Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 2: Bila Roul kata...

Sepanjang perjalanan pulang, aku tidak bercakap langsung.

Malah ketika Roul membuat satu pusingan laknat memasuki simpang, aku segera memegang papan pemuka secara automatik untuk mengekalkan graviti badanku. Namun aku langsung tidak menegurnya atas perbuatan yang berbahaya itu.

Secara jujurnya, aku bukan diam semata-mata kerana terkejut dengan pengumuman Iza dan Helmi. Memang aku terkejut kerana tiba-tiba sahaja mereka mahu berkahwin. Namun itu bukan sesuatu yang aneh. Memang mereka sedang bercinta. Mereka akan berkahwin juga satu hari nanti. Kalau mereka bercinta tanpa mahu berkahwin, memang sudah lama aku hantar laporan ke JAIS.

Aku cuma tidak mahu Roul bertanya tentang hal tersebut.

“Fikir Iza dengan Helmi ke?” tanya lelaki itu tiba-tiba.

Mengeluh.

Aku baru berharap dia tidak akan bertanya.

“Tiba-tiba je,” jawabku.

“Tulah,” dia bersetuju.

“Maksud aku, aku tahulah Iza dan Helmi akan kahwin juga suatu hari nanti. Tapi aku ingatkan dia orang nak bertunang dulu. Sekurang-kurangnya kalau dengan bertunang dulu, mungkin aku akan slowly digest the fact. Ini macam tiba-tiba nak kahwin,” jawabku.

“Tapi bagus jugak. Gua pun dah nak rabun tengok orang bertunang.”

“Heh?”

“Orang sekarang bertunang kalah majlis kahwin. Pelamin, photographer, pengapit. Belum apa-apa, buku akaun dah bolong,” ujar Roul.

“Ya, tu belum masuk bab memilih tarikh. Nak nombor cantiklah, apalah. Lepas tu baru kahwin dua tahun dah menangis-nangis mintak cerai,” aku menyambung.

“Kita tak akan jadi macam tu kan?” Roul memandangku.

“Jadi apa?”

“Kita tak akan jadi pasangan yang cuma bertahan dua tahun, kan?”

Kata-katanya itu membuat aku menoleh ke arahnya dengan pantas. Sakit leher dibuatnya, ditambah pula dengan tudung yang aku lilit itu. Usaha untuk bertudung ala Hijabster ini sememangnya merimaskan. Tiba-tiba aku rindu saat tudung semua orang nampak seragam. Kalau ada bezanya pun, mungkin seorang bertudung bawal bertatahkan swarovski, seorang lagi hanya bertudung bawal RM10, sekalipun kalau sekali pandang, tiada siapa yang akan nampak bezanya.

“Tersekat?” Roul terkekeh melihat aku cuba membetulkan kedudukan tudung aku.

Tudung ini ku pakai kerana Roul. Ketika dia melawat temannya yang membuat persembahan di Pekan Frinjan, Roul melihat ramai gadis bertudung di situ yang menggayakan stail Hana Tajima. Kerana itu dia membelikan aku beberapa helai tudung selendang pelbagai warna dan menyuruh aku menggayakannya. Bila aku datang berjumpanya tanpa menggayakan fesyen itu, dia merajuk dan mula menggunakan alasan mengarut seperti, “Lulu suruh gua potong rambut dulu, gua ikut je.”

Seingat aku, dia memotong rambutnya dahulu kerana kecederaan di kepala akibat dihantuk dengan botol. Sejak bila pula aku terlibat dalam hal pemotongan tersebut? Botol tu pun bukan aku yang ketuk.

Namun begitu, disebabkan aku tak mahu lelaki yang satu ini merajuk dengan lebih lama, aku membuat keputusan untuk belajar memakai tudung cara Hana Tajima melalui Youtube. Bila melakukannya sendiri, aku sedar kelucuannya. Tentu ramai anak gadis di luar sana yang ketika ini sedang mengherot-berotkan muka di depan komputer riba, cuba untuk memahami cara melilit tudung. Mungkin sebelum itu mereka juga mengherot-berotkan muka cuba belajar membuat solekan gaya artis antarabangsa.

Tapi sebenarnya fesyen tudung ini sangat tidak sesuai dengan aku yang kurang sabar. Aku juga tidak pasti sama ada bertudung begini yang mengajar aku erti bersabar, atau mungkin peranan sebagai teman wanita Roul yang mengukuhkan kubu kesabaran aku.

“Lulu tak jawab soalan gua,” kata Roul tiba-tiba.

“Ya, Roul. Kita tak akan jadi pasangan yang bertahan selama dua tahun saja,” jawabku.

Lelaki itu tersengih sendiri.

“Sukalah tu? Suka. Suka sangat,” aku mengusiknya.

Roul tidak membalas kata-kataku. Dia terus tersenyum sendiri sambil memotong kereta lain satu demi satu. Aku sudah selalu menasihati lelaki ini supaya memandu dengan lebih cermat. Dia juga akur dengan permintaanku, tetapi biasanya dia hanya akan ingat selama lima minit yang pertama sebelum kembali memecut macam tikus terdesak. Aku sudah terbiasa dengan brek mengejut, yakin suatu hari nanti, kami mungkin akan mati di jalan raya bersama seperti Nicole Scherzinger dan Lewis Hamilton.

Aku bukan kata Nicole Scherzinger dan Lewis Hamilton sudah mati, mahupun menyamakan diri aku dengan Nicole Scherzinger, kerana itu adalah perasan cantik tahap kronik. Maksud aku, kelajuan Roul yang mencapai tahap pelumba profesional itu sama seperti pelumba profesional itu sendiri dan kalau kami mati di jalan raya, kami tidak ubah seperti...

Kenapa aku bersusah-payah menjelaskan hal ini dengan diri sendiri?
Perjalanan yang sepatutnya memakan masa dua puluh minit itu berjaya menjadi sepuluh minit sebaik sahaja kami tiba di depan rumah sewaku. Boleh dikatakan kadar kelajuan pemanduan Roul ini adalah seperti Kamus Dewan yang dipermudahkan menjadi Tesaurus. Aku memang tidak sabar untuk menunggu Iza pulang supaya kami boleh bercakap tentang hal ini secara lebih peribadi daripada pengumuman dramatiknya ala sidang media pelakon popular sebentar tadi. Namun dalam masa yang sama, aku juga tidak mengharap aku akan sampai ke rumah seawal ini hanya kerana teman lelakiku mempunyai impian yang tidak kesampaian untuk menjadi Fujiwara Takumi.

Aku baru saja menanggalkan tali pinggang keledar dan meminta diri untuk keluar apabila Roul memanggilku.

“Lulu.”

Aku menoleh, memandangnya dengan mengangkat keningku.

“Bila kita nak kahwin?” tanya Roul.

Wajahnya serius.

“Jumpa mak bapak aku pun belum lagi, nak cerita kahwin apahal?” usikku.

“Jadi, bila nak bawak gua jumpa mak bapak Lulu?” serentak itu dia bertanya, wajahnya masih serius.

Aku memandang dia seketika, menunggu waktunya riak serius itu retak dan bertukar jadi tawa gurauan. Namun hal itu tidak berlaku. Roul memang menanyakan soalan yang serius.

“Nanti kita bincanglah,” jawabku akhirnya. Itu saja yang dapat aku fikirkan tatkala ini.

Roul mengangguk-angguk sendiri. Melihatkan dia tidak lagi mengatakan apa-apa, aku meminta diri untuk kali kedua, menutup pintu kereta dan melambai padanya. Dia memberikan anggukan kepadaku, (cara Roul yang biasa, padanya lambaian itu satu perkara yang tidak kelelakian). Kemudian dia terus memecut pergi, meninggalkan kesan tayar terbakar di selekoh hujung taman perumahanku.

Ada lebih kurang lima kesan tayar terbakar yang sudah menjadi parut di atas jalan. Aku yakin semuanya onar Roul.

Mengeluh.

Aku tidak tahu apa yang aku keluhkan tatkala itu. Mungkin pada cara Roul memandu, atau mungkin pada soalan Roul tentang perkahwinan. Pengumuman yang dibuat oleh Iza dan Helmi tadi sudah cukup buat aku terkejut, aku tidak perlukan hal lain untuk difikirkan.

Mungkin orang tidak faham kenapa aku perlu memikirkan hal perkahwinan Iza dan Helmi. Mereka sememangnya patut berkahwin. Aku juga sedar hal dan kemungkinan itu ketika kali pertama aku mendapat tahu bahawa mereka sudah bercinta. Namun menyedari hal itu dan menghadapinya adalah dua perkara berbeza. Seseorang boleh membayangkan kesukaran hendak muntah. Tetapi kepenatan rahang dan sesak di dada selepas mengeluarkan isi perut melalui mulut akibat salah makan itu hanya akan muncul apabila anda benar-benar muntah.

Baiklah, analogi itu agak menjijikkan dan tidak sesuai disamakan dengan sesuatu yang indah seperti perkahwinan Iza dan Helmi, namun aku tidak tahu apa lagi yang sesuai untuk aku gunakan. Fikiran aku buntu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.