Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
138,806
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 14

AKU memandang persekitaran bilik mesyuarat TheBuilt yang hanya mempunyai sebuah meja panjang berwarna putih dan kerusi yang boleh diduduki seramai 10 orang dalam masa yang sama.

Hampir lima minit aku menunggu Azeem yang masih belum tiba. Kata penyambut tetamu tadi, lelaki itu keluar sebentar.

Sejak panggilan telefon Azeem petang semalam tentang pertemuan ini, hati aku rasa gundah-gulana. Eee... geram sungguh! Patutnya aku biarkan saja cerita basi sepuluh tahun lepas, kan? Bosan betul bila teringat! Buat hati ni lagi remuk.

Namun, macam mana ya aku nak buat? Pura-pura tak kenal? Ya! Itu yang paling baik sebab aku rasa Azeem sendiri pun macam tak ingat aku siapa. Wahai ingatan, tolonglah berambus!

“Assalamualaikum. Maaf Cik Safiya.”

Erk! Pandangan aku terus berpaling ke arah Azeem yang hanya tersenyum. Padanan baju kemeja hitam dan seluar slack hitam membuatkan ingatan aku yang kononnya mahu berambus tadi datang semula. Cis!

“Waalaikumsalam.” Aku membetulkan duduk dan menarik nafas dalam-dalam. Stop it Hani!

“Okey, ini cadangan yang kami buat untuk cawangan baru spa Cik Safiya,” ujar Azeem sambil menyerahkan sebuah dokumen bersaiz A4.

Tanpa banyak soal, aku membelek dokumen tersebut yang mengandungi pelan spa, konsep dan imej keseluruhan. Mata aku membulat apabila melihat konsep yang aku inginkan tergambar di dalam ilustrasi.

Cantiknya! Macam ni mesti kalah spa di Mid Valley! Aku tersenyum panjang. Mesti mama suka dengan konsep macam ni. Aku membelek lagi sehingga puas hati. Sambil itu mendengar penerangan Azeem tentang konsepnya.

“Ada apa-apa yang Cik Safiya nak tanya?”

Aku menggelengkan kepala. Segalanya sudah tersedia di hadapan mata dengan begitu terperinci. Aku rasa, sekilas pandang saja aku sudah faham. Mungkin aku perlu emel kepada mama dulu untuk dia lihat.

“Boleh bagi saya softcopy tak? Saya perlu emelkan ke Puan Salwa untuk final approval daripadanya.” Aku berkata sambil membelek beg tangan untuk mengambil thumbdrive yang memang sentiasa aku bawa ke mana-mana.

Azeem mengangguk perlahan dan mengambil thumb-drive tersebut daripada aku. Seketika kemudian, telefon aku berbunyi. Lantas, aku terus mengambilnya sebelum satu pejabat ni terdengar bunyi deringan yang membingitkan.

Nazmi? Apa pasal dia telefon lepas hampir seminggu kami tak bertegur sapa? Aku mengetap bibir. Kata Abang Shazlan, Nazmi ada menelefonnya dan bertanyakan tentang aku.

Kenapa dia tak tanya sendiri aku? Kenapa dia perlu tanya abang? Nampak sangat rasa bersalah, kan? Tulah namanya ego tak kena tempat!

Abang nasihatkan aku untuk berjumpa dengan Nazmi bagi menyelesaikan masalah hubungan kami. Memang betul, tapi kalau dia buat macam tu lagi macam mana? Lepas tu baik semula. Lepas tu buat lagi! Sampai bila jantung aku nak bertahan kembang kuncup, kembang kuncup macam tu?

“Helo.” Akhirnya! Akhirnya aku menjawab panggilan telefon tersebut dengan hati yang sedikit beku.

“Maafkan I...”

Berkerut dahi aku mendengar suara Nazmi yang kedengaran jauh. Kenapa pelik semacam saja aku dengar ni? Aku menjeling jam di tangan. Baru nak masuk jam tiga.

“You ni kenapa?” Aku bertanya.

Sesekali aku menjeling ke arah daun pintu bilik mesyuarat. Aku harus mengingatkan diri untuk mematikan telefon apabila Azeem tiba nanti.

“I nak minta maaf. Itu saja. I minta maaf sebab banyak buat hati you terluka.”

Aku mengetap bibir lagi menahan geram. Maaf! Maaf! Maaf! Itu saja yang kau tahu kan Nazmi? Kalaulah perkataan ‘maaf’ tu boleh tukar jadi duit, rasanya aku dah jadi jutawan sekarang ni kot.

“Okey I maafkan. Apa lagi you nak cakap?” Aku berkata dengan nada perlahan sambil mengurutkan dahi yang tiba-tiba rasa sakit.

“I ambil you malam ni, boleh? Kita keluar makan dan bincangkan pasal kita. I nak kita jadi serius semula.” Kata-kata Nazmi membuatkan aku terfikir.

Jadi serius semula? Apakah selama ini kami tak serius? Ataupun pada pandangan Nazmi, kami dah berpisah? Oh Tuhan! Kenapalah aku perlu menghadapi krisis macam ni?

“Tak payah. Kita jumpa di KL Festival City malam ni jam lapan. I ada mesyuarat. Nanti I telefon you balik, okey.”

Serentak dengan itu, Azeem masuk ke dalam bilik. Tanpa disengajakan, aku terus menekan butang merah. Hmm. Dah terlambat, biarlah. Cepat-cepat aku tukar ke mode silent. Aku pasti Nazmi tak puas hati bila aku matikan telefon tiba-tiba.

“Nanti saya e-mel kepada Puan Salwa dulu tentang cadangan dan sebut harga ni. Mungkin lusa saya akan hubungi Encik Azeem semula. Kalau semuanya dah okey, saya akan bayar deposit macam dalam sebut harga ni.”

Aku terus bangun dari tempat duduk. Kalau boleh, nak terbang balik. Perasaan aku masih berkicau tentang isu Nazmi dan isu Azeem. Nazmi dan perangainya yang semakin pelik. Azeem pula dengan keadaannya yang penuh misteri.

“Baiklah. Terima kasih Cik Safiya. Insya-ALLAH, harap-harap kita akan dapat bekerjasama nanti.” Azeem menuturkan kata seraya membukakan pintu bilik mesyuarat untuk aku.

Aku tersenyum dan mengangguk perlahan sebelum memulakan langkah. Petang ni aku ada temujanji dengan Aunty Sofie dan Nisa pula. Malam pula dengan Nazmi. Aduhai! Susahnya nak jadi ahli perniagaan!

--------------------------------------------------------------------------------------------

“YOU nampak pucat sangat sayang...” Nazmi berkata setelah aku menghenyakkan tubuh di kerusi berhadapan dengannya.

Aku memandang persekitaran restoran Secret Recipe yang tidak mempunyai ramai orang. Mungkin sebab bukan hujung minggu agaknya ataupun mungkin sebab aku sampai lambat.

“Penat kerja.” Aku menjawab ringkas.

Ya ALLAH! Aku memang penat gila sekarang ni. Kalau ikutkan hati, aku rasa nak balik tidur saja. Dahlah petang tadi masa nak balik ke Gombak semula, hujan. Kombinasi yang tepat bila hujan bertemu waktu petang. Hasilnya adalah kesesakan jalan raya.

Sudahnya aku tiba di KL Festival City hampir jam sembilan setengah malam. Yang paling aku terkesima, Nazmi hanya memberikan senyuman. Hisy. Pelik sungguh. Aku terbayang juga kot-kot ada pinggan makaroni cheese sedang berterbangan dalam restoran ni gara-gara sikap pemarahnya.

“I ada banyak kerja. You sihat?” Aku memandang Nazmi yang hanya bert-shirt lengan pendek warna hijau tua dan berjeans.

“Alhamdulillah.”

Seketika kemudian kami terdiam. Aku hanya meng-gelengkan kepala ke arah pelayan yang mampir membawakan menu. Perutku masih penuh lagi ketika minum petang bersama Aunty Sofie dan Nisa petang tadi.

“Hani, I tahu, I bukan lelaki yang baik dan I tahu sejak you datang sini, dah banyak kali I sakitkan hati you, kan?” Nazmi berkata dan memandang tepat ke arah aku.

Dengan kerelaan hati, aku mengangguk lemah. Memang betul pun, nak buat macam mana, kan? Aku mengambil keputusan untuk mendengar saja apa yang akan diceritakan oleh Nazmi. Bagi aku sendiri, hanyalah doa yang aku panjatkan.

Andai lelaki ini ternyata jodohku, aku terima dengan senang hati. Buruk baiknya, tetap bakal suami aku. ALLAH SWT jadikan setiap makhluk itu ada kelebihan dan kekurangannya.

Sebagai hamba-NYA pula, dah tentu kita perlu menerima hakikat tersebut dan ini semua adalah ujian pengukur keimanan untuk aku sendiri cuba hadapi.

“Maafkan I. I akan cuba jadi lelaki yang paling baik untuk you, Hani. I dah berjanji tahun depan I nak kahwin dengan you. Bagi I masa enam bulan lagi untuk I bawa keluarga masuk meminang you.”

Apa?! Meminang? Terus bulat mata aku dibuatnya! Terus hilang rasa mengantuk! Terus rasa nak melompat-lompat! Terus cinta aku naik 200% untuk Nazmi!

Siapa yang tidak mahu kahwin? Tanyalah kepada wanita-wanita di luar sana, itulah impian mereka. Perkahwinan di mana adanya seorang lelaki yang bakal menjaga mereka dengan penuh kasih dan melayari bahtera sehingga ke syurga.

Aku akui, Nazmi bukanlah yang terbaik. Bukanlah seperti lelaki-lelaki yang aku tonton dalam drama di televisyen ataupun dari dalam novel fantasi. Janganlah kata aku gila kerana boleh menerima seorang lelaki yang berperangai pelik.

Tak baik berprasangka. Manalah tahu lepas kahwin nanti, perangainya boleh berubah, kan? Doa itu senjata. Ya, doa itulah senjata dalam diam. Aku sendiri pun bukannya sempurna. Yang penting, akan saling cuba melengkapi.

“Kenapa you senyum?”

Eh? Nampak sangat ke aku senyum? Alamak malunya! Aku berdehem seketika sebelum menjawab, “I rindu dengan you Nazmi.”

Wajah lelaki itu kelihatan girang. Ya, aku memang rindukan dia. Aku tak nafikan walaupun rindu aku mungkin sedikit berkurangan dari dulu. Namun, segalanya boleh berubah semula andai masing-masing pandai memupuk cinta yang disemai.

Aku menarik nafas panjang ketika kami keluar beriringan dari restoran. Aku berdoa semoga ini permulaan yang baik untuk aku dan Nazmi. Aku sedar, aku terlalu banyak bersabar dan aku hanya berdoa agar kesabaran itu ada hikmahnya untukku.

Azeem? Biarlah dia dan kenangan kami itu. Lagipun, tiada apa yang perlu aku ungkitkan semula kerana segalanya sudah tersurat dan tersirat. Azeem kisah silamku. Nazmi kisah baruku. Hanya ALLAH Maha Mengetahui segalanya.

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.