Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
138,799
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 22

AKU menghenyakkan diri di sofa ruang tamu rumah sewa Abang Shazlan. Hmm, sunyi saja rumah ni. Mana kawan-kawan abang yang lain agaknya?

Kemas sungguh aku tengok rumah bujang lelaki. Biasanya bukan mesti bersepah ke? Mungkin kawan-kawan abang jenis yang rajin kot.

“Mana orang lain?” Aku bertanya setelah Abang Shazlan muncul kembali menatang semug air milo panas.

“Keluar.” Abang menjawab ringkas.

Aku mengangguk. Abang Shazlan membuka televisyen. Wajahnya nampak sugul. Hisy. Peliknya. Macam masalah besar saja abang ni.

“Apa abang nak cakap kat Hani?”

Abang Shazlan memandang ke arah aku dan mengeluh. Sesekali dia mengusap rambutnya yang nampak serabut. Aku pula masih termangu di sofa. Hisy! Cepatlah cakap! Macam nak buat drama saja kat sini, biar aku tertunggu-tunggu.

“Janji jangan cakap pada mama atau abah.” Kata-kata Abang Shazlan buat aku lagi risau.

Apa yang abang dah lakukan sampai dia tak bagi aku bagitahu mama dan abah? Darah aku mula berderau sampai ke kepala. Bunyinya macam berat sangat.

“Hmm.”

Belum sempat aku dengar penjelasan abang, azan Isyak berkumandang di luar rumah. Aku mencongak waktu. Baik solat sekarang, nanti balik rumah boleh terus tidur.

“Abang, tumpang solat kejap boleh?” Aku bertanya.

Takkan tak boleh kot kan? Kalau jawapannya tak, memang ada yang nak kena panahlah kan? Abang memandang aku dan kemudiannya mengangguk.

Mak aih, kemasnya bilik abang! Terbeliak rasanya anak mata ni melihat bilik abang yang dah persis bilik pengantin! Aku mengeluarkan telekung dari dalam beg. Memang selama ni aku bawa telekung ke mana-mana supaya boleh solat bila masuk waktu.

Aku masuk ke dalam bilik air untuk mengambil wuduk. Terdiam sekejap aku dibuatnya apabila melihat sesuatu yang pelik di atas meja sinki yang panjang. Kenapa ada pencuci muka wanita? Atau abang pakai jenama ni?

Eh, bukan setakat pencuci muka! Ada beberapa barangan wanita termasuklah sepit rambut terletak di situ! Persoalan demi persoalan mula bermain di fikiran aku.

Ya ALLAH! Takkanlah abang? Aku mengetap bibir. Mustahil abang bersekedudukan! Aku menggelengkan kepala berulang kali. Mustahil!

Dengan cepat, aku mengambil wuduk dan terus keluar untuk solat. Dada aku semakin berdebar kerana memikirkan perkara yang bukan-bukan. Sepanjang solat, aku cuba mengawal fikiran agar tetap khusyuk.

Sejurus selesai solat, aku melipat kembali telekung ke dalam beg dan beristighfar sambil duduk di atas katil milik abang. Ada fikiran nakal yang terlintas ketika ini. Aku memandang tajam ke arah almari abang yang terletak di sebelah katil.

Tanpa berfikir panjang, aku membukanya. Astaghfirulla-halazim! Sederet baju milik wanita berada di dalamnya. Di luar kesedaran, aku membuka laci almari dan nyatalah, ada wanita yang duduk bersama abang aku.

Serta-merta datang kegeraman yang memuncak terhadap abang Shazlan! Dah gila ke apa abang aku ni duduk dengan perempuan! Ini ke yang dia nak cakap dengan aku? Tentang hal ni? Ya ALLAH!

Aku menahan diri daripada marah kerana bimbang akan mula diserang migrain. Memang sejak dulu lagi aku tak boleh terlalu tertekan. Ya, aku memang cepat sakit dan dulu masa sekolah menengah, beberapa kali aku terpaksa dimasukkan ke dalam hospital gara-gara terlalu tertekan dengan peperiksaan!

“Abang!!!” Jeritan aku kedengaran di seluruh pelusuk rumah apabila memandang abang yang hanya bersandar di meja makan, menghirup secawan kopi.

Apa gila ke abang aku masih nak berlagak tenang walhal dia mesti tahu aku akan nampak segala-galanya! Oh TUHAN, tenangkanlah jiwa ini. Cepat-cepat aku duduk di kerusi bersebelahan dengannya.

“Abang... betul ke apa yang Hani nampak?” Aku berkata dengan nada yang serius tetapi perlahan.

Abang Shazlan memandang aku dengan wajah yang tidak mampu aku tafsirkan. Apa maksud abang? Apa makna disebalik semua yang aku nampak tadi?

“Abang, jawablah abang! Abang duduk dengan perem-puan? Abang gila ke apa?!” Aku memekik sekali lagi sambil menekup muka.

Rasa nak tampar saja abang aku nan seorang ni! Kalau abah dan mama tahu, ya ALLAH... aku tak berani nak jangka. Aku tak mahu abah sakit. Aku tak mahu mama pengsan. Aku tak mahu kehilangan mereka disebabkan sikap abang yang keluar dari landasan agama ini!

“Hani... Hani dengar dulu penjelasan abang.” Abang Shazlan bersuara lemah.

Aku mengeluh panjang sambil memicit kepala. Mak aih! Baru aku perasan aku lupa pakai tudung balik! Ya Rabbi... Gara-gara terlalu terkejut, aku main keluar saja dari bilik. Ah, biarlah. Bukan ada orang pun.

“Cakaplah...” Aku bersuara lemah.

Dalam fikiran, aku mahu saja cari perempuan tu dan pukul dia cukup-cukup. Dia ni pun sama! Dia tahu ke tidak halal dan haram tu? Dia tahu tak seksa ALLAH SWT terhadap hamba-hamba-NYA yang melanggar perintahnya?! Dia tahu tak...

“Abang sebenarnya dah berkahwin.”

Hah?! Terlopong okey aku mendengarnya! Kalau ada lalat ni, dah lama aku tertelan agaknya! Abang Shazlan!!! Ni abang aku ke atau abang orang lain?! Aku hanya mampu menjerit di dalam hati.

“Abang buat lawak ke apa?” Aku berkata sambil melepaskan ketawa.

Abang Shazlan terdiam sebelum menggelengkan kepalanya. “Abang serius. Dah dua tahun abang kahwin.”

“Apa?! Kenapa... kenapa baru sekarang abang nak cakap?!” Aku bertanya lagi dengan nada kuat.

Situasi begini tak memerlukan aku untuk memakai mikrofon bila bercakap dengan abang. Suara aku menjadi kuat secara automatik kerana terlalu terkejut dan dalam masa yang sama, melepaskan perasan marah.

“Hani... selama ni abang terpaksa sembunyikan sebab mak dan abah tak suka dia. Abang cintakan dia dah lama. Abang tak sanggup nak berpisah.”

Aku... aku rasa nak ketawa bila dengar kisah abang. Aku rasa macam aku sedang menonton drama televisyen. Betulkah apa yang aku dengar? Abang? Abang dah kahwin?

“Kenapa Hani tak pernah tahu pilihan abang ditolak mama dan abah?” Aku bertanya perlahan sambil terus memicit dahi yang semakin kuat denyutannya.

“Masa tu Hani sambung belajar. Abang tak mahu bebankan Hani. Abang ingat, mama akan cerita pada Hani tapi rupanya Hani tak tahu kisah abang.” Abang Shazlan berkata sambil menggenggam tangan aku yang berada di atas meja.

Aku termenung seketika. Sumpah memang aku tak tahu apa-apa! Bila aku fikir sekarang, patutlah abang jarang balik Kuantan. Kalau balik pun sekejap. Ada saja alasannya.

“Habis tu, apa gunanya abang bagitahu sekarang? Kenapa abang tak simpan saja rahsia abang tu untuk selamanya?” Aku memerlinya walaupun dalam masa yang sama aku berasa kasihan.

Apa agaknya yang menyebabkan mama dan abah menolak pilihan abang? Mesti ada sesuatu pada wanita itu yang buat mereka tak berkenan. Aku perhatikan abang dalam-dalam. Sah! Dia sedang dalam keadaan serba salah. Aku pula terus menunggu jawapannya.

“Isteri abang akhirnya mengandung. Dah tujuh bulan. Abang tak mampu lagi berselindung daripada mama dan abah, Hani. Abang kasihankan bakal anak abang nanti.”

Aku mengetap bibir dan mengeluh berat. Suasana rumah menjadi sunyi sepi apabila kami berdua saling membisu. Aku tak tahu nak cakap apa sebab segala-galanya sudah terjadi. Nak marah pun, tak ada gunanya.

“Boleh Hani tahu kenapa mama dan abah tak suka dia?” Aku bertanya.

“Dia tiada ibu, tiada ayah dan dia membesar di rumah anak yatim. Dia tak tahu dari mana asal usulnya. Abang kenal masa pergi rumah anak yatim dengan kelab motor dulu. Abang jatuh cinta bila tengok cara dia melayan kanak-kanak di sana.”

Aku nampak Abang Shazlan tersenyum kecil sambil bercerita. Aku mula terasa beban di bahu kerana Abang Shazlan adalah satu-satunya adik-beradik yang aku ada. Aku ingin membantunya tapi aku tak tahu dari mana mahu mula.

“Abang bawa dia pulang ke Kuantan untuk jumpa mama dan abah. Mama terang-terang tak suka sebab alasannya, dia tak tahu keturunan perempuan tu. Abah pula hanya diam. Lepas abang balik Kuala Lumpur, mama telefon dan suruh putuskan hubungan.”

“Kenapa abang tak usaha lagi?” Aku bertanya.

Abang Shazlan tersenyum tetapi aku nampak senyuman-nya seperti terpaksa. “Abang usaha Hani, tapi...”

Aku rasa aku faham apa yang Abang Shazlan hadapi. Mama terlalu tegas. Abah pula lebih banyak mendengar kata-kata mama. Mungkin selama ni Abang Shazlan banyak berkorban tapi orang selalu kata, cinta itu buta.

Abang Shazlan akhirnya membuat keputusan sendiri untuk mengahwini wanita itu. Niat untuk berkahwin itu adalah perkara yang baik dan aku yakin itu sudah tertulis untuk abang. Yang aku bingung kini, bagaimana mahu memberitahu mama dan abah?

“Abang bagitahu Hani sebab abang nak Hani kenal dengannya. Abang minta maaf sebab terpaksa rahsiakan segala-galanya. Bila dia mengandung, abang tak dapat nak sembunyikan lagi. Abang mahu dia bahagia dengan abang. Bahagia dengan keluarga abang.”

Argh! Rasa nak menangis dengar keluhan hati abang. Tanpa sedar, aku mengalirkan air mata. Aku seakan dapat memahami perasaan isteri abang yang masih lagi aku belum kenali itu. Hidup tanpa mengetahui siapa keluarga sebenar di sisi adalah sesuatu yang diluar jangkaan fikiran aku.

“Habis tu, mana isteri abang?” Aku menyoal.

“Dia balik Perak, ziarah ayah angkatnya yang jaga rumah anak-anak yatim tu. Ayahnya tengah sakit. Abang patut balik tapi abang ada kerja untuk fashion show hujung minggu ni.”

“Keluarga angkat dia semua tahu tentang abang?” Aku terus bertanya kerana itulah saja modal aku untuk mengetahui perkara yang berlaku.

Abang Shazlan mengangguk. “Mereka semua tahu. Anak-anak di rumah sana dah macam anak abang. Abang gembira bila dengan mereka tapi bila abang terkenangkan mama dan abah, abang jadi serba salah. Abang ambil keputusan untuk beritahu perkara yang sebenar.”

“Hani tak tahu nak cakap apa sebab benda dah jadi. Hani minta maaf pada abang kerana memikirkan yang bukan-bukan. Adoi abang! Nasib baik Hani tak pengsan tahu bila buka almari abang!”

Abang Shazlan memandang tajam. “Hani pergi buka almari abang?”

Alamak! Bocor rahsia aku! “Hmm... yelah! Hani cuma nak tengok kepastian!”

Abang sulung aku itu hanya tersenyum kecil. “Kali ni abang maafkan dan nanti abang akan kenalkan kakak ipar Hani bila dia pulang dari Perak.”

Erk! Kakak ipar? Terus rasa nak pitam! Aduhai, rasa pelik saja dengar. Dalam keadaan yang singkat ni, aku dah ada kakak ipar? Lepas tu dalam beberapa bulan lagi, aku bakal ada anak saudara?

Oh TUHAN! Kenapa Abang Shazlan buat perasaan aku makin serabut ni?! Yang paling aku gerun, macam mana penerimaan mama dan abah nanti? Uwaaaa!!!

Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.