Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
138,784
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 7

IKHWAN hanya memandang saja Azeem yang masih tersenyum seorang diri itu. Dari sejak tiba di rumah ibu mertuanya lagi, wajah Azeem nampak bercahaya dan sesekali ketawa tanpa sebab.

Majlis tahlil yang diadakan untuk arwah isterinya dan ayah mertuanya itu berjalan dengan lancar selepas Isyak sebentar tadi. Kini, ahli-ahli surau dan jiran berdekatan dijemput untuk menjamu selera.

“Azeem, kenapa aku tengok kau tersengih dari tadi?” Ikhwan menghampirinya sambil menatang sepiring puding karamel.

Azeem memandang sahabat baiknya yang sedang mampir dan duduk di sebelahnya. “Aku teringat hal tadi.”

“Hal apa?”

“Ada benda jadi sebelum kau naik kereta aku.”

Ikhwan mengerutkan dahi. Oh, patutlah masa aku tengah masuk dalam kereta, Azeem sedang ketawa seorang diri, fikirnya.

“Kau nak kongsi cerita ke tak ni?” Ikhwan menyoal dan sesekali dia menyuap puding ke mulutnya.

Matanya melilau mencari satu-satunya anak perempuan dia dan arwah isterinya. Anaknya sudah berumur dua tahun, genap pemergian arwah isterinya yang meninggal dunia akibat komplikasi rahim ketika melahirkan anak sulung mereka.

Ikhwan redha dengan ketentuan tersebut dan kini dia berusaha seorang diri untuk menjaga anak perempuan mereka. Setiap hari, dia tidak pernah lupa untuk membaca doa buat arwah isterinya kerana cintanya masih utuh.

“Ada perempuan salah naik kereta aku,” kata Azeem.

Ikhwan ketawa kecil sebelum membalas, “habis tu, kau buat apa?”

“Aku senyap saja sebab aku terkejut. Tiba-tiba saja dia masuk sambil marah-marah. Siap jerit lagi. Lepas tu baru dia perasan yang dia silap masuk kereta.”

“Ya ALLAH, kalau jadi kat aku tu, malunya!” Ikhwan masih dengan sisa tawanya.

Azeem tersengih. “Itulah. Aku nak gelak tapi mesti dia tengah malu gila. Jadi, aku kawal sajalah.”

“Perempuan tu terus keluar ke lepas dia perasan?”

Azeem mengangguk pula. “Dia minta maaf dan terus keluar daripada kereta. Aku rasa, dia dengan boyfriend atau suami dia kot. Sebab aku nampak lepas tu dia pergi ke kereta belakang. Sama kereta dengan aku.”

“Emm, patutlah…”

“Mana anak kau?”

“Tadi ibu mertua aku ambil. Mana entah dibawanya.” Ikhwan berkata.

Dia bersyukur kerana setelah ketiadaan arwah isterinya, ibu mertuanya dapat menjaga cucunya itu ketika Ikhwan keluar bekerja. Hanya sesekali Ikhwan pulang ke Perak dan membawa anaknya itu berjumpa ibu bapanya yang masih tinggal di sana.

“Ada hikmah agaknya aku bawa kereta hari ni.” Azeem tiba-tiba berkata. Dia merenung ke arah sesuatu di hadapannya.

“Ye kot. Sebab kalau tak salah aku, kau cakap nak bawa motor, kan?”

Azeem mengangguk. “Aku sebenarnya lupa yang anak kau ada kat sini. Aku ingat ada dengan kau, tu sebab aku bawa kereta.”

“ALLAH nak bukakan hati kau.” Kata-kata ringkas yang keluar daripada mulut Ikhwan menyebabkan Azeem tersenyum kecil.

Dia pasti, hatinya masih belum terbuka. Hanya seorang gadis yang pernah membukanya dahulu tetapi dia yang melepaskan peluang tersebut. Setelah itu, hatinya terus terkunci. Percaturan takdir menentukan kehidupannya kini.

-------------------------------------------------------------

JANTUNG aku mula berdebar tatkala melihatkan kereta Swift yang dibawa oleh Nazmi petang tadi ada di perkarangan rumah sewa. Aku menjeling ke arah jam. Sudah jam sepuluh.

Nasib baik abang bawa aku pergi makan malam dulu, kalau tidak tentu boleh terserempak dengan Nazmi. Eh, ke dia ada di rumah?

“Kirim salam pada Mak Cik Nor. Kalau Nazmi ada, bawa-bawalah berbaik. Korang berdua ni asyik bergaduh saja.” Aku menyambut huluran tangan abang Shazlan yang belum tamat bebelannya dari tadi.

“Insya-ALLAH. Tahulah Hani nak buat apa.”

Abang Shazlan memandang tajam. “Sikit-sikit tahu. Kalau tahu, takdenya Hani telefon abang minta tolong tadi.”

Bertuah punya abang! Giliran aku pula memandangnya. “Jadi, abang nak biarkan saja adik abang ni ke hulu ke hilir kat Greenwood tadi tanpa arah? Bila dah kena culik baru menyesal?”

“Hani!”

Sudahlah! Aku menghempas pintu kereta. Malas aku nak layan abang yang tak habis-habis nak back up Nazmi. Abang sajalah yang jadi girlfriend Nazmi macam tu!

Aku cepat-cepat menaiki tangga rumah. Setelah memberi salam, aku terus masuk. Saspens juga rasa. Manalah tahu, Nazmi ada tercongok kat dalam rumah. Namun, tak nampak pula kasut lelaki kat tangga rumah ni.

Hanya ada Adila dan Ima di ruang tamu sedang menonton televisyen sambil melipat kain. Bayangan Mak Cik Nor entah di mana. Yes! Nasib baik mamat tu tak ada.

“Oh? Akak dah balik?”

Aku memberikan senyuman ke arah Adila yang bertanya. Tanpa membalasnya, aku menuju ke bilik dan bercadang untuk membersihkan diri dahulu sebelum kembali ke ruang tamu.

Ingatan aku masih lagi di sekitar pergaduhan aku dan Nazmi. Berselang seli juga dengan peristiwa salah naik kereta. Aku menepuk muka dengan bantal. Malunya! Minta-mintalah aku tak akan jumpa lelaki itu lagi.

Selepas solat Isyak, aku kembali duduk bersila di atas katil dan menyapu krim malam. Ingatan aku kembali diterjah seraut wajah lelaki yang aku jumpa secara tidak sengaja akibat salah menaiki kereta tadi.

“Ya ALLAH!” Aku menekup mulut yang menjerit secara tiba-tiba setelah teringatkan sesuatu.

“Dia…? Tak kan dia?” Tubuhku mula rasa seram sejuk! Ish, kenapa meremang tiba-tiba ni?

Aku cuba mengingati sesuatu tetapi belum berjaya. Namun, aku pasti dia adalah lelaki itu. Mungkin tadi aku tak perasan sebab dia pakai songkok tapi panahan matanya benar-benar mengingatkan aku tentang seseorang.

Pelanduk dua serupa? Hmm, mungkin juga. Mungkin aku terlebih fikir sampai nampak rupa yang sama tetapi berbeza. Biarlah, benda nak jadi. Aku melangkah keluar dari bilik dengan penuh longlai.

“Akak, tadi boyfriend akak datang bagi kunci kereta dan ni.” Adila membawa sejambak bunga ros merah jambu dan sebuah bungkusan.

Berkerut-kerut dahi aku memandang ke arah jambangan tersebut. Ini kes nak pujuk aku ke? Dia tahu aku tak suka bunga ros, kan? Kenapa nak pujuk aku dengan bunga ni? Bunga lain dah tak ada ke?

Aku mengambil jambangan tersebut sambil mengucapkan terima kasih dan tanpa membeleknya, aku meletakkan di atas meja bersebelahan sofa.

“Romantiknya boyfriend akak tu!” Ima berkata. Tangannya masih ligat melipat kain sambil matanya memandang tepat ke arah televisyen yang sedang menayangkan drama Indonesia.

“Romantik?”

Adila pula mengangguk. “Dia kata akak merajuk sebab dia tak beli barang yang akak nak. Lepas tu masa dia nak pergi belikan untuk buat kejutan, akak dah hilang.”

Hah?! Oh TUHAN! Cerita dongeng apakah ini? Cerita kayangan manakah yang aku dengar ni? Aku? Merajuk? Tak dapat barang yang aku nak? Apa?!

“Emm…” Hilang habis semua perkataan yang aku nak cakap. Rasa nak lempar saja bunga ni keluar daripada tingkap!

“Takdelah merajuk mana pun. Akak pergi tandas. Akak ingat dia dah balik sebab sebelum tu memang kami cadang nak balik. Bila pergi tempat parkir kereta, dah takde pula kereta. Nak telefon, bateri akak habis. Salah faham saja.”

Ikut koranglah nak percaya atau tidak cerita aku ni. Nazmi buat kisah dongeng, aku pun buat kisah yang sama. Moga-moga korang tak pening. Kasihan, tak pasal-pasal terbabit sekali.

“Ambillah ni ya? Akak tak makan cokelat sangat.” Aku menghulurkan sekotak cokelat Ferrero Rocher yang baru dibuka bungkusannya.

Nak umpan aku dengan cokelat? Lelaki ni tak ada modal lain ke? Bunga. Cokelat. Bunga. Cokelat. Bagilah benda lain sikit! Sikit pun hati aku tak terusik. Ya, memang aku kejam!

“Aik, akak tak nak ke?” Adila bertanya sambil menyambut huluran cokelat daripada aku.

“Cukuplah satu.” Untuk menyenangkan hati mereka, aku hanya mengambil satu saja cokelat.

“Terima kasih tau akak.”

“Sama-sama. Eh, makcik mana?” Giliran aku pula bertanya.

“Dah tidur. Tadi katanya pening kepala,” Ima menjawab.

Setelah itu, kami semua mendiamkan diri sambil mata terus tertancap ke arah televisyen. Sesekali terasa berderau darah ini apabila teringatkan lelaki tersebut. Ish, kenangan! Tolonglah pergi dari ingatan ini…

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.