Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
138,809
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 3

AKU menggaru kepala yang diselubungi selendang panjang warna biru. Lebih spesifik lagi, baru dibeli dua hari lepas sebelum aku ke Kuala Lumpur.

Manalah tak menggaru bila abang Shazlan yang sedang bawa kereta Swift milik mama yang kini menjadi milik aku memasuki sebuah perkampungan. Dia nak suruh aku tinggal kat kampung ke?

“Abang! Kata nak pergi rumah sewa terus. Ni nak pergi mana?” Aku mencuit lengannya yang kejap memandu, cuba mengelak semak yang merimbun di tepi jalan.

“Nak pergilah ni.”

“Kat kampung ni ke?!” Aku bertanya separuh menjerit.

Oh tidak! Kenapa aku rasa macam sangat adventure masuk ke dalam kampung ni? Oh TUHAN! Kuala Lumpur ni kan besar, kenapa kampung juga yang abang cari?!

“Nazmi kata kat abang, Hani tak kisah duduk kat mana-mana, asalkan selesa,” jawab abang Shazlan sambil memberhentikan keretanya di sebuah rumah yang nampak… err macam usang tetapi tidaklah seperti nak roboh.

Hmm. Muncungku sudah panjang sedepa. Sampai hati! Aku cakap saja! Nazmi ni jujur ke lurus bendul sangat? Kalau ya pun, carilah perumahan yang nampak kebandaran sikit.

Ini macam… Bukanlah aku memilih sangat tapi rasanya kalau aku lapar tengah-tengah malam, belum tentu aku setuju untuk keluar beli mee segera di kedai. Eh, atap kedai pun aku tak nampak! Oh, tidak!

“Assalamua’laikum!” Abang Shazlan yang berseluar biru dan berbaju kemeja kuning air itu memberi salam.

Sekali imbas, aku rasa macam baju tu tak sesuai langsung padanya tapi itulah pereka fesyen. Bila cakap sikit, ada saja hujahnya. Sudahnya, baik aku diam. Biarlah orang lain yang kutuk, janji jangan kutuk aku.

“Wa’alaikumsalam…” Suara seseorang kedengaran menjawab dari dalam rumah tersebut.

Aku memandang sekeliling sementara menanti tuan rumah tersebut keluar dari rumahnya. Baru aku perasan, rumahnya ini dekat sangat dengan sungai. Hui! Ngeri pula tengok. Kalau hujan lebat, silap-silap boleh banjir!

“Oh. Ni kawan Nazmi, ya?”

Perempuan yang aku rasa lebih kurang sebaya mama itu menghulurkan tangan untuk bersalam. Terus aku membalasnya sambil mengukir senyuman.

“Panggil saja makcik ni, Mak Cik Nor,” katanya sambil mempersilakan kami naik ke rumah. Klasik sangat okey kena naik tangga! Nampak macam seronok saja tinggal kat sini.

“Makcik duduk seorang saja ke?” Abang Shazlan bertanya setelah kami duduk di ruang tamu yang selesa dengan perabot lama. Aku memandang penuh minat ke arah set sofa yang berstrukturkan rotan itu.

“Taklah, makcik duduk dengan dua orang lagi, seorang tu anak saudara makcik dan yang seorang lagi tu, kawan dia,” kata Mak Cik Nor.

“Makcik ni saudara Nazmi ke?” Giliran aku pula bertanya. Rasa pelik pula dari tadi aku hanya diam membisu. Macam abang Shazlan pula yang nak duduk sini, bukannya aku.

Mak Cik Nor menggeleng perlahan sambil tersenyum. “Makcik ni kawan mak dia. Dulu kami sama-sama mengaji kat sekolah. Kebetulan makcik terjumpa Nazmi hari tu, dia ada cerita nak cari rumah sewa untuk kawannya.”

Terharunya aku! Tak sangka Nazmi bersungguh-sungguh tolong cari. Ni yang bertambah sayang aku padanya. Moga-moga perpindahan aku ke Kuala Lumpur ni akan menjernihkan kembali perhubungan ini. Amin…

“Terima kasih banyak makcik sebab dapat sewakan bilik di rumah makcik ni. Hani harap, Hani tak susahkan makcik,” ujarku sambil tersenyum.

Rasa lega sangat bila dapat tinggal dengan seseorang yang berusia seperti mama! Sekurang-kurangnya taklah bersarang rasa rindu ni nak balik Kuantan. Tambahan pula, dengan kehadiran Mak Cik Nor, aku rasa lebih selamat dalam rumah ni.

Tidak sampai sepuluh minit kemudian, abang Shazlan meminta diri untuk pulang. Aku terus turun ke bawah untuk mengambil beg dan sedikit buah-buahan yang dibekalkan oleh mama untuk diberikan kepada tuan rumahku.

“Abang balik dulu. Jangan nakal-nakal tau! Jangan menyusahkan makcik tu. Kalau lapar, buat sendiri. Jangan mengada-ngada! Jangan…”

“Yelah abang! Hani tahu. Dahlah, pergi balik! Hish, abang ni bising mengalahkan mama!” Aku mengetap bibir menahan geram.

Abang Shazlan tidak mempedulikan kata-kata aku. “Esok abang datang dengan Nazmi bawa kereta Hani. Suruh dia bawa Hani jalan-jalan untuk biasakan diri bawa kereta di Kuala Lumpur ni. Kat sini, orang bawa kereta macam dekat medan perang. Semuanya kelam kabut dan laju.”

Aku menghamburkan tawa selepas mendengar ayatnya. “Yelah abang. Nanti Hani suruh Nazmi buat kelas memandu khas untuk Hani seorang. Terima kasih tau hantarkan Hani. Esok Insya-ALLAH jumpa, ya?”

Selesai menyalami abang Shazlan, aku terus mengheret beg naik ke rumah. Pergh! Banyak ni guna tenaga sebab kena naik tangga. Terus teringat kenangan semasa di UiTM Seri Iskandar. Berkali-kali terpaksa turun naik ke bilik membawa barang. Manalah tak kurus macam tu, senaman wajib setiap pelajar.

------------------------------------------------------------

“ALHAMDULILLAH. Semuanya okey mama,” ujarku pada mama yang menelefon aku tepat jam sepuluh malam tadi.

Manalah tak okey kalau dapat makan malam bersulamkan nasi dan ikan keli lemak cili api. Ada tambahan lauk pucuk paku berlada, terung pipit rebus dan ikan pekasam goreng pula tu! Walaupun meluap-luap rasa nak tambah nasi, tapi aku pendamkan saja. Malu-malu lagilah kononnya!

Mujurlah anak saudara Mak Cik Nor, Adila dan temannya, Ima sangat ramah. Kedua-duanya enam tahun lebih muda daripada aku dan kini bekerja di pasaraya Ong Tai Kim.

“Dah bayar duit deposit rumah?” tanya mama.

“Dah, Hani ingat macam nak bagi lebih saja sebab makcik tu masak sekali untuk Hani. Rasa tak sedap pula macam makan percuma,” kataku.

Mama ketawa kecil di hujung talian. “Takpe, mama rasa makcik ikhlas nak masak. Nanti bila-bila Hani ada di rumah, Hanilah pula masak. Ataupun kalau tak nak rasa serba salah, Hani belikan barang-barang dapur.”

“Ha’a kan? Bijaklah mama ni! Okey nanti Hani buat macam tu.” Aku tersenyum senang.

Sejak makan malam tadi, aku rasa kekok kerana bimbang diri ini hanya menyusahkan mereka sebab aku hanya membayar duit sewa rumah dan pastinya tidak termasuk dengan pakej makan minum. Nak bertanya, segan pula.

“Jangan lupa tau, lusa pergi jumpa Aunty Sofie. Mama pun akan pergi sana, nak bincang dengan dia untuk cawangan baru ni. Nanti mama nak Hani bincang dengan kontraktor yang akan buat rekabentuk baru spa kita.”

Aku mengerutkan dahi sebelum menyambung kata, “kenapa buat rekabentuk baru? Bukan ke ikut macam spa di Mid Valley?”

“Mama nak buat lain sikit. Perbaharui konsep. Lagipun, pelan kedai di KL Festival lebih besar. Ini kan baby Hani, jadi mama nak Hani yang buat pilihan untuk rekabentuk dan dekorasi,” ujar mama panjang lebar.

Pergh! Bunyinya macam berat saja? Aku mula rasa resah. Sesekali berkeriut bunyi papan rumah apabila aku berjalan ke arah katil bujang untuk membaringkan diri. Bilik tengah ini hanya mempunyai sebuah almari kayu, katil bujang dan meja kecil serta sebuah kerusi.

“Betul ni? Mama tak kisah kalau Hani yang tentukan konsep baru spa?” Aku bertanya.

“Ya, mama percayakan Hani.”

Aku ketawa kecil. “Mama tak kisah kalau Hani buat konsep funky? Ala-ala retro 60-an? Atau ala-ala warna pakaian abang Shazlan?”

“Hani! Ish budak ni. Jangan lari daripada objektif tahu. Ni spa untuk muslimah.” Mama meninggikan suara.

“Ye, baiklah Puan Salwa. Saya faham. Esok saya jumpa Puan Sofie dan bincangkan perkara ini, ya?” Aku mengusik mama sambil menahan ketawa.

Ah! Rindunya aku kat mama! Ni yang rasa nak balik Kuantan. Siapalah nak jaga mama dan abah kat sana? Kan bagus kalau mereka pun pindah sini. Lagipun nenek dah tiada sejak tiga tahun lepas. Mungkin abah ada alasannya yang tersendiri.

“Hani ni tambah nakal ya sekarang?” Mama ketawa kecil.

“Saja nak manja.”

“Duduk sana baik-baik tahu. Jangan menyusahkan Mak Cik Nor. Jangan nakal sangat. Kalau lapar buat sendiri. Jangan selalu bertengkar dengan Nazmi…”

“Ya ALLAH, kenapa ayat mama sama dengan abang Shazlan ni?” Aku menepuk dahi.

Mama ketawa dengan lebih kuat. “Bagus anak mama yang seorang tu. Dia tiru bulat-bulat apa yang mama pesan untuk Hani.”

Tercetus ketawa aku apabila mendengarnya. Ada-ada saja mereka berdua ni!

“Mama, nantikan bila Hani dah buat pilihan dengan konsep yang Hani nak, Hani tunjuk pada mama dulu, ya?”

“Okey. Eh, nanti Aunty Sofie akan bagi nombor kontraktor yang buatkan spa Mid Valley dulu tu. Hani jangan lupa hubungi pula.” Mama memberikan pesanan yang aku rasa dah berpuluh kali aku dengar malam ini.

“Kontraktor Melayu ke atau Cina atau India?” Aku bertanya.

Resah juga kalau kena cakap Inggeris ni. Dah lama aku tak speaking! Mahu terbelit-belit lidah kejap lagi. Nama saja pengurus cawangan, tapi… Alahai, malunya!

“Melayu. Cakap melayu sajalah Hani kalau tak yakin cakap Inggeris. Ini kan Malaysia.” Mama berkata.

Aku tersengih mendengar kata-kata mama. Tepat dan menusuk ke kalbu! “Baik mama.”

“Okeylah, mama nak tidur dah. Jangan lupa ambil wuduk sebelum tidur. Jangan lupa baca doa. Jangan letak kipas tu hala tepat ke muka. Jangan lupa gosok gigi!”

Alahai, mama oh mama!

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.