“Kenapa
kau nak pening kepala fikir? Dia orang yang kahwin,” tanya Masni sebaik sahaja
aku menyampaikan berita tersebut kepadanya sepuluh minit kemudian. Aku menemui
gadis itu di biliknya, gigih bermain Candy Crush di tablet PC yang baru
dibelinya selepas mengalami tekanan perasaan di tempat kerja sejak akhir-akhir
ini. Dia bertanya soalan padaku, tetapi matanya tidak beralih daripada skrin
gajet kesayangannya itu.
Oleh
sebab yang demikian, demi menjawab soalan Masni itu, aku terpaksa menggunakan
kaedah penjajahan melalui ketakutan, ala tentera Yamashita. Sila perhatikan.
“Kalau
dia kahwin, mesti dia akan pindah dari sini. Nanti margin sewa bertambah woh.” Ujarku.
Masni
menghentikan permainannya sejenak dan memberi perhatian kepada aku. Penjajahan
melalui ketakutan merupakan cara tentera Jepun cuba meyakinkan penduduk di
tanah jajahannya bahawa penjajah Barat akan menindas dengan lebih teruk
berbanding mereka, bangsa Jepun yang kecil dan comel. Siapa yang akan meragui
mereka, bukan? Mereka cuma bangsa Asia yang hidup melalui sektor pertanian
seperti orang lain, tidak mungkin akan menumpahkan begitu banyak darah di
negara orang.
Kaedah
tersebut juga boleh digunakan apabila anda tahu ketakutan utama rakan penyewa
ialah sewa yang naik.
“Bila
dia kata dia nak kahwin?” tanya Masni.
“Hujung
tahun ni. Satu di kampung Helmi, satu lagi di KL,” aku mengulang ayat Iza awal
tengah hari tadi.
Masni
mengangguk-angguk sendiri.
“Tapi
aku rasa mungkin dia akan keluar dari rumah sewa lebih awal kot. Keluarga dia
pun duduk KL dah sekarang. Mesti dia nak habiskan masa dia duduk dengan famili
sebelum kahwin.”
Aku
tidak dapat membayangkan Iza yang adakalanya kaki suka buat sepah itu hidup
serumah dengan Helmi yang pembersih orangnya. Pembersih, tidak tahu main gitar,
mulut celopar. Tidak satu pun sifat tersebut melambangkan lelaki melayu sejati.
Masni
menggaru kepalanya. Sewa rumah baru sahaja dinaikkan enam bulan yang lalu.
Kenaikan yang mendadak itu dilakukan atas alasan harga diesel naik. Tiada siapa
pun antara Masni, Jis dan Iza cuba melawan tuan rumah yang jelas sekali
mengaitkan dua perkara yang tidak ada kaitan sama sekali. Namun hal tersebut
menyebabkan aku juga terpaksa membayar sewa dan berpindah terus ke rumah itu
secara rasminya. Lagipun sejak aku rasmi menjadi teman wanita Roul, aku belum
bersedia untuk membiarkan lelaki itu menghantar atau mengambil aku dari rumah
ibu bapa aku.
Jadi, sekiranya
Iza berpindah dari situ, kami pasti akan mengalami kesukaran untuk membayar
sewa yang sudah pun perit untuk dibayar sekarang.
“Kita cari penyewa lain,” ujar Masni, selepas
lama berfikir.
Mudah
sungguh penyelesaian itu. Kenapalah aku tidak memikirkannya ya? Oh, mungkin
kerana aku bukan mencari penyelesaian untuk masalah rumah sewa!
Tapi
bagaimana hendak aku nyatakan dilema sebenar aku kepada Masni? Lagipun dia
bukan jenis suka bergosip. Seingat aku, punca sebenar dia menghadapi masalah di
pejabat ialah kerana dia tidak suka menghabiskan masa menjaga tepi kain orang
lain. Bila di rumah, dia suka berpura-pura seperti dia ingin tahu cerita orang
lain, tapi sebenarnya dia tidak ambil pusing tentang gosip terkini. Masni lebih
suka menyiapkan kerjanya dengan tenang dan pulang bila tiba masa untuk pulang.
Bagi golongan cerdik pandai, dia dianggap sebagai seorang yang sangat
praktikal. Bagi golongan makcik kepoh, dia dianggap anti-sosial dan memandang
rendah orang lain.
Dunia
memang aneh. Jika anda tidak mengumpat orang lain, anda dikira berlagak dan
perasan hebat. Kemudian anda pula menjadi bahan fitnah di pejabat. Mungkin anda
dikatakan seorang yang cuba membodek majikan, atau diam anda itu kerana anda
mempunyai skandal yang lebih teruk dan tidak mahu rahsia anda terbongkar. Atau
mungkin kedua-duanya sekali.
Aku
menunggu saat Masni untuk menceritakan masalahnya kepada aku. Aku boleh lihat
di dalam riak wajahnya. Tekanan yang dialaminya itulah yang menyebabkan dia
yang selama ini tidak pernah pedulikan gajet terkini telah membeli sebuah
tablet PC.
Jika
anda tidak suka gajet tetapi membeli gajet yang bukan keperluan hanya kerana
anda sakit hati dan tidak boleh berfikir dengan tenang, itu bermakna anda
tertekan.
Ada
orang menghilangkan tekanan dengan pergi bercuti, ada orang hilangkan tekanan
dengan membaca buku motivasi, dan ada pula orang yang membeli gajet terkini.
Masni sudah pergi bercuti di Langkawi baru-baru ini bersama rakan-rakan
alumninya. Kini dia membeli gajet pula. Aku pasti jika masalahnya tidak juga
selesai, dia akan mula membaca buku “La Tahzan”.
Kalaulah
dia mahu menceritakannya kepada aku...
Namun
siapalah aku di dalam plot ceritanya? Dalam plot cerita aku, Masni adalah rakan
rumah sewa. Kami berjumpa di waktu pagi ketika dia hendak ke pejabat dan aku
hendak masuk tidur, dan kami berjumpa di waktu malam, ketika dia pulang dari
tempat kerja dan hendak masuk tidur, sementara aku hendak keluar menikmati roti
canai di restoran mamak. Kami cuma berbual panjang di hujung minggu jika tiada
aktiviti lain boleh difikirkan.
Namun
jiwa novelis aku ini, yang sentiasa terpikat pada masalah orang lain dan
kesengsaraan hidup manusia secara amnya, sangat ingin cuba menyelesaikan
masalah Masni. Aku umpama mak cik kepoh di pejabat. Cuma bezanya aku tidak
bekerja di pejabat dan aku tidak menabur fitnah. Aku juga rasa aku lebih cool kerana baru-baru ini seorang
pengulas buku di akhbar mengatakan aku ini “penulis yang mengolah isu social alienation, randomness dan rutin
yang bosan menjadi satu hiburan dan pengajaran kepada umum”.
Pengulas.
Suka menjadikan benda yang rutin dan bosan seperti ulasan buku menjadi satu
laporan akademik yang menyebabkan penulis seperti aku yang tidak peduli pun
dengan maksud istilah ‘social alienation’
merasa dirinya sangat intelektual.
Kembali kepada topik!
“Ya.
Mungkin kita kena cari penyewa lain,” balasku, selepas agak lama mengelamun.
Kemudian
aku meminta diri untuk kembali ke bilikku sendiri dan memikirkan situasi Iza
dan Helmi ini. Masni hanya membuat bunyi ‘hmm’ tanpa mengangkat mukanya
daripada tabletnya.
Aku
akan pastikan aku dapat mengupas masalah gadis ini. Aku pasti!