Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 1: Bila Iza dan Helmi kata...

1

Setiap orang di dunia ini mempunyai cerita cinta idaman masing-masing.

Huh, macam karangan budak sekolah yang malas.

Baiklah, setiap orang di dunia ini mempunyai cerita cinta idaman masing-masing. Ada yang mengidamkan untuk bertemu cinta dengan teman karib sendiri selepas bertahun-tahun berkawan, ala-ala filem ‘Kuch Kuch Hota Hai’ dan filem-filem yang meniru ‘Kuch Kuch Hota Hai’. Ada yang mengidam untuk menemui cinta di tempat kerja, mungkin dicintai majikan muda mereka yang baru pulang dari Amerika Syarikat dan kemudian hidup bahagia selama-lamanya di sebuah rumah agam mewah di Seksyen 8, Shah Alam. Atau mungkin jatuh cinta selepas berkahwin, itu pun selepas suami mengahwini teman wanitanya yang juga seorang model, tetapi kemudiannya menyedari bahawa wanita sejati untuknya adalah isterinya yang terpaksa dikahwini dahulu.

Ya, kerana impian dan khayalan cinta orang ramai ini, aku menjadi seorang novelis.

Aku menjadi novelis, kerana ingin memberikan mereka satu medium untuk merasakan seolah-olah perkara tersebut boleh menjadi kenyataan, bahawa mereka itu satu pengecualian kepada peraturan perhubungan.

Bohong.

Aku menjadi seorang novelis kerana aku merasakan aku patut menjadi medium kepada orang ramai yang mengalami sesuatu dan tidak pasti sama ada mereka mengalaminya sendiri atau ada insan lain memahami perasaan mereka. Aku ingin menjadi wakil, medium dan orang pertengahan itu. Aku ingin menjadi teman yang tidak perlu umum temui untuk mendengar kisah mereka, tetapi cukup dengan mengambil buku aku, membacanya dan mengatakan “Ya, aku juga pernah rasa perasaan itu dan aku tidak bersendiri.”

Kerana itu orang yang tidak pernah tahu sakitnya putus cinta, atau indahnya dicintai, atau sukarnya menjadi seseorang yang cintanya tidak dibalas, atau masih berada di fasa penafian dan merasakan mereka pengecualian bagi semua perasaan-perasaan itu, atau hidup dalam dunia yang hitam putih tanpa sedikit pun kekelabuan, tidak akan memahami penulisan aku.

Orang yang hanya mahu membaca buku supaya mereka boleh tertidur? Tidak akan faham tulisan aku.

Orang yang hanya mahu membaca buku supaya boleh menangis? Tidak akan faham tulisan aku.

Orang yang hanya mahu membaca buku supaya boleh lari dari kehidupan biasa dan berada di alam khayalan? Tidak akan faham tulisan aku.

Oh!

Lupa pula.

Cerita cinta idaman aku? Aku mengidamkan satu babak di dalam sebuah kedai buku. Aku inginkan pertemuan dengan teman lelakiku bermula di situ. Aku dan dia merebut buku yang sama, mata kami bertentangan dan dia yang berkemeja John Masters dengan spek hitam disisip di poket kemeja akan bertanya kepadaku,

“You pun suka Virginia Woolf?”

Aku akan menjawab, “Oh tentu sekali. Beliau seorang sasterawati modernis abad ke-20. Beliau memberikan inovasi pada sastera Inggeris sekalipun ramai yang mempersoalkan karyanya yang dikatakan anti-Semitik.”

Dia akan mengangguk penuh kagum sambil membalas, “Ya. Karakter-karakternya sentiasa menonjolkan streams of consciousness dan persoalan psikologi dan...”

“...motif emosional di sebalik naratif,” aku akan menyambung ayatnya.

Kami akan tersenyum dan saling memandang, kagum dengan takdir yang menyatukan kami dan dia akan menggaru kepalanya, sambil mengajak aku, “A cuppa at Coffee Bean?”

Kemudian kami akan terus berbincang tentang karya Virginia Woolf seperti ‘Mrs. Dalloway’ dan ‘The Waves’ sambil aku menikmati secawan french vanilla panas dan dia, kopi berperisa tofi (gelas besar, kerana dia perlukan kafeinnya menggantikan rokok yang sudah bertahun lamanya dia tidak beli demi kesihatan badan).

Itu cerita cinta impian aku yang pernah aku nyatakan kepada sahabat karibku, Allahyarham Fakri ketika kami masih lagi hanya berkawan baik. Impian itu aku luahkan padanya setahun sebelum dia meluahkan perasaannya padaku. Ya, sebelum tragedi malang itu berlaku dan dia maut ketika cuba mengelak keretanya dari melanggar seorang pemuda mabuk di tengah jalan.

Sebelum tragedi itu menghancurkan hidupku.

Namun bukan itu realitinya.

Teman lelaki aku bukan seorang lelaki berkemeja John Masters yang sukakan ‘...pengajian jantina dan gaya roman a clef dalam karya ‘Orlando’ tulisan Virginia Woolf.

Dia kini di sebelah aku di warung mamak, sedang mencarut tentang maggi gorengnya yang rasa macam puntung rokok, sambil dia sendiri menghembus rokoknya yang kedua, dibalutnya sendiri dua minit sebelum itu. (Aku malas hendak memberitahunya punca maggi goreng itu rasa puntung rokok mungkin kerana dia makan sambil merokok). Dia yang hanya berpagoda dan berseluar khaki, dengan comot dan capuk-capuk warna merah, biru dan indigo hasil kerjanya menconteng kanvas sejam sebelum itu.

Bagaimana impian lelaki kelas pertengahan-atasan bertukar menjadi makhluk berbau ketiak?

Let’s recap...

Seperti klise intro hikayat klasik, ‘semuanya bermula beberapa purnama yang lalu’, apabila aku cuba menyelesaikan masalah dua teman karibku, Iza dan Helmi. Iza berdepan dengan masalah jiwa luka yang parah berskala Scoville cili Trinindad Moruga Scorpion(masih lagi cili terpedas di dunia di kala catatan ini ditulis), apabila dia keliru sama ada lelaki yang disukainya, Hisham, mempunyai perasaan yang sama padanya. Pada masa yang sama, Hisham melayannya seperti kekasih tetapi tidak pernah mengucapkan apa-apa, malah membohongi Iza dan berulang kali menyakiti gadis itu.

Contohnya? Iza sanggup menolak tawaran perniagaan yang lebih baik kerana janjinya untuk membuka bisnes bersama-sama lelaki itu. Namun apa jantan tak guna tu buat? Dia mengkhianati Iza dengan menubuhkan perniagaan yang mereka impikan bersama orang lain. Wanita kacukan bernama Eliz yang bekerja di Kedutaan Amerika.

Ya. Eliz, Kedutaan Amerika, kacukan. Nama yang sedap, pekerjaan yang hebat dan baka idaman ramai. Trifecta untuk memusnahkan jati diri wanita lain.

Sakit hati tak mendengarnya?

Dia tanya pendapatku sama ada Hisham lelaki yang baik untuknya. Apa aku jawab?

Nahiiiiiiiiin! (dengan nada dramatik filem Bollywood tahun 60-an siap dengan gemaan dari gunung).

Sementara itu, rakan karibku yang seorang lagi, Encik Mohd Helmi Ashraff atau lebih dikenali sebagai Helmi pula perlu dipujuk hatinya tatkala dia menyedari wanita Tionghua yang dicintainya selama ini; Jia Huey, 25 tahun, sebenarnya mempergunakannya supaya si dia dan kekasih hatinya yang sebenar boleh bersatu.

Selepas angau dilanda ombak cinta, Helmi mendapat tahu bahawa Jia Huey hanya berpura-pura melayannya seperti seorang kekasih. Untuk apa? Supaya bapa gadis itu, yang selama ini berkeras agar anaknya mengahwini seorang lelaki dari Tanah Besar China, sedar bahawa seorang lelaki cina warganegara Malaysia sudah cukup baik berbanding anak perempuannya itu memilih seorang lelaki melayu beragama Islam.

Memburukkan lagi keadaan, cinta sebenar Jia Huey adalah Danny, rakan karib Helmi sendiri yang selama ini kononnya merestui hubungan mereka!

Selepas aku memujuk Helmi untuk membantu Danny dan Jia Huey, dan memintanya agar memulakan hidup baru, pemuda itu akhirnya akur. Malah setelah berjaya menyatukan kedua-dua insan yang suatu masa dahulu mempergunakannya, Helmi pula berasakan bahawa dia dilahirkan sebagai jelmaan Cupid dan patut menyatukan hati dua insan sedang bercinta. Ala-ala lagu M.Nasir.

Perasan.

Namun aku gunakan keyakinan baru Helmi itu dan meyakinkan dia untuk membantu Iza dalam hubungan gadis itu dengan Hisham, lelaki yang dicintai Iza sepenuh hatinya. Aku meminta Helmi berpura-pura menjadi orang ketiga yang ingin merebut Iza dari Hisham untuk membuat Hisham sedar bahawa kalau dia mahukan Iza, dia harus bertindak cepat.

Iza tidak bersetuju dengan idea aku, manakala Helmi pula tidak menyatakan sebarang persetujuan atau penolakan.

Namun begitu, tanpa pengetahuan aku, mereka tetap melakukannya di belakang aku. Berjumpa dan membuat perancangan tersebut, maksud aku. Namun siapa boleh menipu aku? Hei, aku Safiah Shuhaimi. Aku novelis terulung Malaysia (sekalipun ini cuma pengakuan sendiri, tapi siapa peduli?). Lambat laun aku pasti akan tahu apa yang mereka cuba lakukan.

Kemudian seperti mana klise cerita cinta yang boleh dibaca dalam buku inggeris berharga RM9.90 dengan gambar separa lucah di kedai-kedai buku seluruh Malaysia, mereka jatuh cinta. Helmi jatuh cinta pada kesetiaan dan kebijaksanaan Iza, sementara Iza memilih Helmi kerana sedar bahawa lelaki itu jauh lebih baik daripada Hisham, malah setia melindungi dan membuat dia tersenyum.

Hah, macamlah aku tak boleh agak.

Berkali-kali telah ku nyatakan kepada mereka, sekiranya ada seseorang yang patut mereka hadiahkan rasa terima kasih mereka, akulah orangnya. Aku yang memberi idea tersebut kepada mereka. Aku yang menanam benih-benih inspirasi itu kepada kedua-duanya. Jadi kalau ada anugerah untuk sahabat terbaik yang perlu dibelanja makan setiap masa dan ketika, siapa lagi yang layak memenanginya?

Aku, bukan?

Bukan aku?

Ya, mereka tidak mahu mengakuinya. Malah mereka tidak mahu aku masuk campur dalam percintaan mereka. Kerana itu mereka memutuskan bahawa aku patut diberikan urusan dan masalah lain, supaya aku tidak akan mengganggu percintaan mereka. Lalu aku diperkenalkan dengan seorang pemuda dalam satu pertemuan blind date yang aku persetujui dan yang aku sesali beberapa jam selepas itu.

Dia yang bernama Roul.

Roul bukanlah lelaki paling kacak dalam dunia. Jika difikirkan semula, sekiranya anda menemuinya di tengah jalan, anda pasti akan memeluk beg tangan anda sekuat-kuat hati dan mengeluarkan penyembur pemedih mata sebagai langkah berjaga-jaga. Rambutnya yang panjang berwarna merah menyala umpama lampu isyarat menandakan BERHENTI, dan mata kanannya yang juga merah (tentu sekali kanta lekap) membuatkan anda tidak akan teragak-agak untuk lari menyelamatkan diri.

Pernah tak anda membayangkan hidup dengan seorang lelaki bermata hantu yang rambutnya lebih merah dari api? Yang mencarut dalam setiap perenggan dan gulung rokok sendiri seperti seorang penagih dadah? Aku sangka Helmi dan Iza gila atau tidak punya prinsip setia kawan, kerana menyangka wanita seperti aku akan ingin bersama lelaki seperti dia.

Malangnya, sekalipun aku merasakan diri aku seorang wanita insufferable know-it-all, tahu segala-galanya tentang sifat manusia, aku juga manusia biasa yang gagal melihat lebih daripada apa yang dibentangkan di hadapan aku. Roul, atau nama sebenarnya Zairul Ghazali bin Ahmad, rupa-rupanya lebih dari itu. Lebih daripada apa yang dipaparkan di depan aku.

“Hahahahahaha,” aku gelak masa tu.

“Apa yang kelakar?” tanya Roul sebaik sahaja mendengar tawaku bila dia memberitahu aku nama penuhnya.

“Nama punyalah baik, tak masuk dengan pakej rupa paras,” ujarku.

“Ceh,” dia mengerutkan hidungnya.

Ya, apa yang Roul paparkan di depan orang yang tidak mengenalinya amat berbeza dengan dirinya yang sebenar. Di sebalik kehodohan warna rambutnya dan pilihan kanta lekapnya, dia seorang lelaki yang cukup istimewa. Dia berjiwa halus dan dapat dilihat dari lukisannya. Dia seorang yang penyayang, jika anda melihat cara dia melayan adik perempuannya, Zara. Dia seorang yang tidak tahu erti jemu, jika anda melihat cara dia berusaha mendapatkan aku seperti seorang penghendap kelas pertama yang sudah banyak menerima arahan sekatan dari mahkamah.

Kerana itu aku mula jatuh cinta kepadanya, sekalipun aku tidak pernah menyebutnya di depan Roul, kerana dia pasti akan tersengih-sengih dan gembira sendirian. Aku mula dihantui sengihannya yang panjang, sikapnya yang suka mengusik tapi serius dalam masa yang sama, dan prinsip selambanya dalam melihat kehidupan.

Namun belum sempat hubungan itu menjadi sesuatu, aku dan dia mengalami konflik (sebab kalau tidak ada konflik, rasa macam tidak ada perisa pula dalam kisah kehidupan aku). Satu insiden di sebuah kelab malam menyebabkan aku teringat pada seorang insan lain yang pernah aku sayang. Ia mengingatkan aku tentang Allahyarham Fakri dan betapa bencinya aku dengan manusia seperti Roul suatu masa dahulu. Konflik itu membuat aku kembali ke kampung halaman, seperti klise drama melayu. Namun aku mula sedar yang aku masih sayang padanya sekalipun berkali-kali aku yakinkan diri aku yang aku membencinya.

Kerana itu aku kembali. Kembali ke dalam pelukannya...

Tidak, ayat ini sekadar ayat penyedap sahaja. Aku tidak peluk lelaki bukan mahramku. Abah aku pun aku tidak peluk, apatah lagi anak orang lain.

Setahun telah berlalu dan aku masih setia bersama Roul.

“Seriously, woman. Mana kawan-kawan Lulu ni?” tanya Roul sambil menggaru-garu lehernya dengan tangan kiri yang masih memegang puntung rokok.

‘Lulu’ merupakan nama ‘manja’ Roul untuk aku. Tidak lama dahulu, aku marah dia menggunakan kata ganti ‘gua’ dan memanggil aku ‘lu’. Jadi lelaki tidak sensitif ini cuma menambah gandaan pada ‘lu’ itu menjadi Lulu dan secara rasminya menjadi nama panggilanku. Suatu masa dahulu, aku rasa panggilan itu menjengkelkan, tapi kini aku sudah menganggapnya seperti satu keistimewaan.

Aku menggigit bibir melihat perilakunya, risau jika nyalaan rokok itu terkena kulitnya. Tangan kanannya pula masih menguis maggi gorengnya yang sudah tinggal separuh. Sekalipun dengan kritikan tentang rasanya, Roul masih menelan makanan tersebut disebabkan kelaparan.

“Mana orang tau,” ku lirik jam di tangan, menjawab soalannya tadi.

“Lulu tak nak makan?” tanya Roul, melihat aku hanya duduk di sebelahnya tanpa memesan apa-apa. Dari dahulu sampai sekarang, Roul tidak suka aku duduk menghadapnya. Dia mahu aku berada di sebelahnya. Dalam banyak-banyak perkara romantik dan jiwang yang dia tidak suka, ini satu-satunya perkara yang agak mengada-ngada yang dia wajib lakukan.

Aku menggeleng kepala.

Aku baru selesai menghadiri ceramah di sekolah adikku dan mereka telah menjamu aku dengan pelbagai jenis makanan. Aku tidak faham kenapa aku yang perlu dipanggil untuk memberikan ceramah tentang penulisan kreatif. Setahu aku, aku tidak pernah menulis novel dengan tatabahasa yang sesuai malah novel aku bukan untuk bahan bacaan pelajar tingkatan tiga yang akan menduduki PMR. Namun disebabkan aku mahu menjaga hati adik bongsuku Diana yang begitu bersungguh-sungguh mahu aku datang, aku pun bersetuju melakukannya.

Aku sendiri hairan kenapa Diana bersungguh-sungguh mahu aku datang, sedangkan dia sendiri akan mengambil SPM tahun ini dan tidak akan menghadiri ceramah tersebut.

“Lulu tahu ke kenapa ‘Heliza’ tu nak jumpa?” tanya Roul, matanya dikecilkan tatkala dia menghisap rokoknya sedalam-dalamnya.

Bukan aku tidak cuba untuk menyuruh dia berhenti. Aku sudah cuba. Tapi menyuruh seorang perokok tegar berhenti merokok demi cinta adalah impian romantik mengarut wanita zaman sekarang. Aku hanya menunggu saat dia dimasukkan ke hospital kerana masalah paru-paru, supaya aku boleh melawatnya dan kata “Padan muka”. Hal itu pasti akan berlaku suatu saat nanti.

Pasti.

Oh, “Heliza” merupakan gelaran yang Roul berikan kepada Helmi dan Iza. Sejak dari saat pertama mereka bercinta sehingga sekarang, kedua-duanya sudah seperti sepasang kembar siam yang tidak boleh berenggang. Percintaan mereka amat memualkan apatah lagi apabila sudah setahun lebih mereka bersama. Dua tiga bulan pertama mungkin romantik, tetapi kalau sudah setahun lebih mereka masih bergurau senda seolah-olah baru bercinta, itu menjengkelkan.

“Entahlah. Asalkan dia orang tak buat pengumuman bangang macam last timenak beli Ipad tu cukuplah.”

“Ugh,” Roul turut buat muka.

Tiga minggu lepas, Iza dan Helmi ingin kami keluar bersama-sama hanya untuk mengumumkan bahawa mereka akan membeli Ipad yang sepadan. Aku rasa mahu saja aku tonyoh muka kedua-dua sahabat karibku itu ke dalam pinggan berisi fetuccini yang sedang aku jamah pada waktu itu. Aku tahu bukan itu sebenarnya yang mereka mahu katakan. Mereka hanya teruja untuk keluar bersama-sama aku dan Roul.

Iza dan Helmi mungkin seronok keluar berempat. Mereka suka istilah double date itu kerana ia membuat mereka rasa seperti the awesome foursome ala geng sitkom ‘How I Met Your Mother’. Masalahnya aku dan Roul sama-sama tidak suka istilah ‘temujanji’, apatah lagi double date. Setiap kali kami keluar bersama, kami menganggap aktiviti itu seperti tugasan pemeriksaan rasmi untuk mengenal pasti sama ada salah seorang daripada kami masih hidup.

Sepanjang perhubungan aku dengan Roul, aku tidak rasa macam kami sedang bercinta. Kami seolah-olah saling meneman untuk hidup. Bila aku sibuk, Roul akan mengajak aku keluar makan supaya aku tidak kehabisan tenaga. Kalau dia yang sibuk, aku akan pergi mencarinya dan membawa sesuatu untuk dimakannya.

Dan bila aku kata ‘pergi mencarinya’, itu sesuatu yang subjektif. Mencari Roul adalah seperti mencari harta karun atau mencari kit kecemasan dalam permainan video ‘Resident Evil’. Dia mungkin berada di galeri, di Pasar Seni bersama Zulu, sedang bergurau dengan Yeen di pejabat penerbitan, atau di pejabat pengiklanan Divert Ad, di mana dia masih bekerja sebagai pereka grafik separuh masa. Mungkin juga dia di rumah sedang bermain Playstation dengan adiknya, Zara. Telefon bimbitnya pula sentiasa dimatikan, jadi aku terpaksa menghubungi semua kenalan-kenalan di atas untuk memastikan dia ada bersama mereka.

Mencarinya sahaja sudah memenatkan aku. Cuba fikir, adakah aku mahu keluar bertemujanji selepas itu? Kalau terjumpa pun aku sudah rasa seperti satu kemenangan, dan aku hanya mahu pulang ke rumah selepas itu.

Lima minit dan 46 saat kemudian, Iza dan Helmi muncul. Mereka tersengih-sengih menghampiri aku dan Roul, terus mengambil tempat duduk dan memesan makanan tanpa mengucapkan apa-apa kepada kami. Hanya selepas pemuda Bangladesh yang mengambil pesanan mereka (dua nasi goreng kerabu dan dua teh ais) tadi berlalu, barulah mereka membetulkan duduk dan menegur kami.

Atau sebenarnya aku yang memulakan.

“My God, people. Kalau korang ni boleh bercantum, mesti korang dah bercantum,” ujarku sambil memeluk tubuh.

“Whatever do you mean?” Iza berpura-pura tidak faham sambil mengelip-ngelipkan matanya.

“Dua nasi goreng kerabu dan dua teh ais? Lepas ni apa? T-shirt Little Miss dan Mr. Sunshine?” perliku.

Jealous,” jawab Helmi.

“Roul, sila sokong,” pintaku.

Roul menghembuskan rokoknya. Kemudian dia mematikan puntungnya dan ditinggalkan rokok tersebut di dalam tempat abu rokok di depannya. Dia mengesat hidungnya, memandang Iza dan Helmi dan kemudian ketawa mengejek sebelum sambung makan.

“I rest my case,”sambungku.

“Orang cemburu akan terus cemburu, sayang,” ucap Iza pada Helmi sebelum memandang kami semula dan menyambung,

“Aku dengan Helmi nak umumkan sesuatu dan aku nak kau orang berdua yang tahu dulu,” ujarnya.

“Umum apa? Yang kau dan Helmi nak beli Ipad 2 pulak?” sarkastik.

Roul tergelak.

Well, no. Tapi sebelum tu, berita sampingan! Helmi nak belajar main gitar. Dia akan ambil kelas gitar bulan depan tapi itu pun lepas kita orang-”

“Gitar?” garfu Roul terlepas dari tangannya dan berdenting jatuh ke atas lantai.

“Ya. Kenapa?” tanya Iza, mengerutkan dahinya melihat betapa terkejutnya Roul mendengar berita sampingan yang dirasakan tidaklah begitu penting berbanding apa yang dia ingin umumkan sebentar lagi.

Roul memandang aku dan kemudian merenung Helmi.

"Kau baru nak belajar gitar, Mi?" tanya Roul.

"Apa masalahnya?" tanya Helmi kembali.

Aku dan Roul berpandangan dan kami ketawa bersama.

"Apa?" Helmi bernada kecil hati.

Roul membetulkan kedudukannya. Kini dia bersandar di kerusinya, dan aku tahu tujuan postur tersebut. Itu postur badan Roul bila dia hendak mempermainkan orang.

"Bai, lu serius tak tau main gitar?" tanya Roul, mengerut dahinya.

"Tak. Gua mana ada masa."

Roul membuka zip beg sandangnya dan mengeluarkan majalah Rolling Stones yang digulungnya di dalam beg tersebut dan menyemak beberapa helaian hingga sampai ke bahagian artikel tentang Santana. Kemudian dia menunjukkannya kepada Helmi.

"Ni namanya apa?" tanya Roul sambil menunjuk ke arah fret gitar yang sedang dipegang Carlos Santana.

"Belang2 gitar," jawab Helmi dengan ekspresi yang kosong. Dia tahu dia sedang dipermainkan.

Aku dan Roul ketawa lagi.

"Dude, lu pathetic. Lulu pun tahu namanya apa."

“Ini dipanggil fret. Ini pulak gitar jenama Paul Reed Smith. You can see it from the bird inlays on the frets. Ada beberapa ekor burung pada ‘belang-belang gitar’ ni, macam yang kau katakan,” balasku, menunjuk ke arah gambar yang sama.

Helmi tarik muka masam.

"Hei, jangan buli laki saya," tegur Iza.

"Laki kau itu tak tahu main gitar. Macam mana dia nak serenade babykau bila korang ada anak?" aku mengusiknya.

"We don't serenade. Helmi akan berzikir untuk anak kita orang."

"Ouch."

"Peh, awek lu kasik satu makan dalam, bai," ujar Roul, tergelak sendiri.

"Kau orang la yang start. Kita orang naik tak pasti sama ada kau orang ni pasangan bercinta ke pasangan pembuli," ujar Helmi.

Dua nasi goreng kerabu dan dua gelas teh ais yang dipesan mereka sampai. Namun Helmi dan Iza tidak terus menikmati hidangan di depan mata itu, malah mereka saling memandang seperti sedang bertolak-tolakan siapa yang mahu memulakan. Kemudian Helmi yang berdehem, tanda dia yang akan mengatakannya.

“Safi, Roul, kita orang nak kahwin,” ujar Helmi.

Aku dan Roul hanya memandangnya kosong.

“Maksud kau bertunang?” tanya aku, membetulkan.

Helmi dan Iza menggeleng kepala dengan serentak, pasti sudah maklum itu yang aku akan tanyakan.

“Kahwin,” jawab Iza.

As in nikah kahwin?” tanya aku lagi. Soalan bodoh, tapi Iza sudah cukup memahami aku untuk menjawabnya.

Iza mengangguk-angguk.

“Kita orang fikir daripada membazir masa nak bertunang semua ni, baik kahwin terus. Jadi, hujung tahun ni, mungkin satu majlis di KL dan satu lagi di kampung Helmi. Mungkin tema ungu cair,” dia sempat menambah.

“Kau orang dah ada tema?” itu lebih mengejutkan.

“Ahah,” jawab Iza dengan muka tidak bersalah.

Kemudian mereka berdua mula menjamu selera di hadapan aku dan Roul seolah-olah mereka baru saja mengumumkan sesuatu yang tidak penting. Malah aku rasa pengumuman mereka untuk membeli Ipad sebelum ini lebih dramatik dari ini.

Tapi mungkin sebab Iza dan Helmi tahu mereka tidak perlu terlalu dramatik tentang hal tersebut. Mereka tahu impaknya pada aku amat besar.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.