Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
78,427
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 8

KALAULAH aku tahu sebegini letihnya keadaan lepas sauna, baik aku buat minggu depan! Adoi, boleh tidur tak kat sini lepas mengurut? Panas sungguh rasanya walaupun berada dalam ruang sejuk sekarang.

“Pening?” Aku menoleh ke arah empunya suara dan nampak Nisa datang lalu menghulurkan secawan teh o.

“Teh hijau. Ada campuran sedikit limau susu dan bunga jasmin. Minumlah untuk kesegaran tubuh selepas bersauna.”

Aku ketawa kecil tiba-tiba kerana ayat akhirnya kedengaran seperti bunyi iklan televisyen.

“Kenapa awak gelak?” Nisa bertanya sambil terus duduk di hadapan aku.

Ketika itu aku berada di ruang lounge bahagian dalam ruang rawatan. Sengaja berehat sebentar sebelum meneruskan sesi mengurut. Kata mama, manjakan diri dahulu sebelum bertungkus lumus dengan cawangan spa baru. Okeylah mama.

“Awak punya ayat tu macam dalam iklan,” usik aku.

Nisa mengerutkan dahi. “Maksud awak?”

Aduhai, sabar, sabar. Dia ni memang blur kot. Sebab dah banyak kali aku cakap, tapi tak faham. Macam manalah dia boleh jadi pengurus pemasaran yang bijak? Ke aku yang tak reti membentuk bahasa untuk difahami oleh orang lain?

“Tak ada apalah Nisa. Lupakan.”

Nisa mengangkat kening sebelum berkata, “bila awak nak pergi mesyuarat untuk bincang hal konsep baru spa?”

“Ya ALLAH! Nasib baik awak ingatkan saya!”

Habislah aku! Dengan pantas, aku yang masih berbaju jubah mandi warna peach, berikat tuala di kepala dan berselipar jepun berlari ke arah bilik locker yang terletak di sebelah bilik rawatan.

Kalau mama tahu aku belum telefon mamat ni lagi, mesti mama mengamuk! Kata mama, cawangan tersebut mesti dibuka dalam masa lebih kurang dua bulan lagi. Masalahnya konsep pun belum dibincangkan! Dia orang ni pun sama, kenapa tak telefon aku balik?

Aku segera mengambil telefon bimbit lalu mendail nombor telefon Encik Azeem yang sudah disimpan. Sekali dail, tidak berangkat. Dua kali dail, juga tidak angkat! Mana mamat ni pergi? Dari hari tu susah nak dapat!

“Hello, boleh saya bercakap dengan Encik Azeem?”

“Maaf cik, Encik Azeem baru saja keluar. Siapa ni?” tanya wanita di hujung talian.

Aku mengeluh kecil. “Saya Safiya. Boleh tak minta tolong dia telefon saya semula? Ini berkenaan dengan pembinaan untuk cawangan baru Safiya Relaxing Spa.”

Mungkin suara aku kedengaran sangat serius sehingga wanita tersebut kelam kabut menyuruh aku menunggu sebentar sementara dia menyambungkan talian kepada seseorang.

“Hello.” Suara seorang perempuan lain menerjah gegendang telinga.

“Hello. Saya nak bercakap mengenai Safiya Relaxing Spa. Dengan siapa boleh saya berhubung?” Aku bertanya kembali sambil menuju ke arah lounge semula. Nisa sudahpun menghilang entah ke mana.

“Sebenarnya Encik Azeem yang menguruskan projek itu tapi dia ada hal sekejap di luar. Nama saya Zaiton. Cik boleh bagi no telefon? Nanti saya akan suruh dia telefon Cik secepat mungkin,” ujar wanita tersebut.

Aku mengeluh lagi. Berapa kali aku nak bagi nombor telefon? Pesanan hari tu tak sampai kepada Encik Azeem ke? Itulah zaman sekarang. Semuanya nak ambil sambil lewa sampai menyusahkan orang lain! Ini yang membuatkan aku rasa semakin sakit hati.

“Saya dah sampaikan pesanan banyak kali pada orang yang angkat telefon pejabat awak, Cik Zaiton. Tak kan mereka tak cakap apa-apa? Projek ni urgent. Syarikat awak dah pernah buat projek ni untuk cawangan Mid Valley, kan? Kali ni cawangan spa akan dibuka di KL Festival City. Jadi, saya nak tahu awak semua berminat lagi untuk menguruskan projek ini atau tidak sebab saya tak nak buang masa saya menelefon semua orang tapi tak ada jawapan!”

Ambil sebiji! Geram aku! Maaf sangat-sangat! Angin aku memang datang tiba-tiba. Mungkin penangan kepanasan sauna menyebabkan suhu badan aku meningkat dan seterusnya aku rasa rimas dengan semua perkara yang berlaku.

“Saya minta maaf cik bagi pihak syarikat. Kami bersedia untuk memberikan kerjasama sekali lagi kepada pihak cik. Nanti saya minta Encik Azeem telefon cik semula untuk buat temujanji.” Wanita itu berkata dengan tenang.

Serba salah aku mula datang bertimpa. Itulah dia, main cakap saja. Mujurlah wanita tersebut tak melenting sama. Yang aku ni pun satu, turutkan kata hati yang sedang marah! Kalau betul-betul dia orang tak mahu buat, mama pasti akan mengejar aku balik Kuantan.

“Baiklah, terima kasih.” Aku menjawab ringkas lalu mematikan talian.

--------------------------------------------------------------

WANITA itu menghempaskan gagang telefon sambil membebel. Hakimi yang sedang membelek sekotak pemegang kabinet kemasan keluli yang baru tiba itu terperanjat.

“Kak! Akak mengamuk dengan siapa?” Lelaki itu bertanya.

Kak Ton termenung sebentar sebelum berkata, “Kimi, kau ingat tak dulu Safiya Relaxing Spa? Alah, yang kita buat di Mid Valley dulu.”

Hakimi mengangguk. “Ha’a ingat. Kliennya Puan Salwa, kan?”

“Yang telefon akak tadi orang spa tu, tapi akak tak kenal siapa. Kata budak yang angkat telefon tadi, namanya Safiya. Bos spa tu ke?” Kak Ton menongkat dagunya.

“Eh, kalau tak salah saya, Puan Salwa tulah bos. Safiya ni mungkin anaknya. Kenapa kak? Dia orang panggil kita balik ke? Bukan waktu retention dah habis ke?” Hakimi bertanya seraya menutup kotak tersebut lalu diletakkan di tepi mejanya.

Esok pagi dia perlu membawa kotak tersebut ke rumah kliennya untuk dipasang pada kabinet. Dia segera menulis nota kecil dan dilekatkan di tepi skrin komputer sebagai ingatan sebelum pulang nanti.

“Bukan. Hish, minah tu macam poyo sangatlah Kimi. Kalau betul anak dia, tak sama langsung macam Puan Salwa. Puan tu lah akak rasa klien paling baik. Bayar on time, siap belanja kita satu pejabat lagi bila projek habis, kan?”

“Betul. Bukan senang kak dapat klien macam tu. Moga-moga murah rezekinya.” Hakimi berkata.

“Akak dengar spa yang dia buka kat Mid Valley tu dapat sambutan. Bukan calang-calang orang yang pergi tau!”

“Aik? Mana akak tahu?”

Kak Ton membuat muka. “Alah, akak baca surat khabar. Ada cerita pasal VVIP mana entah yang pergi spa tu. Spa muslimah memang jarang ada kat bandar ni. Kalau ada pun, mahal.”

“Berkat dia kerja ikhlas tu, kak. Alhamdulillah. Kita pun tumpang bangga sebab kita yang buat spa dia.” Hakimi berkata.

Kak Ton terangguk-angguk. “Nanti kau ingatkan akak, bagitahu Azeem. Minah tu mengamuk dah sebab tak ada orang telefon dia semula. Mesti budak penyambut tetamu yang baru tu, siapa namanya? Fara eh? Mesti dia lupa lagi nak kasi pesanan. Apa yang dia buat entah kat depan tu.”

“Ish, pecat sajalah budak tu kak. Saya tengok dia asyik buka Facebook saja. Macam tak ada kerja. Manalah kerja tak cepat siap, sepuluh minit belek kerja, lagi lima puluh minit, tersengih-sengih buka Facebook.” Lelaki itu membebel.

Baginya, tak salah langsung nak menggunakan kemudahan internet di pejabat untuk memeriksa Facebook atau laman sosial yang lain tetapi biarlah berpada.

Dia sendiri membuka Facebook tapi hanyalah pada waktu makan tengah hari ataupun ketika matanya terlalu mengantuk. Itupun tak sampai sepuluh minit.

“Siapalah kita nak komplen Kimi. Kau lupa ke dia tu anak saudara Puan Kalsom?”

“Emm… Lupa.”

Yelah, anak saudara pun! Kerja tetap kerja! Hati Hakimi menjadi panas setiap kali melalui kawasan pintu hadapan. Terang-terang nampak laman web biru putih di skrin komputernya dari jauh.

“Yuhu! Pisang goreng panas!” Azeem muncul selepas beberapa ketika dengan menatang sepinggan hidangan minuman petang.

Kak Ton memandangnya tajam. “Azeem, ada Fara bagitahu kau tak, orang Safiya Spa tu telefon?”

“Safiya Spa?” Azeem yang baru duduk di tempatnya itu berfikir sejenak dan menggelengkan kepala.

“Tak ada. Eh, ada missed call. Orang tu lah kot.” Azeem menggumam perlahan tetapi didengari oleh Kak Ton.

“Kau telefon balik nanti. Namanya Safiya. Tadi dia telefon pejabat, mengamuk sebab kau tak angkat telefon. Pesanan yang dia bagi pada Fara pun tak disampaikan pada kita.” Kak Ton berkata dengan nada serius sambil matanya terus dihalakan ke skrin komputer.

“Safiya? Hmm, bukan Puan Salwa?” tanya Azeem.

“Aku rasa anak dia kot. Agaknya Puan Salwa bagi nama spa tu sempena nama anak dia.” Hakimi menjawab.

Azeem mengerutkan dahi. “Dia nak apa?”

“Spa tu nak buka cawangan lain. Katanya di KL Festival City.” Giliran Kak Ton pula menjawab.

“KL Festival City depan ni sajalah. Senanglah macam ni nak pergi tapak projek. Tak payah bawa motor, jalan kaki,” kata Azeem sambil ketawa.

“Syoklah kau nanti asyik pergi shopping macam masa kat Mid Valley hari tu. Eh, apa pasal akak tak pernah dapat jaga projek kat kompleks membeli belah ni?” Kak Ton menyuarakan ketidakpuasan hatinya.

Hakimi dan Azeem ketawa serentak sebelum Hakimi menjawab, “ada hikmah tu kak. Bos tahu, kalau akak yang jaga, mesti akak tak balik langsung pejabat. Sibuk sangat shopping. Bukan ke itu satu hikmah yang baik?”

Kak Ton mengangguk. “Yelah, betul, betul. Akak tak boleh bayangkan kalau akak yang jaga tempat tu. Ish.”

Azeem hanya tersengih sejak tadi. Dia mencapai diari harian kerjanya lalu mencatit beberapa perkara yang perlu dibuat sebelum petang menjelang. Itulah rutinnya agar tidak mudah lupa dengan tugasan-tugasan yang penting.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.