Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 17: Masni dan Kuih Talam

Sukar menjadi seorang wanita Melayu, fikir Masni.

Tidak. Lebih sukar menjadi wanita Melayu yang ingin proaktif, berjaya dan maju ke hadapan. Sukar sekali, kerana sikap sesetengah orang Malaysia sendiri yang suka memperkotak-katikkan usaha orang lain, yang dengkikan kemajuan orang lain dan sentiasa tidak berpuas hati dan melihat diri sebagai mangsa keadaan. Sukar bekerja dalam suasana di mana anda boleh dibenci hanya kerana menjadi diri sendiri, bila apa saja kebaikan yang cuba anda tunjukkan dibalas dengan “Nak membodek la tu” dan usaha anda untuk tidak masuk campur dalam gosip-gosip terkini hanya dibalas dengan “Ya, kita semua ni setan. Dia tu seorang sajalah malaikat.”

Itu perkara biasa yang Masni yakin semua orang pernah hadapi. Dia sedar itu lumrah bekerja di pejabat. Tentu ada yang tidak berpuas hati, tentu ada yang cuba menjatuhkan anda dan bukan semua orang boleh dianggap kawan.

Dia pernah mendengar penjelasan Safiah tentang kenapa novelis itu tidak mahu bekerja di pejabat.

“Pertama sekali, kau ada beberapa jenis majikan. Majikan yang mungkin nak membantu adalah majikan yang terbaik. Tapi kerja pejabat ni ada macam-macam jenis majikan mazmumah. Ada majikan yang pilih kasih, pentingkan tukang kipasnya dan golongan yes man. Ada majikan yang mudah terpengaruh dengan orang lain dan cuma mendengar masalah dari sebelah pihak saja dan buat keputusan guna kepala lutut instead of guna otak. Ada pula majikan yang garang tak bertempat, yang suka buat keputusan salah dan lepas tu salahkan orang lain atas keputusan dia yang salah, sebab dia tak ingat dia yang dah buat keputusan tu.”

“Kedua, ketua jabatan. Kau mungkin ada majikan yang baik, tapi ketua jabatan yang haramjadah. Contohnya, ketua jabatan yang ambil semua pujian atas kerja kau tapi marah kau bila ada kerja tak betul. Kau buatlah seratus kerja bagus pun, kau tak akan dapat pujian punya. Kau buat satu kesalahan, dia tengking kau macam kau baru tekan punat bom nuklear letupkan Disneyland. Tapi kalau kau ada ketua jabatan yang baik, ada kemungkinan majikan kau pulak iblis bertopengkan syaitan bertopengkan jin bertopengkan manusia. Jarang kau akan dapat ketua jabatan dan majikan yang baik sekaligus. Itu sama je macam menang Russian Roulette dengan sekali tembak.”
“Ketiga, rakan sekerja. Ya, dalam ramai pekerja syarikat kau, kau mungkin akan ada sekumpulan kawan-kawan yang sealiran dengan kau dan kau akan jumpa kawan yang kau boleh anggap sebagai kawan baik. Tapi kau juga pasti akan jumpa beberapa spesis ni. A) ‘Suratkhabar Lama’, kaki gosip yang buat cerita dari kisah rumah tangga artis sampai rumah tangga kawan satu pejabat. B) ‘Kipas SANYO’, kaki bodek yang sentiasa bersetuju dengan apa saja bos cakap dan berpura-pura bekerja keras tapi sebenarnya tunjuk rajin bila tahu bos ada. Diorang ni spesis hebat, sebab bos belum sampai lagi, diorang dah boleh bau dan terus duduk buat-buat busy walhal sebelum tu duk main game Sim City kat Facebook. C) ‘Kuih Talam’, spesis manusia yang aku paling benci dalam dunia. Talam dua muka tahap tak hengat. Depan kita punyalah baik. Belakang kita, dia la tukang buat fitnah, tukang mengapi-apikan orang lain, tukang memusnahkan kerjaya orang.”

Safiah membetulkan duduknya sambil menyimpulkan, “Oleh sebab yang demikian, aku lebih suka jadi anti-sosial. Sebab aku yakin, kalau aku kerja dekat pejabat, ada kemungkinan sekarang aku akan dipenjarakan atas tuduhan manslaughter, battery atau defamation of character. Oh, aku memang pasti, sebab aku tak ada kesabaran nak menghadapi kebodohan.”

Ya, Masni faham maksud Safiah. Dia sudah menghadapi banyak situasi dan bertemu dengan pelbagai jenis manusia. Namun begitu, inilah kali pertama dia berdepan dengan seorang Kuih Talam.

Kuih Talam yang bernama Badariah.

Halyang berlaku siang tadi begitu segar di ingatan sekalipun Masni sudah mencuba untuk melupakannya. Dia habiskan masanya memeriksa emel peribadi, mengemaskini blognya, mandi dan solat Isyak untuk mengalihkan fikiran. Namun kejadian siang tadi masih mengganggu perasaannya.

Emak selalu kata, “Hati-hati dengan orang lelaki tapi awas dengan orang yang iri hati.”

Dia tidak pasti sama ada Badariah iri hati kepadanya atau gadis itu memang ada masalah psikiatri yang perlu diselesaikan di hospital jiwa.

Semuanya bermula dengan arahan yang diberikan oleh En. Saleh semalam.

Guys, tolong failkan profail semua klien yang you guys uruskan termasuk projek yang you all dapat sekali. Saya nak semua fail mesti dah ada dalam emel saya dan hard copy atas meja saya menjelang petang ni.”

Terdengar keluhan dari semua orang yang berada di dalam jabatan tersebut.

“Saya tahu pengumuman ni memang short notice. Tapi kamu sepatutnya dah ada fail untuk semua klien dan tinggal compile saja. Bukan salah saya kalau kamu tak buat,” ujar Encik Saleh tanpa perasaan.

“Ingat, emel dan hard copy. By this evening. Oops, Cik Masni dah hantar dia punya nampaknya. Tahniah, Cik Masni,” Encik Saleh tersenyum melambai-lambaikan Blackberry selepas menyedari ada emel baru sudah masuk dan emel tersebut datang dari Masni.

Masni memang tidak ada masalah dengan arahan tersebut. Sifatnya sebagai seorang yang sentiasa teratur membantunya dalam hal tersebut kerana sebaik sahaja En. Saleh selesai memberikan arahan, dia telah pun membuka draf emel yang memang sudah dipenuhi lampiran pofail klien dan menghantarnya terus kepada ketuanya itu. Dia cuma tinggal untuk meletakkan salinan cetak di atas meja En. Saleh sahaja.

Namun pengumuman Encik Saleh tentang kejayaannya menghantar failnya lebih awal menyebabkan hampir semua orang memandang Masni, bukan dengan wajah kagum tapi dengan kerutan di dahi mereka. Bukan kerutan rasa kagum atau hairan juga, tapi lebih kepada kerutan menyampah.

Hal tersebut membuatkan Masni rasa bersalah. Dia bukan mahu menunjuk-nunjuk. Dia tidak tahu pun Encik Saleh menghubungkan emel kerja dengan Blackberry miliknya, dan membolehkan dia tahu yang Masni sudah menghantar tugasannya. Masni cuma mahu melakukan hal itu dengan pantas kerana semua fail itu memang sudah sedia ada. Dia tahu suatu hari nanti mereka pasti akan diminta berbuat demikian dan dia tidak mahu menghabiskan masa untuk membuat kerja yang dianggap enteng itu sehinggakan mengganggu kerja lain.

“Ada orang nak anugerah pekerja cemerlang.”

Masni tidak pekak. Dia boleh dengar bisikan tersebut, datang dari meja Elina dan Hasrin. Eloise turut tergelak sama.

“Or trying to get into the old man’s pants,” ujar gadis Tionghoa itu.

Mereka ketawa terkekek-kekek sesama sendiri.

Masni menarik nafas panjang dan menghela perlahan. Dia tidak tahu apa salahnya. Dia cuma mahu buat kerja dengan aman dan tidak mengganggu sesiapa. Mujur hal tersebut terhenti sampai di situ sahaja kerana eksekutif yang lain mula sibuk menyiapkan kerja mereka, cuma sesekali Masni terdengar bisikan dari meja Hasrin dan Elina yang terus bergurau senda. Semua orang sedar Hasrin dan Elina biasa bermain cinta sekalipun Hasrin sudah pun berumah tangga. Semua orang memperkatakan hal tersebut di belakang mereka namun seperti biasa, sikap Masni yang tidak masuk campur pula yang selalu membuatkan Hasrin dan Elina terasa bersalah.

Orang yang buat salah memang suka terasa pedas walaupun orang tak hidangkan cili pun!

Keadaan sunyi tersebut berterusan sehingga ke jam empat petang, apabila Encik Saleh pulang dari mesyuarat dan meminta fail yang belum disiapkan untuk dihantar segera. Namun begitu, selain Masni, Badariah dan Jane, yang lain masih lagi terhegeh-hegeh menyiapkan kerja.

“Saya dah bagi kamu beberapa jam. Kenapa tak siap-siap lagi?” tanya Encik Saleh, seperti guru sekolah yang garang.

“Ala, En. Saleh baru beritahu pagi tadi. Mana sempat nak buat semuanya,” rengek Elina.

“Tak sempat? Saya suruh hantar compilation, bukan suruh awak tulis novel,” bebel En. Saleh.

Dengan pantas lelaki pertengahan umur itu muncul di tepi meja Masni dan mula berleter lagi.

“Masni boleh hantar pada saya tak sampai seminit lepas saya minta. Kenapa? Sebab dia tahu apa dia patut buat and she has been doing it all year long. Kamu yang lain ni pemalas, suka sangat letak fail merata-rata. You know what Masni told me last time? Dia dah create satu shared file untuk apa-apa yang dia buat dan boleh dijadikan fail rujukan. Dia dah buat benda tu dari dulu lagi dan dah beritahu semua orang tapi nampaknya kamu semua ni memang tak ada sistem. You guys are a bunch of barbarians yang bekerja secara tak teratur dan bersepah-sepah. Macam monyet,” ujar Encik Saleh, separa berseloroh, separa memerli.

Mungkin itu satu pujian buat Masni, tetapi dia tidak merasakan pujian itu membantunya dari sudut apa pun. Para eksekutif lain memang tidak suka padanya. Pujian sebegini hanya akan membuatkan mereka tambah menyampah padanya.

“Send all your work hari ni jugak by hook or by crook,” itu pesan Encik Saleh sebelum berlalu ke biliknya.

Masni tidak berani mengangkat muka. Tanpa memandang sekeliling pun dia tahu bahawasanya semua orang sedang memandangnya dan pandangan itu bukan pandangan yang membina. Dan demi mengelakkan dari terdengar sesuatu yang dia tidak mahu, Masni terus menghalang pendengarannya dengan fon telinga lalu memasang muzik dari komputernya dengan sekuat mungkin.

Dia tidak cuba untuk memberi sebarang penjelasan kerana dia tahu apa saja yang terbit dari bibirnya tidak akan diterima dengan baik oleh sesiapa. Tiada apa yang lebih menakutkan daripada sekumpulan manusia yang tidak mahu mengakui kesilapan sendiri dan mencari kambing hitam untuk dikorbankan. Masnilah calon kambing hitam yang paling berpotensi, sekalipun bukan dia seorang sahaja yang berjaya menyiapkan kerjanya.

Malah dia juga tidak mengikuti jejak langkah Jane dan Badariah yang sudah pulang sebaik tamat waktu pejabat. Dia buat keputusan untuk turut pulang lewat kerana tidak mahu dikatakan mahu berlagak dengan semua orang. Dia tahu sekiranya dia pulang awal, tentu ada mulut yang celopar mengatakan, “Nak berlagak kerja dia dah siaplah tu.”

Malangnya, anda tidak akan dapat memuaskan hati semua orang, terutama sekali apabila mereka tidak mahu melihat niat baik anda dan sudah bertekad untuk tidak menyukai anda. Tidak, sekalipun dia cuba berbuat baik dengan membuat minuman untuk semua orang. Tatkala dia sedang membuat air kopi di pantri, dia terdengar perbualan mereka tentang dirinya.

“Balik jelah rumah. Buat apa nak tunjuk muka dia depan kita? Nak mengipas bontot orang tua tulah agaknya tu. Nak hint la tu,” ujar Elina.

Hint apa?” tanya Eloise, tidak begitu faham.

“Yalah, nak hint la kat orang tua tu, kononnya walaupun dia dah siap kerja, dia masih rajin bekerja lagi, bukan macam kita ni. Siap nak buatkan airlah bagai. Nak ambik hati la tu,” jelas Elina, siap menokok nambah.
“Maybe she is in love with him,” balas Eloise pula.

“Aku memang syak perempuan tu syok dekat Encik Saleh. Aku rasa kalau kita tak ada kat sini, agaknya dia dah melompat atas peha orang tua tu.”

“Euw. That is so gross.”

“Ya, you mungkin rasa jijik. But apparently not to a tramp like her.”

“Hei, korang ni teruklah,” suara lelaki Hasrin mencelah, tapi ada nada terhibur dalam suaranya.

“Eleh, kau pun nak jump her if you can, kan?” tanya Eloise dengan nada bergurau.

“Sorry, woman. Aku ada self respect. I don’t do skank in scarf,” balas Hasrin.

Masni menutup mulutnya. Dia tidak tahu di mana silapnya. Mungkin dia salah kerana mencuba pun. Mungkin lebih baik dia pulang saja ke rumah di mana semuanya aman. Tiada apa faedahnya untuk dia berada di sini dan cuba berbaik dengan semua orang sedangkan sudah jelas mereka tidak menyukainya.

Dia pulang ke rumah malam itu dan memaksa dirinya tidur. Dia pasti esok semuanya akan jadi lebih baik. Pasti ada caranya untuk dia memperbetulkan semuanya.

Dia tidak sangka masalah besarnya bukanlah para pekerja senior.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.