Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
138,783
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 21

SELESAI mencetak satu set lukisan yang dikirimkan oleh Azeem ke e-mel, aku membawanya ke ruang pantri. Jam sudah menunjukkan hampir tiga petang. Sebentar tadi, baru saja lelaki itu menelefon aku untuk mengingatkan pertemuan kami selepas Maghrib nanti.

Sepatutnya selepas Asar, tetapi aku pula ada janji temu dengan Aunty Sofie sekejap lagi. Dia mahu berbincang untuk merangka promosi cawangan spa baru nanti. Mujurlah Azeem setuju untuk jumpa. Serba salah juga aku dibuatnya apabila terpaksa berjumpanya selepas waktu kerja.

“Semua dah okey ke? Bila nak mulakan pembinaan?” tanya Nisa yang kebetulan lalu di pantri.

Gadis itu menuju ke peti ais lalu mengeluarkan dua biji oren dan sebatang lobak merah. Tanpa menjawab, aku hanya memandangnya yang sedang mengeluarkan blender pula.

“Awak nak? Saya nak buat jus.” Nisa bertanya.

“Takpe. Saya dah minum,” ujar aku perlahan sambil terus memandang lukisan-lukisan yang terbentang luas di hadapan mata.

Bunyi pisau dan blender silih berganti. Aku pula terus fokus dengan pemeriksaan lukisan. Kalau salah periksa, nanti menyusahkan orang lain pula.

“Apa ni?” Nisa bertanya lagi seraya duduk di hadapan aku.

Di tangan kanannya ada segelas jus. Haih, sedap pula nampak. Tadi dia pelawa, aku jual mahal. Sekarang nampak gayanya jus tu jadi pameran mata aku sajalah!

“Lukisan untuk cawangan spa tu,” jawab aku ringkas.

Bunyi telefon membuatkan aku serta-merta meng-angkatnya tanpa melihat. Nisa pula sudah beredar dari situ.

“Helo.”

“Hani, abang nak jumpa Hani malam ni.” Suara Abang Shazlan menerjah masuk.

“Malam? Hmm... tak bolehlah. Hani ada janji dengan kontraktor.” Aku berkata.

Di hujung talian, Abang Shazlan mengeluh kecil. “Sekejap saja. Abang ada hal penting nak bincang dengan Hani.”

“Sekarang ni tak boleh ke?”

“Tak. Jumpa depan-depan.”

Berkerut dahi aku mendengar permintaan Abang Shazlan. Mimpi apa dia nak jumpa depan-depan? Selalunya bukan malas lagi nak keluar dengan adiknya yang seorang ni. Pelik. Sungguhlah pelik!

“Abang ni... Hani banyak kerjalah. Pasal hal apa ni? Pasal abang ke atau awek abang ke atau apa?” Aku cuba mencari idea sendiri.

“Adalah. Kalau Hani malas nak datang sini, abang pergi Mid Valley. Kita jumpa sana.”

Aku mencongak seketika. Takkan nak batalkan lagi perjumpaan dengan Azeem? Nanti kalau tempoh pembinaan dilanjutkan, mahu kena marah dengan mama. Aku hanya ada kurang dari dua bulan saja lagi untuk memastikan segala-galanya mengikut apa yang dirancang.

Kelibat Nisa muncul lagi di pantri. Tanpa berfikir panjang, aku menyatakan persetujuan kepada abang dengan syarat biar aku saja yang ke rumahnya. Susah hati juga sebenarnya bila dengar suara Abang Shazlan merayu macam tu. Biasanya abang lebih gemar mendiamkan diri daripada menceritakan masalahnya.

Nama saja adik-beradik tetapi hal kau, kau sendiri tanggung. Hal aku, aku sendiri yang uruskan. Mungkin ada sesuatu yang berlaku. Mudah-mudahan tiada apa yang perlu dirisaukan.

“Nisa, awak ada apa-apa kerja tak malam ni?” Aku bertanya kepadanya.

Gadis yang beruniform lengkap spa itu menggeleng. “Kenapa?”

“Awak boleh tolong saya? Malam nanti sebenarnya saya kena jumpa Encik Azeem untuk beri lukisan ni. Mereka tak boleh mulakan kerja kalau tiada pengesahan daripada saya.”

“Jadi?”

“Jadi, saya nak minta tolong awak gantikan tempat saya sebab saya kena pergi jumpa abang saya malam ni.” Aku berkata.

Nisa tersenyum lebar. “Boleh. Nanti awak bagi kat saya apa-apa yang perlu saya beri pada Azeem.”

Aku mengangguk lalu meneruskan kerja memeriksa lukisan. Nisa berlalu dari situ. Mungkin dia tak perasan yang aku sedar perubahan air mukanya yang nampak ceria bila nama Azeem disebut. Aku pasti Nisa ada hati terhadap lelaki itu.

Sampai sekarang aku masih tak faham kenapa Azeem perlu berjumpa dengan aku tempoh hari. Selepas kemunculan Nazmi, Azeem meminta diri kerana ada kecemasan katanya. Itupun selepas mendapat panggilan seseorang yang aku sendiri tidak tahu siapa.

Nak kata pasal kerja, Azeem langsung tak sentuh bab itu. Aku pula terdiam sebab tak tahu nak cakap apa. Alih-alih muncul pula Nazmi. Sungguh aku tak sangka! Agaknya kalau Nazmi tak ada masa tu, entah apalah yang akan kami bualkan.

-----------------------------------------------------------------------------------------

“ASSALAMUALAIKUM.” Nisa memberikan salam kepada Azeem dan terus duduk di sebelah lelaki itu yang juga sedang duduk berhadapan dengan sebuah kedai butik.

Terkesima sekejap Azeem apabila melihat Nisa. Setahunya, dia berjanji dengan Hani dan bukannya Nisa. Lagipun, gadis itu langsung tak cakap apa-apa.

“Waalaikumsalam. Mana Cik Hani?” Azeem terus bertanya dan sedar wajah Nisa mula mencuka.

“Cik Hani tak dapat datang. Dia ada hal dan dia suruh saya datang sini jumpa awak.” Gadis itu memandang tepat ke arahnya.

Azeem hanya mengangguk kecil. Dalam hati, teringin untuk melepaskan rindu yang terbuku walaupun sekadar dapat menatap Hani buat seketika. Kadangkala, cinta tak semestinya dimiliki. Cinta hanya hadir untuk memberikan kebahagiaan buat seketika. Itu sudah cukup, fikir Azeem.

“Mana lukisan yang Cik Hani bagi?” tanya Azeem tanpa berlengah.

“Ada saya bawa tapi boleh kita pergi makan dulu? Awak tahu tak, saya tak makan lagi dari tengah hari.” Nisa memberikan senyuman dan Azeem tahu, itu hanyalah perangkap untuk berdua-duaan dengannya.

“Hmm... saya ada kerja sikit lepas ni sebenarnya.” Azeem menjawab.

Lelaki itu berdiri dan berura-ura untuk pergi dari situ. Nisa turut sama berdiri tetapi dia masih belum mahu memberikan sampul besar yang dipegangnya. Azeem jadi buntu. Kalau ikutkan, dia tidak mahu memberikan apa-apa harapan untuk Nisa.

“Sekejap saja, boleh?” Nisa menghampiri Azeem lalu membuatkan lelaki itu berundur setapak ke belakang.

Adus! Minyak wangi yang semerbak baunya di tubuh Nisa mula menggamit deria Azeem. Lelaki itu mengeluh perlahan. Memang sukar sebenarnya mahu menepis ajakan Nisa yang sudah lama menaruh hati terhadapnya.

Sejak dulu, gadis itu tidak pernah berputus asa untuk mengajaknya keluar. Selalunya, dia akan membawa Hakimi sekali sebagai perisai supaya dapat menamatkan mesyuarat dengan cepat tetapi kali ini Azeem tidak berpeluang membawa Hakimi kerana dia membayangkan mahu berjumpa dengan Hani seorang diri.

“Okey. Cik Nisa nak makan mana?” Akhirnya Azeem mengalah.

Demi pejabat! Okey, demi pejabat. Azeem terpaksa mengingatkan dirinya. Demi kerja untuk pejabat, dia terpaksa memenuhi ajakan Nisa. Kalau dengan Hani, rasa keterpaksaan itu automatik bertukar menjadi rela.

“Berapa kali saya cakap dengan awak, kan? Tak payah panggil saya cik. Panggil Nisa saja cukup.”

Gadis itu ketawa kecil dan hanya membuatkan Azeem tersenyum kelat. Dia memulakan langkah dan diikuti oleh Nisa. Gadis itu mengajaknya untuk ke restoran Nandos di tingkat bawah. Azeem hanya menuruti permintaannya.

Selesai memesan makanan, Nisa menyerahkan sampul surat yang berisi lukisan. Azeem mengambilnya sambil mengucapkan terima kasih dan membuka sampul tersebut.

“Azeem, saya nak tanya sikit boleh?” Nisa bertanya.

“Insya-ALLAH boleh. Tanyalah,” jawab Azeem tanpa memandang ke arah gadis itu.

Tumpuannya kini ke arah set lukisan di tangannya. Terdapat beberapa komen daripada Hani tentang lukisan tersebut. Baru dia perasan, ada beberapa kesalahan ukuran di dalam lukisan tersebut.

Mujurlah tiada komen yang menjejaskan keseluruhan rekaan. Kalau tidak, jenuh juga mereka mahu menukar lukisan tersebut sedangkan pembinaan akan dimulakan malam esok.

“Awak ada teman wanita?”

Terkedu sekejap Azeem apabila ditanya begitu. Amboi, tak berapa nak malu juga rupanya Nisa ni. Azeem ketawa besar kerana tidak menyangka Nisa mengeluarkan soalan begitu. Dia segera mencongak di dalam hati, antara mahu berkata benar ataupun tidak.

Azeem bimbang jika dia berkata tidak, Nisa akan meneruskan rasa hatinya sedangkan dia tidak mempunyai apa-apa perasaan langsung terhadap gadis itu. Azeem tak mahu memberikan harapan atau lebih tepat tidak sanggup membuatkan hati seorang gadis terluka.

“Hmm, tak ada kot.”

“Kot?” Nisa memandangnya dengan rasa kurang percaya.

Azeem tersengih. Dia mengutuk dirinya kerana menam-bah perkataan ‘kot’. Padanlah muka, teragak-agak nak cakap, lepas tu silap sendiri, fikirnya lagi.

Lelaki itu menggelengkan kepala sebelum menjawab. Dia mengambil keputusan untuk berkata yang benar saja. Azeem kembali meletakkan lukisan tersebut di dalam sampul apabila minuman mereka sudahpun tiba di meja.

Nisa memandang tajam ke arah Azeem yang tunduk menyedut jus Citrus Bliss sementara dia sendiri mengacau teh panas Chamomile yang dipesannya.

Fikiran gadis itu mula menerawang. Masakan Azeem tak mempunyai teman wanita? Terlalu sibukkah dia? Atau terlalu memilih? Nisa akui sendiri dirinya sudah tertarik dengan Azeem sejak kali pertama bertemunya semasa lelaki itu berurusan dengan Puan Salwa dua tahun lepas.

Sejak itu, dia berusaha untuk menarik perhatian Azeem tetapi tidak berjaya. Bukan tiada lelaki lain yang mahukan dirinya sebagai isteri tetapi entah mengapa, hatinya langsung tidak terbuka.

Telefon Azeem yang diletakkan di atas meja tiba-tiba berbunyi. Lelaki itu segera mengangkatnya dan Nisa pula berpura-pura tunduk melihat telefonnya sendiri. Hati kecilnya ingin mengetahui siapakah gerangan orang yang menelefon lelaki itu.

“Waalaikumsalam... ya, ayah tengah kerja sayang. Ayah tak balik malam ni. Ayah balik hari Jumaat ni, okey?”

Ayah?! Nisa menelan air liurnya. Azeem sudah menjadi seorang ayah? Selama ini Azeem adalah suami orang? Oh TUHAN!

Nisa terasa seperti mahu tumbang dan perasaannya sudah melayang-layang entah ke mana. Dia menguatkan perasaan kecewanya sambil terus melihat Azeem yang tersenyum lebar sambil berbual.

Hmm, tapi kenapa cara dia cakap, dia tak balik malam ni? Apakah Azeem duduk jauh daripada anaknya? Ataupun dia telah bercerai dan anaknya duduk di rumah bekas isterinya? Fikiran Nisa sudah semakin sarat dengan pelbagai persoalan.

“Awak... awak dah ada anak?” Nisa hanya mampu bertanya soalan itu selepas Azeem menamatkan perbualan.

Lelaki itu tidak segera menjawab. Dia memandang wajah Nisa dan dengan perlahan, dia mengangguk. Nisa terus terasa seperti mahu pitam kerana tidak percayakan dengan realiti yang harus diterimanya.

Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.