Sepanjang
perjalanan pulang, aku tidak bercakap langsung.
Malah
ketika Roul membuat satu pusingan laknat memasuki simpang, aku segera memegang
papan pemuka secara automatik untuk mengekalkan graviti badanku. Namun aku
langsung tidak menegurnya atas perbuatan yang berbahaya itu.
Secara
jujurnya, aku bukan diam semata-mata kerana terkejut dengan pengumuman Iza dan
Helmi. Memang aku terkejut kerana tiba-tiba sahaja mereka mahu berkahwin. Namun
itu bukan sesuatu yang aneh. Memang mereka sedang bercinta. Mereka akan
berkahwin juga satu hari nanti. Kalau mereka bercinta tanpa mahu berkahwin,
memang sudah lama aku hantar laporan ke JAIS.
Aku
cuma tidak mahu Roul bertanya tentang hal tersebut.
“Fikir
Iza dengan Helmi ke?” tanya lelaki itu tiba-tiba.
Mengeluh.
Aku
baru berharap dia tidak akan bertanya.
“Tiba-tiba
je,” jawabku.
“Tulah,”
dia bersetuju.
“Maksud
aku, aku tahulah Iza dan Helmi akan kahwin juga suatu hari nanti. Tapi aku
ingatkan dia orang nak bertunang dulu. Sekurang-kurangnya kalau dengan
bertunang dulu, mungkin aku akan slowly
digest the fact. Ini macam tiba-tiba nak kahwin,” jawabku.
“Tapi
bagus jugak. Gua pun dah nak rabun tengok orang bertunang.”
“Heh?”
“Orang
sekarang bertunang kalah majlis kahwin. Pelamin, photographer, pengapit. Belum apa-apa, buku akaun dah bolong,” ujar
Roul.
“Ya, tu
belum masuk bab memilih tarikh. Nak nombor cantiklah, apalah. Lepas tu baru
kahwin dua tahun dah menangis-nangis mintak cerai,” aku menyambung.
“Kita
tak akan jadi macam tu kan?” Roul memandangku.
“Jadi
apa?”
“Kita
tak akan jadi pasangan yang cuma bertahan dua tahun, kan?”
Kata-katanya
itu membuat aku menoleh ke arahnya dengan pantas. Sakit leher dibuatnya,
ditambah pula dengan tudung yang aku lilit itu. Usaha untuk bertudung ala Hijabster ini sememangnya merimaskan.
Tiba-tiba aku rindu saat tudung semua orang nampak seragam. Kalau ada bezanya
pun, mungkin seorang bertudung bawal bertatahkan swarovski, seorang lagi hanya
bertudung bawal RM10, sekalipun kalau sekali pandang, tiada siapa yang akan
nampak bezanya.
“Tersekat?”
Roul terkekeh melihat aku cuba membetulkan kedudukan tudung aku.
Tudung
ini ku pakai kerana Roul. Ketika dia melawat temannya yang membuat persembahan
di Pekan Frinjan, Roul melihat ramai gadis bertudung di situ yang menggayakan
stail Hana Tajima. Kerana itu dia membelikan aku beberapa helai tudung
selendang pelbagai warna dan menyuruh aku menggayakannya. Bila aku datang
berjumpanya tanpa menggayakan fesyen itu, dia merajuk dan mula menggunakan
alasan mengarut seperti, “Lulu suruh gua potong rambut dulu, gua ikut je.”
Seingat
aku, dia memotong rambutnya dahulu kerana kecederaan di kepala akibat dihantuk
dengan botol. Sejak bila pula aku terlibat dalam hal pemotongan tersebut? Botol
tu pun bukan aku yang ketuk.
Namun
begitu, disebabkan aku tak mahu lelaki yang satu ini merajuk dengan lebih lama,
aku membuat keputusan untuk belajar memakai tudung cara Hana Tajima melalui
Youtube. Bila melakukannya sendiri, aku sedar kelucuannya. Tentu ramai anak
gadis di luar sana yang ketika ini sedang mengherot-berotkan muka di depan
komputer riba, cuba untuk memahami cara melilit tudung. Mungkin sebelum itu
mereka juga mengherot-berotkan muka cuba belajar membuat solekan gaya artis
antarabangsa.
Tapi
sebenarnya fesyen tudung ini sangat tidak sesuai dengan aku yang kurang sabar.
Aku juga tidak pasti sama ada bertudung begini yang mengajar aku erti bersabar,
atau mungkin peranan sebagai teman wanita Roul yang mengukuhkan kubu kesabaran
aku.
“Lulu
tak jawab soalan gua,” kata Roul tiba-tiba.
“Ya,
Roul. Kita tak akan jadi pasangan yang bertahan selama dua tahun saja,” jawabku.
Lelaki
itu tersengih sendiri.
“Sukalah
tu? Suka. Suka sangat,” aku mengusiknya.
Roul
tidak membalas kata-kataku. Dia terus tersenyum sendiri sambil memotong kereta
lain satu demi satu. Aku sudah selalu menasihati lelaki ini supaya memandu dengan
lebih cermat. Dia juga akur dengan permintaanku, tetapi biasanya dia hanya akan
ingat selama lima minit yang pertama sebelum kembali memecut macam tikus
terdesak. Aku sudah terbiasa dengan brek mengejut, yakin suatu hari nanti, kami
mungkin akan mati di jalan raya bersama seperti Nicole Scherzinger dan Lewis
Hamilton.
Aku
bukan kata Nicole Scherzinger dan Lewis Hamilton sudah mati, mahupun menyamakan
diri aku dengan Nicole Scherzinger, kerana itu adalah perasan cantik tahap
kronik. Maksud aku, kelajuan Roul yang mencapai tahap pelumba profesional itu
sama seperti pelumba profesional itu sendiri dan kalau kami mati di jalan raya,
kami tidak ubah seperti...
Kenapa aku bersusah-payah
menjelaskan hal ini dengan diri sendiri?
Perjalanan yang sepatutnya memakan
masa dua puluh minit itu berjaya menjadi sepuluh minit sebaik sahaja kami tiba
di depan rumah sewaku. Boleh dikatakan kadar kelajuan pemanduan Roul ini adalah
seperti Kamus Dewan yang dipermudahkan menjadi Tesaurus. Aku memang tidak sabar
untuk menunggu Iza pulang supaya kami boleh bercakap tentang hal ini secara
lebih peribadi daripada pengumuman dramatiknya ala sidang media pelakon popular
sebentar tadi. Namun dalam masa yang sama, aku juga tidak mengharap aku akan
sampai ke rumah seawal ini hanya kerana teman lelakiku mempunyai impian yang
tidak kesampaian untuk menjadi Fujiwara Takumi.
Aku
baru saja menanggalkan tali pinggang keledar dan meminta diri untuk keluar
apabila Roul memanggilku.
“Lulu.”
Aku
menoleh, memandangnya dengan mengangkat keningku.
“Bila
kita nak kahwin?” tanya Roul.
Wajahnya
serius.
“Jumpa
mak bapak aku pun belum lagi, nak cerita kahwin apahal?” usikku.
“Jadi,
bila nak bawak gua jumpa mak bapak Lulu?” serentak itu dia bertanya, wajahnya
masih serius.
Aku
memandang dia seketika, menunggu waktunya riak serius itu retak dan bertukar
jadi tawa gurauan. Namun hal itu tidak berlaku. Roul memang menanyakan soalan
yang serius.
“Nanti
kita bincanglah,” jawabku akhirnya. Itu saja yang dapat aku fikirkan tatkala
ini.
Roul
mengangguk-angguk sendiri. Melihatkan dia tidak lagi mengatakan apa-apa, aku
meminta diri untuk kali kedua, menutup pintu kereta dan melambai padanya. Dia
memberikan anggukan kepadaku, (cara Roul yang biasa, padanya lambaian itu satu
perkara yang tidak kelelakian). Kemudian dia terus memecut pergi, meninggalkan
kesan tayar terbakar di selekoh hujung taman perumahanku.
Ada
lebih kurang lima kesan tayar terbakar yang sudah menjadi parut di atas jalan.
Aku yakin semuanya onar Roul.
Mengeluh.
Aku
tidak tahu apa yang aku keluhkan tatkala itu. Mungkin pada cara Roul memandu,
atau mungkin pada soalan Roul tentang perkahwinan. Pengumuman yang dibuat oleh
Iza dan Helmi tadi sudah cukup buat aku terkejut, aku tidak perlukan hal lain
untuk difikirkan.
Mungkin
orang tidak faham kenapa aku perlu memikirkan hal perkahwinan Iza dan Helmi.
Mereka sememangnya patut berkahwin. Aku juga sedar hal dan kemungkinan itu
ketika kali pertama aku mendapat tahu bahawa mereka sudah bercinta. Namun
menyedari hal itu dan menghadapinya adalah dua perkara berbeza. Seseorang boleh
membayangkan kesukaran hendak muntah. Tetapi kepenatan rahang dan sesak di dada
selepas mengeluarkan isi perut melalui mulut akibat salah makan itu hanya akan
muncul apabila anda benar-benar muntah.
Baiklah,
analogi itu agak menjijikkan dan tidak sesuai disamakan dengan sesuatu yang
indah seperti perkahwinan Iza dan Helmi, namun aku tidak tahu apa lagi yang
sesuai untuk aku gunakan. Fikiran aku buntu.