Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 26

“Awal bangun nampak?” tegur Jiah. Pandangannya bersulam syak wasangka. Disorotinya muka tembam Munira. Munira sekadar melontarkan selembar senyuman. Matanya agak bengkak kerana tidur awal semalam. “Kau tak melalui apa-apa ke perkara pelik semalam?”

“Perkara pelik? Maksudmu?” Dahi gadis itu berkerut.

“Rasanya Ira pun tahu situasi apa yang sedang kita depani dalam rumah ni. Maka tiada maknanya bertanyakan maksud ayat pekara pelik. Ira sendiri sedia maklum apakah maksud aku bertanyakan hal ni.”

Munira tersenyum. “Janganlah emosi pula. Aku cuma nakkan kepastian. Bagi aku semalam tiada apa-apa yang berlaku. Aku tidur nyenyak dan bermimpikan Amirul,” beritahunya dengan wajah ceria. Mee goreng yang baru dimasaknya dialihkan. Kening Jiah bertaut. Tuala biru muda yang terselempang di bahunya dirapikan. Tunaknya masih membidik Munira dan sedang menanti selembar penjelasan mengenai mimpi tersebut. “Sebenarnya dalam mimpi tu, aku melihat Amirul dan Maya sedang berbual-bual kat pagar tu. Sementara awak pula hanya memerhatikan mereka dari koridor. Masa tu aku ada kat belakang awak.”

Jiah tersentak. “Ah mustahil.” Bulu tengkuknya kembali meremang setelah menadah cerita tersebut. Munira tergelak perlahan.

“Mimpi pun Jiah nak takut ke?” perlinya tanpa mengetahui keadaan sebenar. Dia menggelengkan kepala seraya menyambung kerjanya. “Hari ini awak kerja ke?” suanya menukar topik. Dikerlingnya Jiah sekejap sebelum beredar ke ruang tamu. Ditatangnya bersama dulang berisi sarapan pagi. Jiah mengekorinya dengan benak masih disarati misteri mimpi milik Munira. “Awak ni kenapa?” Hairan pula pabila melihat Jiah masih bungkam sebagaimana tadi.

“Tak kerja. Ira pula?” Punggungnya dilabuhkan.

“Aku pun tak kerja,” jawab Munira perlahan dan berpatah semula ke dapur untuk mengambil teko berisi milo panas. “Maya belum bangun lagi ke?” ajunya sesudah berada di depan Jiah semula.

“Dah bangun agaknya. Mungkin sedang menulis selembar dua manuskrip.” Segera dibantunya Munira menghidangkan sarapan tersebut. Setelah selesai, dia bergegas ke tingkat atas dan terus saja ke bilik Maya lalu mengetuk pintu beberapa kali. “Ingatkan Maya masih tidur,” katanya setelah muka Maya terpacul di depan pintu.

Maya tersenyum lantas membuntuti langkah Jiah sambil mencicirkan serumpun kata. “Aku dah lama dah terjaga,” beritahunya. “Wah! Rajin nampak!” pujinya pabila melihat sarapan pagi sudah pun tersaji. Diliriknya Munira dan Jiah silih berganti dengan senyuman masih menguliti bibir.

“Ira memang rajin seawal pagi ni,” tingkah Jiah dan spontan pandangan Maya tertancap hala Munira.

“Mimpi apa pula pagi-pagi ni? Kamu berdua tak kerja ke hari ni?” Diintainya jam dinding sebelum mendaratkan punggung.

“Tak kerja.” Munira menjelaskan. Diaturnya pinggan berisi setompok mee goreng mengikut kedudukan mereka bertiga.

Jiah menghela nafas. “Budak ni bermimpi melihat Maya bersembang dengan Amirul semalam. Katanya lagi, dia ada kat belakang aku dan sedang khusyuk memerhatikan kita bertiga.”

“Ha ah?” Sekali lagi pandangan Maya menghempuk Munira. “Betul ke Ira? Hebat mimpi awak tu.”

“Mungkin memang benar dia yang kita nampak termangu-mangu kat pintu tu semalam,” bisik Jiah dan gelagatnya berjaya mengubah air muka Munira. Gadis itu tidak berkata apa-apa selain memandang curiga dan penuh tanda tanya. Maya angguk-angguk.

“Sebenarnya semalam, memang betul kami berada kat luar. Aku berborak dengan Amirul sementara Jiah pula hanya terpacak kat depan pintu tu.”

Munira terperanjat mendengarnya. Dia tidak jadi menjamah mee gorengnya kerana mahu melontarkan pertanyaan. “Macam mana semua tu boleh berlaku?”

Jiah tersenyum. “Jawapannya senang saja. Takdir kita sedang dikuasai oleh satu kuasa mistik. Di mana kita sendiri tidak mengetahui punca dan siapa dalangnya. Yang pastinya, kita bakal bergelut dengan enigma ini selagi ia tidak dinoktahkan.” Munira mengeluh. Sinar matanya menyuluh Maya sebelum menghambur satu lagi soalan.

“Tiada cara untuk kita menamatkan permainan ini Ira. Aku sendiri pun tidak tahu bagaimana mahu menyudahkannya. Memang kita ada pilihan untuk mengakhiri percaturan ini tetapi masalahnya aku sendiri tidak tahu bagaimana mahu memulakannya,” rinci Maya cuba menjelaskan kedudukan sebenar. Munira masih bingung. Selesai bersarapan, mereka menyambung semula perbincangan sengit tadi. Kedatangan Amirul berjaya memangkas perbualan mereka. Sebagaimana sebelum ini, pemuda itu hanya mahu bersemuka dan berulit kata dengan Maya.

“Maya dah dapat jawapan ke siapa kawan Maya yang berada di laut ketika ni?” Lelaki itu terus saja menghidangkan pertanyaan. Maya menghembuskan nafas yang terkurung dalam rengkungnya seraya menggelengkan kepala. “Aku tak salahkanmu,” lanjutnya sambil meneliti kemuraman yang kian menakik muka Maya.

“Mesti awak tahu siapa kawan aku tu?” Maya bertanya dan menoleh ke belakang sekejap. Sekadar mahu memastikan Jiah dan Munira masih berada di situ. Kedua gadis itu memang masih berada di tempat tadi dan sedang memandangnya dengan wajah khusyuk. Agaknya enigma ini membuatkan mereka terus saja memokuskan perhatian padanya dan Amirul. Dapat dirasakannya balang fikir mereka berdua yang kini dibanjiri persoalan. Amirul mengeluh. Dia tidak segera menjawab melainkan memandang arah lain. Entah apa benar yang mengggawatkan benaknya selepas diajukan soalan tadi. Sikapnya membuatkan Maya mengandaikan pelbagai perkara.

“Maafkan aku, Maya. Aku tidak memiliki kelebihan sejauh tu. Aku tidak mampu melihat siapakah kawanmu yang bakal jadi mangsa. Aku cuma mampu berinteraksi dan menyampaikan sedikit mesej kepadamu sebagai pertolongan kecil.” Pandangannya kembali menghentam Maya. “Namun, pasti semua ni ada jawapannya. Bahkan disebalik pilihan tu tentu ada sebuah pilihan lagi. Pilihan yang bakal menamatkan segala-galanya.”

“Maksud awak?”

“Aku pun tak tahu apakah maksudku mengandaikannya. Itu cuma firasatku. Tetapi yang menentukannya adalah Maya sendiri. Maya yang akan menetapkan perjalanan takdir ini. Bukan aku. Bukan juga kawan-kawan Maya mahu pun perempuan berjubah tu.”

“Ah! Aku keliru. Awak cakap berbelit-belit. Aku semakin tak faham. Sudahlah Amirul. Oh ya! Awak ada nombor yang boleh dihubungi ke?” risiknya sebelum mematikan perbualan antara mereka berdua. Amirul menggelengkan kepala. Air mukanya semacam risaukan gadis itu terasa hati. Apapun, memang benar Maya ambil hati. Pada fikirannya, tentu Amirul sengaja tidak memberikan nombor telefon kerana enggan dihubungi. “Tak mengapalah.” Muka Maya berubah masam sewaktu permisi. Amirul juga tidak berkata apa-apa. Tanpa pamit, dia beredar dari situ. Munira dan Jiah berpupuh mata apabila batang tubuh Amirul terus saja lesap.

“Aku nak tanya Maya fasal Amirul yang tiba-tiba saja lesap dari pandangan.” Munira menyuarakan kasadnya.

“Tak payah. Dia tak akan percaya,” pangkas Jiah. Munira tidak berpuas hati. “Kami dah pernah bersoal jawab fasal ni tapi Maya tetap tak percaya. Maka sebaiknya, tak usah dipersoalkan,” nasihat Jiah sekaligus menjelaskan. Munira mengguman dan nadanya seakan tidak berpuas hati.

“Mustahil. Mungkin dia tahu tapi buat-buat tak tahu untuk tidak memasakkan lagi prasangka kita.”

Jiah sekadar angkat bahu tanpa seulas kata.

Entah mengapa, Maya tiba-tiba saja bermimpikan Zurhan. “Huh,” keluhnya setelah terjaga dari tidur. “Mungkin aku terlalu memikirkan Zurhan,” andainya sambil menyeka keringat yang berbintil di dahi serta lehernya. Diselaknya kain selimut. Lalu dibiarkannya bergumpal di tepi lantas mengesot ke juring katil. “Zurhan, awak kat mana sekarang ni?” suanya pada diri lalu berjerih ke meja komputer. Dia ingin menulis. Dijenguknya isi mug. Kosong. Terpaksalah Maya mudik ke tingkat bawah untuk membancuh semug nescaffe. Dia terkejut apabila pintu biliknya tiba-tiba terbuka sendiri.

“Aku ni.” Zak mentertawakannya. “Aku dah lama berada kat tepi tingkap tu.”

“Kenapa tak kejutkan aku?” Lega sungguh rasanya tatkala mendengar suara Zak.

“Aku sengaja tak nak kacau Maya. Maya kan letih.” Maya sekadar berdehem lantas membuang langkah. Tiada apa yang mereka bicarakan sepanjang perjalanan menuju ke dapur. “Aku dah tengok barang-barang milikku kat bilik,” beritahu Zak setelah mereka berdua kembali berada dalam bilik Maya.

“Ya ke? Ada apa-apa yang boleh mengembalikan ingatan awak ke?” Ditariknya bangku lalu mendaratkan punggung selepas meletakkan mug dekat monitor.

“Ada,” jawab Zak sepatah. Maya berasa tertarik lantas melontarkan soalan lagi. “Telefon bimbit aku. Aku memiliki dua telefon bimbit. Kedua-duanya aktif tetapi pada hari sebelum penculikan termasuk kejadian nahas ngeri tu, aku tak bawa telefon bimbitku yang sebuah lagi. Mungkin kerana tak ada cas atau pun tak ada kredit...”

“Orang kaya macam awak ni mustahil tak ada duit nak top up,” perli Maya pula dengan suara lirih.

“Nombor telefon aku ada dua. Satu prepaid dan satu lagi postpaid. Hari tu, sebelum kejadian penculikan. Aku ada menerima panggilan telefon. Ianya dari Zurhan. Dia mengajak aku berjumpa dengannya berhampiran Teluk Sepanggar. Katanya ada hal penting yang hendak dikatakannya.” Zak berhenti sejenak. “Ia mengenai Imelda dan pak cik ku.”

“Nampaknya Zurhan mahu menyelamatkan awak dari genggaman dan perangkap samar Imelda. Agaknya Imelda dan pak cik awak ada agenda sendiri. Tapi mustahil juga Imelda tu sedikit pun tak jatuh hati kat awak. Awak kan kacak. Berduit pula tu.”

Zak mendengus. “Telefon bimbit tu masih ada kat bilik. Nanti Maya pergilah ambil dan periksa semua panggilan keluar masuk termasuk ruangan missed call. Harap-harap telefon bimbit itu membuka jalan dan sedikit ruang untuk kita meleraikan kekusutan ini. Lagi pun aku dah tak sabar lagi mahu berdepan dengan Imelda dan pak cik aku. Aku nakkan penjelasan dari mereka berdua.”

“Dan yang paling penting awak dah ingat sedikit memori awak. Sekurang-kurangnya situasi dan perkembangan ini menyuntik semangat dalam diri awak. Supaya awak menjadi lebih kuat dan tabah.”

“Kuat dan tabah seperti Maya,” usik Zak lantas ketawa perlahan. “Maya, apapun keadaan kita nanti... aku harap Maya tak akan mengelakkan diri dariku. Manalah tau, aku nak jumpa pun Maya tak mau. Tau tak, sekarang ni aku benar-benar terasa bahawa hidup matiku hanya berada di hujung jarimu. Nyawaku seolah berada dalam genggamanmu dan pendek kata... diriku umpama jasad dan Maya adalah nadinya.”

“Ya ke?” sua Maya agak sinis. “Usahlah mengharap sangat. Jangan-jangan kita semua ni hanyalah watak-watak yang sedang mewarnasarikan karya seseorang. Seseorang yang mungkin salah seorang dari kita semua. Dan mungkin juga seseorang yang kita tidak ketahui siapakah gerangannya. Seseorang yang bersembunyi di sebalik karyanya.”

Keluhan Zak kedengaran. “Janganlah berandaian sejauh tu. Aku jadi takut pula. Tambahan pula aku sudah mula mencintai hidupku, menyayangi insan-insan yang kukenali terutama Maya dan...” Zak menelan air liur. “Dan aku sudah terlalu mengharap sebenarnya. Aku mahukan diriku yang sebenarnya.”

“Kau berasakan begitu kerana dilengkapi hati, perasaan dan emosi sebagaimana manusia nyata. Kita semua sama saja Zak. Bukan Zak je yang bimbangkan fenomena ini tetapi aku juga dan mereka yang lain. Kita sering bercakap fasal Tuhan tetapi hakikat sebenar... hidup mati kita terletak dalam cengkaman seorang penulis. Dialah yang menentukan ajal dan riwayat kita.”

“Pelik. Selama ini aku berasakan Mayalah yang menggerakkan jentera cerita ini. Menentukan segalanya termasuk takdirku sekarang ini.”

Maya menarik nafas. “Tahu tak kenapa awak berasakan seperti itu? Sebabnya kerana penulis karya mistik ni telah memartabatkan aku sebagai watak utama. Sebagai heroin dalam cerita ini. Watak yang telah mewakili dirinya sebagai penghubung kepada watak-watak lain. Atau pun tepatnya sebagai penyampai mesej cerita. Tanpa aku, cerita ini akan lumpuh dan tidak akan berfungsi sebagai satu cerita. Maka pembabitan aku amatlah penting untuk melancarkan lagi arah tuju cerita ini.”

“Huh.” Keluhan Zak terlucut. “Mudah-mudahan apa yang Maya andaikan tu semuanya tidak benar. Sungguh pun begitu, aku amat berharap agar cerita yang Maya tulis mengenai Zurhan tu benar belaka. Bahagian cerita tu bagaikan seperenggan fakta dan maklumat untuk kita meneropong misteri nahas ngeri tu. Apa yang Maya terapkan kat bab tu memang masuk akal.”

Maya ketawa perlahan. Minumannya dihirup sedikit. “Aku dah lama tak berhubung dengannya. Mengenai cerita fasal Zurhan tu... semua tu tak betul. Aku saja-saja tulis mengenai Zurhan. Tapi aku tak akan menolak seandainya cerita yang aku tulis tu adalah sebuah fakta.”

“Kat bab tu Maya tulis bahawa jawapan akan diperolehi seandainya maklumat dari Zurhan, aku dan Syah bersatu.”

“Itu seandainya...” Maya cepat-cepat bangkit dan bergegas ke birai tingkap pabila terdengar bunyi deruman kereta. “Honda berwarna merah metalik,” bisiknya lantas menepi pabila terasa Zak mencelah di sebelah. Agaknya Zak juga mahu melihat kereta yang dimaksudkan oleh Maya. “Macam kereta Zurhan.”

“Rasanya inilah kali kedua aku melihat Zurhan datang ke sini. Entah apa yang dimahukannya. Dia tahu ke Maya tinggal kat sini?”

“Dia tak tahu. Tapi kalau dia ajak keluar... aku ikut.”

“Hmm... Maya tak takut ke?” Risau pula Zak tatkala mendengar ungkapan tersebut tercurah dari mulut Maya.

Gadis itu tergelak lagi. “Nak takut apa? Kita kan sekadar watak,” tingkahnya. “Soal takut, risau dan semuanya adalah pekerjaan tukang tulis cerita ni. Dialah yang menentukan ledakan perasaan dan pergolakan emosi kita. Zak tak usahlah risau.” Bunyi deringan telefon mengalihkan perhatian Maya. Maya segera menyambutnya. “Okey. Awak tunggu kat luar.” Talian dimatikan. Maya kemudiannya bersiap.

“Aku ikut awak,” bisik Zak perlahan. Maya sekadar berdehem sebagai jawapan atau persetujuan darinya.

“Tapi dengan syarat... jangan banyak cakap,” kata Maya kemudian. Kali ini giliran Zak pula berdehem.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.