Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 17

“Mayaaa....” Maya tersentak apabila terdengar namanya dilaungkan. Pelik. Suara yang menyeru namanya itu semacam bergema dan terkurung dalam terowong telinganya. “Mayaa....” Maya menoleh apabila tertangkap kelibat seseorang melintas di belakangnya. Keningnya bertaut apabila ternampak birai gaun putih menghilang di sebalik pintu bilik yang ternganga luas. Maya bangkit dan berjalan teragak-agak arah pintu. Kali ini dia ternampak birai gaun putih tersebut menghilang di hujung tangga menuju ke tingkat bawah. Nampaknya, lampu ruang tamu di tingkat bawah belum terpasang.

Gelap sungguh dan situasi tersebut membuatkan bulu tengkuk Maya menyangkak. Berceracak tajam dan dia berasa semakin seram. “Mayaaa...” seru suara itu lagi lirih dan memanjang. Ia seperti milik seorang wanita. “Ah...” Maya terkejut apabila tertangkap bunyi seperti dinding rumah sedang dipecahkan. Selepas berfikir-fikir seketika, Maya akhirnya mengambil keputusan untuk memberanikan diri. Dalam keadaan menggeletar, Maya memijak anak tangga satu-persatu menuju ke tingkat bawah. Bunyi itu pula semakin kuat kedengaran demikian juga debaran yang sedang memacu dalam dada Maya.

Pelik. Maya berasakan debarannya kian kencang namun nafasnya terasa sesak pula. Seolah dadanya ditindih berketul batu hingga berasa bengik begini. Setiba di bawah, Maya terus saja meraba suis lampu lalu menekannya. Namun tiada apa yang berlaku seolah-olah suis tersebut telah rosak hingga tidak berfungsi. Maya menggigit bibir dan terus menekannya berulang kali. Keadaan tetap sama. Maya akhirnya berhenti dan tercancang sejenak di situ. Dia hanya meneruskan haluan pabila bunyi tadi tidak kedengaran lagi. Dengan langkah perlahan, Maya menyusuri satu ruang. Ia seperti ruangan menuju ke dalam bilik stor. Demikianlah apa yang diandaikan oleh Maya.

Tambahan pula, sedikit cahaya lampu tercurah dari arah tersebut. Waktu ini, Maya berasakan nafasnya semakin hilang. Urat sendinya pula terasa tidak berfungsi dan jasadnya kian lemas dihambat ketakutan. Sungguh pun begitu, Maya berusaha mengawal diri dan cuba menenangkan perasaan. Dia tidak mahu tersungkur di situ hanya kerana dibius rasa takut. Nafasnya dihela berulang kali dengan melangkah ke depan satu demi satu. Maya menjengulkan kepala sebaik tiba di depan pintu stor.

Dia terkejut dengan mata terbeliak apabila melihat sekujur tubuh gondok sedang menyusun batu-bata ke dinding. Pergerakan tubuh yang lesi itu agak ganjil. Tubuh itu tidak terbongkok sewaktu memungut biji bata. Melainkan rebah sebatang dan bangkit semula dengan tangan lurus terhulur sewaktu menyusun bata. Gerak-gerinya seperti robot pula. Cuma bezanya lembaga itu memiliki jasad manusia. Jasad yang tidak berbaju dan hanya memakai seluar jeans hitam lusuh. Maya tertanya-tanya mengapa lelaki gondok itu sibuk menyusun batu-bata di situ seperti sedang menutup sesuatu.

Tiba-tiba kepala lelaki itu berputar ke belakang dan Maya sungguh terkejut apabila muka lelaki itu kini mengadapnya. Muka itu tampak pucat dan berdarah-darah. Maya terundur ke belakang bila lelaki itu tiba-tiba berjalan arahnya dengan belakang tersua. Sementara tubuh depan pula masih menghadap arah batu-bata. Lelaki itu ketawa berdekah-dekah dan bunyinya sungguh membingitkan telinga. Mata Maya terbuntang apabila melihat mulut lelaki itu terpokah dan seperti terkoyak hingga mencecah pangkal telinga.

“Bunuh dia!” Kedengaran satu suara bergemaung mengisi ruang tersebut. Maya yang terkejut terjatuh apabila kakinya tersadung sesuatu. Entah apa dan Maya cuba bangkit. Namun hasratnya terpangkas apabila lelaki gondok itu berjalan pantas arahnya dengan tawa masih berhamburan kuat. Mulutnya yang terbuka luas itu membuatkan Maya semakin takut. “Bunuh dia!” Suara nyaring yang seakan milik seorang wanita itu kedengaran lagi. Maya cepat-cepat mengengsot ke belakang. Dia panik dan jasadnya semakin lemas. Sementara sekujur tubuh kaku milik lelaki gondok itu terus saja membongkas ruang antara mereka menghalanya.

Tiba-tiba muka lelaki itu terhulur dekat mukanya dengan mulut terbuka luas. Giginya yang berceruak tajam jelas tersua di depan mata dengan lidah terjelir merah. Maya tersentak lantas menjerit sekuat hati sambil menutup muka dengan tangan. Suasana bertukar hening dan sunyi. Maya pula masih duduk menggeletar di situ dan hanya isakannya kedengaran bertemali. Gadis itu hanya mengalihkan jari-jemarinya sejurus kemudian. Dia terkejut dan terpinga-pinga apabila mendapati ruang tersebut terang-benderang seperti tiada apa yang berlaku.

Dalam keadaan bingung, Maya bangun dan memandang arah tadi. Tiada apa yang berlaku di situ. Dinding stor juga nampak biasa dan tiada apa yang bersusun di situ. Maya memandang persekitarannya sebelum mengangkut tubuhnya ke ruang tamu.

“Nyawa awak akan menjadi cagaran terhadap jawapan yang awak cari Maya!!” Maya tersentak. Matanya terbuntang dengan nafas bersiuran pantas. Lama dia termangu-mangu di situ sebelum mengengsot ke birai katil. Sambil meraup wajahnya, Maya beredar ke kamar mandi lalu membasuh muka. Buat seketika, dia hanya termenung di situ dengan pandangan terhala arah cermin muka. Dilihatnya mukanya kelihatan pucat. Bibirnya pula agak kering. Ada kesedihan, keterkilanan dan ketakutan mengisi ruang matanya.

“Zak...” sebutnya seolah mengharapkan kehadiran Zak di situ. Entah mengapa, dia amat perlukan Zak untuk meluahkan segala masalah dan ketakutannya. Namun sudah beberapa hari ini Zak tidak menjelanginya. Demikian juga Syah dan Zurhan. Kesemua lelaki itu seperti sengaja menyepikan diri. Seperti sengaja menjauhkan diri darinya. Dengan langkah lesu tidak bermaya, Maya bergegas keluar lalu duduk di birai katil. Tika ini ada keresahan bersimpuh dalam danau matanya. Rasa terkilan dan sesal turut menyelimuti sanubarinya.

“Huh!” keluhnya lantas mengherot bibir. Jauh di dasar hati berceruak kemarahan. Masakan tidak, gangguan tersebut bagaikan satu mimpi ngeri buatnya. Igauan buruk yang tidak pernah terduga dan terimpi olehnya. Entah ke manakah harus dicarinya ketenangan selepas dipersembahkan sedulang kata-kata berbau mistik. Sesungguhnya, terasa dunia menjadi gelita dan tiada lagi keindahan hari-harinya selepas menikmati bingkisan keramat tersebut. “Hmm...” Maya mengguman. Lirih dan parau.

Tunaknya berkelemban. menyoroti ceruk kamar tidur seolah meragui sesuatu. Agaknya dia bimbangkan kewujudan dan kehadiran lembaga berjubah dan lelaki gondok itu. Dia enggan dirinya dihantui lagi dengan bayangan-bayangan yang amat menakutkan. Entah mengapa dirasakannya rumah ini semacam dihuni oleh jasad-jasad yang tidak diketahui kedudukannya. Deringan telefon menyentakkannya.

Hanya pandangannya berkelana namun tidak jasadnya. Dia terus-terusan berada atas ranjang dengan gebar bergumpal atas peha. Duduk mengerekot di hujung katil dengan wajah dibebani segunung ketakutan. Sesekali dicengkamnya birai gebar sambil menariknya hingga menutupi paras dada.

“Apa fasal Maya ni? Telefon pun tak angkat?” keluhan Jiah bertaburan. Pandangannya menimpa Azhan dan Munira silih-berganti. Wajah mereka dipahat kewalangan terutama Azhan. Walaupun tidak meminati Maya namun Azhan tahu dia adalah lelaki impian Maya. Jiah dan Munira yang bagitaunya fasal isi hati Maya tersebut.

Munira mengetap bibir. “Agaknya dia ada masalah,” tekanya sekadar mengandaikan. Azhan dan Jiah tidak berkata apa-apa selain berpupuh mata. “Apa kata kalau kita pergi jenguk dia? Mungkin dia kurang sihat atau ada sesuatu yang telah berlaku,” lanjutnya sambil mengintai jam tangan. Jiah angguk-angguk tanda bersetuju.

Azhan pula tidak bereaksi. Dalam kotak fikirnya bergelimpangan persoalan yang tak mungkin akan terjawab. “Mungkin dia sibuk menulis,” curahnya sedikit berbisik. Baki minumannya diteguk hingga tak bersisa. Jiah dan Munira memandang mukaya serentak. “Mungkin juga dia ada masalah kat rumahnya. Kamu tak perasan ke dia tiba-tiba tidak menghadiri kelas bahasa Inggeris dan menghilangkan diri?”

“Tak tau.” Munira meningkah. “Cuba hantar mesej. Manalah tahu dia berhati juga nak replay,” suruhnya dan anggukan dari Jiah adalah satu kepastian. Hampir sesuku mereka menanti namun Maya masih senyap. Terpaksalah mereka bertiga memetik keputusan hendak menjenguk Maya besok. Tidak diketahui oleh mereka betapa gadis itu sedang tenat menanggung ketakutan waktu ini.

Sebagaimana sebelum ini, Maya tabahkan hati untuk berlegar dalam rumah Zak. Dia mesti beranikan diri untuk melakukan rutinnya seumpama makan, mandi dan melakukan sedikit kerja.

Selalunya, Maya akan menyudahkan semua jadual ini sewaktu siang masih membalut bumi. Sewaktu sinar mentari masih merangkul jasad langit dan mencurahkan cahayanya ke serata buana. Apapun, bunyi-bunyi misteri tersebut tetap menjenguknya walaupun matahari sedang menerik. Situasi ini berjaya menggugah ketenangannya namun dia tetap berusaha menepis segalanya. Dia cuba meyakinkan diri bahawa tiada apa akan terjadi selagi siang masih mendakap hari.

“Maaflah sebab tak sambut panggilan telefon. Aku sibuk sangat sekarang ni.” Demikian alasan Maya ketika menghubungi Jiah semula. Waktu ini, Jiah dan Munira sudah pun berada dalam apartment yang disewa oleh mereka. Munira cuma mengangkat kening kiri arahnya semacam bertanya siapa. Jiah segera menjelaskan tanpa suara. Dia dan Maya bersembang-sembang lagi dan memutuskan perbualan sejurus kemudian.

“Maya okey. Tak perlulah kita mengunjunginya besok.” Jiah bingkas lalu mengatur langkah ke dapur. Dia ingin membasahkan tekaknya dengan segelas air sejuk. Munira pula masih berbaring-baring atas sofa sambil membelek-belek majalah Wanita yang baru dibelinya pagi tadi. Sesuku kemudian, dia menerima panggilan telefon dari keluarganya. Tidak jauh dari situ, kelihatan Azhan dan Johan sedang memeriksa gasket head kereta. Entah apa saja yang tidak kena dengan gasket head kereta Johan.

“Mungkin masalah water pump,” kata Azhan selepas terintai asap yang mula berkepul ke udara. Johan cepat-cepat mematikan enjin kereta. “Hantarlah ke kedai servis,” sarannya. Ekor matanya masih meneliti arah tersebut. Sekumpulan anak gadis melintasi mereka berdua dan Johan sempat menoleh dengan harapan berpeluang menabur senyuman. Apapun, hanya kehampaan menukulnya apabila tiada seorang pun anak-anak gadis tersebut mencuatkan mata halanya. Mereka berborak lagi dan panggilan telefon dari Jiah menggentas perbualan tersebut.

“Eloklah macam tu. Sekurang-kurangnya kita tak juga risau dibuatnya.” Lega sungguh rasanya selepas mencicipi berita singkat tersebut. Johan hanya mengerling sambil menelinga. Perbualan tersebut berakhir beberapa saat kemudian. “Jiah.” Azhan menjelaskan.

“Lama tak nampak si pelik tu.” Johan baru perasan sesuatu. Tunaknya menghentak Azhan seakan menuntut kepastian.

“Maya ke?” Johan mengangguk. “Dia sibuk menulis agaknya. Faham-faham jelah,” kata Azhan menjelaskan.

“Terasa rindu pula kat si pelik tu. Ingatkan dia dah jadi sleeping beauty kat mahligainya. Sekurang-kurangnya berpeluang juga aku nak mencuba nasib. Manatau dia akan berubah jadi cantik selepas lafaz cintaku,” seloroh Johan lantas mencicirkan tawa sinis. Azhan kurang senang mendengarnya.

“Kalau memang benar macam tu. Aku pun tak akan lepaskan peluang untuk menawan hatinya.” Terimbau olehnya akan riak wajah Maya yang diselaputi misteri. Wajah yang penuh rahsia dan setahunya gadis itu seringkali berhalusinasi. “Adakala rindu juga nak bersembang dengannya. Dia tu pelik namun menarik. Apapun, semenjak akhir-akhir ini, Maya seperti berubah sikap. Dia nampak ganjil dan semakin pelik. Mungkin kerana masalah-masalah yang ditimbulkan oleh watak-watak dalam karyanya.” Hujung lidah Azhan berdecit semacam ada sesuatu yang merusuhkan hati dan merunsingkan perasaannya.

“Misalnya?” pinta Johan pula. Azhan tidak segera menuai sebendang kata melainkan memicit-micit dagunya dengan pandangan terhumban jauh. Dia sedang menarah benaknya ketika ini. Johan pula menanti dengan setia.

“Dia kelihatan misteri. Seolah ada sesuatu yang sedang disorokkannya dari pengetahuan kami semua.”

“Ya ke?” Johan tersenyum. “Kan dia seorang penulis berkaliber. Mesti semua tu kerana pengaruh penulisannya. Ataupun mungkin kerana karenah watak-wataknya seperti yang awak cakapkan tadi.”

Keluhan Azhan berdetasan. “Entahlah Jo. Agaknya.” Wajahnya masih ditakik persoalan. “Dah dekat dua bulan ni kami tak berjumpa dengannya. Call pun dia tak sambut. Mesej pun tak balas.”

“Mungkin dia sengaja agaknya. Alah, dia mahu bersunyi-sunyilah tu,” tuntasnya sengaja memangkas ayat Azhan. Azhan sekadar angkat bahu. Sesuku kemudian, pemuda itu beredar pergi setelah menerima panggilan telefon dari seseorang. Johan yang masih terhangak-hangak di situ cuba mendail nombor telefon milik Maya. Nombor telefon gadis itu disalinnya dari telefon bimbit Azhan. Dulu, puas dia merayu pada Azhan supaya memberikan nombor telefon Maya. Tapi Azhan enggan bahkan bertegas pula dengannya.

Dia terpaksa akur walau dadanya amat sakit ditunjal kehampaan. “Huh. Memang benarlah gadis tu bersikap ganjil,” bisiknya selepas puas mencuba. Johan hanya menandu langkah hala bangunan apartmentnya selepas terintai senja yang kini menikari hari.


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.