“Mesti kamu berdua lapar. Jom! Makan kat luar. Tapi
nantilah selepas kita habiskan kacang goreng ni dulu.”
“Okey.” Sebiji kacang diambilnya lalu dikunyah perlahan.
Dipandanginya Munira yang tiba-tiba bingkas lalu menapak ke birai tingkap. Lama
gadis itu tercegat di situ sebelum akhirnya terintai-intai. Dia dan Maya pula
sedang leka menganyam perbualan. “Err, kenapa dengan awak ni Munira? Tiba-tiba
je terbongkok-bongkok macam tu. Ada sesuatu kat luar ke?” Tak tertahan Jiah
bertanya. Maya turut menoleh.
“Tak ada apa-apa. Aku cuma hairan tengok lelaki tu. Pelik
sangat. Dia tidak memakai apa-apa selain seluar jeans hitam.” Maya tersentak tatkala
mendengar ayat tersebut. Sedar-sedar saja dia sudah pun tercancang tegang di
sebelah Munira. Sementara Jiah pula cepat-cepat menutup daun pintu lalu
menguncinya. Entah apa benar yang difikirkannya hingga terus saja bertindak.
“Tak ada pun. Mana dia lelaki yang Ira cakapkan tu?” Maya
tertanya-tanya. Bingkai cermin matanya yang tersenget sedikit dirapikan. Air
mukanya semacam menagih kepastian.
“Tu! Lelaki kacak tu!” Munira tersenyum-senyum. Tadi dia
hanya berseloroh. Tak sangka pula gurauannya berjaya menyerpihkan ketenangan
Maya dan Jiah.
“Apalah Ira ni. Buat orang terkejut beruk je.” Jiah
berpatah semula ke tempat duduk. Maya pula masih terkilan. Dia tidak bereaksi
melainkan memandang lelaki yang dimaksudkan oleh Munira. Lelaki itu pula sedang
menjenguk pekarangan rumahnya. Seolah ada sesuatu milik lelaki itu tercicir di
sana. Keluhan Maya berterbangan. Keras sungguh sewaktu tertumpah ke lohong
telinga Jiah dan Munira. Tanpa berfikir panjang, Maya melingas keluar. Jiah dan
Munira berkelebat mata lantas meningkahnya.
“Heh!
Awak! Apa yang awak cari kat sini hah?!” sergah Maya semacam marah. Lelaki itu
tergesa-gesa menjauhi pagar rumahnya. Air mukanya seperti serba-salah. “Apa
yang awak cari hah?!” ulang Maya kasar. Pandangannya terhunus tajam. Sikapnya meresahkan
Munira dan Jiah. Namun mereka berdua tidak melakukan apa-apa selain terkebil-kebil
menonton sketsa yang sedang berlangsung.
“Hmm... ada seorang lelaki memanjat pagar rumah cik tadi
lalu menyelinap masuk. Pelik. Lelaki bertubuh tegap dan rendah itu hilang
selepas memijak pekarangan.” Ternyata penjelasan tersebut berjaya meragut
ketenangan Maya. Tanpa kata, disorotinya laman rumah dengan wajah curiga. Bahkan
ekor matanya sempat menjilat muka Jiah dan Munira. “Sebenarnya ada sesuatu yang
tak kena kat tempat ni. Cik berhati-hatilah. Kalau ada apa-apa, jangan segan
panggil abang. Abang cuma duduk kat seberang tu je.”
Jari telunjuknya ditudingkan dan mereka bertiga memandang
serentak namun tidak melihat apa-apa selain hutan nipis. “Berhati-hati sebab lelaki
tadi kelihatan bengis dan seperti berniat jahat.” Dia kemudiannya beredar pergi
selepas mendedahkan perkara tersebut. Maya tidak berkata apa-apa. Terlalu
banyak kebetulan yang telah berlaku hari ini. Dia medapatkan Jiah dan Munira.
“Jom masuk,” ajaknya.
“Siapa lelaki tu?” Muka lelaki tadi masih melekat dalam
ingatannya. Maya angkat bahu tanda tidak tahu. Dia sebenarnya sedang galau
memikirkan lelaki yang dimaksudkan oleh pemuda tadi. Dia bimbangkan keselamatan
mereka bertiga. Maya segera menjelaskan isi perbualannya dengan lelaki
tersebut. “Baik aku tutup pintu dulu. Risau pula sekiranya lelaki itu bercakap
benar,” kata Jiah lalu mengangkut punggung.
“Eloklah tu Jiah.” Keresahan jelas terlukis pada kanvas
wajah Munira. “Kenapa kita bertiga tak perasan pula kalau memang betul seorang
lelaki telah menceroboh masuk? Walhal dah sejam lebih kita bertiga terconggok
dalam ruang tamu. Yang peliknya, macam mana lelaki tu boleh lesap kat
pekarangan? Lokasi tu pun bukannya ada tempat nak menyorok.” Munira merapikan
duduknya lantaran berasa tidak selesa.
“Agaknya lelaki tadi tu saja buat-buat cerita. Sengaja
nak menakut-nakutkan kita. Apasal erk? Rumah tempat tinggal Maya ni terpinggir
dari rumah-rumah lain? Semuanya dibina berderetan dan mengikut urutan. Hanya
rumah ni saja kelihatan terasing dan terpulau.” Jiah mula menyedari sesuatu.
“Pelik. Kenapa Maya tak tinggal saja dengan ahli keluarga. Lagi senang.”
Munira ketawa kecil. “Macamlah tuan rumah tu tahu-tahu je
bidang Maya.” Maya tidak bereaksi. Dia sendiri baru menyedari situasi yang
membekam rumah dua tingkat bersenibina banglo ini.
“Aku serius Maya, ada sesuatu yang tak kena dengan rumah
ni. Maya pun nampak tak sihat selepas mendiami rumah ni.”
“Entahlah Jiah. Aku sendiri pun tak faham keadaan aku.
Yang aku tahu, aku okey je sekarang ni.” Ternyata Maya masih menafikan hal
sebenar. Jiah melucutkan keluhan lantas memandang Munira. Munira buat-buat tak
tahu.
“Okeylah. Nanti temankan kami balik. Kami nak ambil sedikit
pakaian.” Maya dibidik hairan lantas menyua senyiru pertanyaan. “Kami sengaja
tak bawa. Manalah tahu Maya tak izinkan kami menumpang tidur kat rumah ni.
Buang masa dan tenaga saja kan?” soal Jiah lantas beredar ke dapur. Dia
terkejut pabila melihat suasana di luar yang hitam membukat. Tiada apa bergelimpangan
selain maya yang tampak berbalam-balam. Dari celahan gelita, kelihatan sepasang
mata terkebil-kebil arahnya. Berwarna merah saga semacam milik seekor kucing.
Tapi entahlah... Jiah pun tak pasti.
“Jiah!” panggil Maya. Dia mahu menunjukkan kamar tidur
gadis tersebut. Keheningan Jiah mendorongnya menyusul ke dapur. “Heh! Kenapa
dengan awak ni?” sergahnya lantas menepuk bahu Jiah. Jiah tersentak lalu
menoleh arahnya. Wajah gadis itu nampak pucat. Maya diketuk hairan. “Kenapa?
Ada yang tak kena ke?” suanya sambil membuang pandang hala luar. Cerah dan
tiada apa-apa yang berhamburan di sana sebagaimana yang telah disaksikannya
tadi.
“Agaknya tapak rumah sewa Maya ni tak elok. Kawasan
keras.” Gadis itu cepat-cepat beredar ke ruang tamu. Maya menggigit bibir. Bulu
tengkuknya meremang. Sejenak, teringat olehnya kejadian-kejadian pelik yang
semakin kerap berlaku semenjak dia menduduki rumah ini. Bahkan segugus ayat
yang dicicirkan oleh satu suara yang seakan milik wanita berjubah itu turut
menendang benaknya. Ayat tersebut terlalu misteri dan mengandung seribu makna.
Entah bila dapat ditelusinya untuk menjejak senaskah jawapan. Semua ini amat
mencelarukannya.
Maya menoleh pantas pabila berasakan ada sesuatu
melintasinya. Bahkan sempat dirasanya angin yang terhasil. Sejuk sungguh tika
merangkul jasad. “Semua ni mesti dinoktahkan,” bisiknya menggentas kata. Dengan
langkah perlahan, dihampirinya Jiah yang kini tersadai atas sofa. Gadis itu kelihatan
rusuh dan resah. “Maaflah fasal tadi.” Punggungnya dihenyak. Dia sudah terlupa
niat asalnya hendak menunjukkan bilik tidur Jiah. Jiah sekadar menghela nafas.
Benaknya kini ditambuni pelbagai persoalan.
Wajah
Azhan berubah ceria selepas terintai batang tubuh Maya. Segera dihampirinya
gadis itu untuk bertukar cerita. Maya mengirai senyuman. Bantal empat segi yang
dipeluknya dialihkan atas riba. “Sihat Azhan?” sapanya sebagai memukadimahkan
perbualan. Azhan mengangguk dengan senyuman masih terhampar di bibir. Ekor
matanya tak lekang dari menyoroti wajah Maya. “Janganlah pandang aku macam tu.
Tak senonoh tau.” Maya kurang selesa. Mulutnya dicebikkan.
“Rindulah kat Maya,” luah Azhan pula bergurau.
“Semua orang pun rindukan Maya!” sampuk Munira.
“Kawan-kawan kat kedai pun rindukan dia.” Beg kertas berisi pakaian diletakkan
atas sofa. Gadis itu kemudiannya beredar ke dapur untuk membancuh sejug minuman
sejuk.
“Tapi tak adalah yang jadi angau macam aku ni.” Azhan
meningkah. Pandangannya dialihkan pabila angin tiba-tiba berhembus kasar.
Bahang panas jelas terasa mencelur kulit ari-arinya. Apapun, ia hanya berlaku
seketika. Munira terpekik apabila seekor kucing meloncat pantas arah mukanya.
Azhan dan Maya terperanjat lantas bergegas ke dapur. Jiah menyusul kemudian.
“Kenapa?”
“Kucing.” Hanya sepatah kata terloncat dari mulut Munira.
“Kucing?” ulang Azhan lalu melilaukan mata. Berusaha
menjejak binatang jinak tersebut. Maya dan Jiah turut meliarkan pandangan.
“Kucing ini ke?” Zurhan tersenyum sinis seraya menapak arah kucing berbulu
belang-belang yang terconggok dekat bendul pintu. Direngkuhnya lalu dibawa
dekat dengan Maya. Jiah menggelengkan kepala. Dia berpatah ke biliknya semula.
Jeritan Munira tadi amat memeranjatkannya.
Munira mengherot bibir. “Bukan kucing itulah! Kucing tadi
berwarna hitam dan saiz badannya besar.” Gadis itu menjelaskan sambil meraba
mukanya. Terdapat dua kesan cakaran. Walaupun ia tak seteruk mana namun
cukuplah untuk membuatkan Munira berasa pedih. Zurhan mentertawakannya.
Sementara Maya pula segera menggigit hujung jari. Sekilas teringat olehnya
Toyol yang tengah uzur. Rasanya sudah lama dia tidak melihat Toyol iaitu sedari
meninggakan rumah sewa lamanya.
“Agaknya awak bermimpi.” Lelaki itu mengajak Maya
meninggalkan dapur. Maya ragu-ragu. Pandangannya masih menghentak Munira.
“Jom!” ajak Azhan seakan mendesak. Tanpa sebiji kata, Maya meningkah Azhan
sambil merapikan bingkai cermin matanya. “Kucing belang-belang ni pun dikatanya
kucing hitam. Agaknya budak gempal tu dah sasau.” Dia ketawa kecil lagi sambil
mengelus perlahan kucing yang tersadai atas ribanya itu.
“Kucing hitam melambangkan kejahatan.”
Azhan terkejut lantas mengalihkan pandangan. Sinar
matanya menjelaskan isi fikirannya. “Kenapa Maya cakap macam tu?” Dilihatnya
gadis itu walang sungguh. “Maya okey ke?” Dilihatnya ada sesuatu yang tidak
kena dengan Maya. Maya memanggung muka lantas berkata tiada apa-apa. Azhan
tergelak lirih. “Usah ikutkan perasaan dan emosi. Semua tu kepercayaan tahyul
dan tidak benar. Hmm... ada perkembangan ke cerita yang Maya sedang tulis
sekarang ni?” Azhan mengalihkan cerita.
Maya tidak berkata apa-apa. Hanya gelengannya diberikan.
Sejurus Jiah beredar keluar dari bilik sambil membopong sebuntil plastik besar.
Dia terus saja menuju ke luar dan mahu membuang sampah tersebut. Pada masa yang
sama, Munira keluar dengan menatang sebuah dulang berisi sejug oren dan beberapa
biji gelas. Gadis itu nampak masam sewaktu pandangan Azhan mengilir mukanya.
“Uish! Takkan marah sangat,” usik Azhan.
“Aku tak marahlah. Tapi perangai awak tu buat aku tensen.
Mata aku ni belum bilar lagi tau tak? Memang jelas kucing yang menyerang aku
tadi tu berwarna hitam dan bukan si Belang ni,” katanya kasar. Keluhannya
bersepah kemudian. “Jemput minum Maya,” pelawanya sesudah menuang air kesemua
gelas-gelas tersebut. Maya mengangguk perlahan. Bayangan Toyol mengisi ruang
legar benaknya. Dalam hati dia tertanya-tanya ke mana perginya Toyol.
“Agaknya memang betul apa yang Ira cakap tu,” sampuk
Jiah. “Terlalu banyak keganjilan sekarang ni.” Dikerlingnya Maya seakan
menyindir gadis tersebut. Maya merebahkan wajah. Dia tahu Jiah bermaksudkan
dirinya. Selesai menutup pintu, Jiah menyertai mereka semua. “Serasanya kita
sudah terpalit keganjilan tersebut. Jelasnya, kita sudah terlibat sama. Pelik,
masih ada yang tidak mengaku betapa dunia ini terlalu ganjil sekarang,”
perlinya sengaja mahu menyedarkan Maya.
“Siapa yang Jiah maksudkan? Aku ke?” Tak tertahan Maya
bersuara. Dia paling tak suka disindir dan diperli seenaknya. Azhan dan Munira
mula bimbang.
Jiah tergelak sinis. “Kenapa? Kata-kata tadi tak cukup
lagi ke untuk membuatkan Maya berasa bersalah? Tau tak? Kami bermati-matian
bimbangkan Maya. Bila ditanya... Maya menafikan pula. Kenapa? Selama ini Maya
tak menganggap kami ni kawan baik Maya ke? Hingga tiada sekuman pun kepercayaan
dan keyakinan Maya terhadap kami.”
“Dahlah tu Jiah,” pangkas Azhan pabila terintai air muka
Maya. Risau pula jika gadis itu ambil hati. Maya tidak membidas kata-kata tadi
selain melucutkan sebilah keluhan.
“Belum sampai masanya lagi. Aku nak kamu sendiri terjebak
dan mencari jawapannya.”
“Maksudmu?” Munira memandang curiga.
Maya tidak segera bersuara melainkan bertele-tele dengan
mencecap minumannya. “Semua ni sukar untuk dijelaskan. Lagi pun aku sendiri tak
pasti samada ia realiti atau sekadar imaginasi. Cuma yang pastinya... ia bagaikan
igauan ngeri dan mimpi buruk buatku. Tapi rasanya kamu berdua dah pun tahu
keadaanku sebelum ini. Bahkan beria-ia menuduhku berhalusinasi.” Helaan
nafasnya menyusul. Azhan, Jiah dan Munira sekadar bertaut pandang. Mereka
bertiga tidak menyuakan apa-apa selain menantikan saki-baki ayat tadi.
“Aku tak nak kamu terlibat kerana campur tangan kamu semua
hanya merumitkan keadaan.” lanjut Maya.
“Apa fasal pula?” Munira mencelah. Tiada siapa memandang
arahnya kecuali Maya. Maya tidak menyepuh ayat tadi selain berkata hanya itu.
Jiah dan Azhan mengeluh serentak. “Tapi kami ingatkan semua imaginasi serta
khayalanmu sebelum ini telah tertinggal di rumah sewa lama. Tak sangka pula ia mengekorimu
ke rumah sewa baru.”
“Aku tak akan paksa Maya untuk menuturkan semuanya.
Apapun, aku juga tak akan menolak jika Maya mahu berkongsikan masalah
tersebut,” sampuk Azhan.
“Seeloknya kita kongsi dan bincangkan masalah ini
seawalnya. Lebih-lebih lagi jika masalah ini membabitkan kita semua. Aku tak
mahu ada sesuatu yang buruk berlaku sedangkan masalah ni belum terkupas.” Jiah
mencelah. Minuman yang tersedia untuknya diteguk rakus. “Maya, sebenarnya kami
dah pun terlibat kerana kami adalah kawan-kawan awak.”
Maya tidak berkata apa-apa. Lagi pun memang benar apa yang
Jiah sangkakan. Mereka berempat berbual-bual lagi dan hanya beredar dari situ
setengah jam kemudian. Johan dan Ferdy yang sedang berborak-borak di tempat
meletak kereta berpaling arah mereka. Senyum Johan melebar setelah mata menyapa
wajah hodoh milik Maya. Segera diajaknya Ferdy menghampiri mereka berempat.
Ferdy tidak menolak. Maka berlakulah perkenalan singkat antaranya dengan mereka
semua.