Aku mengalihkan pandanganku ke
arah lelaki itu semula. Zaniel hanya memandang aku sejenak sebelum menyambung
apa yang dia lakukan tadi, membaca isi kandungan telefon pintarnya. Sementara
itu tangan kirinya pula diangkat ke udara dan dengan pantas seorang barista
muncul.
“Yes? Anything,
sir?” tanya seorang gadis India yang pastinya belajar di kolej berdekatan
dan melakukan kerja ini untuk membiayai pelajarannya. Perkara biasa.
Zaniel memandang aku.
“Minum?” tanya lelaki itu.
“Hazelnut hot
chocolate,” pintaku. Mana perginya impian memesan caramel macchiato panas?
Aku tahu dalam keadaan yang canggung ini, memesan minuman yang susah ingin
disebut hanya akan membuat aku tergaguk-gaguk dan memburukkan imej aku sebagai
novelis di depan lelaki ini. Aku tidak tahu kenapa, tetapi aku baru sedar aku
ada kompleks rendah diri di depan lelaki sebegini.
“For here or take
away?” tanya barista itu dengan pantas.
“Heftefrrer....way,” apa yang aku cakap
ni?
“Sorry?”
“For here,” aku
senyum, berpura-pura seperti aku tidak muntah perkataan yang entah apa-apa
tadi.
“Short, tall,
grande, venti?”
Mulut aku terkumat-kamit tidak tahu apa hendak ku jawab.
Ini masalahnya dengan rangkaian coffeehouse
sebegini. Bukannya aku tidak pernah datang ke mari. Tapi jika anda bukan
seorang yang obses dengan kopi, anda pasti akan menghadapi masalah yang sama
seperti aku sekarang. Memesan minuman di sini dengan lancar memerlukan latihan
yang jitu. Aku sudah setahun lebih tidak ke mari. Malah, aku cuma mahu minum
air. Mengapakah itu satu isu yang perlu aku fikirkan dengan panjang lebar?
“Just make her
order but with my usuals,” ujar Zaniel, tersenyum pada gadis India itu.
Gadis itu mengangguk dan terus beredar.
“Terima kasih,” ucapku.
Zaniel sekadar mengangguk.
Kami sama-sama diam.
Aku bukanlah wanita yang banyak celoteh, tetapi
sekurang-kurangnya biasanya aku boleh mencari topik untuk diperbualkan. Namun
begitu, aku tidak tahu apa yang patut aku perbualkan dengan lelaki ini. Dia
sendiri bagaikan tidak tahu di mana hendak memulakan cerita. Ini sepatutnya
tanggungjawab Chaq. Dia yang mahu membantu Zaniel sedangkan lelaki itu berat
hati. Dia yang merayu aku masuk campur sedangkan aku tidak mahu. Kini dia
meninggalkan kami berdua di sini.
Aku dan Zaniel. Dua manusia dari dunia yang pastinya
berbeza. Seorang wanita yang tergagap-gagap hendak memesan minuman di
Starbucks, seorang lagi lelaki yang bukan sahaja biasa minum di sini, tetapi
boleh menggunakan perkataan ‘my usuals’.Bukan
‘usual’ tapi ‘usuals’. Berapa banyakkah kekerapan itu sampaikan ada jamak dalam
perkataan ‘usual’?
“Tahu tak, kenapa venti
dipanggil venti?” tanya Zaniel.
“Ha?” aku tidak beri perhatian tadi.
“Saiz cawan Starbucks. Tahu tak kenapa lepas tall dan grande yang bermaksud besar, mereka gunakan istilah venti dan bukan maggiore atau piu grande
yang bermaksud lebih besar atau paling besar?”
Aku mengangkat bahu.
“Kenapa?” tanyaku, bila memikirkan angkat bahu itu bukan
cara berkomunikasi dengan baik.
“Venti dalam
bahasa Itali bermaksud 20. Cawan venti
diguna untuk isian minuman sebanyak 20 auns, which is... what? 590? 600 mililitres? Venti adalah mereka punya trademark
name untuk cawan 20 auns. Kedai lain tak guna nama tu. They also have trenta untuk cawan 30 auns, khas untuk iced lemon teadan iced coffee, tapi saya tak rasa orang Malaysia sanggup minum kopi
sebanyak tu. But that’s how a good
business works and kenapa saya minum di sini,” jelas Zaniel, menghirup
minumannya.
Sekali lagi, seperti dia memahami apa yang aku sedang
fikirkan.
Aku cuma menganggukkan kepala tanda faham.
“Apa yang saya maksudkan ialah, apa saja yang awak fikir
dalam kepala otak awak tu awak boleh buang. Saya bukan lelaki kaya yang tipikal
macam dalam novel,” ujarnya. Dia meletakkan telefonnya ke atas meja dan terus
duduk selesa sambil berpeluk tubuh memandang aku.
Bukan tipikal? Dia baru saja menerangkan aku tentang
konsep cawan Starbucks. Tiada orang marhaen yang akan menjadikan itu topik
perbualan!
“Saya dah baca semua novel awak dan sebab tu saya setuju
untuk datang ke sini dan jumpa awak,” ujar Zaniel.
Ketika kami berada dalam kereta tadi, Chaq ada
menggambarkan sedikit sebanyak tentang personaliti Zaniel. Chaq menjelaskan
bahawa sekalipun lelaki ini mewarisi syarikat bapanya, dia bukan tipa lelaki
kaya yang mewarisi sesuatu secara membabi buta. Zaniel seorang yang gila kerja
dan sentiasa teliti dan bersedia dengan apa yang dia perlu lakukan. Mungkin itu
termasuk aku. Dia membuat persediaan untuk bertemu aku.
Oh, aku rasa macam VIP!
Tapi dalam masa yang sama aku juga rasa seolah-olah aku
berada dalam temuduga kerja.
“Jadi? Apa yang awak faham daripada membaca novel saya?”
aku bertanya.
Aku terasa seperti deja
vu. Suatu masa dahulu aku bertemu Roul dengan cara yang sama. Cuma beza
Roul dengan Zaniel ialah Roul telah pun membuat kesimpulan ketika dia bertemu
aku. Dia tidak membaca novel aku untuk menganalisa sifatku dan mengenaliku. Dia
ingin mengenaliku selepas membaca novelku. Berbeza dengan lelaki di depanku
ini, yang cuba memahami aku melalui tulisanku. Kerana itu aku bertanya.
Dia tersenyum. Perlahan-lahan, bagaikan ada butang gerak
perlahan yang menggerakkan bibirnya untuk senyum.
“I didn’t realise
this is a book club di mana semua orang perlu cari makna di sebalik apa
yang penulis katakan,” ujarnya, tangan kanannya menguis-nguis cawan kopinya.
“Ya, ini bukan book
club. Tapi saya tak nak awak anggap saya satu hiburan yang amusing untuk awak permainkan,” ujarku.
“Apa maksud awak?” tanya Zaniel, dahi itu berombak lagi.
“Saya dah jumpa ramai orang yang menganggap kerjaya saya
ni satu jenaka. A kind of joke. Saya
bukan engineer yang menggerakkan
semua jentera, saya bukan arkitek yang bina bangunan, bukan doktor yang rawat
pesakit. Malah saya bukan penulis buku akademik yang lebih diambil serius.
Orang anggap kerjaya novelis ni satu kerjaya mudah, kerjaya orang berangan,
kerjaya orang yang suka berfantasi. Picisan. I’ve met a lot of people. Antediluvian people who think that semua
novelis ni budak tak habis belajar yang cuma tahu menulis tentang perempuan
miskin yang berkahwin dengan lelaki kaya, dan menggelar kami idealists and dreamers, and they bask with the idea that novelis melayu
ni bodoh. Malah yang paling menyedihkan, ada juga novelis yang bersetuju dengan
notion ni.”
Aku tenung matanya. Dia melakukan hal yang sama. Tiada
reaksi di wajahnya. Melihatkan dia tidak punya jawapan, aku menyambung.
“Saya suka lihat penulis, terutama diri saya sendiri
sebagai seorang observer. Seorang
pengkritik yang lebih sopan berbanding pengkritik sebenar. Saya berkias dan
bukan menghentam. Saya tidak tahu semua perkara dalam dunia, tapi saya tahu
rutin, sifat, apa yang orang fikirkan, macam yang sedang awak buat sekarang, assessing whether I am talking crap or saying
something worth listening.”
Senyumannya makin lebar.
“Jadi awak datang sini untuk selesaikan masalah saya?”
tanya Zaniel.
Perbualan terhenti seketika apabila gelas berisi air
coklat panas yang aku minta tadi sampai. Barista tadi meminta diri.
Aku menggeleng.
“Saya datang sini sebab awak sesuatu yang baru. Saya rasa
awak pun datang ke sini jumpa saya sebab awak lebih berminat untuk tambah
kenalan, terutamanya sebab saya yakin sekali yang awak tak pernah kenal dan
berkawan dengan seorang novelis. Itu lebih kuat untuk menarik awak ke sini
berbanding nak dengar apa yang saya nak cakap,” ujar aku.
“Awak salah,” balas Zaniel, ada nada berminat dalam
suaranya. Kemudian dia menyambung,
“Saya memang berminat. Saya dah kata, saya dah baca novel
awak. Saya sedar awak tak pernah menulis tentang lelaki macam saya. Saya anggapkan
yang awak mungkin ada pandangan serong dengan golongan macam saya atau awak
cuba lari dari norma. If it's the first,
saya nak betulkan pandangan awak. If it's the second, saya rasa awak orang yang paling tepat untuk dengar isu
saya ni,” dia berdehem. Aku
ingin mengatakan sesuatu tetapi dia menghalang dengan isyarat tangannya.
“Saya lelaki biasa, Safi, can I call you that? Saya dengar Icha panggil awak Safi tadi.”
Aku mengangguk.
“Saya lelaki biasa, Safi. Saya tak ada beza dengan posmen
yang hantar surat atau pegawai bank yang uruskan akaun awak. Tapi saya ada
kulit luar yang saya tak boleh buang. I
have wealth.”
Agak berlagak bunyinya, tapi sedikit aneh, jadi aku
biarkan sahaja tanpa cuba sarkastik.
Dia menyambung lagi.
“Saya boleh buat semua benda. Saya cepat tangkap apa yang
orang ajar dan saya boleh buat keputusan dengan cepat. Saya boleh close a deal di Pahang pada waktu pagi
dan attend meeting di Kota Kinabalu pada waktu petang. Saya boleh buat semua
tu.”
Masih berlagak. Aku cuba bertahan lagi.
“Saya ada semua yang saya nak. Win any sport, get any car, buy any house...”
Kalau dia tidak berhenti berlagak lagi, aku akan pergi.
Lagipun aku tidak sehaus mana untuk minum air ni.
“...tapi saya masih tak berjaya dalam kehidupan peribadi saya.”
Nah, itu baru betul. Giliran aku pula untuk bersandar.
“Jangan salah faham.
I can get any woman I want.
Model, pelakon, cikgu sekolah, arkitek, eksekutif, siapa saja...”
Berlagak semula.
“...tapi saya tak boleh dapat perempuan yang saya perlukan.”
Dia memandang aku.
“Awak pun tahu bezanya,” katanya.
“Beza apa?”
“Sesuatu yang awak perlukan berbanding sesuatu yang awak
inginkan,” ujarnya.
Apa yang Zaniel maksudkan ialah, dia boleh dapatkan
mana-mana wanita yang dia mahu, tetapi dia sentiasa kehilangan wanita yang dia
ingini. Terlalu mudah kalau dia mencari seseorang untuk menemaninya hanya untuk
semalam atau yang ingin mengahwininya kerana hartanya. Namun begitu, setiap
kali dia bertemu seseorang yang dia ingini, hubungan itu tidak menjadi. Ada
benar apa yang dia katakan. Dia juga seperti lelaki biasa yang hanya ingin
bersama seseorang yang mencintai dirinya yang sebenar dan bukan siapa dirinya
yang ditunjukkan di depan mata kasar.
Mencintai. Yergh. Perkataan yang masih menggelikan.
“Hal ni bukan benda yang saya nak bincangkan terutamanya dengan
orang yang saya baru kenal. Tapi Icha kata ini boleh jadi satu cabaran dan
perkara baru. Dia kata dari dulu lagi awak suka selesaikan masalah orang.”
Ya, masalah semua orang kecuali diri sendiri, getusku.
Wajah Roul menjelma lagi.
“You see,saya
suka challenges,” sambung lelaki itu.
Zaniel merenung aku dengan lebih lama. Aku sedar hal itu,
tetapi aku buat tidak tahu. Yang aku pasti, renungannya bukan renungan lelaki
yang terpesona dengan perempuan cantik.
Aku masih sedar diri. Hahaha.
“Saya rasa kita berdua tak banyak beza, Safi. Saya rasa
awak mungkin boleh bantu saya,” ujar Zaniel tiba-tiba. Ini berbeza dengan
gayanya yang tampak skeptikal tadi.
“Kalau saya tak dapat membantu?”
Dia senyum lagi sambil mengacau-ngacau airnya yang jelas
sekali sudah tinggal sedikit berdasarkan bunyi dentingan sudu di cawannya.
“Kalau awak tak dapat membantu, anggap saja semua ni
sebagai kitaran hidup. Saya anggap awak seseorang yang saya pernah jumpa dalam
kitaran hidup saya dan saya ni lelaki kacak yang kaya pertama yang belanja awak
minum di Starbucks,” ujar lelaki itu. Tersengih.
Aku tersenyum.
Aku suka cara dia berfikir. Bukan sebab dia kata dia
kacak atau sebab dia belanja aku minum (yay, tak payah bayar!), tapi kerana dia
tahu realiti di sebalik pertemuan ini. Dia tidak mengharapkan apa-apa tetapi
dia tidak skeptikal dengan semua ini. Seperti aku, dia menganggap ini satu
pengalaman yang mengajar.
Sejenak aku merasakan yang aku sukakan lelaki ini.
“Kalau macam tu, bila awak ada masa?” aku bertanya.
Zaniel tidak bertanya kenapa seperti yang orang lain akan
lakukan. Dia hanya mengambil telefon pintarnya yang diletakkan di atas meja dan
memeriksa sesuatu. Pasti memeriksa jadualnya.
“Sabtu,” ujar Zaniel.
“Sabtu ni?” tanyaku.
Dia mengambil masa yang lama sebelum mengangguk.
“Saya ada golf. But
who cares,”dia sengih sambil membuat isyarat dengan tangannya seperti yang
dilakukan orang bila mereka tidak peduli.
“Okay. Sabtu. Saya nak awak bawa saya ke tempat yang
biasa awak akan bawa teman wanita awak pergi,” ujarku.
“Kenapa?” kali ini dia terpaksa bertanya.
“Ikut sajalah. Tapi jangan banyak sangat fikir. Just bawak saja ke tempat yang biasa
awak pergi dan biasa awak bawa teman wanita awak. Saya tak nak awak fikir
banyak sangat dan cuba ke tempat yang awak tak pernah pergi. That way it won’t work,” ujarku.
Dia menganggukkan kepala.
“Dan hantar saya balik. Sekarang,” ujarku dengan selamba.
Selepas seketika bersama Zaniel, aku sudah mula selesa untuk buat perangai
sebenar.
Dia ketawa.
Kalaulah aku sedar pertemuan itu yang memulakan semua
masalah hidup aku selepas itu...