Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 23: Mungkir Janji

Aku menunggu Iza di restoran mamak biasa yang terletak tidak jauh dari bangunan pejabatnya. Restoran mamak tersebut menjadi tempat biasa untuk kami berjumpa, malah menjadi tempat biasa Iza untuk makan tengah hari bersama rakan-rakan pejabatnya suatu masa dulu.

Ya, suatu masa dahulu, ketika dia masih lagi keliru tentang hubungannya dengan rakan sekerjanya yang bernama Hisham.

Perkara tersebut masih baru berlaku, malah baru berlaku tidak sampai dua tahun lalu. Iza memendam perasaannya pada Hisham yang sentiasa melayannya dengan sangat mesra berbanding orang lain, namun tidak sekali pun menyatakan siapa Iza di hatinya. Malah Iza akur dengan apa saja yang Hisham kehendaki, hingga sanggup melepaskan tawaran perniagaan yang cukup bernilai demi janjinya pada lelaki itu. Namun begitu, tidak sekali pun Hisham menghargai apa yang Iza lakukan, malah sebaik sahaja menemui seorang gadis yang lebih baik dari Iza, Hisham terus berpaling darinya. Dia hanya memastikan dia memberikan pujian dan melayan Iza seperti seseorang yang istimewa, cukup untuk buat gadis itu setia bersamanya, tapi tidak cukup untuk gadis itu yakin bahawa mereka punya sebarang hubungan yang lebih dari sekadar berkawan.

Malangnya, tatkala Hisham akhirnya menyedari yang dia sebenarnya menyayangi Iza, Iza sudah pun memilih Helmi yang sedia membantu dan menemaninya ketika dia dalam kesedihan. Sayang sekali. Kalau Hisham tidak melakukan hal yang bodoh itu, mungkin sekarang Iza sudah menjadi miliknya. Namun sekarang, Hisham yang akhirnya berhenti kerja dan berpindah ke tempat lain.

“Dia tak cakap apa-apa pun. Dia kata dia dah bosan kerja di syarikat yang sama dan dia nak fokus pada bisnes dia. Tapi bila aku tanya dia buka bisnes kat mana, dia asyik tukar topik lain,” itu yang Iza katakan suatu ketika dulu, bila ku tanya mengapa Hisham berhenti.

“Dia dengan Eliz macam mana?” aku bertanya.

“Macamlah aku pedulik nak tanya,” Iza ketawa. Kali ini aku tahu dia bukan berpura-pura macam dia tidak peduli, seperti mana gadis-gadis lain yang masih berdendam dengan bekas kekasih mereka. Dia memang sudah tidak kisah tentang Hisham.

Kalau difikirkan, Hisham memang bukan kekasih Iza pun, kan?
Itu hal yang berlaku suatu masa dahulu. Kini Iza bakal berkahwin tidak lama lagi, kami bukan lagi rakan serumah dan sudah dua kali dia tidak menjawab panggilan aku!

Panas dan berkuap. Restoran mamak itu bukanlah tempat yang paling selesa di dunia. Kalau ada KFC di sekitar bangunan lot kedai ini, sudah lama aku berpindah ke sana. Pada cuaca yang panas terik sebegini, aku rasa sangat rimas hendak menunggu Iza dengan lebih lama. Apatah lagi bila para pekerja mula membanjiri restoran untuk makan tengah hari. Kesesakan itu pasti lebih menjengkelkan.

Ku lirik ke kanan, ke arah kerusi di mana ku letakkan beg kertas yang berisi bebola daging yang sudah ku panaskan khas buat Iza. Tengok, mana ada kawan lain yang sebaik aku, sanggup masak dan panaskan makanan kegemaran kawan baiknya dan tunggu di restoran mamak yang panas ini hampir setengah jam.

Tidak lama kemudian, rakan-rakan sepejabat Iza yang lain mula memenuhi restoran. Aku nampak Zainul, Kumar dan Fendi, para eksekutif di jabatan yang sama dengan Iza, memasuki restoran sambil ditemani beberapa rakan sekerja yang lain. Aku nampak Kak Zu yang juga sepejabat dengan Iza, sudah pun duduk bersama seorang lelaki di meja yang berada dekat dengan kaunter, mungkin suami atau teman lelakinya.

Beberapa minit sudah berlalu namun Iza masih tidak kelihatan.

Aku keluarkan telefon bimbit dan mula bermain PACMAN. Aku lepas tiga peringkat sebelum mati di peringkat keempat. PACMAN mengingatkan aku tentang pai dan itu membuatkan aku lapar. Lalu aku menghentikan permainan tersebut.

Bukannya aku tidak mahu menunggu dengan lebih lama. Tapi kita perlu bersikap realistik. Kalau kawan kita terlambat sampai, mungkin itu disebabkan keretanya rosak di tengah jalan, atau dia tersangkut dalam kesesakan. Tapi untuk orang yang bekerja tidak sampai sekangkang kera jauhnya dari restoran ini, itu alasan yang tidak munasabah.

Apatah lagi apabila jam mula menunjukkan pukul 1.50 tengah hari dan rakan-rakan sepejabatnya yang lain sudah mula meninggalkan restoran tersebut seorang demi seorang. Sementara itu, gelasku yang berisi teh ais sudah pun habis sepuluh minit yang lepas. Hanya ada ketulan ais yang makin mencair sahaja masih tinggal. Itu pun sudah makin sedikit akibat ku kunyah satu persatu.

Selepas lima minit memikirkan sama ada aku patut menunggu atau tidak, aku terus buat keputusan untuk menghubungi Iza, keputusan yang sepatutnya aku buat sejam lepas.

Tiada jawapan kecuali suara wanita menjengkelkan yang sama.

“Nombor yang anda dail tidak aktif atau berada di luar kawasan perkhidmatan.”

Ku pandang sekeliling. Hampir kesemua rakan sepejabatnya sudah beredar. Rasanya ingin juga aku bertanya pada mereka ke mana Iza pergi. Namun begitu, aku batalkan niat itu. Lebih baik aku hubungi Helmi. Mungkin dia di pejabat dan aku boleh ke sana menghantar bebola daging ini. Sejak akhir-akhir ini, Helmi yang menghantar Iza ke tempat kerja atau Iza yang menghantarnya. Jadi mereka tetap akan bertemu walau apa pun caranya.

Cari nombor Helmi. Tekan dial. Tunggu sambil dengar lagu “Pagi yang Gelap” yang menjadi lagu nada panggilan Helmi sejak dahulu.

Sudah bertahun lamanya, tak muak tekak ke dengar lagu ni?

Noh Hujan hanya sempat menyanyi korus lagu tersebut sampai habis sekali sahaja. Kali kedua dia menyanyikan “Ku amat merindui kamuuu...”, Helmi mengangkat panggilan.

“Yelop.”
“Assalamualaikum la, bang,” aku memperbetulkan cara dia menjawab panggilan.

“Waalaikumussalam. Alimlah cik adik ni. Bini ustaz ke?” gurauan klisenya masih sama.

Adakalanya aku tertanya-tanya kenapa Iza mahu hidup bersama lelaki ini. Selain wajahnya yang selalu disalah anggap sebagai lelaki Tionghoa, punya kerjaya yang baik dan seorang penyayang, Helmi adalah seorang lelaki yang tidak lucu, bermulut celopar dan sudah mula buncit.

“Buncit bahagia!” itu alasannya dulu.

Ini masalahnya dengan orang lelaki. Mereka boleh membuncit sesuka hati dan tiada siapa akan mempersoalkannya, tetapi wanita pula perlu berdiet atau orang akan kata mereka pemalas.

“Kau kat pejabat ke? Aku nak datang melawat jap,” kataku, malas hendak melayankan gurauannya

“Kenapa? Kau rindu aku ya? Tulah, dulu masa aku bujang kau tak nak mengurat aku. Sekarang bila aku dah nak kahwin, barulah kau terhegeh-hegeh cari aku. Barulah terfikir, aku amat mencintai Song Joong-ki melayu ni,” Helmi masih bergurau dan ketawa sendiri.

“Song Joong-ki tu siapa?”

“Alah, yang berlakon drama The Innocent Man tu. Yang Iza minat sangat tu.”

Aku tidak mengikuti drama itu, tapi aku boleh ingat pelakon mana yang dimaksudkannya.

Really? Aku masih boleh tahan bila kau mengaku kau Leslie Cheung. Tapi tang mana kau sama macam Song Joong-ki? Boleh tolong sedar diri tak? Dah tua-tua ni cuba insaf dan bawak beristighfar sikit, muhasabah diri ke apa ke,” aku membebel.

Buatlah pembedahan plastik tujuh belas kali pun, Helmi tidak akan bertukar jadi Song Joong-ki.

Mahupun Leslie Cheung.

Dia ketawa di hujung talian.

“Kau ni party pooper betullah, Safi. Apa kau nak?” tanya Helmi.

“Kan tadi aku tanya, kau kat office ke tak? Aku nak datang.”

“Oh, ha’ah. Sorry. I dah tua. I lupa,” dia ketawa sendiri sebelum menyambung, “Aku tak ada kat pejabat. Aku half dayhari ni untuk temankan Iza jumpa wedding planner.”

“Apa?”

“Teman Iza jumpa wedding planner. Nak bercakap dengan Iza ke? Dia ada kat dalam kafe, tengah berbincang pasal tema.”

Aku rasa macam ada asap sedang keluar dari kepala aku.

“Dah lama ke kau orang kat sana?” tanyaku. Aku cuba tenangkan nadaku supaya Helmi tidak terdengar keinginan menyembelih yang amat tinggi, tersembunyi dalam key F major nada suara aku sekarang.

“Dari waktu lunch tadi. Weekend lepas memang Iza dah pergi jumpa wedding plannerlain dengan adik sepupu dia yang nak jadi pengapit dia tu. Tapi dia kata dia tak berapa suka sangat dengan idea planner tu, jadi dia ajak aku jumpa Kak Sal ni, wedding planner seorang lagi.”

Kepala yang berasap tadi mula rasa terbakar dan ingin mengeluarkan lava panas.

Weekend lepas?” aku mengulang dengan soalan.

Atau soalan yang lebih penting di sini ialah “Pengapit?”. Tapi aku tidak akan suarakannya pada Helmi atau dia pasti akan menyedari keinginan menyembelih aku tadi telah bertukar menjadi keinginan untuk membakar hidup-hidup.

“Ha’ah. Kau nak bercakap dengan dia ke?” tanya Helmi.

“Oh tak apalah. Aku cuma nak tanya kau kat mana je sebab dah lama tak jumpa kau. Itu je.”

“Ha, kan betul. Kau memang merindui aku. Kau bagaikan Lee Kwang-soo to my Song Joong-ki,” dia ketawa lagi.

“Tak payah buat analogi yang aku tak faham. Oklah, aku nak blah dulu,” ujarku dengan nada kelat.

“Kau nak aku kirimkan salam kau pada Iza?” tanya Helmi.

“Tak payahlah. Dia sibuk tu. Aku blah dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaiku-” aku tidak dengar keseluruhan jawapan salam itu kerana aku sudah pun mematikan panggilan.

Jumpa perancang perkahwinan ya?

Dia lupa semalam dia yang buat janji dengan aku ya?

Jumpa perancang perkahwinan minggu lepas ya? Sebab itu dia tidak menjawab panggilan aku ya?

Tapi hal itu tidak sesakit kenyataan ‘Iza jumpa perancang perkahwinan minggu lepas dengan pengapit’. Iza sudah ada pengapit rupa-rupanya. Apa sudah jadi dengan niatnya untuk melakukan hal ini bersama-sama? Apa yang Iza katakan tempoh hari? Aku sudah tidak mengingati semuanya, tapi aku yakin dia mengajak aku untuk menemani dia untuk melakukan semuanya.

Bersama-sama!

Tapi sekarang, bukan sahaja dia tidak memerlukan aku sebagai pengapit, malah tidak sebagai kawan juga.

Ku tarik nafas panjang-panjang dan segera menghubungi Roul.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.