Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 4: Aku benci Iza

Iza sampai ke rumah pada waktu malam, dan aku menantinya seperti harimau menghendap mangsa. Aku mengintai saat dia mematikan enjin keretanya, saat dia keluar dan menutup pintu kereta, menekan punat LOCK dan kemudian menutup pagar. Pagar dikunci. Iza kembali berjalan menuju ke arah pintu rumah.

Bunyi mangga dibuka, pintu gril ditarik dan kemudian pintu rumah terbuka. Bunyi kasutnya ditanggalkan dan dia menegur Masni dan Jis yang sudah tentu sedang menonton filem di ruang tamu. Kemudian dia berbual seketika dengan kedua-dua teman serumah itu. Pasti Masni memberitahu Jis tentang perkahwinan Iza yang akan berlangsung dan kini mereka sedang bersoal jawab mengenai hal itu. Iza ketawa. Tawa gembira. Tawa seorang bakal pengantin.

Aku benci Iza.

Aku terpaksa menunggu setengah jam kemudian untuk Iza benar-benar kembali ke bilik. Bilik utama yang menjadi perkongsian aku dan Iza kini sudah berubah bentuk. Katil saiz permaisuri sudah Iza hantar ke rumah keluarganya selepas aku membuat keputusan untuk terus menyewa di rumah itu. Kami membeli katil berkembar kerana aku tidak suka berkongsi katil dengan Iza. Bila tidur berdekatan, aku kerap terdengar perbualannya dengan Helmi. Percayalah, aku tidak menghargai perbualan manja antara pasangan kekasih, apatah lagi apabila teman lelaki aku sendiri mempunyai kemahiran romansa kelas ketiga.

Kalau aku tahu dia akan membuat keputusan untuk berkahwin enam bulan selepas kami membeli katil berkembar itu, aku tak akan habiskan wang beli katil berkembar. Aku hanya akan beli toto!

Iza membuka pintu bilik dan hanya memandang aku tanpa mengatakan apa-apa. Aku rasa dia boleh baca aura di dalam bilik itu. Dia boleh baca fikiran aku dan apa yang aku akan tanya. Dia boleh nampak perkataan KONFRANTASI di dahi aku seperti mana Tunku Abdul Rahman nampak di dahi Bung Karno pada tahun 1962.

Iza menarik nafas panjang. Dia tahu dia perlu berterus-terang dan menjelaskan kepadaku kenapa aku tidak tahu hal ini lebih awal dan kenapa ia perlu dijelaskan dengan mudah bersama Helmi di sebuah restoran mamak, sedangkan dia tahu aku tidak akan cuba menanyakan hal ini sedalam-dalamnya apabila aku bersama Roul. Sebab itu, selepas dia menanggalkan tudungnya, dia terus duduk di sebelah aku dan cuba mencari cara untuk menerangkannya.

“Libang-libu?” tanya aku, separa sarkastik.

“Kau pun tahu aku akan kahwin juga akhirnya,” ujar Iza.

“Aku tahu. Tapi aku assume kau akan bertunang. Aku assume aku akan jadi orang yang ada dengan kau masa mak Helmi sarungkan cincin dan kita akan ada banyak masa untuk lepak sampai waktunya untuk kau kahwin.”

“Kau anggaplah aku dah bertunang sekarang ni dan kita akan ada banyak masa untuk lepak sampai aku kahwin.”

“Tak samalah, Iza.”

“Dari sudut apa yang tak sama?”
“Dari sudut psikologi aku.”

Iza terdiam. Aku tahu dia beranggapan yang aku tidak rasional. Aku pun rasa aku tidak rasional. Aku sedang mempersoalkan niat baik kawan baik sendiri untuk terus berkahwin dan tak habiskan masa dan wang untuk buat majlis pertunangan.

Ini cara aku berfikir. Kalau Iza kata “Aku nak bertunang”, aku akan ada masa untuk setkan otak aku untuk terima kenyataan bahawa kawan baik aku yang aku kenal sejak di sekolah akan bertunang dan berkahwin selepas itu. Aku ada jarak masa antara waktu dia ‘bercinta’ dan ‘bertunang’. Lepas tu aku ada jarak masa antara dia ‘bertunang’ dan ‘berkahwin’. Aku boleh setkan otak aku untuk dua jarak masa. Tapi bila dia kata “Aku nak kahwin”, otak aku telah disetkan kepada idea bahawa dia sudah melepasi tahap pertunangan itu dan dia kini di separuh masa kedua.

Aku tak pasti orang lain faham atau tidak maksud aku, tapi aku peduli apa. Aku faham dan aku tahu Iza juga faham.

Iza cuma menguis kuku. Dia tidak tahu nak cakap apa.

Aku mengeluh.

“Bila kau akan pindah semula ke rumah emak kau?”

Iza mengetap bibir.

“Aku bukan budak kecillah, Iza. Cakap sajalah.”

“Minggu depan,” balas gadis itu.

Macam ada guruh berdentum dalam otak aku. Aku sangka dia akan jawab “Dua bulan lagi” atau “Lepas aku kahwin”. Aku tak jangka jawapan “Minggu depan”. Bunyinya sama macam “Anda dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Esok.”

Aku bangun.

“Kau nak ke mana?” tanya Iza.

Aku tak tahu. But I don’t want to talk to you right now,” balasku.

Ku capai baju peluh yang aku sangkut di kerusi meja solek, menyarung selendang yang masih berkerongsang dan kemudian menutup kepala aku dengan hood yang ada di baju peluh itu. Ia sangat besar kerana ia milik Roul. Aku tahu memakai baju teman lelaki juga dikira mengada-ngada, tapi bau tembakau yang masih melekat di baju itu membuat aku rasa tenang. Seketika aku memahami kenapa orang merokok. Aku tak kata aku menyokong tabiat itu. Aku masih lagi menentang tabiat itu habis-habisan. Tapi aku faham.

Aku tinggalkan Iza di dalam bilik. Aku ambil pesanan daripada Masni dan Jis yang mahukan maggi goreng dengan telur mata. Kemudian aku menyarung selipar jepun dan terus ke restoran mamak berdekatan.

Cuma ada tiga elemen yang boleh menenangkan aku. Pujukan Iza, suara Roul dan teh ais mamak gelas besar. Buat masa ini Iza buat aku rasa geram dan aku tidak mahu mengganggu Roul. Jadi aku cuma ada teh ais mamak gelas besar yang dibuat oleh si Ali.

Baiklah, sebenarnya aku pun tidak pasti namanya memang Ali atau dia tipu aku, sebab aku rasa kebanyakan pekerja kedai mamak berbangsa Bangladesh dipanggil Ali seolah-olah mereka tak ada nama lain. Ali, atau gelaran aku padanya, Saif Ali Khan. Yang juga ada perkataan Ali di dalamnya.

Ini bukan kenyataan berbaur rasisme. Aku cuma tertekan.

Mungkin aku patut beli Ipad.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.