Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
138,823
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 19

USAI solat Maghrib di tingkat 2, Azeem menuju ke kedai buku Popular yang terletak tidak jauh dari situ. Niatnya untuk membeli buku-buku cerita buat mereka di rumah amal.

Lelaki itu berjanji untuk bertemu dengan Hani setengah jam lagi di Delifrance, tempat pertama pertemuan mereka tempoh hari.

Jauh di sudut hatinya, Azeem tahu dia merindui gadis tersebut. Namun, dia tidak pasti perasaan sebenar gadis itu pula terhadap dirinya. Malam ini, dia mahu mengenai Safiya Thihani sebagai seorang teman lama atau lebih tepat, cinta pertamanya.

Jika gadis itu ketentuan jodohnya, dia redha. Azeem mahu menebus janjinya yang telah dimungkiri 10 tahun lepas. Dia mahu mulakannya semula walaupun dia sendiri belum pasti dengan apa yang berlaku di masa hadapan.

Azeem mengerling jam tangannya. Sudah hampir 15 minit dia membelek pelbagai jenis buku kanak-kanak dan setelah berpuas hati, dia membawanya ke kaunter pembayaran.

Seketika kemudian, telefonnya berbunyi menandakan ada SMS yang baru tiba. Azeem menyeluk poket dan membuka telefon Sony Xperianya.

Sy dh smpi – Hani

Lelaki itu menyimpan semula telefonnya tanpa menjawab. Dia segera membayar harga buku-buku tersebut sebelum melangkah keluar dari situ.

Azeem menarik nafas panjang dan berdoa agar segalanya berjalan seperti apa yang dimahukannya. Lelaki itu ada terfikir, kemungkinan Hani sudahpun berkahwin tetapi apabila dia teringatkan kata-kata gadis itu yang menyuruhnya memanggil ‘cik’, dia tersenyum lega.

Dia pasti Hani masih belum berumahtangga. Teman lelaki? Mungkin. Azeem kembali mengeluh kecil dan mengingatkan dirinya agar menerima takdir ALLAH SWT yang telah ditentukan sejak dia belum dilahirkan lagi.

Semakin menghampiri kiosk Delifrance yang terletak di tingkat bawah KL Festival, hatinya semakin berdebar. Dari jauh, dia nampak seorang gadis sedang berdiri tidak jauh dari kiosk tersebut.

Azeem mengukir senyuman apabila melihat Hani yang manis berseluar palazo warna biru muda dan dipadankan dengan jubah panjang paras lutut berwarna biru gelap serta selendang bunga kecil yang menutupi auratnya.

Namun, Azeem menghentikan langkahnya apabila dia terlihat ada seorang lelaki menghampiri Hani. Dia perasan air muka Hani nampak terkejut tetapi gadis itu mengukir senyuman selepas itu.

Azeem menyembunyikan dirinya di sebalik tiang. Hatinya terus tertanya-tanya tentang lelaki itu. Teman lelaki Hani? Atau kawan lamanya? Tanpa disangka, mereka berdua berjalan menuju ke arahnya.

Lelaki itu cepat-cepat berpusing ke sebalik tiang. Mungkin Hani perlu menyelesaikan sesuatu lantas harus mengikuti lelaki tersebut, fikirnya.

“Sayang, you tak cakap pun you nak datang sini?” Suara seorang lelaki menerjah ke telinganya.

Jiwa Azeem berderau. Dia memalingkan muka sedikit ke belakang untuk melihat secara dekat apakah benar yang didengarinya itu. Sah! Hani bersama seorang lelaki yang memanggilnya sayang.

Haih, aku ni dah macam penyiasat pula, fikir Azeem. Dengan keadaan bersembunyi begini di sebalik tiang, pasti orang yang lalu lalang akan curiga. Dia mengambil telefonnya dan berpura-pura membaca SMS walaupun gegendang telinganya sudah terbuka luas.

“I ada kerja kat sini. You tahu kan, mama punya cawangan spa nak buka kat sini.” Suara Hani pula kedengaran.

Suasana terdiam seketika. Azeem mengetap bibirnya. Kenapa mereka berdua perlu berhenti di belakang tiang ini? Kenapa dia perlu mendengar semuanya? Apakah ini penjelasan terhadap status Hani sekarang?

“Faham. You ada kerja seorang ke atau you janji nak jumpa sesiapa?”

Hani menjawab, “I ada hal nak diselesaikan dengan kontraktor. Jadi, biarlah I buat kerja I dulu. Kalau dah habis, baru kita jumpa, boleh?”

“Okeylah. You jangan lama-lama sangat kat sini. Bila habis, you telefon I. Nanti I nak bawa you makan di luar.”

“Tak payahlah Nazmi, I penat sangat hari ni. Esok boleh? Please sayang...”

Seakan remuk hati Azeem apabila mendengarkan perbualan mereka. Ya ALLAH! Lelaki itu menelan air liurnya. Baru saja dia mengambil keputusan untuk berterus terang dengan Hani tentang apa yang berlaku 10 tahun lepas tetapi rasanya dia tidak sanggup kini.

Azeem segera melangkah ke kiosk Delifrance tanpa dilihat oleh Hani mahupun Nazmi. Dia menarik nafas panjang lalu terus memberikan SMS kepada Hani.

Sy dh smpi, Cik Hani di mana? – Azeem

Tidak sampai lima minit, muncul kelibat Hani dengan senyumannya yang terukir. Dia datang seorang tanpa lelaki tadi. Azeem membalas senyumannya. Sesungguhnya, dia harus berlagak tenang walaupun hatinya telah berombak.

“Assalamualaikum. Maaf, tadi saya dah sampai. Lepas tu terjumpa kawan pula,” ujar Hani.

Azeem tersenyum kelat. Kawan? Kawankah yang kau panggil sayang? Dia pasti Hani tidak sedar kehadirannya di sebalik tiang tadi.

“Waalaikumsalam. Tak apa. Saya baru saja sampai.”

Sepi berlabuh di antara mereka. Azeem sedang buntu sama ada mahu berterus terang tentang hal mereka ataupun hanya mendiamkan diri.

“Encik Azeem tinggal dekat kawasan sini ke?” tanya Hani tanpa disangka.

Azeem memandang wajah mulus tanpa make up yang tebal. Sekadar calitan merah jambu di bibirnya. Hatinya tenang memandang gadis itu dan dia sedar, itulah perasaannya yang hadir dulu.

“Saya tinggal di Seri Gombak.”

“Oh? Abang saya pun tinggal situ.” Hani berkata.

“Fasa berapa?” tanya Azeem pula.

“Hmm... sembilan kot kalau tak salah.”

Lelaki itu mengangguk manakala Hani pula mendiamkan diri. Keduanya saling menyibukkan diri dengan menghirup minuman masing-masing.

“Oh ya, Puan Salwa sihat?” Azeem bertanya.

Hani mengangguk perlahan. “Alhamdulillah, sihat.”

Mereka terdiam lagi. Sesungguhnya keadaan begini menyesakkan hati mereka berdua tanpa masing-masing mengetahuinya.

Hati Azeem ingin berterus-terang manakala hati Hani inginkan penjelasan tetapi kedua-duanya diam membatu. Masing-masing sukar untuk menuturkan perasaan yang terbuku. Baik Azeem mahupun Hani, kedua-duanya hanya mampu mengeluh di dalam hati.

“Cik Hani memang suka stail Bali ke?” Akhirnya Azeem membuka mulut.

Pada pendapatnya, lebih baik mereka berbual tentang spa. Mungkin isu bertahun-tahun lepas perlu dipadamkan. Fikir lelaki itu lagi, mungkin Hani sendiri sudah tidak kuasa untuk bertanyakan tentang hal tersebut.

Hani mengangguk kecil sebelum menjawab, “suka tu memang suka tapi taklah terlalu suka konsep Bali yang berat. Saya sebenarnya suka konsep kampung.”

Azeem mengangguk. “Pada pendapat saya sendiri, konsep yang cik pilih tu memang sesuai untuk keadaan spa. Orang datang nak menghilangkan tekanan dan memanjakan diri, jadi elemen yang diterapkan dalam konsep tu boleh membantu pengunjung secara psikologi.”

“Betul. Terima kasih sangat sebab membantu saya. Encik Azeem dah lama ke jadi designer?” tanya Hani.

“Asalnya saya kerja di bahagian pembinaan sebagai pengurus projek tapi sejak saya masuk bahagian pembinaan untuk dekorasi dalaman, saya baru belajar sikit-sikit tentang rekaan ruang,” ujar lelaki itu.

“Oh, dulu masa dekat Uitm, encik... eh, hmm... maksud saya dulu Encik Azeem belajar mana?”

Azeem segera menangkap ayat Hani yang tersasar. Dia nampak Hani menundukkan wajahnya. Nyatalah, gadis ini memang mengenalinya. Namun, dia berpura-pura tidak perasan dengan ayat awalnya.

“UiTM Seri Iskandar. Saya belajar pembinaan kat situ.” Azeem menjawab ringkas sambil terus cuba berteka-teki dengan perubahan air muka Hani.

Dia tidak mahu menyoal perkara yang sama kerana bimbang cerita lama mereka akan terbuka semula. Kini, dia mula serba salah kerana mengajak Hani keluar. Cadangnya mahu berterus-terang daripada hati ke hati tetapi setelah melihat apa yang berlaku, Azeem terpaksa melupakannya.

“Sayang!”

Hampir tersedak Azeem dibuatnya apabila lelaki yang bersama Hani tadi muncul di hadapan mereka. Wajah Hani merah padam dan matanya membulat.

“Nazmi!”

“Kontraktor you?” Nazmi memandang tajam ke arah Azeem.

Dengan rasa hormat, Azeem segera bangun dan menyalami Nazmi.

“Azeem. Kontraktor spa Safiya.” Azeem memperkenalkan dirinya.

“Nazmi, tunang dia.”

Nazmi segera duduk di sebelah Hani setelah memper-kenalkan dirinya pula. Tunang? Azeem tersenyum kelat. Nyata, segala-galanya sudah terlambat. Dia pasrah.

Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.