Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
138,787
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 2
"TAK nak!” Aku terus menyilangkan tangan dan menghempaskan diri di kerusi makan. Mujurlah kerusi ni ada kusyen. Kalau tidak, mahu leper terus punggung akibat hentakan yang kuat!

“Hani, siapa lagi yang boleh tolong mama? Hani seorang saja anak mama yang boleh diharapkan untuk jaga spa tu.”

Aku mendengus perlahan dan memandang tajam ke hadapan atau lebih spesifik, menembusi kepala satu-satunya abang kandung aku yang sedang leka baca surat khabar daripada mendengar pergaduhan kecil kami. Hisy! Khusyuk ke atau pura-pura saja?

“Malaslah mama... kat mana Hani nak duduk di KL tu nanti?” Aku bertanya, sengaja mencari alasan.

Dunia Kuantan sudah sebati dengan diri ini sejak berpindah hampir lima tahun lalu. Lagipun, ini tanah kelahiran aku, tempat aku membesar walaupun tidak sampai umur empat tahun aku berada di sini dahulu.

Abah dan mama membuat keputusan untuk berpindah selepas nenek sakit kuat dan bila diajak tinggal di Kuala Lumpur, nenek membantah kerana katanya, jika di Kuantan, dia senang melawat ke kubur arwah suaminya.

Maka, abah yang merupakan anak tunggal nenek akhirnya bersetuju untuk berpindah. Mujurlah mama tidak membantah. Apatah lagi, abah yang bekerja sebagai seorang pensyarah telah mendapat kelulusan untuk melakukan pertukaran mengajar di kampus cawangan.

“Hani duduk dengan abanglah.” Kata-kata saudara sedaging tetapi tidak sebulu itu membuatkan aku ketawa.

“Dengan abang?”

Abangku, Shazlan mengangguk penuh dinamis. “Ada satu bilik kosong.”

“Hisy! Abang gila ke apa? Kan abang tu duduk dengan geng bujang lain?” Aku mengetap bibir. Abang aku ni tahu ke tidak halal dan haram? Ada juga yang kena penampar sulung kejap lagi!

Aku mencapai getah yang entah dari mana puncanya ada di atas meja makan itu lalu menyanggul rambut yang sudah semakin panjang. Rimas! Mungkin desakan mama sejak akhir-akhir ni membuatkan fikiran aku semakin sesak.

“Dari atas lagi abah dengar suara kamu tu Hani. Kenapa cakap kuat-kuat dengan mama? Tak baik tahu!” Tiba-tiba suara abah kedengaran.

Aku menarik muka. Kan dah kena! “Hmm, takdelah abah. Hani tak suka kerja spa. Hani kan dah dapat kerja di firma bank dekat Seputeh tu.”

Dua minggu lepas, aku menghadiri temuduga untuk pekerjaan sebagai pegawai bank dan kerana keputusan cemerlang aku dalam bidang perbankan semasa belajar di UiTM dahulu, aku diterima masuk serta-merta.

Namun kini, aku mula terbelenggu apabila mama yang ingin membuka cawangan ketiga Safiya Relaxing Spa yang khas untuk muslimah saja, mencadangkan aku sebagai pengurus cawangan.

“Hani, jadi pengurus cawangan lagi masyuk tahu! Duduk KL lagi seronok daripada duduk kat Kuantan yang tak ada hiburan ni...” Abang Shazlan atau kadang-kadang aku panggil Lan saja itu bersuara lagi.

Umur kami hanya beza dua tahun. Kerjayanya sebagai pereka fesyen merangkap model itu menyebabkan hubungan kami semakin renggang terutama selepas dia selalu ke luar negara untuk menghadiri pelbagai kursus fesyen.

“Nantilah Hani fikir,” jawab aku perlahan. Serabut sungguh nak buat keputusan.

“Hah! Nanti Nazmi mesti gembira sebab Hani pindah sana,” usik Shazlan sambil mengangkat keningnya ke arah aku.

Cis! Nak mengenakan akulah tu! Berpindah ke Kuala Lumpur akan menyebabkan diri aku sentiasa akan berhadapan dengan teman lelaki aku nan seorang itu. Nazmi, yang aku kenal melalui abang tiga tahun lalu adalah seorang lelaki yang kuat cemburu tetapi dalam masa yang sama penyayang.

Cuma, sikap penyayangnya itu kadangkala melampaui batas. Nak buat macam mana kalau dah setiap minit nak telefon aku tanya kat mana? Aku ni dianggap teman wanita ke atau anak dia? Ish, keliru aku dibuatnya.

“Fikir baik-baik tawaran mama ni Hani...” Mama yang masih membelek timbunan fail itu berkata. Abah pula telah menghilang ke luar rumah. Biasanya petang-petang begini, kegemarannya adalah membelek tumbuh-tumbuhannya yang ditanam sendiri di laman rumah.

Sambil mengeluh, aku bangun lalu melangkah longlai ke arah mama. “Gaji banyak tak mama nak bagi?”

Aku mengulum senyum setelah menyoal perkara tersebut. Lengan mama aku rangkul perlahan, ehem. Sengaja mahu bodek mama sendiri.

“Hmm... bergantung macam mana Hani uruskan cawangan tu. Kalau okey, mama naikkan gaji. Kalau tidak, mama potong gaji!”

“Amboi, boleh ya macam tu?” Pantas aku memandang mama yang memakai baju kelawar sama corak dengan aku, bezanya hanya pada warna. Maklumlah, beli satu dan dapat diskaun separuh harga untuk satu lagi belian.

Mama hanya ketawa besar lalu dipeluknya bahu aku sambil berkata, “Hani, mama harapkan Hani seorang saja sekarang. Cawangan di Mid Valley tu kan Aunty Sofie yang jaga? Mama nak Hani belajar daripadanya bagaimana nak uruskan spa.”

Aku terdiam mendengar usul mama. Aunty Sofie merupakan adik bongsu mama dan sememangnya dia adalah seorang wanita yang sangat cekal dan berwibawa. Tidak hairanlah spa mama sangat cepat dikenali.

Aunty Sofie juga sedang membina nama dengan menghasilkan pelbagai produk kecantikan yang turut boleh digunakan di spa. Model produknya, tak lain dan tak bukan, abang Shazlanku seorang itu!

“Okey, Hani akan cuba tapi yang merungsingkan Hani sekarang, kat mana Hani nak duduk? Rumah kita dulu dah jual kan?” Aku menyoal mama.

Wanita yang berusia hampir 53 tahun tetapi masih kelihatan muda itu mengangguk perlahan. Mama mencapai telefon Samsung Note 2 miliknya dan membelek sesuatu.

“Nanti mama tanyakan Aunty Sofie. Lan, tolong adik kamu ni carikan rumah sekali.”

“Yelah mama. Nanti Lan cuba tanyakan kawan-kawan yang Lan kenal,” jawab Shazlan.

“Hani tak nak satu rumah dengan kawan-kawan abang yang kerja model!” Aku serta-merta menyuarakan pendapat.

Abang Shazlan menjegilkan matanya ke arah aku. “Memilih betul budak ni. Duduk sajalah, bukan abang suruh kau jadi model macam dia orang. Badan tu tak ramping, jadi tak payah nak berangan lebih!”

“Abang!!!” Dengan tenaga kemarahan yang bersatu dengan perasaan menyampah, aku membaling kusyen kecil yang berada di sofa, tepat ke arahnya sebelum jatuh ke atas meja makan lalu melanggar gelas jus orennya yang masih belum diminum. Err... alamak!!!

“Hani!!!”

“I seronok sangat bila Lan bagitahu you nak pindah sini sayang!” Suara Nazmi yang serak-serak basah ala penyanyi rock itu kedengaran sangat kuat di gegendang telinga.

Aku menjarakkan sedikit demi menjaga selaput telinga agar tidak koyak dengan getaran yang menjengkelkan. Memang Nazmi itu teman lelaki aku tetapi entah kenapa, perasaan aku semakin pudar terhadapnya.

Kata mama, mungkin cinta jarak jauh menyebabkan aku rasa sedemikian. Kadangkala, Nazmi datang dari Kuala Lumpur dengan motorsikalnya semata-mata mahu berjumpa aku. Tika itu, akulah insan paling gembira tetapi bila dia pulang ke Kuala Lumpur, rasa macam dua kali ganda gembira pun ada! Ish, pelik.

“Cuma I belum tahu nak duduk mana. Kata mama, cawangan tu akan dibuka di KL Festival City, Jalan Genting-Klang. Mungkin I akan cari rumah sewa dekat kawasan sana.” Aku berkata sambil menarik tirai tebal warna ungu lembut dan melihat ke luar rumah.

Jiran aku buat parti ke? Aku mengecilkan mata, cuba melihat dengan jelas apa yang berlaku di sebelah rumah. Namun, percubaan itu ternyata gagal lalu menyebabkan aku berpatah balik ke sofa lalu membaringkan diri.

“You nak I tolong carikan? Kawasan tu banyak rumah sewa sebab dekat dengan Universiti Tuanku Abdul Rahman. Kolej pun ada.”

Aku mengeluh kecil. “Kalau boleh, biarlah I duduk dengan kawan-kawan yang bekerja. Bukannya yang masih belajar. Nanti I terasa tua sangat.”

Nazmi ketawa di hujung talian. Aku mengetap bibir. Salah ke aku cakap? Nanti kasihan budak-budak tu nak belajar, aku pula sibuk nak tidur. Sekurang-kurangnya kalau teman serumah juga bekerja, bolehlah kami berkongsi cerita.

“You nak duduk apartmen ke atau rumah teres?” Nazmi kembali menyoal setelah sedar aku tidak menyahut tawanya.

“Tak kisah. Kampung pun boleh Nazmi. Janji ada tempat mandi, tidur dan berehat.” Aku menjawab ringkas.

Aku bukanlah jenis yang cerewet, yang mahukan kesempurnaan dalam kehidupan. Cukuplah secara sederhana.

“Nanti I tengokkan ya? Sebab mak cik I ada duduk di kawasan Gombak, mungkin I tanya dia nanti.”

Aku menguap untuk kesekian kalinya. Baiknya Nazmi! Kalau hari-hari macam ni kan bagus. Ini tidak, kejap saja anginnya boleh berubah. Susah betul nak kekalkan sikap macam ni. Hmm... nak buat macam mana. Sendiri yang suka!

“Terima kasih banyak. Maaflah susahkan you saja. Nak harapkan abang I...” Sengaja aku tidak menyambung ayat. Malas nak mengumpat pasal abang sendiri.

“Taklah, you tahukan... I sayangkan you lebih daripada segalanya. I sanggup buat apa saja untuk kebahagiaan you. I rela kalau you dekat dengan I daripada you jauh dan I akan cemburu bukan-bukan dan I juga akan...”

... dan aku terus terlelap.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.