Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
138,815
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 23

HARI minggu. Pagi-pagi dah riuh dengan segala bunyi yang datang dari luar rumah sewa aku di kampung ini. Lepas Subuh tadi, aku dengar ada bunyi macam orang berkawad. Siap bersuara dengan penuh semangat!

Yang aku hairan, semuanya suara orang perempuan. Aku mengeluh berat. Cubaan untuk menyambung tidur selepas Subuh tidak berjaya. Memang sebenarnya tak elok pun! Kata abah, nanti susah rezeki nak masuk.

Dengan perasaan malas, aku mencapai tuala yang terletak elok di penyidai di tepi dinding lalu keluar menuju ke tangga rumah. Semenjak hampir tergelincir tempoh hari, aku terpaksa menuruni anak tangga itu satu per satu.

Tiada sesiapa di dapur. Mungkin mereka semua ke pasar pagi seperti selalu. Usai mandi, aku menuju pula ke tangga hadapan rumah. Bunyi bising di sana sini masih kedengaran. HisY, ada apa pula kat kampung ni?

“Assalamualaikum!”

Aku menoleh ke arah bunyi suara tersebut. Hah! Dah balik pun mereka semua.

“Pergi pasar ke?” Aku menyoal sambil mengambil sebuah bungkusan daripada tangan Mak Cik Nor.

“Pergi kedai belakang ni saja. Pagi tadi ada mesyuarat kampung dekat dewan,” kata Mak Cik Nor.

Aik? Kat kampung pun siap ada mesyuarat? Aku ingatkan persatuan-persatuan saja yang suka bermesyuarat ni. Hebat! Aku hanya diam tanpa membalas. Adila dan Ima pula muncul di tangga rumah tidak sampai beberapa minit selepas itu.

“Ha, ni dari mana pula? Berpeluh-peluh sungguh akak tengok?” Aku memandang bulat ke arah kedua-dua anak muda yang nampak termengah-mengah.

“Ha... penat! Ya ALLAH, penatnya!” Adila mencekak pinggangnya manakala Ima yang sudah terduduk di tangga rumah mengelap dahinya dengan tuala kecil yang sejak tadi disangkut di leher.

“Itulah kau... nak sangat aerobik pagi-pagi! Dahlah tak pernah bersenam!” Ima berkata sambil ketawa kecil.

“Huh? Aerobik?”

“Iya kak. Dia orang dah mulakan aktiviti baru dalam kampung ni. Setiap minggu, waktu pagi ada senamrobik kat depan dewan. Sebelum tu sesi jogging keliling kampung.” Adila bersuara sambil meniti anak tangga untuk naik ke dalam rumah.

“Patutlah dari pagi dah riuh! Amboi, rajinnya. Ramai ke yang datang?” Aku mengheret bungkusan plastik tadi sehingga ke dapur.

Beratnya! Kata Mak Cik Nor, dia beli daging kambing pagi ni sebab Adila teringin nak makan kurma kambing. Musykil pula aku. Dalam plastik ni, daging kambing ke atau ada seekor kambing. Beratnya lain macam.

Mujurlah sekarang dah reti pakai kain batik. Kalau dulu, aku rasa waktu ini adalah saat-saat genting kain aku akan londeh dek kerana tak reti nak ikatnya dengan kemas. Syukur, duduk di kawasan kampung membuatkan aku kembali belajar menjadi anak gadis sejati. Cis, perasan!

“Tak adalah ramai sangat sebab tak semua orang yang tahu. Jomlah kak! Minggu depan kita pergi, nak?” Adila bertanya seraya tersengih memandang ke arah aku.

Pergi bersenam? Rasa nak pengsan mendengarnya! Nak suruh aku walkathon dari rumah ke jalan besar depan kampung tu pun memerlukan aku untuk berfikir selama lima jam, inikan pula bersenam? Menangis agaknya mama dengar anaknya dah reti pakai seluar tracksuit!

“Insya-ALLAH. Kalau rajin.” Aku ketawa besar, cuba memberikan petanda yang sememangnya aku tak teringin mahu pergi.

Adila hanya tergelak kecil. Dia segera ke dalam biliknya yang dikongsi bersama Ima. Aku pula terus menuruni dapur dan meletakkan plastik yang aku bawa tadi di atas meja.

“Hari ni tak keluar ke Hani?” Mak Cik Nor bertanya.

Jari-jemarinya ligat membasuh ikan di sinki. Dari jauh, nampak macam ikan keli. Bila aku pandang kali kedua, macam rupa ikan sembilang pula.

“Belum tahu. Cadangnya nak pergi jumpa abang.” Aku terdiam seketika selepas teringatkan abang. Macam mana ya aku nak bantu?

“Oh, nanti kirim salam padanya, ya?”

Aku mengangguk kecil sebelum menarik bungkusan bawang putih untuk diletakkan di dalam raga. Dalam fikiran, penuh dengan pelbagai persoalan untuk mencari jalan penyelesaian buat Abang Shazlan.

“Mak cik, Hani nak tanya pendapat sikit, boleh?” Aku menarik kerusi makan lalu duduk.

“Apa dia?” kata Mak Cik Nor sambil terus fokus dengan kerja menyiang ikan.

“Apa pendapat mak cik tentang hubungan yang ditentang keluarga?”

Mak Cik Nor tiba-tiba berhenti menyiang ikan lalu menoleh ke arah aku dengan kerutan di dahi. Alamak, aku salah cakap ke? Kenapa nampak macam raut wajahnya menggambarkan kesedihan?

Aku membiarkan Mak Cik Nor kembali menyambung kerjanya. Mungkin dia perlukan sedikit masa untuk menjawab.

“Kenapa? Perhubungan kamu dan Nazmi ditentang?”

“Eh, tak! Bukan Hani... hmm, ada kawan Hani seorang ni. Dia ada masalah macam tu, dia minta pendapat tapi Hani tak tahu nak buat macam mana.”

Mak Cik Nor mampir ke arah meja makan lalu duduk setentang. Dia memandang aku dengan pandangan yang aku sendiri tidak faham.

“Hani... dalam perhubungan, kita bukan saja perlu bersikap jujur dengan pasangan tetapi kita juga perlu menitik beratkan perasaan orang-orang sekeliling kita...”

Aku mendengar dengan penuh hati-hati ayat Mak Cik Nor. Sementara itu, aku juga cuba meletakkan diri aku sendiri di tempat abang supaya aku dapat rasakan apa yang dia rasa.

“Bercinta itu indah. Berkahwin itu lebih indah. Namun, selama mana keindahan itu dapat dirasai jika perhubungan itu mendapat pandangan serong daripada orang-orang lain? Terutama jika mereka adalah keluarga kita sendiri. Sanggupkah kita menyimpan rasa bahagia itu seorang diri? Sampai bila?”

Penjelasan Mak Cik Nor yang panjang lebar membuatkan aku semakin bingung. Nadanya bertukar serius. Sepanjang aku di dalam rumah ini, rasanya ini kali pertama aku berbual dengannya tentang hal yang berat.

“Itulah yang Hani tak tahu nak buat apa mak cik. Hmm, tapi ada satu perkara yang Hani rasa lebih memburukkan keadaan...” Aku berkata sambil menggigit bibir.

“Dia dah kahwin?”

Hah?! Aku menelan air liur. Tergamam dengan tekaan yang tepat. Aku tak mampu nak menjawab, cuma menggangguk perlahan. Mak Cik Nor termenung seketika sebelum mengeluh berat.

“Kawan kamu tu lelaki atau perempuan?” Dia bertanya.

“Lelaki.”

“Dah lama dia kahwin?”

“Dua tahun,” kata aku dengan jujur.

Mak Cik Nor mengangguk sebelum menyambung kata, “sebenarnya mak cik pernah berada dalam situasi macam tu. Mak cik ikut arwah pak cik sampai sempadan. Kami kahwin di sana sebab keluarga arwah pak cik tak merestui kami.”

Patutlah! Patutlah Mak Cik Nor nampak sedih! Aku mula berasa bersalah kerana bertanyakan soalan ini. Lagipun, manalah aku tahu Mak Cik Nor pernah berada dalam keadaan macam itu.

“Lepas tu, mak cik buat apa?” Aku bertanya dengan hati-hati.

Bukanlah mahu mengorek kisah lama tetapi aku sendiri mahu mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian untuk abang. Aku tak mahu perhubungan kami sekeluarga jadi porak-peranda bila abah dan mama tahu tentang hal ini.

“Kami berdua dilarang pulang ke kampung masing-masing. Jadi, kami belajar hidup berdua. Rumah inipun sebenarnya kami sewa daripada seorang pak cik tua yang tinggal seorang diri. Dia dipinggirkan oleh anak-anaknya sampai bila dia meninggal dunia, tiada siapa yang pulang...”

Aku terdiam. Terkejut mendengar sebuah kisah benar mengenai keluarga yang menentang perkahwinan anak mereka dan cerita tentang anak yang membiarkan ibu bapanya begitu sahaja. Terdetik di hati, apakah balasan yang akan menanti di alam sana?

Ya ALLAH, kau berikanlah aku kesabaran dalam mengharungi kehidupan dunia ini. Ampunilah dosa kedua-dua ibu bapaku, kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihani aku ketika waktu kecil dahulu. Amin.

“Hani, sebolehnya kamu cuba nasihat kawan kamu untuk menerangkan keadaan sebenar kepada ibu bapanya. Tanggungjawab seorang lelaki masih terhadap ibu bapanya sehingga mereka tiada. Nasihatkannya juga supaya bersabar. Perkahwinan itupun telah terjadi dan tiada apa yang boleh dilakukan lagi selain daripada memberitahu perkara yang sebenar. Kehidupan ini bukan sekadar untuk mencari bahagia, tetapi yang penting adalah untuk mendapat keberkatan daripada ILAHI. Kalau hati bahagia tetapi tidak diredhai ALLAH, Hani sendiri boleh tahu di mana jalan akhirnya...”

Aku faham sekarang. Abang dan kisah lamanya sudah lama berlaku. Jadi, abang perlu cari jalan untuk memulakan kisah barunya bersama abah dan mama. Insya-ALLAH aku akan cuba bantu abang.

Sedikit sebanyak, kata-kata Mak Cik Nor membuatkan aku sedar. Perkahwinan itu bukan saja ikatan antara dua insan yang sudah ditentukan sejak azali lagi, tetapi perkahwinan itu juga menghubungkan ukhuwah antara dua buah keluarga.

Perkahwinan adalah untuk mencari rasa bahagia dan keberkatan. Namun, apalah ertinya perkahwinan sekiranya keberkatan dan redha ALLAH itu tidak dapat dinikmati? Bercintalah sehebat manapun tetapi jika percintaan itu membuatkan ada jiwa ayah atau ibu menangis, segalanya sudah pasti perlu dijawab di sana nanti. Itu adalah pasti.

Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.