Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 10: Tentang Masni

Masni hanya pulang dari tempat kerja pada jam sebelas malam dan dia rasa sangat letih. Ketika dia sampai tadi, dia nampak sebuah Proton FLX berwarna hitam memecut pergi, jalur kuning di bahagian sisinya nampak seperti kilat yang memancar ketika kereta tersebut membuat pusingan dan beredar dari kawasan rumah. Dia pasti itu adalah penyewa baru yang dikatakan Jis ketika gadis itu menghantar pesanan peribadi kepadanya tadi.

Dia rasa ralat kerana tidak dapat berkenalan dengan bakal penyewa mereka sedangkan Jis dan Safiah sudah pun berbual mesra dengan gadis yang bernama Chaq itu. Dalam pesanan ringkasnya tadi, Jis menjelaskan bahawa si gadis bernama Chaq, bekerja di sebuah syarikat pengurusan acara di Solaris Dutamas dan merupakan rakan Safiah yang sudah lama terpisah.

Masni tidak suka menjadi orang yang terakhir atau menjadi satu-satunya insan yang belum lagi mengenali gadis yang dimaksudkan. Dia bukan seorang yang mudah rapat dengan sesiapa. Malah ketika kali pertama dia berpindah ke Kuala Lumpur atas tujuan menamatkan pengajian, dia menghadapi saat yang sukar untuk cuba menyesuaikan diri. Dia bukan seorang gadis yang banyak cakap dan dia juga tidak suka menghabiskan masanya berbual kosong.

Mujur dia mengenali Jis ketika mereka sama-sama menghadiri satu pameran pekerjaan suatu masa dahulu. Dia di sana kerana ingin memantau ruang pekerjaan sementara Jis pula menjadi wakil syarikatnya untuk menerangkan tentang peluang pekerjaan bersama mereka. Masni memberitahu Jis bahawa dia sedang mencari rumah sewa dan Jis menjelaskan bahawa dia juga sedang mencari teman untuk sama-sama menyewa dengannya. Dia kemudiannya diperkenalkan kepada Iza dan Emi melalui Jis. Tidak lama selepas itu, Emi berpindah dan mereka bertiga menjadi rakan serumah. Safiah akan muncul sekali-sekala dan menumpang bilik Iza.

Itu sejarah mereka, dan kini mereka akan ada rakan serumah yang baru. Dia sangat berharap agar rakan baru ini tidak seperti rakan barunya di pejabat. Jika tidak, hidupnya pasti akan kucar-kacir.

Masni membuka pintu gril sambil menanggalkan kasutnya. Suasana rumah agak sunyi kerana Jis sudah pun kembali ke biliknya. Hanya Safiah sahaja yang berada di ruang tamu, sedang makan maggi tomyam sambil bersila menonton rancangan kegemarannya di internet.

“Assalamualaikum,” ucap Masni.

Safiah melambaikan tangan kirinya, meminta Masni menghampirinya. Dia tidak menjawab salam tersebut kerana mulutnya masih dipenuhi maggi. Namun begitu, tangan kiri yang melambai tadi dituding ke arah mangkuk plastik berwarna biru yang berada di atas meja di depan sofa. Bau maggi tomyam di dalam mangkuk plastik itu menusuk hidungnya. Malah ada sepasang penyepit diletakkan di atasnya.

“Untuk aku?” tanya Masni.

Safiah mengangguk.

Inilah yang Masni suka tentang novelis nan seorang ini. Dia tidak pasti sama ada Safiah memiliki ingatan yang sangat kuat atau dia mempunyai daya pantauan yang sangat hebat. Mungkin juga firasatnya agak tepat kerana sememangnya itu yang Masni sedang fikirkan sejak dalam kereta lagi.

“Mana kau tahu aku nak makan maggi?” tanya Masni, turut bersila di sebelah Safiah. Dia mengerling ke arah komputer riba gadis itu. Safiah sedang menonton siri “Peep Show” di YouTube. Pastinya siri tersebut tidak dimainkan di siaran televisyen Malaysia. Mereka sudah arif dengan sikap Safiah yang tidak mahu meminati perkara yang orang lain minati. Mungkin sebab itu Safiah memilih lelaki seperti Roul menjadi teman lelakinya. Kali pertama Masni bertemu dengan Roul, dia tidak memahami bagaimana gadis seperti Safiah akan bersama lelaki seperti Roul.

Masni mula mengerti apabila mendengar perbualan mereka berdua. Ia dipenuhi rujukan yang hanya Safiah dan Roul fahami. Melihat hubungan mereka berdua bagaikan melihat interaksi dua ekor makhluk asing.

“Aku tahulah. Aku kan novelis.”

“Kau sangat poyo, Safi,” ujar Masni.

Dia lihat Safiah ketawa. Gadis itu sengaja menyebutnya.

“Aku tahu tabiat kau bila kau stress. Sama ada kau main Candy Crush atau kau makan. Tapi kalau dah malam macam ni, aku rasa kau mesti lebih lapar berbanding bosan. Oleh yang demikian...” dia mengisyaratkan tangannya pada mangkuk hijau berisi maggi tomyam itu seperti pembantu pengacara mempersembahkan hadiah kuiz di depan penonton.

“Mana kau tahu aku stress?”

“Tolonglah, perempuan. Aku boleh agak dari kekerapan kau main Candy Crush dan mengeteh pada waktu malam. Kau bukan jenis yang suka makan malam selama ni.”

Masni merenung mangkuk maggi tersebut sambil mengangguk-ngangguk.

“Betul,”ujarnya. Dua batang penyepit tersebut dikepit di jarinya bagaikan pengguna penyepit profesional dan dia mula menikmati makan malamnya, sekalipun hidangan itu tidak lebih dari maggi asam laksa yang ditambah cili api dan daun bawang.

Dia tahu Safiah sedang memandangnya. Dia tahu Safiah pasti mahu dia menceritakan apa masalahnya.

Bagaimana Masni mahu mulakan?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.