Maya
berhenti sekejap. Dia berasa lenguh pula setelah sekerat hari ini
terketuk-ketuk papan kekunci. Sambil menyandarkan belakang, Maya meliarkan
pandangan. Dia berasa selesa dan tenang sungguh selepas berpindah ke rumah ini.
Namun begitu dia berasa hairan dan terkilan kerana Zurhan, Zak dan Kazumi
tiba-tiba menyepikan diri. Tiada kunjungan dari Zurhan dan Zak sebagaimana
sebelum ini. Bahkan tiada juga panggilan telefon mahupun mesej dari Kazumi.
Remaja lelaki yang baru dikenalinya itu. Remaja yang tampak matang dan dewasa.
Situasi ini membuatkan Maya disergah persoalan yang tak
akan mungkin terjawab. Sesekali, terlintas dalam benak Maya mengenai kewujudan
Zurhan. Adakala dia berasakan kehadiran Zurhan terlalu misteri. Seperti ada
yang tidak kena. ‘Siapa Zurhan
sebenarnya?’ detik hatinya berteka-teki. “Ya, siapakah Zurhan yang sebenarnya?”
utusnya dalam nada yang amat perlahan. Keningnya bertaut satu. Pensil yang
tersadai dekat jarinya diambil lalu dilakarnya nama Zurhan berulang-kali.
Tunaknya kemudian menerjah karangan yang menghiasi skrin komputer.
“Atau pertemuanku dengan Zurhan sudah diwakili oleh
karangan tadi?” Dalam diam, Maya berasakan apa yang ditulisnya sebentar tadi
seperti benar-benar berlaku. Dia seperti baru juga berulit mata dan bersembang
dengan Zurhan. Hinggakan debaran yang bergurindam dalam dadanya masih terasa
berdegup pantas.
“Pening
kepala ke?” sapa satu suara diikuti tawa-tawa kecil. Maya terkejut lantas
menoleh. Entah mengapa, dia berasa rindu pula pada pemilik suara itu. Dia rindu
hendak berbahas dan bertekak.
“Lama tak dengar suara awak.” Maya bangkit. Dia hendak membancuh
semug minuman.
“Napa rindu ke?” Zak terkekeh. Sejurus kedengaran
derap-derap kakinya menghala ke meja komputer. “Seronok tak tinggal kat sini?
Nasib baik awak seret watak aku kat tempat ni. Kalau tak, pertemuan dulu pasti
akan menjadi saat-saat terakhir...”
“Ya ke?” Maya berfikir-fikir sejenak.
“Aku nak tanya, watak Maya dalam manuskrip tu adalah klon
awak kan? Maksud aku, peribadi dan perwatakan heroin tu hampir 99% sama dengan
yang asli. Betul tak?” Maya terkejut apabila suara itu hanya kedengaran di
sebelahnya sahaja. Entah sejak bila Zak mudik arahnya. Tiada apa yang terpacul
dari mulut Maya selain seambung keluhan. “Sebenarnya, aku lebih berminat dengan
yang asal. Aku suka pada apa yang ada dalam diri Maya sekarang ni. Selain
bersikap pelik dan keunikan Maya sebagai seorang penulis novel cinta popular,
Maya juga seorang gadis yang menarik sebenarnya.”
Keluhan Maya berdetasan kasar. “Awak sedang sindir aku ke
ni?” Bibirnya tercebik. “Cantik tak rumah ni?” Sengaja Maya bertanya. Dia mahu
menguji sejauh mana ingatan Zak terhadap rumah barunya ini.
“Bolehlah. Tapi aku macam pernah datang ke sini sebelum
ini.”
Maya tergelak mendengarnya. “Memanglah pernah sebab ini
rumah awak. Cuba awak ingat betul-betul Zak.” Dia beredar ke meja komputer
sambil memegang mug.
“Ya ke? Tapi macam mana awak boleh berada di sini Maya?”
sua Zak ingin tahu. Dalam diam, dia cuba untuk menajamkan kembali ingatannya.
Apapun, tempurung kepalanya terasa sakit pula.
“Melalui Rezza Haqiem Aqasyah.”
“Siapa Rezza tu? Aku kenal dia ke?”
“Apa pula tak kenal. Dia kan kawan rapat awak. Dialah
yang sarankan supaya aku tinggal kat rumah ni buat sementara waktu. Mungkin aku
terlupa beritahu awak bahawa Syah yang aku ceritakan dulu tu sebenarnya adalah
Rezza Haqiem Aqasyah.” Senyum Maya tersimpul di bibir.
“Oh dia ke?”
“Kerana ingin menelusuri kehidupan awaklah aku memberikan
persetujuan dan terus saja berpindah ke sini. Tujuan aku ialah nak pulihkan
ingatan awak semula Zak. Awak kan selalu datang berjumpa dengan aku dan
membincangkan masalah awak. Maka kerana situasi itulah aku menerima cadangan
Syah. Sekurang-kurangnya suasana dan barang-barang dalam rumah ini dapat
menyumbang sedikit ingatan buat awak. Aku nak awak pulih Zak.”
Zak terkedu dan berasa terharu tatkala mendengarnya.
“Terima kasihlah Maya. Aku amat menghargai usaha-usaha awak untuk mengembalikan
aku ke dunia asal. Aku berjanji akan mencari awak selepas cerita ini
ternoktah.”
“Cerita ini pasti akan ternoktah. Tapi tengoklah, cerita
ini semacam tiada kesudahan dan penghujungnya.”
“Maksud awak?”
“Mungkin awak akan pulih Zak. Tetapi tidak dengan
jiwa-jiwa yang lain. Lagi satu awak bukan salah seorang dari jiwa yang hilang
itu. Aku, Kazumi dan Syah dah meneliti hampir separuh dari cerita ini tetapi
nampaknya kami masih terkurung dalam takuk cerita yang sama. Persoalannya
sekarang ialah ke mana perginya 2 jiwa sebagaimana yang didakwa oleh Zurhan.”
“Mungkin Zurhan sengaja mereka-reka cerita.”
Maya menggelengkan kepala. “Tak. Zurhan tak sengaja
mewujudkan cerita. Memang benar dan masuk akal apa yang didakwanya itu. Syah
sendiri tertanya-tanya ke mana perginya penghuni kereta yang menculik awak? Dan
penghuni kereta pertama? Mereka semua hilang Zak. Sehingga kini kes dan misteri
nahas tu masih dalam siasatan. Pihak polis terutamanya keluarga Zak tidak
berpuas hati terhadap kesudahan nahas tu. Apatah lagi sekarang ini Zak masih
terlantar koma dan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala. Menurut Syah,
awak semakin lemah sekarang dan tidak menunjukkan sebarang petanda untuk pulih
semula.”
Zak menghembus nafas. “Aku tahu,” katanya lesu. Mereka
berdua membatu sejenak.
“Walau apapun, awak kena bersabar dan tabah menghadapi
semua ni. Awak juga kena kuatkan semangat dan berusaha untuk bangkit semula.
Usah mengalah kepada takdir kerana awak belum tewas Zak. Awak belum kalah dalam
perjuangan awak. Awak harus meneruskan perjalanan takdir ini kerana hayat dan
hidup ini masih menjadi milik awak. Awak kena percaya dan meyakini diri sendiri
bahawa awak mampu melakukannya.”
“Sebab itulah aku perlukan pertolonganmu Maya. Tolong
bongkarkan semua kejadian untuk memulihkan ingatanku. Aku perlukan sederetan
memori untuk menyegarkan semula semua kenangan.”
“Aku sedang berusahalah ni Zak.” Nafasnya dihembus. Dia
terkejut pabila terasa jari-jemarinya digenggam seseorang.
“Terima kasihlah Maya kerana banyak membantuku. Aku amat
terhutang budi dan percayalah, aku akan cari awak juga suatu detik nanti.”
“Aku tak memerlukan balasan. Aku melakukan semua ni bukan
kerana terpaksa atau terdesak lantaran mahu membebaskanmu dari dibelenggu karma
ini. Tetapi kerana mahu menyelesaikan apa yang telah aku mulakan.” Maya menarik
perlahan tangannya. Kata-kata Zurhan kembali terngiang dalam balang telinganya.
“Kau cakaplah apa-apa Maya. Aku tetap akan menjejakmu
untuk mengubah takdirmu. Sebenarnya aku semakin tertarik padamu Maya.”
“Dahlah Zak. Jangan bercanda lagi. Gurauan awak tu tak
lucu tau. Sakit hati aku dengar semua tu.”
“Maya....”
“Bagaimana dengan karangan aku ni? Okey tak?” Sengaja
Maya mengalihkan isi perbualan. Zak tidak segera bersuara. Agaknya pemuda itu
sedang meneliti karangan Maya.
“Maya, karangan ini bagaikan satu jawapan. Kata-kata
watak Zurhan tu semuanya masuk akal. Dia...”
“Awak jangan main-main.” Maya tiba-tiba berasa seram
pula. Bulu tengkuknya spontan mencuar.
“Betul Maya. Nukilan ini bagaikan kunci sebenar terhadap
semua kejadian. Maya adalah perintis dan... dan Maya akan mendapat jawapannya
seandai ada gabungan maklumat di antara kami semua,” kata Zak membaca karangan
tersebut. Benaknya dipugar.
“Tapi Zurhan dan Syah tu belum mati Zak.” Maya menekan
suara. “Nukilan ni sekadar karya. Sedikit dari cerita yang memenuhi setiap
perenggan tidak bermakna betul. Ataupun tidak bermakna benar-benar terjadi. Ia
hanyalah sekadar buah fikiran yang terhasil dari daya imaginasiku.”
“Bagi aku apa yang awak tulis ni adalah benar belaka.”
Keluhan
Maya berhamburan. Baru sebentar tadi dia menerima panggilan dari Stamford
College. Tenaga pengajar yang mengendalikan kelas berbayar tersebut menyuruhnya
datang untuk menyudahkan jadual kelas. “Hmm...” Gadis itu mengguman kasar. Dia
masih duduk di situ sambil menggodek balang fikir. Tika ini dia sedang
menimbang-tara beberapa keputusan yang bakal diambilnya. “Harap-harap Syah,”
bisiknya apabila telefon bimbitnya berdering sekali lagi. “Syah ke?”
“Tak. Kazumi.”
“Kazumi?” Maya semacam tidak percaya. “Kazumi, awak ke
mana selama ini? Puas akak tunggu panggilan telefon dari awak tau. Kalau ada
apa-apa hantarlah mesej kat akak,” bebel Maya pula. Kazumi ketawa perlahan.
“Kazumi tak dapat keluar kak. Kazumi jatuh sakit selepas
menelefon akak hari tu. Mungkin Kazumi tak dapat berjumpa dengan akak lagi.”
“Aik. kenapa pula macam tu? Kazumi ada masalah ke?” Hati
Maya meruntun. Ada persoalan berlegar dalam benua kepalanya.
“Masalah kecil je. Oh ya, Kazumi dah kirimkan gambar
abang Zakrul Hakimi dan sedikit maklumat mengenainya serta dua orang mangsa.
Kazumi harap kiriman tu dah sampai. Mungkin ini kali terakhir Kazumi berhubung
dengan akak.” Suara itu kedengaran sedih.
Maya terkilan. “Kazumi, mengapa macam ni? Kakak ada buat
salah ataupun terkasar bahasa ke hingga Kazumi tak nak jumpa akak lagi?”
“Bukan macam tu kak. Kakak janganlah fikirkan yang
bukan-bukan. Malah Kazumi dan kekasih Kazumi bersyukur kerana berpeluang
mengenali akak walaupun dalam tempoh yang singkat. Kami berdua amat
mengharapkan keberhasilan akak membongkar misteri nahas tersebut. Kazumi juga
amat berharap agar akak dapat menjejak 2 orang mangsa yang hilang itu. Kazumi
percaya, misteri dan kekeliruan ini akan terjawab setelah penemuan kedua
mereka. Kakak berusahalah ya. Jangan berputus asa kerana kami semua mengharapkan
kejayaan akak.” Talian tiba-tiba terputus.
“Kazumi? Helo Kazumi!” Sunyi dan hanya satu bunyi seolah
angin sedang bersiuran kedengaran. “Apa fasal pula Kazumi ni?” Diintainya skrin
telefon bimbit. Hanya perkataan No Number terpapar di situ. “Takkan tiada
nombor pula. Kan tadi ada nombor dengan nama Kazumi sekali. Lawak betullah.”
Kerana tidak berpuas hatilah Maya membuka ruangan received calls. Tiada apa yang tertera di situ seolah-olah Maya
tidak pernah menerima dan menjawab panggilan telefon sebentar tadi.
“Engkau telefon biar betul. Aku hempuk kau karang sampai
hancur berkecai. Don’t play-play ar,”
marahnya lantaran tidak berpuas hati. Dia kemudiannya mencari di ruangan senarai
nombor telefon. “Kazumi, Kazumi,” katanya berulang-kali sambil mencari nama
tersebut dalam laman kenalan. Kegagalan tersebut membuatkan Maya berasa
tertekan. Kerana mahu menenangkan perasaanlah Maya beredar ke luar rumah.
Berlegar-legar di situ sambil menikmati suasana di pekarangan. Dia hanya masuk
semula selepas sejam berlalu. “Pelik betullah.” Sekilas, wajah Kazumi menerjah
dalam ruang fikirnya.
Sambil meramas rambutnya yang sedikit kusut, Maya beredar
ke dalam bilik. Dia kemudiannya menandu langkah ke kamar mandi selepas
mengambil pakaian persalinan. Masa beredar pantas. Maya kini berdepan dengan
monitor komputer dan sedang rancak mengetuk papan kekunci.