Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
138,811
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 11

MACAM mana mesyuarat dengan Puan Safiya?” Soalan pertama yang dikemukakan oleh Kak Ton sebaik saja Azeem melabuhkan punggung di kerusi.

Lelaki itu menjeling jam di sudut kanan skrin komputernya. Baru jam lima petang. Masih ada satu jam sebelum pulang. Dia bercadang untuk terus pulang ke Kajang kerana malam ini ayahnya ada membuat bacaan Yasin dan solat hajat.

“Okey...”

“Tu saja?” Hakimi pula bertanya.

Azeem mengangguk. Dia berasa letih tiba-tiba. Mungkin kerana pagi-pagi lagi perlu ke Putrajaya menghadiri lawatan tapak dan kemudian perlu menemani Encik Zaquan berjumpa seorang klien yang mahukan khidmat pembinaan rumah banglonya.

“Nak buat mesyuarat projek sekarang atau esok pagi?” Kak Ton pula bertanya.

Sememangnya sudah menjadi lumrah mereka jika mempunyai projek baru sama ada yang akan menjalankan pembinaan atau hanyalah kertas cadangan, mereka akan bermesyuarat untuk mengagihkan kerja.

Cara sebegini akan memudahkan semua orang di bahagian projek untuk memahami keperluan sesuatu tugasan itu. Lebih menyenangkan dan menjimatkan masa mereka.

Azeem mencongak di dalam hati. “Sekaranglah.”

Lelaki itu terus bangkit dan menuju ke ruang diskusi yang terletak bersebelahan dengan ruang kerja bahagian projek. Myra dan dua orang pekerja di bahagian studio juga diajak untuk berbincang sama.

“Untuk cawangan spa... Safiya ini...” Azeem terdiam seketika apabila menyebut nama gadis yang baru saja ditemuinya tadi.

“Konsep yang diperlukan adalah berlainan sedikit dengan konsep spa yang lepas. Kalau dulu bercirikan moden, kali ini kita perlu cari imej yang berkonsepkan tropika,” jelas Azeem.

“Maksud kau, macam stail Bali?” Hakimi bertanya.

Azeem mengangguk. “Macam tu, tapi kita tak nak nampak terlalu Bali. Cukup ada elemen kayu, air atau tanah.”

“Akak rasa, mungkin kita boleh terapkan macam konsep rumah ada seorang klien kita dulu tu, alah... siapa eh nama dia? Akak tak ingat.” Kak Ton mencelah.

“Yang halaman rumah dia luas sampai boleh letak 10 biji kereta tu ke?” Myra pula menyampuk.

Kak Ton tergelak. “Hah! Yang tu...”

“Boleh juga saya rasa, kak. Ini ada beberapa imej yang klien dah bagi. Myra dah boleh mula kumpulkan imej. Abang nak Fir tolong lukis balik pelan asal kedai ni. Esok boleh siap tak?” Azeem mula mengagihkan tugas.

Fir yang baru saja bekerja selama enam bulan di situ mengangguk sambil menjawab, “insya-ALLAH.”

“Jack pula nanti tolong setkan presentation dalam Power Point.”

“Aku?” Hakimi menyoal sambil mengusik.

“Kau? Kau tolong aku buat pricing.” Azeem membalas sambil ketawa kecil.

“Yes!Akak tak payah tolong kali ni!” Kak Ton menepuk tangan dengan rasa gembira.

Hakimi memandangnya tajam. “Eh kak, yang minggu depan nak hantar tender tu apa? Akak nak tidur kat pejabat ke?”

Kak Ton mengetap bibir sambil mengangkat tangannya pula ke atas, tanda mengalah. “Okey bye!”

Azeem hanya tersenyum melihat keletah mereka. Sambil menyambung perbincangan, dia mencatatkan perkara-perkara penting yang perlu diambil kira untuk cadangan spa ini.

“Abang Azeem, kita nak hantar bila pada klien?” soal Fir semasa mereka sedang berkemas untuk mengakhiri mesyuarat.

“Minggu depan. Seminggu dari sekarang.”

Azeem melihat jam tangan. Dia segera mengemaskan meja kerjanya, meneliti senarai kerja kembali dan menutup komputer sebelum berangkat ke Kajang.

-------------------------------------------------------

AKU menuruni tangga ruang ke dapur rumah dengan berhati-hati setelah hampir tergelincir dua hari yang lepas. Parah juga ni kalau jatuh. Silap-silap boleh patah kaki.

“Akak tak ada pergi mana-mana ke malam ni?” Adila yang sedang berada di meja makan bertanya.

Di tangannya ada segelas air masak dan di hadapannya pula sepiring mangga muda bersama kicap yang digaul dengan gula dan cili padi. Eh budak ni kan, dah nak tengah malam pun boleh melantak lagi?

“Tak.” Aku terus duduk di sebelahnya lalu mencapai sehiris mangga. Nak buat macam mana, terliurlah pula nampak mangga muda malam-malam macam ni.

Jam sudah menunjukkan hampir pukul 11 malam. Selepas pertengkaran yang berlaku sekali lagi di antara aku dan Nazmi, kami langsung tidak berhubung. Aku malas nak mengeruhkan suasana yang sudah semakin keruh.

Keruh ke? Atau dah kering kontang? Kalau tak salah aku, jarang kami bergaduh sebegini rupa. Penat sebenarnya bila seorang ke utara, seorang ke selatan. Aku sendiri tak tahu sama ada aku yang perlu mengalah atau dia yang perlu fikir baik-baik.

“Akak ada masalah ke? Ima tengok akak macam tak sihat saja?” Ima yang baru muncul di tangga dapur pula bertanya.

“Hmm...”

“Akak, hari tu kan... akak gaduh dengan boyfriend akak ke?” Adila menyoal dengan selamba.

Aku menoleh ke arahnya lalu mengerutkan dahi. Ima yang datang dan duduk di hadapan aku menyampuk dengan nada perlahan tetapi amat jelas di pendengaran, “isk! Kau ni, tak payahlah tanya!”

“Tak apa... akak dah agak korang akan tanya. Dengar eh?” Aku ketawa kecil.

Bukan salah dia orang pun nak tanya. Dah memang nampak terang-terang depan mata. Mujur Nazmi tidak menggunakan kekerasan seperti yang pernah dia buat dahulu pada aku di Kuantan.

Adila mengangguk. “Dia nampak macam ganaslah kak.”

“Akak dah lama ke dengan dia? Macam mana akak kenal dia?” Giliran Ima pula bertanya.

“Ewah! Tadi tak bagi aku tanya. Sekarang ni bukan main kau nak tanya Kak Hani, kan?” Adila pura-pura menunjukkan penumbuknya ke arah Ima tetapi gadis itu hanya menjelirkan lidahnya.

Amboi, dah macam wartawan budak dua orang ni! Macam-macam nak tanya tapi tak apalah, sekurang-kurangnya aku taklah kesunyian sangat.

Setelah membetulkan baju kelawar warna biru yang dipakai, aku mula membuka cerita tapi tak bolehlah semua cerita, kan? Nanti ada pula yang pergi hantar gosip kat majalah Manggis!

“Dah dekat tiga tahun juga kot akak rasa. Abang akak yang kenalkan pada akak. Dia kenal boyfriend akak tu masa dia ikut kelab motor pergi menjelajah Semenanjung Malaysia.”

“Wow! Abang akak masuk kelab motor ke?” Menganga mulut Ima bila aku cerita tentang penyertaan abang aku dengan kelab motor.

Namun, itu dululah! Sebelum dia mula minat dengan fesyen. Lepas minat tu, habis hilang motornya kat rumah. Yang kelakar, berganti dengan mesin jahit! Rupanya abang sanggup jual motor kesayangannya demi mendapatkan mesin jahit model yang paling terkini.

Aku masih ingat, menjerit mama dibuatnya bila melihat mesin jahit di bilik tidur abang Shazlan. Abah pula ketawa besar. Ternyata, dia yang paling gembira sebab kalau ikutkan, abah tak berapa nak restu abang bawa motor.

Mungkin abah trauma sebab dulu pernah terlibat dalam kemalangan motor. Sejak tu abah dah serik bawa motor. Apatah lagi bila abang pun pernah masuk hospital gara-gara bawa motor dan lebih parah, berlanggar dengan lori.

“Sekarang tak. Dululah...”

“Lepas tu?”

“Hmm, dia datang beraya rumah akak. Ha, masa tulah akak kenal.”

“Akak pernah ada boyfriend tak sebelum dia?” Soalan Ima menyebabkan aku terkedu lalu menggelengkan kepala dengan perlahan.

Ima tiba-tiba bersorak. “Wah! Ni kiranya cinta pertama akaklah kan? Cinta pertama susah nak dilupakan, betul tak kak?”

“Tengok orang jugalah Ima. Aku ni, rileks saja. Aku pun dah tak tahu mana ex-boyfriend aku pergi.” Adila ketawa besar.

Ima yang sedang mengangkat gelas untuk minum mencebik bibirnya. “Eleh, pakwe darjah enam bolehlah cakap! Maksud aku first love masa dah besarlah. Dah lepas belajar kat universiti. Ala-ala dah serius.”

Kata-kata Ima membuatkan aku terfikir. First love atau cinta pertama sebenarnya dikira berdasarkan macam mana? Cinta masa sekolah tu, bukan dikira cinta ke? Cinta monyet pula macam mana tafsirannya? Yang aku pelik, kenapa mesti monyet? Bukan kera, gajah ataupun labah-labah?

Mungkin spesis monyet selalu kelihatan terkinja-kinja lebih bila mendapat makanan, jadi ditafsirkan sama seperti cinta manusia. Sentiasa bergedik-gedik bila mula-mula belajar bercinta, macam tu ke? Isk, sampai bila-bila pun aku tak akan faham!

“Akak rasa ni bukan cinta pertama akaklah...”

Huh? Apa yang aku cakap ni? Tanpa sedar, aku menuturkan kata-kata tersebut. Aku sendiri terkejut gila dengan kenyataan yang dikeluarkan!

“Hah? Tapi tadi akak kata, akak tak ada boyfriend sebelum dia?” Adila membeliakkan matanya.

Aku mengetap bibir. “Eh, entah. Akak cakap eh tu bukan cinta pertama akak?”

“Ya ALLAH! Akak ni mesti mamai, kan?” Adila ketawa besar dan disambung oleh aku serta Ima.

“Kalau akak kata bukan cinta pertama akak, maksudnya akak pernah jatuh cinta sebelum dia tapi orang yang pertama tu tak jadi boyfriend akak, kan...” Ima berkata.

“Ha’a. Dila pun rasa macam tu. Pada Dila, cinta pertama tak semestinya cinta yang akan dimiliki atau perlu dimiliki. Cinta pertama tu kita akan ingat sampai bila-bila sebab itulah sebenarnya permulaan kita mengenal cinta, tak kiralah cinta tu berbalas ataupun tidak...”

“Kau ni kan, boleh jadi pujanggalah Dila,” usik Ima. Mereka berdua akhirnya ketawa.

Aku pula berfikir tentang kebenaran kata-kata yang mereka ucapkan itu. Tak terkata rasanya nak membalas kerana seluruh tubuh ini tengah rasa gementar semacam bila mempersoalkan tentang cinta pertama.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.