Aku tunggu.
Aku tunggu sepanjang malam tapi Iza tidak menghubungi aku
kembali. Aku tunggu di bilik dengan telefon bimbit di tepi bantal. Aku masuk ke
tandas untuk mandi dan aku bawa telefonku bersama. Aku duduk di ruang tamu
sambil menonton drama yang entah apa-apa di televisyen dengan telefon bimbit di
tangan. Tapi ada Iza telefon?
Haram.
“Assalamualaikum.”
Aku menoleh ke belakang. Chaq sedang tersengih
melambai-lambaikan tangan di sebalik pintu gril yang berkunci.
“Sorry, Chaq.
Aku lupa nak buat salinan kunci gril untuk kau. Iza tak pulangkan dia punya
pulak tu,” jelasku sambil cuba menanggalkan mangga di pintu gril. Pintu gril ku
tolak dan Chaq masuk dengan segera dan terus berbaring di atas sofa.
“Aku ada telefon Iza dan tanya fasal kunci tu tapi dia
kata dia sibuk,” jelas Chaq, mengeluarkan getah dari poket begnya dan terus
mengikat rambutnya. Tidak seperti wanita lain yang mengikat rambut di bahagian
belakang, Chaq mengikat rambut bahagian depan yang lebih panjang dari belakang.
Sekali pandang, macam ada rimbunan pokok serai di atas dahinya. Mungkin lucu
jika dilakukan oleh orang lain, tetapi gaya tersebut sangat sesuai dengan sifat
Chaq yang tidak pedulikan apa-apa.
“Dia memang sibuk memanjang.
Janji nak telefon aku balik, tapi tak telefon sampai sekarang,” aku merungut.
Chaq mengerling ke arahku.
“Kau ada masalah ke?” tanya Chaq.
“Aku ada masalah yang aku tak tahu macam mana nak cerita
dengan orang lain selain Iza.”
“Hit me,”ujar Chaq.
“Ha?”
“Aku kata hit me. Cerita dengan aku. Orang kata aku ni pakar bab masalah
orang ni. Okay, bukan orang kata. Aku yang mengaku sendiri, but whatever,” ujar Chaq sambil lewa.
Aku mengerut dahi memandangnya. Aku bukan memandang
rendah pada kebolehan Chaq. Aku kenal dia. Di sekolah dulu, dia memang suka
dengar cerita orang. Kalau tak ada sesiapa di dunia peduli dengan cerita anda,
jangan risau. Chaq akan dengar. Tidak bermakna dia peduli dengan kisah anda,
tapi dia sentiasa boleh mendengar.
Cuma agak canggung hendak bercerita dengan Chaq kerana
itu bermakna aku perlu memulakan dari awal.
Tapi aku ceritakan juga semuanya. Panjang kisahnya. Aku
ceritakan tentang Iza yang keliru dengan Hisham (“Mangkuk tu bodoh, tak tahu
nak buat keputusan”). Aku cerita bagaimana aku pertemukan Iza dengan Helmi
(“Dia orang tu tak nak mengaku bercinta sebab tak nak berterima kasih pada aku.
Teruk betul”). Aku cerita bagaimana mereka membuat keputusan untuk
memperkenalkan aku dengan Roul (“Dia orang tak nak aku masuk campur percintaan
dia orang”), tentang sikap dan rupa Roul yang telah membuatkan aku membenci dia
(“Rambut merah, mata kanan merah. Dia ingat dia Kyo Samurai Deeper agaknya”) dan bagaimana aku akhirnya berubah
fikiran dan menerima Roul (“Bila dia dah masuk dalam otak, memang tak boleh
keluar. Macam virus”).
Aku juga menjelaskan kepada Chaq tentang hubungan Roul
dan bekas kekasihnya yang sebenarnya masih belum menjadi bekas kekasih, serta
keinginan Roul untuk diperkenalkan kepada ibu bapaku.
“Kenapa kau tak nak dia jumpa mak dengan ayah kau?” tanya
Chaq sambil membersihkan solekan matanya dengan tisu basah.
“Bukan
aku tak nak bagi dia jumpa. Aku cuma belum sedia.”
“Kenapa belum sedia?”
“Sebab mak dan ayah aku
tradisionalis. Roul bukan,” jelasku.
Ya, dia bukan lagi syaitan berambut merah. Namun itu
tidak bermakna dia sudah diluluskan oleh SIRIM untuk tontonan umum.
“Mana kau nak tahu kalau kau belum cuba, Safi. Kau tak
rasa ke yang dia sedar dia tu berbeza? Kau tak rasa ke yang dia mungkin akan
kecil hati kalau kau mengelak?” tanya Chaq.
“Aku tahu, Chaq. Aku pun tak boleh nak mewakilkan mak
ayah aku dan kata diaorang tak akan suka dengan Roul. Masalahnya aku belum
bersedia nak menuju ke arah itu.”
“Tapi seingat aku, masa kau dengan Fakri, kau memang dah
bersedia.”
Aku mengeluh.
Itu Fakri. Fakri tak boleh disamakan dengan Roul.
Anda boleh samakan Allahyarham Fakri dengan pinjaman bank
untuk beli rumah. Anda tandatangan dengan penuh yakin sebab anda tahu kalau
anda tidak mahu tinggal di rumah itu, anda boleh sewakannya. Roul pula macam
pinjaman bank untuk beli kereta. Kena fikir banyak-banyak kali sebelum
tandatangan sebab lepas beli, anda perlu bayar insuran, cukai jalan, minyak dan
saman.
“Maksud kau Fakri tu aset dan Roul tu liabiliti la?”
tanya Chaq.
Aku benci perempuan ni. Dia menjadikan analogi itu kejam.
“Apa pun, aku still
rasa kau kena cuba dulu. Kalau kau sayangkan Roul, kau ikutkan saja permintaan
dia. Dia bukan ajak kau tidur di hotel macam lelaki tak guna. Dia nak jumpa mak
ayah kau. Kalau itu bukan tanda dia hormatkan kau, aku tak tahulah apa lagi.”
Memang betul apa yang Chaq katakan, tapi ada satu
bahagian dalam hati aku yang masih rasa kurang senang.
Aku baru ingin bersuara namun terhenti apabila aku
terdengar bunyi pintu gril ditarik dengan kasar. Aku dan Chaq segera menoleh
dan melihat Masni masuk dengan pantas. Dia cuba memandang ke tempat lain tapi
aku boleh lihat matanya yang merah dan wajahnya yang sembap.
Kami tidak sempat bertanya kerana dengan pantas Masni
masuk ke dalam biliknya.
Aku pandang Chaq. Chaq angkat bahu.
“Bagi dia peluang,” itu saja yang dia cakap dan aku tahu
dia bukan bercakap tentang Masni.
Nampaknya aku tetap perlu pertemukan Roul dengan Tuan
Haji Shuhaimi dan Puan Rogayah. Aku tidak tahu siapa di antara kami yang paling
tidak bersedia.
Hmmm... entah apa yang telah berlaku pada Masni.