Aku menguap buat kesekian
kalinya. Tapi kuapan besar itu ku lakukan di bawah meja selepas aku sengaja
menjatuhkan dawai kokot ke atas lantai dan tunduk untuk mengambilnya. Tapi Roul
tidak beri perhatian. Dia sibuk berbual dengan rakan-rakan yang hanya ditemui
pada acara sebegini.
Aku mengeluh panjang.
Aku sudah berada di Annexe Gallery sejak jam sepuluh pagi
tadi. Roul janji acara ini akan bagi aku banyak ilham untuk novel baru.
“Percayalah. Lulu akan jumpa ramai orang yang cukup interesting untuk bagi Lulu inspirasi.”
“Cakap confident
je eh?” ujarku, separa sarkastik.
Ketika itu kami sedang dalam perjalanan ke galeri
tersebut. Roul membawa beberapa lukisan kanvasnya manakala aku ditugaskan
membawa kotak yang dipenuhi barangan cenderamata yang memiliki hasil karya
Roul. Itu semua idea si Artsy Fartsy. Katanya sekalipun lukisan kanvas lebih
bernilai, sesetengah pengunjung hanyalah peminat seni yang “papa kedana” dan
hanya mampu membeli sesuatu yang tidak memakan ratusan atau ribuan ringgit.
Bukan aku yang guna perkataan itu. Arfah juga kata barangan cenderamata
sebegini akan membolehkan golongan peminat tidak berduit ini membeli hasil Roul
dengan harga yang lebih murah.
Roul sangat gembira dan sepanjang perjalanan ke Annexe
Gallery, dia tidak sudah-sudah memuji Arfah.
“Gua bukan nak crass,
tapi selama gua kenal Zulu, bahlul tu memang tak berguna dan tak pernah buat
keputusan yang betul. Setahun wasted
hisap ganja, setahun wasted conteng
dinding bangunan tanpa apa-apa profit
dan kena kejar baju biru.”
Baju biru di sini maksudnya pegawai dewan bandaraya,
harap maklum.
“Kalau gua tak suruh dia clean up perangai dia dan bukak gerai kat CM, gua tak tau apa jadi
kat mangkuk tu. Mungkin masih lagi jadi tukang cat rumah orang. Tapi gua happy dia pikat Arfah. Idea Arfah pasal merchandise ni memang mindblowing. “
Aku tidak rasa idea tersebut perkara baru memandangkan
sudah banyak ku lihat dijual di internet. Namun aku diamkan saja kerana sebagai
teman wanita yang baik, aku tidak mahu merosakkan keterujaan makhluk Middle Earth ini. Hari ini dia
menggayakan rambutnya yang panjang mencecah bahu itu dengan klip rambut
berwarna-warni. Aku kata itu klip rambut dan sangat kewanitaan, dia kata itu gigi
buaya dan sangat kejantanan. Aku tidak tahu apa yang cuba disampaikan.
“Gua memang respect
dengan Arfah,” ujarnya, terangguk-angguk sendiri.
“Kahwin jela dengan dia kalau suka sangat,” balasku
dengan geram.
Roul ketawa besar.
“Cemburu jiwa, semangat membara, dari puncak ingin ke
angkasa...” dia mengubah lagu Faizal Tahir itu sesuka hatinya.
Aku hanya memandang ke tempat lain, malas hendak
melayankan Roul.
“I walk this empty street, on a
Boulevard of Broke Envy...”
“Sudah. Toksah merosakkan semua lagu,” ujarku. Roul
ketawa besar.
Sejam kemudian kami berjaya menggantung beberapa hasil
kerja Roul dan mempamerkan barangan koleksi yang dijual dengan harga yang lebih
murah di atas meja. Aku sempat menyapa beberapa kenalan yang ada di sekeliling
kami, seperti King dan Shasha yang merupakan pasangan yang paling setia
menghadiri acara sebegini. Aku ingin sekali pergi ke bahagian mereka dan
berbual dengan Shasha. Sekurang-kurangnya aku dan Shasha memiliki minat yang
sama. Tidak seperti Artsy Fartsy.
“Apa masalah you dengan Arfah, babe?” tanya Shasha, ketika aku datang ke sudut pameran mereka,
Aku beralih ke gerai Shasha sekadar untuk menjauhkan diri
daripada Arfah dan Zulu. Pada awalnya aku berjaya melayan Arfah dan
perbualannya tentang pameran seni Project Onward, satu projek yang menyokong
bakat seni artis-artis kurang upaya di Chicago. Tidak sudah-sudah gadis itu
memberikan pujiannya seolah-olah mereka yang terlibat dengan projek itu ada di
depannya. Betapa berbakatnya mereka! Betapa mulianya projek tersebut! Zulu pula
mengangguk-angguk bersetuju dengan apa sahaja yang terbit dari bibir Arfah.
Aku tak tahan.
Berbalik pada soalan Shasha tentang isu utama aku dengan
Arfah. Aku mengangkat bahu. Aku memang tidak tahu apa masalah aku dengan Arfah.
Itulah masalahnya. Kalau aku cemburu dengan kerjayanya, atau aku cemburu dengan
kecantikannya atau aku cemburu dengan pengetahuannya, aku tidak kisah.
Masalahnya aku tidak pasti apa yang mengganggu fikiran aku setiap kali aku
melihat dia dan Zulu.
“Perangai dia teruk ke?” tanya Shasha lagi.
Tidak. Arfah sangat baik malah dia sangat ramah-tamah.
Dia seringkali mengajak aku ke pameran-pameran lain atau mahu aku dan Roul
keluar bersama dia dan Zulu. Malah dia juga seorang yang lucu dan pandai
berkomunikasi. Kalau nak dikatakan aku cemburu melihat hubungan dia dan Zulu,
itu tidak mungkin. Aku tidak punya perasaan terhadap Zulu yang adakalanya
berbau seperti gabungan asap rokok dan teh ais basi.
Tidak, itu dulu. Dulu Zulu selekeh dan berbau. Dulu dia
bercakap seperti lelaki mabuk, sentiasa berjeans koyak dengan dashiki yang dipenuhi kekotoran, mungkin
capuk warna, mungkin sisa makanan yang dilap ke baju. Aku pun tidak pasti.
Namun begitu, Arfah menerima Zulu dengan mudah. Malah pertemuan yang pendek itu
meyakinkan Arfah untuk menerima lamaran Zulu dan meyakinkan Zulu untuk mengubah
dirinya menjadi lelaki yang lebih baik. Tidak seperti aku dan Roul. Sehingga
kini kami masih cuba mengenali sikap masing-masing.
Mungkin itu yang aku cemburukan. Aku cemburukan keyakinan
Arfah.
“Whatever la, babe. You sort out la masalah you ni,” ujar Shasha sambil menepuk belakangku
dengan mesra. Aku suka gadis ini. Dia tidak menghabiskan masanya cuba memahami
apa masalah aku dan apa punca dalaman bagi rasa tidak selesa aku pada Arfah.
Dia hanya menjadi pendengar setia sehinggalah dia terpaksa beredar kerana King
mengajaknya keluar makan.
Itu mengingatkan aku tentang sesuatu...
Roul
dah makan atau belum?
Aku ini memang insan yang
teruk. Aku tak mahu kata aku teman wanita yang teruk sebab teman wanita bukan
pengasuh yang perlu memeriksa keadaan lelaki itu setiap masa. Selagi tiada
cincin di jari dan surat nikah, Roul boleh jaga dirinya sendiri. Cuma sebagai
seorang insan yang telah membuat perjanjian untuk menemani seseorang dalam sebuah
acara, aku sepatutnya berada di sisi Roul dan bukannya duduk di belakang meja
Juxta Art dan berbual dengan saingan Roul.
Aku meminta diri untuk kembali ke bahagian pameran Roul.
Sebelum ini, aku ada mengerling ke arahnya beberapa kali dan aku lihat Roul
sibuk berbual dengan para peminat seni atau para pengunjung yang berpura-pura
seperti mereka memahami seni. Melihatkan sinar di matanya setiap kali dia
menjelaskan apa ilham di sebalik karyanya, aku sedar bahawa ini memang bukan
sekadar bakat atau hobinya. Ini keghairahan Roul.
Cara dia menggerakkan tangannya. Cara dia mendengar apa
yang dikatakan oleh peminat lukisannya dengan penuh fokus, sesekali tersenyum
lebar dan terangguk-angguk sambil berpeluk tubuh, otot lengannya yang saban
hari digunakan untuk menghasilkan ketelitian di atas kanvas melenturtegang
dengan setiap pergerakan. Cara dia ketawa besar sambil memasukkan tangannya ke
dalam poket, dan kemudian membalas gurauan si penggemar.
Roul suka berada di sini. Tidak seperti aku yang
menyimpan seribu satu alasan untuk mengelak dari menghadiri acara ini dan hanya
bersetuju untuk datang kerana menghormati permintaannya.
Namun begitu, ketika aku beredar dari sudut Juxta Art
untuk kembali ke gerai Roul, aku lihat dia sedang berdiri kaku sementara
seorang gadis bertudung selendang bercakap dengannya. Dia tidak senyum, tidak
ketawa, tidak marah, tidak sedih. Wajahnya kosong dan sesekali dia tunduk
memandang simen sambil mengurut tengkuknya.
Aku tahu gerakan itu. Itu tabiat Roul apabila dia rasa
tidak selesa. Sementara Roul tampak tidak selesa, si gadis pula terus berbual
mesra tanpa menyedari apa-apa. Aku tidak nampak rupa parasnya kerana dia
membelakangi aku dan aku tidak tahu apa yang dia katakan kerana sekitar dewan
agak gamat dengan suara-suara asing dan persembahan pentas. Malah aku masih
jauh daripada mereka berdua.
Keadaan itu berterusan sehinggalah Zulu dan Arfah muncul
dari arah bertentangan, menuju ke arah Roul dan gadis tersebut. Pasti mereka
baru pulang dari makan tengah hari. Ada ekspresi yang pelik di wajah Zulu sementara
Arfah pula tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap apa yang dilihatnya. Itu
pun sudah cukup jelas pada aku. Si tudung selendang yang membuat Roul tidak
selesa ini pastinya seseorang dari zaman silam Roul, kerana turut dikenali oleh
Zulu, tapi tidak memberi sebarang impak kepada Arfah.
Aku mempercepatkan langkah, namun ku lihat gadis itu menundukkan
kepalanya sejenak ke arah Zulu sebelum beredar dari situ, sempat meletakkan
sesuatu dalam tangan Roul. Aku lihat Zulu menepuk bahu Roul. Aku lihat Roul
menepis tangan Zulu dan terus beredar ke arah yang bertentangan dengan gadis
tadi. Arfah masih terpinga-pinga.
Zulu mengeluh melihat Roul pergi, tetapi matanya segera
beralih apabila dia nampak aku datang menghampirinya.
“Roul ke mana?” aku cuba bertanya dengan selamba.
Zulu pandang Arfah, seolah-olah meminta bantuan gadis
itu. Arfah tidak tahu apa-apa jadi dia tidak memahami pandangan yang diberikan
Zulu.
“Siapa perempuan tadi, Zulu?” aku tanya sekali lagi.
Zulu mengeluh.
“Ex Roul,” jawab
lelaki itu.