Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
138,814
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 20

"I nak pergi Kuantan jumpa mak you.” Kata-kata Nazmi membuatkan aku hampir menyemburkan air masak yang sentiasa aku bawa dalam botol ke mana-mana saja.

“Apa?”

“Ye sayang. I nak pergi Kuantan jumpa mak you. Keluarga I nak ikut sekali. Senang cerita, merisik you.”

Aku berdehem perlahan. Adoi, terasa sesak nafas pula mendengar ayat Nazmi. Merisik? Oh, TUHAN! Ini dah tahap serius namanya!

“Bila you rancang nak pergi?” Aku menyoal.

Jalan Ipoh masih sesak dengan kereta. Entah mimpi apa, Nazmi mengambil cuti hari ini. Dia mengajak aku untuk ke Jalan Tunku Abdul Rahman, melihat barang-barang kahwin.

Yang aku bengang tu, nak pergi sana waktu pagi, waktu orang sibuk nak pergi kerja. Kalau tengah hari sikit kan bagus. Takdelah mual tekak aku nak redah kesesakan jalan raya macam ni. Hisy Nazmi ni, kadangkala perangainya memang aku tak boleh nak jangka.

“Hmm, dua minggu lagi?”

“Dua minggu lagi?” Aku membuntangkan mata. Cepatnya!

“I nak kita kahwin dua bulan lagi.”

Mak aih! Tak ada cerita dengan aku apa-apa pun? Pandai-pandai pula dia buat rancangan. Habis tu, aku punya pendapat macam mana? Melamar aku pun tidak! Tahu-tahu terus nak jumpa keluarga!

“You ni serius ke?”

Nazmi yang berseluar jeans dan t-shirt hijau muda itu memalingkan wajahnya ke arah aku lalu tersenyum. Aku pula sudah mula rasa gundah. Entah kenapa, macam tak bersedia saja lagi nak kahwin.

“Kenapa you ingat I tak serius?” Nazmi tidak menjawab tetapi memeningkan aku kembali dengan soalannya.

Aku memeluk tubuh. Sebenarnya bukan aku tak percaya, tapi aku hanya belum bersedia untuk berkahwin! Spa akan dibuka dalam sebulan setengah lagi. Nak kahwin dua bulan lagi. Macam mana aku nak bersedia?

“Nazmi, I kena tumpukan bisnes spa dulu. Dua bulan tu tak sempat I nak sediakan persiapan perkahwinan.” Aku berkata dengan jujur sambil terus melihat kesesakan yang masih lagi teruk.

“You ni pentingkan spa daripada I ke?” Nada suara Nazmi sudah meninggi.

Aku mengeluh kecil. Dia ni kan... aku beristighfar di dalam hati. Dahlah suka hati saja buat rancangan, lepas tu nak kita saja dengar cakap dia! Malam tadi aku rasa macam nak pengsan bila dia mengaku pada Azeem dia tunang aku!

Ya ALLAH! Kalau boleh, biarlah aku sendiri yang berterus-terang kepada Azeem tapi nak buat macam mana, Nazmi sendiri yang sibuk mahu sertai kami walaupun aku berkeras melarangnya.

“Nazmi, I ada banyak kerja sekarang untuk pastikan spa tu berjalan lancar. Kita tangguh dulu, boleh tak?” Aku berkata perlahan sambil memicit dahi yang mula terasa berdenyut.

Sah! Migrain akan mula menghampiri. Terasa menyesal pula tak bawa sepaket biskut dalam beg. Selalunya aku akan mula migrain dan gastrik kalau tidak makan mengikut masa tertentu. Kata doktor, biar makan sikit tapi selalu.

Aku mengambil botol air lalu meneguknya lagi dan berdoa agar kesakitan ini berlalu pergi. Memang perit kalau diserang gastrik dan migrain dalam masa yang sama.

“Hani, kalau you betul sayangkan I, baik you dengar cakap I. I ni kan bakal suami you.”

Di luar kesedaran, aku ketawa kecil. Apabila melihat jelingan tajam Nazmi, aku kembali diam. Dalam hati, aku menghitung waktu. Memang tak sempat! Nazmi ni memang degil sungguh. Nampak gayanya aku kena pesan dengan mama dan abah supaya kalau keluarga Nazmi datang merisik, tangguhkan dulu tarikh nikah.

“Kenapa you ketawa?” soal Nazmi.

“Takde apa.” Aku menjawab ringkas.

“You jangan tipu. I tahu, you ketawakan I.”

“Tak!” Aku menguatkan suara.

Nazmi terdiam sebelum berkata, “you jangan nak jerit kat I okey. I tahu apa yang you fikir!”

Malaslah aku nak layan! Sudahlah jalan sesak, aku pula tengah lapar dan nak gastrik ni. Aku mengambil keputusan untuk mendiamkan diri daripada memburukkan keadaan.

“Kenapa you diam?” Nazmi bertanya sambil mengetuk stereng kereta. Satu tanda daripadanya yang seharusnya membuatkan aku terpaksa berjaga-jaga. Silap kata, agaknya ada yang akan menyaksikan aku berjalan kaki di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur ini.

“You kata you tahu apa yang I fikir, jadi I diam sajalah...” Aku berkata dengan nada malas.

“You marah?” Nazmi bertukar nada.

Aku termenung memikirkan sikap lelaki ini yang semakin hari semakin pelik. Sekejap okey. Sekejap tidak. Malam tadi aku sempat telefon Nora, kawan baik aku yang berada di Kuantan dan mengadu hal ini.

Kata Nora, mungkin Nazmi adalah seorang yang terlalu prihatin, terlalu menyayangi sehingga risau dengan segala-galanya yang berkaitan dengan aku. Buntu pula apabila mendengar nasihat Nora yang juga seorang doktor pakar sakit puan di Hospital Tengku Ampuan Afzan itu.

“I tanya ni, you marah ke?” soal Nazmi lagi.

Aku menarik nafas panjang. Terlalu banyak yang aku perlu sabar dalam menjalinkan perhubungan ini sebenarnya. Mungkin inilah ujian aku.

“Hani...”

“Ya, I tak marah. I tak marah. You faham?” Aku mengetap bibir kerana sedar kata-kata aku yang agak kasar.

“Ya, tak payahlah you cakap banyak kali. I faham!” pekik Nazmi lalu membuatkan aku kembali sakit hati dengan sikapnya. Terasa panas di tubir mata ini tapi aku tahankan saja.

Telefon aku pula tiba-tiba berbunyi dari dalam beg. Dengan rasa sedikit sebak, aku mengambilnya. Azeem! Perlukah aku menjawabnya sekarang? Apa kata Nazmi pula nanti? Tapi... Azeem ni kan kontraktor aku? Ah, angkat sajalah!

“Helo...”

“Assalamualaikum. Cik Hani?”

“Waalaikumsalam. Ya, saya.” Aku menjawab lemah sambil menyeka setitis air yang tiba-tiba mengalir di pipi. Adoi, kenapa air mata ni terbabas pula?

“Hmm, Cik Hani okey ke? Macam tak sihat saja?” Azeem bertanya.

Oh TUHAN! Soalannya membuatkan aku semakin rasa sebak. Kenapa dia yang bertanya? Kenapa bukan Nazmi yang bertanya? Aku mendiamkan diri tanpa menjawab.

“Cik Hani? Err... kalau Cik Hani tak sihat, pergilah klinik ya. Maaf, saya mengganggu. Saya cuma nak bagitahu, esok pagi saya akan e-mel set lukisan itu pada cik. Boleh tak kita jumpa esok untuk saya dapatkan kelulusan?” Azeem berkata dengan panjang lebar.

“Ya, insya-ALLAH. Saya datang ke pejabat nanti.”

“Okey. Terima kasih.”

Aku terus mematikan telefon setelah menamatkan perbualan kerana bimbang Nazmi akan merampasnya. Fikiran aku pula terawang-awang dengan bayangan Azeem malam tadi.

Nasib baik lelaki tu tak perasan aku dah tersebut UiTM. Kalaulah dia teringat, memang parah aku rasa. Aku dah tak mahu tahu apa yang berlaku dulu. Cukuplah. Aku nak buka buku baru. Lagipun, lepas spa dah siap, aku dah tak akan hubungi dia lagi.

“Siapa?”

“Azeem, kontraktor spa I. Dia nak jumpa esok untuk bagi set lukisan supaya I boleh buat pengesahan dia orang nak mulakan kerja esok malam. I akan pergi pejabat dia untuk sign off.”Aku menjelaskan keadaan sambil berkata dengan nada yang tertahan-tahan.

“I tanya siapa saja. Tak payahlah you terangkan banyak-banyak.” Kata-kata Nazmi membuatkan aku terkesima.

Kalau aku cakap Azeem saja tadi, mesti lagi banyak soalan. Bila aku bagi penjelasan pula, dia kata tak payah bagitahu. Ya ALLAH, kuatkanlah hati ini!

--------------------------------------------------------------------------------------------

“KENAPA akak termenung?” Suara Adila memecah kesunyian ruang tamu.

Aku memandangnya yang hanya berbaju kelawar warna kuning. Bayangan Ima tidak kelihatan di mana-mana. Begitu juga dengan Mak Cik Nor.

“Akak ada masalah?” Adila bertanya lagi apabila melihat aku hanya mendiamkan diri.

“Dila, kalau seseorang tu sayangkan kita, apakah dia akan buat kita terluka?” Aku menyoal tanpa memandangnya.

Gadis itu duduk di sebelah aku dan berkata, “akak, kalau orang tu sayangkan kita, dia akan melindungi kita. Dia tak akan sakiti kita dan dia tak akan biarkan kita terluka.”

Aku menoleh ke arahnya. “Kalau dia sentiasa buat hati kita terluka?”

Aku nampak Adila merenung ke arah aku. Agaknya cuba mencari maksud yang tergambar di wajah ini. Nampak sangat ke muka kecewa aku ni?

“Pada Dila, seseorang yang sayangkan kita tu tak akan buat hati kita terluka kak. Sesekali tu mungkinlah kan, sebab sesuatu perhubungan tu tak mungkin tak ada pasang surutnya...” jelas Adila.

“Akak ni cakap pasal teman lelaki akak tu, ya?” sambung Adila semula sambil menepuk bahu aku dengan perlahan.

Tanpa menjawab, aku hanya mengangguk perlahan. Mulanya aku nak merahsiakan daripada mereka tetapi bila memikirkan betapa sesaknya nak fikir seorang diri, aku lepaskan jua akhirnya.

“Akak, Dila faham perasaan akak. Sebenarnya, masa akak gaduh dengan dia dulu tu pun, Dila dah tahu dia macam mana.” Kata-kata Adila membuatkan aku kembali memandangnya.

“Maksud Dila?”

“Sebelum tu, Dila nak tanya akak dulu. Teman lelaki akak tu suka marah akak ya? Maksud Dila, semua benda dia nak tahu, kan? Akak kat mana, akak buat apa, akak dengan siapa...”

Tepat! Memang tepat apa yang Adila katakan. Aku baru perasan bila dengar kata-katanya. Kebelakangan ini, hampir saban waktu Nazmi menelefon aku untuk bertanya. Kalau tak dapat telefon, dia hantar mesej.

“Ha’ah. Selalunya dia akan telefon untuk tanya benda-benda remeh. Kalau akak jawab sambil lewa, dia marah. Kalau akak jelaskan betul-betul, dia marah juga.” Aku mengetap bibir kerana baru nampak apa yang berlaku terhadap diri ini.

“Maaf kalau Dila cakap ya, kak? Dila nampak teman lelaki akak tu macam terlalu melindungi akak. Dia sayang akak tapi dia terlalu takut kalau akak hilang dari pandangannya. Itu sebab, semua benda dia nak tahu...”

“Habis tu, apa akak nak buat, Dila?”

“Akak sayangkan dia?” Adila bertanya.

Aku hanya mengangguk walaupun tiba-tiba datang rasa prasangka dengan perasaan sendiri. Ah, biarlah! Perasaan ini kadangkala sukar untuk diduga.

“Dia ajak akak kahwin.” Aku berkata.

Adila terus melopong. “Kahwin?”

Aku mengangguk lagi.

“Dila rasa bila dia dah kahwin, dia akan bertukar tak perangai?” soal aku.

Adila mengangkat bahunya sebelum menjawab, “entahlah kak. Kita tak tahu apa akan jadi sebenarnya. Pada Dila, semuanya datang daripada hati. Kalau akak boleh terima dia, akak terimalah tapi akak berdoalah banyak-banyak.”

“Betul. Akak masih ragu-ragu sebenarnya. Akak macam tak bersedia nak kahwin.”

“Akak tak bersedia nak kahwin ke atau akak sebenarnya takut nak kahwin dengan dia?” Soalan Adila membuatkan aku terus tersentak dan gadis itu hanya menepuk perlahan bahu aku sebelum berlalu dari ruang tamu tanpa menunggu aku memberikan jawapan.

Aku pasti, sedikit sebanyak aku dapat memahami apa yang Adila cuba sampaikan. Tugas aku sekarang hanyalah berusaha untuk memahami Nazmi selagi terdaya dan berdoa kepada ALLAH SWT untuk dipermudahkan urusan perasaan ini.

Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.