Jadi? Kau dah bawa Roul jumpa abah dengan emak kau?” tanya Chaq.
“Tak, aku pergi ambil dia kat hospital.”
“Kenapa?”
“Untuk pengetahuan kau, apparently aku bercinta dengan Chan Ho Nam dari ‘The Young and Dangerous’. Romantik dengan cara yang tak difahami dan suka berbincang guna keganasan.”
Aku kembali ke bilik dan segera
menghidupkan komputer ribaku.
“Perempuan, aku nak bincang dengan kau sekejap, boleh
tak?” tanya Chaq, tiba-tiba muncul di muka pintu.
“Kau dah selesai main dam ke?”
“Boyfriend Jis
telefon, jadi aku anggap permainan tu secara rasminya dah tamat,” dia terus
menutup pintu bilik dan menghampiri aku yang sedang duduk bersandar di almari
baju, komputer ribaku berada di atas bangku. Bangku tersebut sepatutnya
digunakan untuk mengambil barang di rak belah atas almari yang tinggi itu.
Namun selepas Iza berpindah, bangku itu secara rasminya menjadi meja kerja aku.
Chaq meletakkan kunci keretanya yang
aku serahkan tadi ke atas meja solek dan terus duduk di atas katil menghadapku.
“Kau nak bincang apa?” aku bertanya, sementara jariku
mengklik pada ikon Microsoft Word.
“Aku dengar dari Jis yang kau pakar dalam bab
menyelesaikan masalah orang.”
Aku tersenyum mendengar kata-katanya.
“Aku tak tahulah kalau perkataan ‘pakar’ tu betul. Aku rasa
aku cuma rajin dan lebih bersabar dalam mendengar cerita mengarut orang lain,”
jelasku.
“Tak kisahlah. Yang penting kau pun ada share dalam menyebabkan Iza kahwin,
kan?”
Aku tarik nafas panjang dan ku hela dengan keluhan.
“Aku memang menyesal,” ujarku.
Chaq ketawa, tahu yang aku masih sukar untuk menerima
kenyataan bahawa dua rakan karibku akan berkahwin dan memiliki keluarga
sendiri. Aku akan jadi orang asing dalam hubungan mereka dan aku sendiri
penyebab hal tersebut berlaku. Aku adalah musuh diriku sendiri. Kenapa tidak
aku perkenalkan Iza pada lelaki lain atau kenalkan Helmi dengan wanita lain?
Kenapa aku memperkenalkan mereka berdua? Sekarang lihatlah dunia, Iza buat
janji untuk hubungi aku semula tapi tak hubungi aku semula sampai sekarang.
Manakala Helmi pula?
Ceh, itu lagi tak guna. Sudah hampir sebulan aku tidak
dengar khabarnya. Aku rasa macam telah dipergunakan untuk kepentingan sendiri.
“Aku ada seorang kawan ni.”
“Lelaki ke perempuan?”
“Lelaki.”
“Handsome?”
“Takdelah sampai level
Aaron Aziz.”
“Sejak bila tahap tertinggi kekacakan lelaki diukur
dengan menggunakan Aaron Aziz?”
“Aku tak tahu, Fi. Trend
masakini. Aku follow like the buffalo
je.”
“Sila teruskan,” aku menyambung sekalipun jari-jemariku
terus menaip artikel yang sudah ada rangka ceritanya. Pertama sekali tajuk.
Kemudian one-liner. Kalau di
universiti dahulu, one-liner
dipanggil sebagai thesis statement.
Aku tahulah, aku ambil jurusan bahasa inggeris!
“Dia ni bolehlah tahan, not in that “droolworthy” sense, tapi kalau ada perkataan MD dalam business card kau, muka penuh jerawat
batu pun perempuan tak kisah. Having said
that, aku bukan kata dia banyak jerawat batu. He is good looking, tapi bukanlah in your face punya handsome.”
Aku berhenti menaip. Bukan pada perkataan ‘good looking’ tapi pada perkataan
sebelum itu.
“MD? Apa masalah seorang pengarah urusan syarikat yang
boleh ditolong oleh aku, seorang novelis yang dah setahun lebih tak keluar buku
baru?”
Chaq senyum bagaikan sudah tahu ini soalan yang aku akan
ajukan.
“Sebab masalah dia berkaitan cinta.”
“Ugh, guna perkataan ‘relationship-related’,
please.”
“Kau ni tak mengagungkan bahasa kebangsaan betul.”
“Aku bukan tak agungkan bahasa kebangsaan, aku cuma ada
masalah dengan perkataan ‘cinta’, ‘perhubungan’, ‘romantis’ atau semua yang
berkaitan. Disebabkan ‘relationship’
tu adalah bahasa lain, perkataan tu tak masuk dalam otak aku sebagai istilah
yang menggelikan.”
“Kau
ni mengarutlah, Safi. Bahasa melayu adalah bahasa yang indah.”
“Ini tak ada kaitan dengan
bahasa. Ini berkait rapat dengan psikologi aku bila dengar perkataan tu.”
“Jadi
selama ni macam mana kau menulis novel cinta kalau kau sebut perkataan yang
mudah macam tu pun tak boleh?”
“Menulis lain...” aku membebel
perlahan, agar Chaq tidak mendengarnya.
Aku boleh tulis perkataan itu. Cinta cinta cinta cinta
cinta sampai mampos. Hati dan perasaan. Jiwa kacau. Gelora asmara. Tidak ada
masalah, asalkan anda tidak minta aku menyebutnya. Andainya aku boleh ubah
perkataan-perkataan itu menjadi manusia, aku boleh bayangkan seorang wanita
berambut ikal mayang dengan gaun putih yang duduk termenung di tepi laut, ada
bunga raya tersemat di telinganya, merenung ke mentari senja sambil mengingati
kekasihnya.
Siap unggun api sekali dan lagu blues 80-an.
Euw. Menggelikan.
“Suka hati kaulah. Relationship-related,”
Chaq buat muka. Kemudian dia menyambung, “Aku ingat kau mungkin boleh tolong
dia sebab dia ni dah sampai ke tahap yang dah tak tertolong lagi.”
“Apa masalah dia?” aku bertanya dengan bosan. Bunyi yang
terlalu dramatik ini biasanya berakhir dengan penjelasan mudah lagi tidak masuk
akal. Sudah berapa kali aku diminta membantu seseorang dan akhirnya kebosanan
mendengar kisah mereka yang kebanyakannya berbunyi;
“Dia kata dia sayangkan saya, kak. Tapi dia tak nak
tinggalkan isteri dia.” (Aku anggapkan ini cerita yang membazir masa).
“Saya dah buat macam-macam untuk dia tapi akhirnya dia
tinggalkan saya dan balik pada boyfriend
dia yang tak guna tu.” (Aku anggapkan ini kebodohan manusia yang tidak perlu
dibantu).
Chaq membetulkan kedudukannya. Telefon pintarnya
dikeluarkan dan dia mula menatal satu paparan demi satu paparan sehingga sampai
ke destinasi yang ingin dituju. Dia menyuakan telefonnya ke mukaku.
Paparan tersebut adalah gambar seorang lelaki yang
berkemeja biru gelap yang disarung di balik rompi JCrew berwarna coklat gelap. Dipadankan
pula dengan seluar jeans berwarna biru dan kasut sniker yang boleh ku agak
mahal harganya. Senyuman yang menawan. Ada janggut yang baru tumbuh dari dagu
dan merayap ke sideburn dengan kemas
dan sengaja dibiarkan sedemikian. Gigi yang tersusun rapi dan putih bersih.
Melihat gambar tersebut bagaikan sedang melihat iklan ubat gigi, deodoran dan
minyak wangi lelaki dalam masa yang sama.
“Masalah dia ni bersangkut paut dengan relationship? Dia gay ke?” aku bertanya dengan mudah.
Aku boleh dengar bunyi nafas Chaq yang tertahan.
“How dare you,
Safi. Lelaki ni terkenal sebagai Bangsar’s
most eligible bachelor. Semua perempuan berebutkan dia.”
Reaksi yang agak dramatik, tapi itu perkara biasa bagi
Chaq.
“Kalau semua perempuan berebutkan dia dan dia pengarah
urusan sebuah syarikat, kenapa dia ada masalah relationship? Melainkan dia suka kaum sejenis, aku tak faham tang
mana yang dia kata masalah tu,” ujarku, mengembalikan semula telefon Chaq.
“Itulah masalahnya, Safi. Dia kata dia ada Mr. Darcy Complex.”
“Ha?” aku terkejut, tetapi dalam masa yang sama aku juga
turut berminat. Aku belum pernah lagi menyelesaikan masalah seorang lelaki
dengan Mr. Darcy Complex. Aku tidak
pernah menemui seorang lelaki yang memiliki karakter Mr. Darcy. Yang paling
penting, aku tak pernah menemui seorang lelaki yang tahu siapakah itu Mr. Darcy, cukup memahami
karakter tersebut sehingga membolehkan dia menggunakan istilah tersebut. Itu
tentunya sumber yang sangat efektif untuk diguna pakai sekiranya aku ingin
menghasilkan novel.
“Dia
sama macam Mr. Darcy dalam Pride and Prejudice tu, lelaki yang kaya dan mudah
disalah faham. Tiga kali dia bercinta, tiga kali juga dia putus cinta,” jelas
Chaq.
“Tapi semua orang pun pernah
putus. Apa masalahnya?”
“Tiga-tiga relationship tu diputuskan oleh pihak
perempuan.”
“Hmm. Tak bagus bunyinya tu.”
“Ya. Aku kenal sangat mamat ni. Bila dia sukakan
seseorang, dia akan layan orang tu tahap VVIP. Bawak pergi shopping, dinner, layan berbual di telefon, hantar bunga. Semuanya
dia buat. Tapi semua relationship dia
tak menjadi dan dia asyik ditinggalkan despite
him being good looking and extremely rich.”
“Good looking and
extremely rich? Itu ke ayat yang dia guna untuk perkenalkan diri dia? Sebab
kalau itu yang dia pakai, memang patut pun dia tak ada girlfriend,” jawabku mudah. Chaq ketawa, sedar bahawa aku cuma
bergurau.
Aku menarik nafas panjang. Skrin komputer riba ku tenung.
Perasaan ingin menulis dan mendengar lebih lanjut tentang seseorang yang tidak
aku kenali bercampur baur.
“Kalau aku setuju nak tolong dia pun, masalahnya aku tak
tahu apa isu dia dan aku tak pasti pun sama ada dia nakkan pertolongan untuk
menyelesaikan isu dia tu. Untuk pengetahuan kau, bukan semua orang respect novelis,” ujarku.
Memang benar. Selama bertahun-tahun aku menjadi novelis
aku dah temui pelbagai jenis manusia. Jika anda ingin tahu apa perkara paling
menarik dalam hidup seorang novelis, jawapannya ialah reaksi orang bila anda
memperkenalkan atau diperkenalkan sebagai novelis.
Ada golongan manusia yang ingin tahu lebih lanjut tentang
pekerjaan anda. Namun begitu, mereka ini golongan yang normal, kerana mendengar
dan bertanya secara lanjut tentang pekerjaan seseorang merupakan etika
komunikasi apatah lagi untuk menghasilkan rangkaian kenalan. Mereka akan
bertanya apa nama pena anda, siapakah penerbit anda, tajuk-tajuk novel anda.
Anda tidak perlu terasa seperti perlu mempertahankan apa-apa kerana mereka akan
bertanya soalan yang hampir sama kepada semua orang.
Ada pula golongan pembaca. Mereka ini golongan yang suka
membaca dan akan bertanya soalan kepada anda sama ada anda mengenal hampir
semua penulis di dunia ini. Soalan seperti “Kenal tak Ramlah Rashid?”, “Kenal
tak Sri Diah?” atau “Kenal tak Cik Sharah Ibrahim?” merupakan rutin biasa.
Pernah sekali, seorang pembaca bertanya, “Kenal tak J.K. Rowling?”, membuatkan
aku tertanya-tanya sama ada sesetengah ahli golongan ini sangka novelis ada
pertubuhan rahsia ala-ala Freemason di mana mereka bertemu dengan semua penulis
di seluruh dunia dan berbual tentang perkembangan terkini dalam sastera atau
kemajuan pembuatan kertas.
Satu lagi golongan aku namakan sebagai golongan Oh. Mereka tidak suka membaca atau
mungkin suka membaca tetapi tidak pernah membaca karya anda, tetapi tidak mahu
anda tahu hal itu. Jika anda memperkenalkan diri anda sebagai novelis, mereka
akan jawab, “Oh.” Kemudian mereka akan cuba bertanya apa buku tulisan anda,
anda akan menyenaraikannya dan mereka akan terangguk-angguk sambil berkata,
“Oh.” Kemudian mereka tercari-cari topik lain untuk diperbualkan kerana mereka
tidak tahu apa yang patut dikatakan.
Lucu sekali apabila membayangkan ada juga jenis manusia
yang rasa canggung bila mereka tidak pernah mendengar nama anda, seolah-olah
novelis akan mengamuk ala diva lalu menjerit, “You tak kenal I? I artis, tahu?”
kalau ada orang tidak kenal siapa dia.
Namun begitu, semua golongan yang disebutkan itu biasa saja
padaku. Apa yang menjengkelkan aku adalah golongan yang seterusnya, yang ku
panggil golongan “Aku lebih baik dari kau”. Golongan ini akan tersenyum pada
anda dengan reaksi simpati bila anda mengatakan anda seorang novelis,
seolah-olah kasihan dengan anda, sebelum mengatakan, “Sorry. Saya tak baca novel-novel melayu ni. Banyak berangan je.”
Biasanya apa yang aku lakukan ialah aku tanya novel apa
yang mereka baca. Jika mereka kata mereka tidak suka membaca, aku biarkan saja.
Tapi jika jawapan mereka adalah “Novel inggeris”, apa yang perlu dilakukan
ialah balas jawapan itu soalan ini dengan bahasa inggeris:
“Oh, novel inggeris? Mesti dah
baca ‘To Kill a Mockingbird’, kan? What
do you make of the bildungsroman theme that Harper was trying to convey? Was it
too literal for you or like me, you think there’s a jene sais quoi in the
writing that no other writer can actually express?”
Kalau mereka jawab belum, tanya soalan ini pula: “Then you must have read ‘Animal Farm’.
Don’t you love how Orwell portrays the err in human behaviour by equating them
to farm pigs?”
Kalau mereka jawab, “Saya tak baca buku tu”, tanya apa
novel yang mereka baca. Jika jawapan mereka adalah nama-nama penulis
kontemporari seperti E.L. James atau Stephenie Meyer, pandang mereka dengan
reaksi simpati sama yang mereka tunjukkan pada anda, kemudian ucaplah, “Oh.
Sorry. Saya tak baca novel-novel inggeris macam tu. Banyak berangan je.”
Kemudian, teruskan perjalanan anda dan berbuallah dengan orang lain.
Dari pengalamanku, spesis manusia yang terakhir ini kebiasaannya adalah kaum adam
yang berpangkat besar dan berpendidikan tinggi, yang biasanya menyangka intelek
mereka seluas lautan. Bukan semua, hanya kebiasaannya. Sama seperti lelaki yang
menyarung rompi J.Crew ini. Aku bukan prejudis. Aku cuma berhati-hati supaya
waktuku tidak disia-siakan.
“Oh, jangan risau. Aku dah beritahu dia. Dia willing to give you a chance,” ujar
Chaq.
“Sanggup bagi aku peluang? Macam lelaki tak guna je
bunyinya,” rungutku.
“Ala, janganlah fikir dia macam tu. Itu memang ayat biasa
dia. Dia employer. Dia selalu guna
ayat tu sampai terbawa-bawa ke luar office.
Minggu lepas dia nak ajak aku keluar minum pun, dia hantar SMS kat aku, ‘Can we schedule an appointment at 8pm at
PappaRich?’ seolah-olah aku setiausaha dia,” jelas Chaq lagi.
“Ha, tu satu lagi aku tak faham. Kenapa tak kau je yang
mengorat dia? Bunyinya macam kau orang rapat je.”
Chaq tersengih mengada-ngada.
“I would, if I
could, but I can’t. Aku ada boyfriend
la,” ujar Chaq.
Aku menoleh dengan sangat pantas ke arah Chaq sampai
tengkuk aku kejang seketika.
“Kenapa aku tak tahu pun? Selama ni aku ingatkan kau...”
“Single?” tanya
Chaq.
“Tak. Kasanova wanita.”
Dia membaling bantal yang elok tersusun di atas katil ke
arahku.
“Kau ni teruklah. Aku mungkin nampak macam bebas tapi aku
setia pada yang satu, okay?” ujar Chaq sambil mengelip-ngelipkan matanya gaya
ratu drama.
Aku buat muka menyampah.
“Anyway, aku
ada boyfriend dan namanya Khaliq. Dia
sepupu lelaki yang aku nak kau tolong ni. Kalau bukan sebab dia orang tu sepupu,
mesti aku dah pasang dua,” ujar Chaq.
“Tadi cakap poyo setia pada yang satu,” balasku.
Aku terdiam seketika, memikirkan hal tersebut sementara
Chaq ketawa berdekah-dekah atas kata-kataku yang tidaklah selucu mana tadi. Ada
bagusnya aku berkenalan dengan lelaki yang Chaq maksudkan ini. Kalaupun
akhirnya aku tidak dapat membantu dia (sebab aku sangat yakin lelaki seperti
itu akan peduli dengan nasihat seorang novelis macam aku), aku pasti boleh
meminta bantuannya jika aku memerlukan apa-apa maklumat tentang kehidupan
golongan elit sepertinya untuk novel yang seterusnya. Mungkin kisah seorang lelaki kaya yang tidak ada tuah dalam
percintaan. Haha!
“Okay,” kataku akhirnya.
“Okay apa?” tanya Chaq.
“Aku terima projek kau ni.”
“Bagus. Nanti aku beritahu Zaniel,” ujarnya sebelum dia
berguling ke hujung katil dan terus bangun di bahagian kiri katil tersebut.
Zaniel? Apa punya nama tu?