Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 20: Lu Langsi, Gua Belasah

Aku sampai lewat sepuluh minit.

Aku boleh sampai lebih awal, tapi aku sengaja melambatkan ketibaan. Kalau aku sampai awal, Roul pasti akan mengada-ngada dan membuat ayat perasannya seperti “Lulu sayang gua, sebab tu Lulu sampai cepat,” atau “Lulu dah tak sabar nak jumpa gua eh?”

Roul menuruni tangga dan terus memasuki kereta sebaik sahaja aku menghubungi dia. Itu pun selepas aku meminjam kereta Chaq, yang memberikan kunci keretanya kepadaku dalam keadaan mamai.

“Kereta siapa ni?” tanya Roul.

“Kereta roommate baru,” jelasku.

“Oh, yang nama Chaq tu?”

“Bagus. Pandai,” jawabku sebelum membuat pusingan U dan keluar ke simpang belah kanan.

“Kereta Roul mana?” tanyaku.

“Kat bengkel,” ujar lelaki itu.

“Roul pergi bengkel dulu baru pergi hospital?”

“Yup.”

Bunyinya seperti hal tersebut sudah biasa berlaku.

“Apa yang jadi sebenarnya?”

Roul mengeluh panjang sambil menoleh ke luar. Kepalanya yang berbalut itu dipegangnya. Aku ada rasa syak wasangka bahawa dia memerlukan balutan itu. Aku rasa dia hanya membiarkan balutan itu kekal di kepala untuk memperoleh simpati daripada aku.

“Gua gaduh dengan seorang mangkuk ni.”

Seperti biasa, kata carutan yang dimulakan dengan huruf F itu aku gantikan dengan perkataan ‘mangkuk’.

“Dia langgar kereta kesayangan Roul ke?”

Itu bukan sebab yang logik untuk mencetuskan pergaduhan yang berakhir dengan Roul berada di hospital. Namun begitu, aku tahu dia sangat sayangkan Kelisa biru berbumbung hitam itu. Aku rasa kalau dia diberi pilihan untuk menyelamatkan aku atau Kelisanya jika kami lemas di laut, berkemungkinan besar Roul akan menyelamatkan Kelisanya.

Ya, aku tahu analogi itu tidak masuk akal memandangkan Kelisa itu kereta dan bukan ikan. Ikan pun analogi yang tidak normal juga kerana ia pasti akan mati kalau dibawa naik ke darat berbanding di laut. Tapi kesimpulannya, Roul sayangkan Kelisanya. Titik.

“Gua yang terlanggar kereta dia. Dia brek mengejut.”

“Jadi Roul belasah dia? Dah tak boleh cakap elok-elok?” tanyaku. Aku memperlahankan kelajuan apabila menyedari lampu hijau di hadapan akan bertukar merah semula. Aku bukan hendak marah pada Roul, tetapi aku kenal Roul. Dia mungkin nampak seperti seorang lelaki yang tenang, tetapi dia juga lelaki yang menyelesaikan semua masalahnya melalui penumbuk.

“Gua bukan bengang pasal tu. Gua nak selesaikan baik-baik, dia sibuk asik cakap, “Lu jangan nak langsi gua, bro. Jangan nak langsi.” Gua tak tahan dengan orang yang sangka dia samseng, jadi gua belasah la dia. Langsi. What a stupid worduntuk digunakan waktu macam tu. Banyak sangat tengok filem gangster murahan.”

Aku menahan diri dari tersenyum. Gelihati juga memikirkan Roul dengan mata merahnya, jeans lusuh dan kemeja T hitam dengan gambar bayi berkepala kuda ini membelasah orang kerana penggunaan bahasa.

“Aku faham kalau Roul marah. Tapi boleh tak jangan gunakan keganasan untuk uruskan semua isu? Roul ada adik perempuan tau. Roul tak sepatutnya mencari musuh,” ujarku.

“Gua bukan sengaja, Lulu,” itu jawabnya. Itu tanda dia sedar dia telah membuat kesilapan. Jika anda mahu memenangi pertengkaran dengan Roul, gunakan adik perempuannya sebagai pertahanan.

Suasana kembali sunyi. Merasakan kesunyian itu keadaan yang sangat canggung, aku hidupkan radio dan lagu baru Taylor Swift berkumandang menghapus semua kuman-kuman sepi yang bertebaran di dalam kereta itu.

“Ugh,” aku dan Roul sama-sama mengeluarkan bunyi tidak berkenan.

Kemudian kami sama-sama tersenyum. Melihatkan dia tenang, aku membuat keputusan untuk memusnahkan ketenangannya dengan soalanku yang seterusnya.

“Jadi?”

Soalan tidak lengkap dariku.

“Jadi yang mana?”
“Jadi yang bernama Noor.”

“Ah. Jadi yang tu,” dia terangguk-angguk sendiri, faham bahawa aku bertanya tentang masalahnya dengan Noor.

Senyap kembali.

“Ada jawapan ke tak?” tanyaku kembali.

“Gua belum bercakap dengan dia lagi,” ujar Roul.

Aku tingkatkan kelajuan kereta sebagai tanda rasa tidak bersetuju dan rasa kecewaku dengan jawapan Roul.

“Ala, Lulu. Gua janji gua akan uruskan secepat mungkin. Noor tak telefon gua lepas jumpa kat Annexe tu, jadi gua tak rasa gua patut call dia.”

“Kenapa pulak?”

“Lulu, gua dah anggap gua dengan dia tak ada apa-apa. Dia tak tahu hal tu. Tapi dia tak telefon gua. Itu bermakna dia tunggu gua call dia dan ajak dia keluar. Kalau gua call dia dulu, susahlah.”

“Tang mana yang susah tu?”

“Kalau gua call dia, nanti dia ingat gua nak ajak dia sambung balik relationship tu. Lagi susah gua nak beritahu dia hal sebenar.”

Aku memperlahankan kereta saat aku memasuki lorong kawasan perumahannya.

“Roul, kalau Roul tak ada perasaan kat dia, kenapa benda tu nak jadi satu perkara yang susah?” aku tidak faham.

“Alasan yang sama kenapa susah sangat Lulu nak bagi gua jumpa parents Lulu,” ujarnya selamba.

Oh, cari gaduh nampaknya!

“Roul, aku tengah nak call mak dengan abah aku tapi terbantut sebab Roul call untuk beritahu aku yang Roul ada di hospital sebab apparently, perkataan ‘langsi’ adalah trigger factor untuk Roul mendebik orang. Jadi jangan nak persoalkan kenapa susah aku nak bagi Roul jumpa mak dengan abah,” ujarku, sebelum aku berhenti di depan kawasan rumahnya.

Roul sengih.

“Maksudnya memang gua dapat jumpa dia oranglah?”

Aku pandang dia tanpa perasaan.

Call Noor dan tamatkan hubungan tak bernama tu dulu,” balasku.

Roul terangguk-angguk sendiri sambil menanggalkan tali pinggang keledarnya. Pintu kereta dibuka dan dia melangkah keluar.

“Jadi, agak-agak bila boleh gua jumpa dia orang?” tanya Roul sekali lagi selepas dia menutup pintu.

“Make. That. Call,” ujarku sebelum memecut pergi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.