Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 26: Money, Money, Money

Tepat jam 8.15 malam, aku terdengar bunyi hon kereta di luar rumah. FLX hitam berjalur kuning itu berada di luar pagar, tanda Chaq tidak akan masuk dan hanya menunggu aku di luar.

“Jis, aku blah dulu. Kalau Masni balik nanti, beritahu dia aku ada buat pasta salad,” pesanku pada Jis yang baru lima minit sampai ke rumah dan sedang menanggalkan tudungnya. Makanan paling mudah disediakan buat mereka bila anda tergesa-gesa. Hanya perlu rebus spageti, dan kemudian gaul dengan minyak zaitun, buah zaitun, cuka, limau, daun selasih, bawang putih dan tomato. Siap.

“Pesanan kau ni untuk Masni je? Aku?” tanya Jis.

“Ada sekali la. Aku letak dalam peti sejuk. Jangan kau panaskan pulak. Memang kena dimakan sejuk-sejuk,” jelasku.

“Okay. Thank you, la-ling,” Jis sengih.

Aku hanya tersenyum dan meneruskan langkahku. Chaq sudah menekan hon kali kedua. Aku nampak dia menekan hon tersebut dengan sikunya sementara dia sibuk membetulkan solekan. Mungkin isyarat agar aku mempercepatkan langkah atau mungkin dia tidak sengaja tertekan hon tersebut.

Ku buka pintu tempat duduk penumpang di sebelah pemandu dan muzik yang terkedap di dalam kereta bagaikan menerpa keluar. Isi kereta Chaq merupakan gabungan kesejukan penghawa dinginnya yang agak ekstrim, lagu-lagu nyanyian kumpulan ABBA yang berkumandang di pemain CD dan gabungan pelbagai haruman, dari minyak wangi kereta, minyak wangi yang disembur di tubuhnya dan bau baju dobi yang baru diambil dan digantung di tempat duduk belakang.

Chaq tersengih memandangku. Kemudian menyambung nyanyiannya sambil membuang sememeh gincu di pinggir bibirnya.

“In my dreams I have a plan, If I got me a wealthy man, I wouldn't have to work at all, I'd fool around and have a ball...” dia menyanyi dengan penuh perasaan.

Aku masuk dan memasang tali pinggang keledar. Chaq masih menari-nari mengikut lagu sebelum menyambung nyanyiannya.

“Money money money, must be funny, In a rich man’s world...”

Menari lagi.

“Apa tema muzik kereta kau ni? Eurovision 1976?” tanyaku. Aku terasa seperti kembali ke tahun 70-an bila mendengar lagu ABBA di dalam keretanya.

Kembali? Aku masih belum lahir pada tahun 70-an!

Chaq cuma tersengih. Dia memasukkan kembali semua alat soleknya ke dalam beg tangan, meletakkan beg tangannya di ruang antara dua tempat duduk kami, dan terus memecut pergi.

Tidak sampai sepuluh minit kemudian aku berada di Starbucks Coffee, Bangsar Village.

Dia seorang yang tinggi lampai.

Ya, aku memang sudah melihat gambarnya tapi imej tidak bergerak tidak sama dengan prototaip asal.

Gayanya mengingatkan aku pada pelakon Rupert Penry-Jones. Ketinggiannya, potongan rambutnya yang kemas, wajahnya yang tampak serius dengan dahinya yang berombak tatkala dia berkerut sambil menaip sesuatu di telefon pintarnya.

Lelaki ini bagaikan lelaki yang aku impikan suatu masa dahulu, cuma bezanya sekarang kami di Starbucks Coffee tanpa bertemu terlebih dahulu di kedai buku, dan dia pula sedang sibuk bercinta dengan telefon pintarnya bagaikan dia akan mati kalau ada sesiapa merampas telefon itu daripadanya. Tidak seperti babak impianku dahulu, kami tidak berbincang tentang pasca-feminisme dan karya Virginia Woolfe dan aku tidak memesan french vanilla manakala dia menggunakan cawan besar.

Ada kemungkinan dia sedang minum kopi berperisa tofi!

Apa yang aku fikirkan ni? Aku ada Roul!

Cuba fokuskan otak untuk fikir tentang Roul. Roul dan mata merahnya. Roul dan rokok gulungnya. Roul yang kini sudah berambut hitam tetapi masih berperangai macam lelaki berambut merah. Roul yang masih belum beritahu kekasih lamanya yang mereka sudah berpisah dan yang telah mengatakan bahawa aku suka memperbesarkan hal kecil.....

Baiklah, Roul versi itu memang menjengkelkan berbanding Rupert Penry-Jones di depan mata ini.

Dia memandang ke arah kami. Tangan kanannya masih menaip sesuatu sementara tangan kirinya menupang dagu. Dia hanya menggerakkan jari telunjuk kirinya sebagai isyarat yang dia tahu kehadiran kami. Kemudian dia kembali mengalihkan matanya ke arah telefon bimbit di tangan kanan, membaca sesuatu dan kembali menaip.

Chaq datang menghampiri lelaki itu sementara aku hanya mengekori dari belakang.

“Zane, lama sampai?” tanya Chaq, terus mengambil tempat di depan lelaki itu.

“I memang ada kat sini dari petang tadi. ‘Was buying present for Linda,” ujarnya.

“Untuk apa?” tanya Chaq, mengisyaratkan agar aku duduk di satu-satunya kerusi yang masih kosong. Aku hanya menuruti.

“She’s getting married.”

“Serius? Dengan siapa? Khal tak beritahu I pun. What did you get her?” tanya Chaq bertalu-talu.

Dia mengeluarkan sekeping sampul surat dari poket seluarnya dan menyerahkannya pada Chaq.

Chaq ternganga. Aku tidak tahu apa yang hebat sangat sampai begitu sekali reaksi Chaq.

“You serius nak bagi dia ini? I patut ajak Khal kahwin cepat-cepat!” ujar Chaq, separa bergurau. Aku kata ‘separa’ sebab aku tahu dia memang mengharap apa yang diberikan Zaniel buat wanita bernama Linda ini juga akan menjadi hadiah perkahwinannya suatu hari nanti. Hadiah itu pastinya sangat hebat. Chaq mengembalikan sampul itu kepada Zaniel, sekalipun aku tahu dia sangat berat hati melepaskannya.

“So,” Chaq berdehem sebelum memperkenalkan, “Zaniel, Safiah, Safi, Zaniel.”

Aku hanya tersenyum dan dia mengangguk padaku.

“Okay. I nak pergi jumpa Khal. Zaniel, nanti you hantarkan Safi balik. Thanks. Pergi dulu.”
Aku tidak sempat mencerna kata-kata Chaq. Tiba-tiba sahaja dia bangun, melambaikan tangannya dan terus berlalu sementara aku hanya dapat menoleh dan melihat dia berlalu dengan pantas. Aku rasa perkara yang sama dirasakan oleh Zaniel, kerana dia juga nampak terpinga-pinga. Tetapi dia tetap mengatakan “Okay” seolah-olah kami sama-sama bersetuju untuk berdua-duaan di sini dan balik bersama-sama.

Khairunnisa. Wanita ini memang bukan sebaik-baik wanita seperti namanya! Sanggup dia buat begini pada kawan sendiri!

“Dia memang macam tu,” ujar Zaniel, bagaikan memahami apa yang aku fikirkan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.