Keadaan bermula dengan biasa saja pagi
keesokan harinya. Masni tidak akan kata keadaan jadi lebih baik kerana dia
tidak yakin peristiwa semalam akan dilupakan begitu mudah. Namun begitu, dia
mencuba sedaya upayanya untuk tidak membuat sebarang masalah, sama ada
disengajakan atau tidak.
“Selamat pagi, Jane,” ucap Masni sebaik sahaja dia tiba
di pejabat.
“Morning, Mas,”
balas Jane seperti biasa.
“Selamat pagi, Bad,” ucapnya pada Badariah pula yang
sedang membuat salinan fotokopi di mesin yang terletak berdekatan dengan meja
Jane.
“Pagi Mas!” Badariah bernada ceria.
“Selamat pagi Eli.”
Tiada jawapan.
“Selamat pagi, Hasrin.”
“Ha? Apa? Oh, pagi,” Hasrin melirik ke arah Elina yang mengerut
dahinya. Pasti Elina tidak suka Hasrin menjawab ucapan Masni sekalipun hanya
selamat pagi.
“Pagi,
Eloise,” ucap Masni kepada Eloise yang baru tiba.
“Whatever,” balas Eloise. Elina tergelak dan kemudian berdehem.
Masni beristighfar dalam hati lantas mengambil tempatnya
di sebelah Badariah yang baru kembali dengan beberapa salinan fotokopi yang
baru dibuatnya tadi.
“Mas, hari ni kena keluar pergi mana-mana?” tanya
Badariah.
“Tengah hari nanti Mas kena pergi hantar invois kat
Dayabumi.”
“Oh, boleh Bad ikut tak? Bad kena pergi pejabat Jobstreet
tapi kereta Bad kat bengkel. Boleh tak Mas drop
Bad kat Jobstreet? Lepas tu kita boleh pergi lunch sama-sama,” ajak Badariah.
Masni merenung wajah gadis itu. Selepas kejadian tempoh
hari, dia masih rasa was-was dengan Badariah. Tapi tiada apa-apa yang
mencurigakan tentang gadis ini. Badariah tersenyum mesra memandangnya dan ada
reaksi penuh mengharap agar Masni membantunya. Mungkin Masni saja yang terlalu
paranoid. Lagipun, dia juga tidak boleh terus rasa curiga pada Badariah. Mereka
teman sekerja dan Masni masih lagi mentor gadis itu.
“Boleh jugak,” jawab Masni.
“Yay, Mas memang awesome
lah!” Badariah tersengih gembira.
Tengah hari itu mereka keluar bersama ke destinasi
masing-masing. Selepas menghantar Badariah ke Jobstreet, Masni meneruskan
perjalanan ke Dayabumi dan kemudian meneruskan perjalanannya ke Maju Junction
untuk makan tengah hari bersama teman sekerjanya itu.
Suasana di Pesona Food Court agak lengang memandangkan
jam sudah pun menunjukkan pukul 2.30 petang dan waktu makan tengah hari untuk
mereka yang bekerja sudah lama selesai. Kalau ada pun kebisingan yang sesekali
kedengaran, hanyalah tawa Badariah saat dia bercerita tentang punca keretanya
di bengkel.
“Lepas tu Bad cakap, kalau Bad sudi keluar dengan dia,
sampai bila pun kereta Bad tak siap. Mamat tu terus blah. Bad tak tahulah, Mas.
Bad bukanlah cantik mana pun, tapi ramai betul yang nak pikat Bad. Masalahnya
semua yang nak pikat Bad tu mesti mekanik la, polis trafik la, pekerja delivery la.”
Masni senyum semata. Dia malas hendak memberitahu
Badariah bahawa semua yang disebutkan itu bukanlah perkara ganjil. Pekerja
penghantaran mana yang tidak pernah mengusik pekerja pejabat? Mereka memang
suka main-main cinta tapi itu tidak bermakna mereka serius. Bergurau manja
dengan wanita merupakan cara mereka menghilangkan tekanan kerja. Kalau Masni
hendak hitung semua pekerja penghantaran, mekanik, polis trafik, peniaga di
pasar malam dan mat rempit yang memikatnya dan mengambil serius kata-kata mereka,
pastinya dia boleh menandingi jumlah teman lelaki Paris Hilton. Tapi dia diamkan sahaja.
“Kenapa Mas diam? Mas masih tension pasal semalam ya?” tanya Badariah.
“Ha? Tak adalah,” jawab Masni dengan perlahan.
“Mas, Bad tahu Bad ni bukanlah sesiapa pada Mas. Tapi
kalau Mas ada masalah, cerita saja dengan Bad. Bad tahu semalam dia orang marah
dengan Mas sebab Mas dah buatkan diaorang nampak buruk kat mata Encik Saleh.
Tapi itu salah dia orang sendiri. Siapa suruh tak compile kerja. Dah tahu setiap tahun pun kena buat kerja tu,
sediakanlah dari awal, kan?” ujar Badariah, sambil memotong ayamnya dengan
bersungguh-sungguh, menunjukkan rasa geram.
“Bukan itu masalahnya, Bad. Mas tahu diorang tak suka Mas
sebab Mas orang luar. Mas masuk jabatan dia orang sebab Encik Saleh yang
rekemen,” ujar Masni.
“Apa masalahnya? Bad pun masuk jabatan tu atas recommendation Encik Saleh jugak.”
“Tapi Bad masuk ikut temuduga, bukan dibawa masuk dari
jabatan lain. Dia orang anggap Bad macam ahli pasukan baru. Mas ni macam intruder. Pada pandangan dia orang, Mas
ni macam pekerja kesayangan Encik Saleh sebab pernah sama-sama dengan En. Saleh
kat HR. Mas tak salahkan dia orang. Bad bayangkan macam nilah. Bayangkan Encik
Saleh tu seorang ayah yang beritahu anak-anak dia yang dia ada isteri lain dan
dia orang yang lain tu sebenarnya ada adik tiri. And the father tells them ‘I am going to bring her to this house and I
want all of you to get along’.Mestilah dia orang tak nak. Itu je. Mungkin
kena ambil masa sikit,” jelas Masni.
“Tak bolehlah macam tu. Kita bekerja satu pasukan. Aku
tolong kau, kau tolong aku. Sepatutnya macam tu,” ujar Badariah.
Masni mengeluh panjang. Memang benar apa yang Badariah
katakan.
“Memang betul. Tapi Mas cuma seorang. Dia orang berempat.
Ambil masa untuk Mas cuba yakinkan setiap seorang.”
“Takpe, Mas. Bad ada. Jangan risau,” ujar Badariah.
Masni mengangguk semata. Dia lelah menghadapi keadaan
tersebut. Dia cuma mahu bekerja dengan baik, kumpul duit untuk masa depan dan
pulang ke rumah dan berehat. Dia tidak mahu terbabit dalam permainan politik di
pejabat yang menyesakkan ini. Tapi entah bagaimana, dia yang menjadi fokus
konflik di jabatannya.
Mujur Badariah ada.
Namun betapa
salahnya Masni kerana menurunkan kubu pertahanannya di depan Badariah.
Sedikit pun dia tidak terfikir bahawa Badariah akan
menjadi Yoshira kepada Kim Gyeong-seonya. Tidak, Badariah lebih teruk daripada
Yoshira dalam Pertempuran Chilchonryang 1597. Sekurang-kurangnya Yoshira
mengambil masa yang lama sebelum mengkhianati Kim Gyeong-seo dengan mendedahkan
bahawa dirinya masih setia dengan pemerintahan Tokugawa Hideyoshi. Namun
Badariah hanya memerlukan masa dua jam sebelum dia mengkhianati Masni dan
memberitahu yang lain apa yang Masni katakan pada waktu makan tengah hari. Malah
lebih teruk lagi, kerana Badariah juga mengubah dialog Masni sehinggakan
bunyinya seperti Masni mengatakan yang bukan-bukan.
Ya, Masni tidak sepatutnya terdengar perbualan tersebut.
Dia sepatutnya sudah keluar semula untuk bertemu klien. Dia tidak sepatutnya
pulang selepas menghantar invois. Mengikut perancangan awal Masni, dia mahu
keluar menghantar invois, makan tengah hari sendirian sebelum pergi bertemu
kliennya di Jalan Duta. Namun disebabkan Badariah ingin menumpang, dia mengubah
rancangannya, malah menghantar Badariah kembali ke pejabat sekalipun mereka
tersekat di dalam kesesakan trafik selama lebih sejam.
Dia baru sahaja keluar dari kawasan parkir bangunan
syarikat apabila Masni menyedari dia tertinggal diari organisasi syarikat yang
sepatutnya diberikan kepada kliennya. Masni membuat belokan ke kiri, memasuki
simpang lagi satu dan membuat pusingan U untuk memasuki tempat meletak
kenderaan bangunan pejabat yang baru sahaja ditinggalkan sebentar tadi.
Dia ada terfikir untuk meminta bantuan Badariah. Biar
Badariah yang ambilkan diari tersebut dan dia tidak perlu keluar dari kereta.
Namun begitu, dia terfikir ada baiknya dia naik sendiri, mana tahu ada benda
lain yang dia terlupa dan dia sendiri boleh memastikan tiada benda yang lain
tertinggal.
Masni menyesal kerana muncul kembali di pejabat. Mungkin
lebih baik untuk dia, kerana dia akhirnya tahu siapa yang paling dia tidak
patut percaya. Namun lebih buruk juga untuknya, kerana kini dia sedar dia tidak
boleh mempercayai sesiapa.
Jabatan pemasaran terletak di bahagian hujung lorong yang
menempatkan dua jabatan lain. Untuk memasuki kawasan pemasaran, anda perlu
melepasi pintu cermin dan sebuah rak besar yang menutupi bahagian tersebut dari
pandangan umum. En. Saleh sengaja membiarkan rak tersebut di situ supaya
sesiapa yang lalu tidak akan dapat mengintai ke dalam dengan mudah. Juga supaya
para eksekutifnya tidak mudah terganggu dengan sesiapa sahaja yang lalu lalang
di luar.
Hari itu, rak tersebut membantu Masni mengetahui hal
sebenar tentang rakan sekerjanya.
“She is so
pretentious,” itu perkataan pertama yang dia dengar sebaik sahaja dia
membuka pintu cermin tersebut. Langkah Masni terhenti. Suara tersebut milik
Eloise.
“Berani dia kata kita gang up on her,” sambung gadis
Tionghua itu.
“Eloise, I rasa bila Masni kata there were four of us, and only one of her, she meant that it’s
difficult to gain trust from all four. Which is true.Itu maksud dia, kan
Bad?” tanya Jane, satu-satunya insan yang tidak mudah salah faham dengan
kata-kata Badariah. Dia sahaja yang tidak membenci Masni. Memanglah Jane juga
seringkali salah faham dengan Masni, tetapi itu dari sudut kerja. Jane tidak
pernah membenci Masni tanpa sebab seperti yang lain.
Masni menunggu jawapan Badariah.
“Tak. Dia specifically
kata susah nak lawan kau orang berempat,” ujar Badariah.
Apa? Bila masa pula aku cakap macam tu? Getus Masni dalam
hati.
“See? I rasa
maksud dia ialah dia nak lawan kita berempat tapi dia tak nak buat seorang. Jadi
dia ajak Badariah join dia,” ujar
Elina pula, memberikan pendapatnya.
“Apa lagi yang dia beritahu you?” tanya Eloise lagi.
“Dia kata kau orang tak suka dia sebab Encik Saleh rekemen
dia, sebab dia anak emas Encik Saleh.”
Bukan.
Masni tidak kata begitu. Dia kata dia faham jika mereka salah sangka kepadanya
kerana dia masuk atas saranan En. Saleh dan mungkin dianggap sebagai anak emas.
Kenapa Badariah memutar belitkan ayatnya?
“Anak emas? Anak ikan kot,”
Elina ketawa.
“Perasan anak emas. Dia ingat dia tu siapa? Oh my God, I paling benci spesis perempuan
macam ni. They think they can sashay
their way into other people’s department by targeting the boss’ attention. That
is so cheap.”
“You pasti ke itu dia cakap, Bad?” Jane masih tidak
pasti. Dia masih skeptikal, namun keyakinannya bahawa Badariah cuma salah faham
sudah mula goyah. Dia sudah mula terikut-ikut dengan suara majoriti.
“Bad pastilah, Jane. Bad dekat situ. Bad rasa kesian
jugak bila tengok dia macam sedih je. Tapi betullah apa kata Eli. Masni tak
nampak kesalahan dia. Dia asyik rasa diri dia mangsa keadaan. Bad rasa kalau
nak kerja dengan orang lain, kenalah fikirkan kebajikan orang lain jugak. Tapi
dia tak pernah nak join kita pergi
makan. Dia tak pernah nak berbual dengan kita. Dia sibuk mengendeng-ngendeng Encik
Saleh dan tunjuk pandai, nak tingkatkan produktivitilah... itulah.. inilah.
Macam mana Bad nak kesiankan orang yang tak kesiankan diri sendiri?” ujar
Badariah dengan nada yang lemah lembut.
Sangat lemah lembut. Tidak ubah seperti nada suaranya
ketika dia memburukkan empat orang itu di depan Masni di Maju Junction tengah
hari tadi.
Mungkin Masni patut berbuat demikian. Mungkin dia patut
muncul di depan mereka semua dan memberitahu mereka apa yang Badariah katakan
padanya. Mungkin dia patut menyedarkan Eloise, Elina, Jane dan Hasrin bahawa Badariah
tidaklah semanis wajah dan personaliti yang ditunjukkannya. Di sebalik suara
lembut gadis itu, hatinya lebih busuk daripada bangkai.
Namun benarkah? Benarkah begitu? Adakah benar Badariah
memang busuk hati atau dia yang merasakan sedemikian? Hati Masni mula
membuahkan persoalan. Bukankah benar apa yang Badariah katakan? Masni tidak
bekerjasama dengan yang lain tetapi suka bersendirian dalam melakukan sesuatu.
Dia yang mendedah dirinya menjadi bahan fitnah.
Adakalanya syaitan tidak membisikkan kejahatan dengan
cara yang mudah dan lurus. Adakalanya syaitan di telinga membisikkan
kekeliruan. Itu yang dia rasakan sekarang. Dia keliru apa yang benar dan apa
yang salah. Dia tidak keliru dalam menyedari bahawa Badariah sememangnya sudah
mengkhianati dia. Tetapi dia bingung sama ada dia sendiri bersalah atau tidak
dalam hal ini.
Hal tersebut menyebabkan dia melangkah ke belakang dan
bukan ke depan. Hal tersebut menyebabkan dia meninggalkan pejabat itu dengan
senyap, bagaikan pencuri yang telah melakukan kesalahan. Masni berundur
beberapa tapak sebelum membelakangkan jabatannya dan terus beredar dari situ.
Dia membatalkan temujanji dengan klien buat kali pertama.
Dia tidak perlu menjelaskan kepada Encik Rahim daripada MGIP Capital kenapa dia
terpaksa membatalkan temujanji itu. Encik Rahim menyangka dia tidak sihat
melalui nada suaranya yang agak terketar-ketar dan cara dia mengesat hidungnya
sekalipun dia berusaha menyembunyikannya. Encik Rahim tidak akan sangka dia
sedang menangis dalam keretanya. Kalaupun Encik Rahim tahu, Encik Rahim tidak
akan tahu apa sebabnya dan tidak penting untuk dia tahu. Tidak penting untuk
sesiapa pun tahu bahawa Masni menangis kerana rasa bengang terhadap diri
sendiri, kerana membenarkan dirinya diperbodohkan. Juga kerana membenarkan
dirinya menangis.
Ya, dia menangis kerana bengang kerana menangis!
Dia memandu ke masjid berdekatan, menghabiskan waktu Asar
dan Maghrib di sana sebelum membuat keputusan untuk pulang. Namun dalam
perjalanannya, air matanya jatuh kembali dan syaitan kembali membisikkan
kebencian yang mendalam terhadap Badariah, terhadap Jane dan Eloise, Hasrin dan
Elina, dan terutama sekali kepada dirinya sendiri.
Hormon wanita memang menyakitkan hati!