujudan suara halimunan
itu sebab tidak pernah melihatnya. “Zurhan, awak pernah terdengar tak
khabar-khabar angin mengenai kemalangan di sekitar lebuh raya menghala Teluk
Sepanggar?” tanyanya.
“Ada.” Zurhan menjawab pantas. Ketika ini pandangannya
sudah pun tersua kepada Maya. Mulut Maya terbuka sedikit dan air mukanya seolah
mahu bertanya lagi. Saat yang sama Zurhan menyambung semula ayatnya. “Tiga
bulan lepas, satu kemalangan kereta telah berlaku berhampiran dengan area Teluk
Sepanggar. Ia sebuah kemalangan tragis dan telah membabitkan 3 buah kereta yang
telah diubah suai. Bahkan telah meragut 5 jiwa.”
Zurhan memejamkan matanya buat seketika sambil menarik
nafas berat. Pandangan Maya menyerong. “Dari mana kau tahu semua ni? Dari
keratan akhbar ke atau terdengar dari khabar angin.”
“Aku telah menyaksikannya Maya.” Lelaki itu tersenyum
kecil. “Oklah Maya. Eloklah kita beredar balik. Lagi pula, malam pun dah
semakin tua. Maya pun nampak letih je.” Maya sekadar mengulum senyuman sebagai
tindak balas darinya. Mereka berdua kemudiannya bingkas dan jalan bersaing bahu
menuju ke kereta Zurhan.
“Kereta awak pun macam telah melalui proses modifikasi.”
Kerlingan Maya melewati muka Zurhan. Zurhan hanya tergelak perlahan lantas
mengangguk. Maya tiba-tiba teringatkan sesuatu lalu menoleh sebelum memandang
arah depan semula. Dia terfikir-fikir ke mana perginya suara halimunan yang
sibuk mencelah perbualannya itu. Tidak banyak yang mereka berdua bicarakan
sepanjang perjalanan.
Apapun, Zurhan sempat menitipkan secebis kata-kata bahawa
dia akan datang berjumpa dengan Maya besok dan mengajaknya makan kat luar. Maya
sekadar mengangguk tetapi tidak memberikan kata putus. Dalam diam Maya berasa
bersyukur kerana Zurhan sudah melupakan hasrat pertama sebelum ini.
Maya
bagaikan tidak sabar-sabar mahu menghidupkan komputer. Selesai menekan butang power, Maya melingas ke dapur untuk
membancuh semug minuman. Selesai menggodek minumannya, Maya segera mendaratkan
punggung atas bangku dengan pandangan terfokus arah skrin. Gadis itu memulakan
ketukan pada papan kekunci. Dia nampak tekun berkarya berpandukan suara-suara
yang membisik dalam benaknya. Masa berlalu tanpa disedari. Dia hanya tercelik
dari kekusyukannya menulis selepas tertangkap bunyi ayam jantan berkokok.
“Huh.” Isi mug dijenguknya. “Dah habis.” Maya bingkas
lantas membawa mug tersebut ke dapur. Sewaktu sedang membasuh mug itulah Maya
berasakan dirinya seperti diperhatikan oleh seseorang dari arah pintu. Maya
menoleh sekilas namun tiada apa yang tercancang dekat pintu. Lantas kerjanya
diteruskan. Apapun dia terkejut apabila terdengar bunyi berdebuk berhampiran
almari buku yang terletak di ruang tamu. Maya bergegas keluar untuk melihat apa
sebenarnya yang telah atau sedang berlaku.
Pelik. Tiada apa pun yang berlaku di situ. Semua
buku-buku masih tersusun rapi dalam rak. Demikian juga barang-barang perhiasan
yang tak adalah semahal mana. Maya berpatah semula dan terkejut apabila melihat
seseorang sedang membasuh mug yang dipegangnya tadi. Seseorang yang seratus peratus
serupa dengan dirinya. Seseorang yang berpakaian sebagaimana baju yang membalut
tubuhnya tika ini.
Maya cepat-cepat menyorok apabila lembaga serupanya itu
memandang sekilas arahnya. Sewaktu sedang berundur itulah Maya terlanggar Toyol
lantas jatuh berdebuk setelah hilang kawalan. Maya cepat-cepat bangun lantaran
bimbang dijenguk oleh lembaga serupanya itu. Apapun, puas Maya menanti namun
tiada sesiapa pun yang muncul dari dapur.
Sebagaimana tadi, Maya kembali terjenguk-jenguk dan dia
terkejut apabila mendapati tiada sesiapa pun yang berada di situ. “Eh! Mana
pula perginya kembar aku tadi?” soalnya kehairanan. Dalam keadaan bingung Maya
segera membancuh minuman dan menghilang dalam bilik tidurnya. Maya tidak segera
menulis melainkan duduk melengung depan komputer. Dia masih memikirkan insiden
tadi.
Dan cuba menjejak keganjilan dan misteri di sebalik
kejadian tersebut. “Agaknya kelibat orang yang aku ternampak sewaktu membasuh
mug tu adalah diri aku sendiri. Bunyi jatuh berdebuk tu pun mungkin diri aku
juga. Tapi macam mana semua tu boleh berlaku? Pelik.” Keluhannya terhembus.
Maya memandang jarum pendek jam dinding sebelum menyambung karangannnya.
Maya hanya berhenti setelah tertangkap bunyi azan
berkumandang. Tanpa bertangguh, Maya segera menunaikan kewajipan dan
tanggungjawabnya sebagai muslimin. Dia kembali menulis dan berhenti setelah
terintai cahaya mentari pagi menyusup masuk melalui celahan tingkap. Ketika
inilah Maya baru tersedar dia amat keletihan seolah baru selesai mengharung
perjalanan yang jauh. Rasa-rasa tersebut mencengkam segenap urat sarafnya dan
melunyai jasadnya hingga jadi lemas.
Maya
sengaja bertele-tele di luar balkoni. Dia mahu menghirup udara segar sebelum
meringkuk atas katil. Dia hanya menapak hala ranjang sesuku kemudian selepas
mematikan komputer. Berselang sejam, Munira dan Jiah silih berganti
menelefonnya. Namun puas mereka mendail nombor telefon bimbit Maya, situasi
tetap sama. “Agaknya Maya baharu terlelap. Itu fasal dia tak pick up call,” teka Jiah kecewa.
Munira sekadar menganggukkan kepala. Tiada sebiji kata
terpacul dari mulutnya. “Kita pergi melawatnya petang ni,” usulnya dan kali ini
giliran Jiah pula yang menganggukkan kepala.
“Masuklah
dulu,” jemputnya sambil menguak daun pintu lebar-lebar. Zurhan mengangguk
seraya melangkah masuk. “Kejap ya.” Maya kemudiannya bergegas ke bilik untuk
menukar baju. Dia keresahan selepas mengintai baju-bajunya yang bersusun dalam
almari pakaian. Kini baharu disedarinya bahawa dia tidak memiliki walau sehelai
pun pakaian yang cantik. “Macam mana ni?” Dia menggaru-garu kepala.
Maya hanya meninggalkan bilik tidurnya setengah jam
kemudian. Dia berdebar-debar sewaktu Zurhan memudikkan pandangan halanya.
Zurhan tersenyum selepas menyoroti bajunya. “Aku tak kisah apapun yang Maya
pakai. Yang penting ia tak menjolok mata dan yang paling penting... Maya masih
ada sesuatu untuk dipakai,” katanya cuba mengambil hati Maya. Riak wajah gadis
itu menjelaskan kegalauan. Agaknya gadis itu risau sekiranya dia tidak menyukai
penampilan tersebut.
“Kita berdua ni bagaikan batu dan permata. Terlalu jauh
berbeza.” Pandai pula Maya berkata-kata buat julung kalinya.
“Ya ke? Aku tak berasa macam tu pun. Bagi aku, Maya
adalah seorang gadis yang sempurna.”
Maya terkesima lantas tergelak lirih. Buruk sungguh
bunyinya. “Apa yang ada pada diri aku ni? Awak dah buta agaknya.” Cermin
matanya dirapikan.
“Maya yang telah membuatkan aku jadi buta.”
“Apa yang telah aku lakukan?” Maya ketawa lagi. “Jom
lah!” ajaknya lantas berjalan mendahului Zurhan. Zurhan tersenyum lembut.
Ketika ini hari masih muda. Zurhan pula tidak segera membawanya pergi melainkan
mengajaknya menjelangi suatu tempat. “Kenapa kita ke sini?” Maya hairan.
Disorotinya kawasan tersebut.
“Maya pernah melawat tempat ni ke?” Sengaja Zurhan mahu
menduga. Diajaknya Maya turun dari kereta. Maya akur.
“Tak pernah.” Maya sengaja berdusta walhal dia pernah ke
sini seminggu yang lepas untuk menghirup udara segar. Bahkan lokasi ini turut
tersemadi dalam manuskripnya. Zurhan tergelak pahit. “Sebenarnya kawasan
pinggiran teluk ini amat sesuai untuk dijadikan tempat berlipur-lara,”
komennya.
Zurhan angguk-angguk. Mereka berdua segera mengatur langkah
ke sebuah pondok kayu tidak berdinding namun bertingkap. “Di sinilah aku mula
mengenalimu Maya.” Maya tersentak mendengarnya. Pandangannya spontan terhunus
arah Zurhan. Keluhan Zurhan bersepoian lalu berpuputan dalam lohong telinganya.
“Tidak jauh dari kawasan inilah dua buah kereta berlanggar di jalan raya.
Sebuah kereta menyusul kemudian. Dan Maya... aku benar-benar pasti bahawa saksi
kedua kejadian ngeri tu adalah awak.”
“Hmm...” Maya berundur setapak ke belakang pabila Zurhan
tiba-tiba merapatinya.
“Aku tak terlibat dalam kemalangan tu.” Wajahnya lesi.
“Kau tak terbabit. Kau cuma menyaksikan kejadian tu dan
aku memang nampak awak, Maya.”
“Tak mungkin.” Maya menggeleng-gelengkan kepala. Dia
tiba-tiba berasa pening. “Aku cuma berhalusinasi.”
“Usah menafikan kewujudan awak Maya. Berhalusinasi tak
semestinya tak ada kebetulan. Aku ada melihat manuskrip tadi masa awak kat
bilik.”
Maya terkejut. “Manuskrip? Sejak bila pula awak berada
kat bilik tidur aku? Aku tak nampak pun. Hmm... kenapa awak baca manuskrip tu?”
suanya dengan suara semacam marah. Wajahnya mendadak masam dan ada kekesalan
berdanuran dalam danau matanya. “Manuskrip yang mana satu awak baca?” Zurhan
tidak berkata apa-apa. Dia nampak terkilan, serba-salah dan yang paling utama
dia berasa terperangkap setelah menuba Maya dengan bicara tadi.
“Maafkan aku. Aku tak sengaja,” luahnya dengan wajah
cemas dan seperti meminta dimengertikan. “Maafkan aku okey. Aku cuma inginkan
kepastian mengenai dirimu dan ingin mengenalimu dengan lebih dalam lagi.” Maya
menghela nafas. Kemarahannya mengendur selepas mencicipi ayat-ayat tadi.
Pandangannya beralih. “Sebenarnya Maya, ada yang tidak kena dalam kemalangan
jiwa tu.”
“Maksud awak?”
“Itulah persoalannya,” tingkah Zurhan pula berusaha
supaya Maya tidak mengasaknya dengan sebukit pertanyaan yang terbengkalai tadi.
“Kerana persoalan inilah aku tanya engkau.” Maya menarik
kerusi kayu yang kebetulan ada dekatnya lalu mendarat di situ. Tunaknya
menjengah Zurhan. “Apa maksud awak sebenarnya ni? Cuba kau terangkan
satu-persatu.” Tiada senyuman terlakar di bibirnya sebagaimana sebelum ini.
Maya kelihatan serius. Dalam benaknya berlegar persoalan.
“Aku tidak bermaksudkan apa-apa. Cuma firasat dan
naluriku seakan berbisik mengatakan ada yang tidak kena dalam kemalangan jiwa
yang berlaku berhampiran lokasi tu tiga bulan yang lepas.”
“Apa yang membuatkan awak berasakan seperti tu?” Cermin
matanya dirapikan dengan pandangan masih membidik muka Zurhan. Hujung lidah
Zurhan berdecit. Dia beredar ke tubir jendela sekejap sebelum memandang Maya
semula.
“Kerana hanya 3 jiwa dijumpai oleh pihak polis. Sementara
2 jiwa lagi masih menjadi misteri dan tanda tanya.”
“Macam mana awak tahu fasal 2 jiwa tu? Aku rasa, kau ni
bukan sekadar menyaksikan tetapi kemungkinan besar turut terlibat dalam
kemalangan tu kan?” Kini Maya menghidangkan sedulang prasangka. Pandangannya
turut menyerong membuatkan Zurhan salah tingkah. “Katakanlah yang sebenarnya
Zurhan. Apa sebenarnya tujuan kau merapati dan ingin mengenaliku? Kau nak aku
bongkar kejadian tu ke ataupun...” Maya termenung sejenak. Riak wajahnya
seperti sedang berusaha mengingatkan sesuatu. “Ataupun kau nak aku cari ke mana
hilangnya 2 jiwa tu?”
Zurhan mengangguk pantas. “Ya. Aku nak Maya jejak ke mana
perginya 2 jiwa tu. Sama ada mereka masih hidup ataupun turut berangkat ke alam
baka sebagaimana 3 jiwa yang lain. Ataupun berkeliaran seperti....”
“Seperti awak?” pangkas Maya. Zurhan tergamam. Maya
tersenyum nipis. “Aku bergurau. Awak janganlah serius sangat.” Nafasnya dihela.
Pandangannya turut terdampar arah lain sebelum menghempuk muka Zurhan semula.
“Aku akan cuba untuk leraikan kekusutan ini. Sebenarnya sebelum berjumpa dengan
kau pun aku memang dah terbabit dalam permasalahan ni,” katanya dengan ingatan
berisi ayat-ayat misteri milik suara halimunan tersebut. “Sebab itulah aku
berada dalam kejadian tersebut. Tetapi peliknya, aku cuma melihat dua buah
kereta. Ke mana pula perginya yang sebuah lagi?”
Zurhan menarik nafas. “Yang sebuah lagi menyusul kemudian
dan terbabas selepas terlanggar salah sebuah dari kereta yang Maya nampak tu.
Tangki minyak kereta terakhir tu pecah sebelum ianya meletup kemudian terbakar
hingga rentung. Dua orang penumpang di dalamnya turut menemui ajal kerana tersepit.”
“Pada fikiran awaklah kan... ketiga-tiga kereta ini
saling berkaitan ke ataupun hanya dua buah kereta?”
“Ketiga-tiga kereta serta 5 jiwa tersebut memang saling
berkaitan. Mereka semua saling mengenali.”
Pandangan Maya mencerun dan kolam matanya berisi prasangka.
“Nampaknya awak lebih tahu mengenai kejadian ngeri tu serta latar belakang
mangsa-mangsanya.” Dalam diam Maya mengatur strategi hendak membongkar identiti
sebenar Zurhan. Dia mula berasa sangsi dan mencurigai sesuatu tatkala terintai
keghairahan Zurhan sewaktu mengupas kejadian tersebut.
Bahkan kewujudan suara halimunan serta dakwaannya turut
mendorong Maya untuk menyiasat hal sebenar. Maya nak tahu apa sebenarnya yang
telah berlaku sebelum, sewaktu dan selepas kejadian ngeri tersebut. Mereka berdua
berbual-bual lagi dan Zurhan terpaksa menghantar Maya balik selepas tidak
berjaya mengajak gadis itu keluar. Maya berubah fikiran sesudah tersantap
sedikit dari infomasi mengenai kejadian ngeri tersebut.